Friday, January 9, 2009

Sampai Masa UMNO laksanakan Hudud - suara akar umbi


UMNO wajib melaksanakan hudud.Sebagai ahli UMNO akar umbi cadangan ini nampak pelik tetapi benar.Perlaksanaan Hukum Hudud bukan isu politik yang boleh dipermain-mainkan. Hukum Hudud adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan disebuah negara Islam oleh pemimpin-pemimpinnya yang beragama islam. Perintah Allah wajib ditunaikan seperti mana kita diperintahkan mengerjakan amalan-amalan sunat dan wajib. Mengapa saya cadangkan UMNO yang sudah sampai masa untuk melaksanakan hukum Allah ini.

1. UMNO dan BN menguasai kerajaan Persekutuan dan UMNO adalah tulang belakang kerajaan yang ada walaupun BN tidak menguasai 2/3 kerusi parlimen.

2. UMNO dan BN telah berjaya membangunkan negara ini sehingga menjadi sebuah negara membangun yang maju di dunia.Tidak timbul masalah kewangan, pengurusan dan pentadbiran kerana kerajaan mempunyai pakar-pakar dan pegawai profesional agama yang cukup. Setiap negeri mempunyai mufti dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

3. UMNO telah berjaya mengubah lanskap ekonomi dan pembangunan negara yang mampan. Program membasmi kemiskinan giat dijalankan dan kedudukan ekonomi orang Islam semakin baik jika dibandingkan zaman 70an dan 80an.Keadaan ini sangat tepat waktunya untuk melaksanakan Hukum Allah dikala orang Islam berada di dalam ekonomi yang lebih baik. Disamping itu supaya kemajuan pembangunan dunia ini mendapat keberkatan Allah.

4. UMNO melalui Islam Hadhari dan program 'bina insan 'perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan mendidik masyarakat Islam melalui perlaksanaan hukum-hukum Allah iaitu Hudud, kedua qisas dan ketiga ta’zir.Selagi UMNO tidak melaksanakan hukum Hudud ini selagi itu masalah jenayah tidak dapat dikurangkan.

5. UMNO dan BN telah melaksanakan hukum ciptaan barat sejak 51 tahun yang lalu. Bukan sahaja semakin menurun malah semakin meningkat sepanjang tahun. Hukum ini gagal dan kita perlu berbalik kepada fitrah manusia, kembali kepada undang-undang penciptanya.

6. UMNO dan BN boleh melakukan sesuatu perkara dengan slogan 'Malaysia Boleh' Slogan ini telah membawa rakyat Malaysia hingga ke puncak Everest dan membawa seorang wanita Islam bersemangat waja ke Kutub Utara. UMNO dan BN telah membina sebuah bandar baru serba canggih iaitu Putrajaya yang dulunya sebuah estet getah, UMNO dan BN berjaya membina lebuhraya dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru merentas hutan,bukit dan banjaran. UMNO dan BN berjaya membina lapangan terbang KLIA, Formula 1,Sukan Komenwel dan banyak lagi kejayaan kerajaan yang telah tercatat dalam tinta sejarah. Kegemilangan ini perlu diteruskan dengan melaksanakan hukum Hudud supaya menjadi rujukan negara-negara Islam yang lain.

Berdasarkan pengalaman dan pencapaian UMNO dan BN yang cukup cemerlang ,gemilang dan terbilang sepanjang 51 tahun merdeka sememangnya layak untuk UMNO melaksanakan hukum Allah ini tanpa modal yang banyak. Dengan kepakaran dalam bidang agama yang sudah terserlah di seluruh dunia, UMNO sudah dijatuhkan hukum wajib melaksanakannya. Sebagai ahli UMNO saya berasa berdosa jika tidak mencadangkan kepada kerajaan agar hukum ini dilaksanakan.

Hukum Hudud memang jarang dibincangkan di dalam seminar, simposium, kolukium atau apa saja majlis ilmiah anjuran kerajaan dan UMNO. Sepanjang 62 tahun UMNO diwujudkan rasanya belum ada cawangan-cawangan UMNO diseluruh negara membawa usul melaksanakan Hukum Hudud melalui usul agamanya. Mengapa keadaan ini terjadi? Ini kerana rakyat tidak didedahkan dan difahamkan tentang hukum ini. Hanya UMNO dan BN sahaja yang mampu memberikan didikan, penerangan dan kempen perlaksanaan hukum hudud ini.

Kerajaan perlu serius menjelajah seluruh negara menerangkan HUDUD,Qisas dan Ta'zir seperti mana kerajaan menerangkan dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Pandang ke Timur, Persyarikatan Malaysia, Penswastaan dan sebagainya dengan tujuan mewujudkan sebuah negara aman makmur, sihat dan selamat. Jika usaha kefahaman berterusan ini dilakukan saya yakin dan percaya rakyat Malaysia akan menerimanya.

Sebenarnya dalam hukum Islam terdapat tiga jenis hukuman sahaja. Pertama hudud, kedua qisas dan ketiga ta’zir. Yang jatuh hukum di bawah hudud itu hanyalah tujuh kesalahan sahaja iaitu berzina, menuduh orang berzina tanpa bukti, minum arak, mencuri, keluar daripada agama Islam, merompak dan menderhaka kepada negara.

Qisas adalah hukuman balas iaitu bunuh balas bunuh, mencedera balas cedera dan meluka balas meluka. Hukuman ta’zir adalah hukuman denda bagi kes-kes diluar kes hudud dan qisas seperti kesalahan jalan raya. Walaubagaimana pun orang-orang bukan Islam di beri pilihan sama ada mahu dihukum dengan hukum Islam atau dengan hukum sivil yang sedang berjalan sekarang.

HANYA ORANG ISLAM SAHAJA YANG TIADA PILIHAN KECUALI DIHUKUM DI BAWAH HUKUM ISLAM.

Suka saya mencadangkan, di peringkat awal ini hukum hudud,qisas dan ta'zir dilaksanakan di kalangan orang Islam sahaja. Mahkamah syariah, hakim dan peguam syarie boleh diguna pakai untuk tujuan perlaksanaan. Allah maha adil dan saksama. Jika kita mahu, Allah akan bantu sebab kita mempunyai niat dan akan melaksanakan hukumNya.

Sebagai rakyat biasa, ahli UMNO, dan penyokong kerajaan yang setia saya berpendapat hasrat melaksanakan hukum Allah ini mestilah bermula dari gerakan di cawangan-cawangan UMNO. Mulai tahun hadapan, usul-usul perlaksanaan hudud ini perlu diutarakan di dalam mesyuarat UMNO cawangan-cawangan. UMNO sebuah parti yang mementingkan akar umbi.Pemimpin-pemimpin UMNO apabila didesak oleh akar umbi pasti akan dipertimbangkan dan diambilkira. Dato'Onn hanya menggerakkan orang-orang kampung dan rakyat biasa sehingga Malayan Union di batalkan. Tunku Abd.Rahman dengan sokongan dan dokongan suara rakyat bawahan berjaya memerdekakan negara ini.

Pemimpin-pemimpin UMNO wajib membuka minda mereka sekarang untuk cuba mendengar, membaca, meneliti, mengkaji dan berbincang tentang hukum Allah ini. Perlaksanaan hukum ini melibatkan kuasa pemerintah dan menjadi tanggung jawab pemimpin Islam melaksanakannya di kalangan orang Islam. Sebagai orang Islam hukum Allah ini juga merupakan hak orang Islam untuk menikmatinya dan digunakan di dalam urusan hidup orang Islam.

Orang bukan Islam tidak perlu campur tangan dalam urusan hal-ehwal orang Melayu dan agama Islam. Perkara hal ehwal agama Islam dan orang Melayu terpelihara oleh perlembagaan. Raja dan Sultan serta yang di Dipertuan Agong boleh menasihat dan mencadangkan kepada Perdana menteri kerana Sultan dan Raja adalah ketua agama negeri sementara Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama Malaysia.

Keazaman kita yang tinggi dengan niat melaksanakan tanggung jawab dan ketaatan kepada Allah perkara ini boleh dilaksanakan. HANYA UMNO sahaja yang yang layak dan mampu melaksanakannya kerana segala kemudahan dan KUASA ada padanya.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

1 comment:

zedmagel said...

Salam Bro,

Hudud kan dilaksanakan oleh UMNO jika PAS bersatu di bawah BN. Kalau PAS kekal dengan DAP, bukan kata hudud, sampai jubur berkedut pun tak terlaksana.