Monday, January 26, 2009

Pertahankan Pak Lah Umpama Sokong Membawa Rebah


Artikel ini saya hantar ke email Agenda Daily.com pada 26 Mei 2008 berdasarkan kesyukuran saya di atas keluarnya Tun Dr Mahathir daripada UMNO. Dalam Kecelaruan di antara ketaatan kepada pemimpin dan juga sayangkan parti keramat UMNO ini serta ketakutan perpecahan Melayu saya menulis artikel ini bertajuk 'Orang Melayu tiada masa untuk berpecah' Pada masa itu saya mengkritik Tun dan masih menyokong kepimpinan Pak Lah. Nyata sekarang harapan itu umpama harapkan pagar,pagar makan padi.Sokongan saya umpama sokong membawa rebah. Berikut ada tulisan saya pada Mei 26 2008.

Orang Melayu Tiada Masa Untuk Berpecah

Keluarnya Tun Dr.Mahathir daripada UMNO serta merta memang tidak memeranjatkan, malah sudah dijangka dan saya ahli UMNO akar umbi amat gembira dan bersyukur atas tindakan berani Tun itu. Adalah lebih baik Tun mengkritik pemimpin negara dari luar parti kerana adalah tidak manis ahli biasa seperti Tun mengkritik Presiden dan Perdana Menteri Malaysia secara terbuka tanpa segan silu. Walaupun tidak menjadi kesalahan, tambahan lagi Tun adalah bekas Presiden Parti dan Perdana Menteri adalah menjadi sesuatu yang menjengkelkan apabila Tun tidak putus-putus memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan sedangkan ahli akar umbi rata-rata sanggup bersabar tentang peralihan kuasa mengikut tradisi parti dan dalam masa yang sama mengambil tindakan memperkukuhkan parti.

Semasa Tun menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun antara 1981 hingga 2003, rakyat telah memberi cukup peluang dan ruang kepada Tun untuk mentadbir negara. Sehingga apabila Tun meletakkan jawatan pada 2003, persaraan Tun tetap ditangisi. Terlalu banyak sumbangan Tun kepada pembangunan negara. Dalam pada itu krisis dalaman parti UMNO pada 1987 dan tahun 1998 tidak sedikitpun terpacul daripada mulut rakyat yang cintakan UMNO mendesak Tun meletakkan jawatan.

Suara-suara dan jeritan meminta Tun undur dalam tahun 1998 adalah DS Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya melalui gerakan Reformasi di seluruh negara.Namun begitu dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak ada seorang ahli pun yang mendesak Tun berbuat demikian malah sentiasa memberi sokongan padu selama 22 tahun menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Tahun 1987 dan 1998 adalah tahun gawat bagi UMNO sehingga wujud parti serpihan Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat.

Pada saya, krisis antara Tun Mahathir dan Pak lah adalah lebih bersifat peribadi. Dari isu jambatan bengkok hingga isu VCD Linggam Pak Lah nampaknya lebih telus dan cuba memerdekakan dirinya daripada bayangan pemimpin-pemimpin terdahulu. Banyak perkara yang dilihat berlaku pertentangan antara Pak Lah dan Tun M dalam beberapa isu-isu itu. Mungkin jikalau di zaman Tun M isu VCD Linggam ini kemungkinan tidak akan timbul. Pendekata Pak Lah tidak cuba menolong Tun M dan membiarkan isu-isu berjalan dan mendedahkan kepada umum perihal ketempangan yang berlaku sewaktu bukan beliau menjadi Perdana Menteri. Begitu juga dengan kes Tun Salleh Abas yang diberi imbuhan ex-gratia semakin menambah kemarahan Tun M.

Sebagai rakyat biasa saya menerima dengan terbuka tentang 'keterbukaan' pemerintahan Pak Lah. Pak Lah dituduh menghalang ahli-ahli UMNO dan pemimpin UMNO berjumpa dengan Tun M. Benarkah begitu? Dalam masa yang sama Tun M diberitakan sentiasa berada diseluruh negara berjumpa ahli-ahli UMNO dan bercakap tentang pendiriannya dan mendesak Pak Lah meletakkan jawatan.

“Saya umum saya keluar parti hari ini,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota UMNO Kedah pada forum Nasib Kedudukan Bangsa Melayu di sebuah hotel di sini. Begitulah petikan daripada akhbar Utusan Malaysia 20/05/2008 yang lalu. Bukankah pengumuman itu dibuat dihadapan ahli-ahli parti. Sehari sebelum itu Tun berada di Johor Bahru. Adakah Tun berjumpa dengan ahli-ahli PAS atau PKR di sana?

Sebelum itu, beliau memberi cadangan supaya pemimpin cawangan dan bahagian parti itu meletakkan jawatan masing-masing sebagai isyarat kepada Abdullah supaya meletakkan jawatan dalam parti sebelum pemilihan UMNO Disember ini. Tindakan Tun ini sangat bertentangan dan tidak sedikit pun ada rasa tanggung jawab terhadap parti. Jika beliau tidak keluar parti, mungkin saya akan mencadangkan agar Tun dipecat daripada parti. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, pemikirannya banyak meresap masuk ke dalam fikiran rakyat. Kesetiaan kepada parti bukan kepada individu adalah nasihatnya yang paling keramat tetapi pemikiran itu sudah semakin celaru sejak beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam parti dan kerajaan.

Saya merasakan Malaysia dibawah Pak Lah lebih demokratik, lebih bebas bersuara, lebih bebas mengkritik dan lebih terbuka. Pak Lah memang mengalu-alukannya malah mengajak rakyat bekerja bersama-samanya.

Bagi orang Melayu, kita tidak ada masa untuk berpecah. Ikut nasihat Tun Mahathir dahulu. Utamakan Parti, pemimpin datang dan pergi. Parti lebih utama daripada individu. Sokonglah pemimpin yang berkuasa sekarang dan berilah Pak Lah dan kabinetnya peluang untuk kembali ke landasan yang betul mengikut perjuangan asal parti yang telah terpesong 26 tahun yang lalu.

Empat orang presiden UMNO meninggal dunia di luar UMNO walaupun pernah menjadi memimpin UMNO. UMNO tidak punah malah terus menjadi tulang belakang politik Melayu. Ahli-ahli UMNO akar umbi tidak mengelabah tetapi pemimpin UMNO dan bekas-bekas pemimpinnya saja yang resah tidak tentu arah. Kalau UMNO itu hendak punah bukanlah ditangan ahli-ahli biasanya tetapi di tangan pemimpin-pemimpinnya.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

2 comments:

adriadra said...

UMNO pernah menjadi tunjang perjuangan orang melayu... pernah tetapi kini segalanya berubah.

Perjuangan untuk bangsa melayu hanya suam suam kuku. Bertelur sebiji riuhnya sekampung tetapi tanah air tergadai kerana nafsu, material dan duniawi.

Tun Mahathir membuka lambaran tersebut seluasnya untuk orang bukan melayu memperkotak katikkan bangsa melayu.

Apa makna melayu. Dalam perlembagaan persekutuan dinyatakan bahawa melayu adalah seorang yang beragama islam, berbahasa melayu, berbudaya dan beradat melayu.

Apakah ini asas perjuagan TMM? Mengapa bahasa melayu dipinggirkan dalam kebanyakan projek meganya? Mengapa KLCC? Mengapa KLIA? Mengapa Presint??? Pada zamannya juga bukan lagi bahasa melayu tetapi bahasa malaysia... cubaan menyamarata bahasa atas nama perpaduan kononnya.

Orang melayu bertuhankan Allah dan hanya beragama islam tetapi apa perjuangan yang dibawa apa bila ada kalangan melayu murtad? Melayu marah... riuh tetapi gementar...
Mengangkat keris sejenak kemudian meminta maaf.

Orang melayu bertuankan Rajanya, tetapi kuasanya dirobek. Undang-undang boleh diluluskan di Parlimen walaupun Yang Dipertuan Agong enggan merestuinya. Angkara siapa ini? Kini seorang raja hilang kekebalannya sehingga boleh didakwa di mahkamah. Lebih ajaib seorang diplomat asing mempunyai kekebalan di mana juga dia berada tetapi raja melayu hilang segalanya. lihat sahaja kes terhadap almarhum Yang Dipertuan besar Negeri Sembilan. Ini yang orang melayu hendakkan?

Pada Zaman PM ke 2, orang melayu diberikan hak untuk membersih ladang dan membuka tanah-tanah felda. Tanah diberi mengikut kuderat seseorang itu. Tetapi TMM memberi jalan singkat dengan membenarkan tanah tanah itu dijual kepada bangsa asing. Memberi melayu keseronokan mendengar jutaan ringgit di tangan... namun tanah habis tergadai. Akhirnya pakcik-pakcik ini merempat semula.

Usaha membantu orang melayu dibuat oleh umno melalui pelbagai usaha dahulu. Ini termasuklah memperkenalkan DEB. Tapi apa jadi pada DEB apabila TMM mengambil alih jawatan? Ianya diganti dengan DPN. Satu usaha ke arah menyama ratakan hak semua masyarakat di Malaysia. Pak Lah cuba mengembalikan semula semangat DEB tetapi digagalkan oleh juak juak UMNO sendiri.

Inilah perjuangan UMNO di bawah TMM yang membawa rebah. Kemusnahan yang dibuatnya telah menyebabkan kerosakan yang teruk. Ianya gagal dibaiki oleh penggantinya.

Banyak lagi kebobrokan yang dibawa oleh TMM dan dialah sebenarnya yang membuat UMNO rebah dan susah hendak kebah.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam,

Komen saudara sangat menarik dan mungkin saudara sendiri melalui zaman pemerintahan Tun sepanjang 22tahun (1981-2003)

Semua perkara yang saudara utarakan semuanya benar tetapi kemungkinan ada alasan-alasan Tun melakukannya. Saya tidak mampu mengulasnya di sini.

Tun memang tidak mendapat sokongan 100% begitu juga Pak Lah ,bukan semua tidak bersetuju dengannya. Saudara mungkin selesa di bawah Pak Lah.

Perkembangan terakhir ini saya melihat Pak Lah tidak sekuat Tun. Pak Lah mungkin berjaya sebagai pentadbir tetapi Pak Lah cepat letih dengan sepak terajang politik.

Keadaan politik ini memang dirancang dan direka oleh bukan sahaja pembangkang tetapi dalaman UMNO sendiri. Kelemahan Pak Lah, beliau gagal menguasai pemimpin-pemimpin sekelilingnya supaya menyokong kuat kepimpinannya.

Keadaan politik yang tidak stabil sangat merbahaya kepada negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Ada beberapa perkara saya bersetuju dengan saudara tetapi saya masih terhutang budi kepada Tun M atas beberapa perkara yang saya sendiri mendapat keuntungan daripadanya. Antaranya Kereta Nasional, Lebuhraya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Kemajuan Langkawi, Pendidikan Swasta, Penswastaan dan PETRONAS.

Kaum keluarga saya ramai yang bekerja sebagai eksekutif di TELEKOM, TNB dan PETRONAS yang telah merubah keseluruhan taraf hidup keluarga kami.

Hari ini keluarga besar kami telah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan hasil daripada penswastaan. Saya bersyukur dalam sebak kerana sebahagian besar daripada keluarga kami adalah penyokong Anwar Ibrahim dan Hadi Awang.

Terima kasih atas komen yang baik dari niat yang tulus dan bersih.

Wassalam