Thursday, January 29, 2009

Guru Semakin Tersisih Daripada UMNO.




UMNO pernah melahirkan pemimpin-pemimpin dari kalangan guru. Salah seorang daripadanya adalah Tun Abdul Ghafar bin Baba. Tun Ghafar (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993.

Kehadiran beliau dilihat sebagai tokoh penstabil politik Malaysia, ikon 'tokoh politik kampungan' yang berjiwa Melayu tulen.

Tun Ghafar adalah lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim (1946 - 1949). Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949 - 1955) sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politik (1955 - 2004).

Selain Tun Ghafar, bekas guru yang mencipta nama dalam politik yang masih hidup adalah seperti TS Mohamad Taib dan TS Isa Samad.

Semasa zaman Tun Mahathir UMNO semakin kuat dan kukuh. 22 tahun pemerintahan Tun (1981 - 2003)telah menarik ramai tenaga profesional seperti jurutera, doktor, arkitek, ahli perniagaan, kontraktor, akauntan dan sebagainya untuk menyumbang tenaga, buah fikiran dan wang kepada UMNO. Perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang sihat dan memperkasakan UMNO itu sendiri.

Pada peringkat awal penubuhan UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO dipelopori oleh guru-guru kerana kedudukan orang Melayu yang serba kekurangan dan belum lahir lagi tenaga-tenaga profesional Melayu. Guru-guru adalah pemimpin masyarakat yang dipercayai dan berpengaruh pada masa itu.

Apabila Kementerian Pelajaran mensasarkan 2010 semua guru di sekolah menengah dan sekolah rendah adalah terdiri daripada Guru Siswazah (DG41) iaitu kumpulan A yang dilarang aktif berpolitik maka kedudukan guru dalam UMNO semakin terbatas. Hingga kini difahamkan hanya guru-guru yang bukan siswazah yang berani memegang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian-bahagian UMNO.

Guru-guru siswazah (DG41) Kumpulan A yang ada diantaranya bekas pemimpin-pemimpin pelajar di Universiti, Pemimpin Persatuan-Persatuan Belia dan sebagainya tersekat untuk menyumbang memimpin UMNO dipelbagai peringkat. Mengikut kajian rambang dan tidak rasmi, guru-guru kumpalan A ini lebih cenderung kepada PAS dan Keadilan walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti tersebut.

Memang tidak dinafikan, bahawa guru-guru masih lagi popular dan amat diperlukan memimpin di peringkat akar umbi. Guru-guru lah yang mengerakkan UMNO Cawangan dan UMNO Bahagian sekalipun. Golongan-golongan profesional tidak ramai yang bermastautin di luar bandar kerana tuntutan lokasi kerjaya mereka. Misalnya jikalau tiada guru-guru wanita di kampung-kampung yang menggerakkan sayap Wanita UMNO, kemungkinan Rafidah dan Shahrizat tidak seselesa sekarang.

Kemanakah hala tuju guru-guru ini selepas 2010? Bolehkah Najib dan Hishamuddin tidak peka dengan perkembangan ini?

Cadangan saya, Kementerian Pelajaran perlu menyemak semula larangan berpolitik kepada guru-guru kumpulan A supaya mereka tidak terikat dengan peraturan terutama sekali kepada guru-guru yang benar-benar ingin menyumbang idea,tenaga dan kepakaran kepada parti dan negara.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

2 comments:

add said...

Salam sdr AH, saya menyokong penuh jika golongan guru diterima kembali dalam perjuangan umno kerana golongn ini akan benar-benar memberi nafas baru kepada umno dan BN. Nafas yang akan diberi menggunakan keringat dan bukan nafas yang telah diberi melalui wang semata-mata dalam umno sekarang dek kerana golongan pemimpin umno sekarang adalah dikalangan kontraktor yang mempunyai jutaan ringgit dalam rangka membeli perwakilan semata-mata untuk kepentingan peribadi, dan hanya tak sampai 5% dilaburkan untuk nafas umno.....wassalam

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam,

terima kasih kerana memberi sokongan.