Monday, January 31, 2011

Jangan Alpa : PRK Perlu Menang, PRU Fokus Utama.

1. Berdasarkan perkembangan politik semasa, jelas menunjukkan momentum kemenangan dalam PRK adalah berpihak kepada BN sejak PRK Bagan Pinang kecuali kecundang di Sibu dengan majoriti kecil. Dari tarikh itu terdapat 6 kali PRK di mana 5 daripadanya dimenangi oleh BN. 2 daripadanya, BN berjaya merampas kerusi itu daripada pembangkang iaitu Parlimen Hulu Selangor dan DUN Galas. Selainnya BN mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU ke 12 yang lalu.

2. Keputusan-keputusan PRK ini,memperlihatkan dengan jelas BN sudah mula mendapat balik sokongan daripada rakyat khususnya daripada pengundi Melayu dan India. Perubahan daripada pengundi Cina belum begitu ketara kerana hadirnya DAP di dalam Pakatan pembangkang. MCA dan Gerakan sedang 'bermandi darah' untuk menarik sokongan pengundi Cina semula.

3. BN sewajarnya boleh menarik nafas lega tetapi jangan alpa. Walaupun PRK mampu dimenangi tetapi fokus utama selepas ini adalah DUN Merlimau dan juga PRU ke 13. Pilihanraya Umum ke 13 akan menjadi penentu BN akan berkuasa semula atau tumbang dan menjadi pembangkang. Jangan lalai dan alpa sepertimana sejarah kemenangan awal peperangan Uhud yang melalaikan tentera Islam yang leka dengan rampasan perang sehingga meninggalkan posisi kedudukan strategik mereka. Mereka hampir-hampir tersungkur dengan kealpaan sendiri dan membelakangkan nasihat Rasulullah s.a.w sendiri.

4. Masihkah kita ingat semasa PRK Ijok April 2007, Khalid Ibrahim tewas ketika itu dengan majoriti 1850, namun memenangi kembali kerusi tersebut pada PRU Mac 2008 dengan cukup selesa.

5. Kekalahan Khalid Ibrahim pada PRK 2007 tidak memberi impak kepada kerajaan Negeri Selangor. Kekalahan itu menyebabkan PR tidak duduk diam tetapi merancang dan menyusun strategi merampas Selangor dalam PRU 2008. Hampir setahun mereka berusaha keras, bukan sahaja Ijok dirampas kembali tetapi Selangor turut jatuh ke tangan mereka dan Khalid Ibrahim sendiri dinobatkan sebagai Menteri Besar.

6. Adakah pendokong dan penyokong PR sejak PRK Bagan Pinang sengaja 'memberi muka' atau 'memberi ruang' kepada jentera BN leka dan lalai? Adakah ini hanya umpan?. Mutakhir ini, kita kurang pasti tentang pendirian sebenar pengundi Cina. DAP memainkan peranan penting dan sangat berkesan di dalam PR. DAP mampu mengubah haluan pengundi-pengundi Cina bila-bila masa jika keadaan memerlukan.

7. Lihatlah bagaimana keadaan yang bersifat perkauman ini ditunjukkan di dalam PRU yang lalu. Dengan hanya rangkaian sms menjelang PRU, sokongan undi Cina kepada parti-parti dalam PR telah menyebabkan 5 negeri tumbang dan merampas Pulau Pinang dan DAP menjadi Ketua Menterinya.

8. DAP dan PKR sudah ada kekuatan sedia ada di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Perak, serta dibantu dengan penguasaan PAS di Kedah dan Kelantan. Selepas ini, Johor dan Negeri Sembilan dan tidak ketinggalan Terengganu dan Sabah menjadi target utama PRU ke 13 selain mengekalkan penguasaan di negeri-negeri yang telah mereka kuasai.

9. BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC ,Gerakan, PPP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak tau hal ini. Namun begitu kita boleh lihat kesungguhan parti-parti komponen bekerja dalam setiap PRK atau PRU. Masih ada rakan-rakan BN yang ketinggalan kapal. Lihat saja dengan angka pendaftaran pengundi baru dalam daftar pemilih SPR mengikut parti. Hanya UMNO dan DAP saja yang kelihatan berusaha mendaftar pengundi-pengundi baru. lain-lainnya seperti MCA dan MIC apatah lagi Gerakan amat mengecewakan.

10. Pendekatan 'menyerang' yang dilakukan oleh BN khususnya UMNO sepatutnya telah lama digunakan. BN dan UMNO tidak lagi boleh bertahan sahaja. PR sudah memerintah 4 negeri dan terlalu banyak kelemahan pengurusan dan pentadbiran. Tindakan membetul dan mengemas kini dipihak sendiri dan dalam masa yang sama 'menyerang' kepimpinan mereka adalah taktik berkesan untuk membuka mata rakyat.

11. Akhirkata, suka kita ingatkan, menang PRK adalah penting tetapi lebih penting PRU ke 13 yang menentukan BN memerintah semula atau rebah.

Amir Hamzah
Batu Pahat

Pengundi Melayu Lebih Setia di Tenang






3 peti undi kawasan majoriti pengundi Cina di DUN Tenang.

Keputusan PRU ke 12 2008
1. Bandar Labis Timur : PAS 740, BN 669 Majoriti PAS 71
2. Bandar Labis Tengah : PAS 1013 BN 504 Majoriti PAS 509
3. Labis : PAS 421 BN 411 Majoriti PAS 10

Keputusan PRK Tenang 2011
1. Bandar Labis Timur : PAS 632, BN 669 Majoriti BN 47
2. Bandar Labis Tengah : PAS 851, BN 365 Majoriti PAS 486
3. Labis : PAS 337, BN 380 Majoriti BN 43

Keputusan penuh
BN : 6699
PAS : 2992
Majoriti: 3707
Jumlah pengundi : 14 753
Peratus mengundi : 67% = 9 885 pengundi
Peratus tidak mengundi : 33% = 4 868 pengundi

1. Berdasarkan peratus keluar mengundi hanya 67% disebabkan hujan berpanjangan dan banjir di kebanyakan tempat di DUN Tenang tidak banyak perubahan ketara dengan keputusan PRU ke 12 lalu khususnya daripada pengundi Cina.

2. Walaupun BN menawan semula dua kawasan majoriti Cina daripada 3 kawasan yang sebelum ini tewas kepada PAS, bukanlah sesuatu yang boleh diambil kesimpulan bahawa pengundi Cina sudah kembali kepada BN. Ianya masih ditakuk lama.

3. Dakwaan MCA bahawa pengundi Cina sudah mula menerima kembali BN tidak boleh diterima. MCA tidak boleh lagi membuat tuntutan kononnya untuk bersaing dengan DAP kerana selepas ini tuntutan seperti itu sudah agak janggal. MCA tidak banyak membantu melainkan skuad 1 Malaysia yang 100% daripadanya adalah orang Cina yang kelihatan bergerak aktif menemui pengundi Cina tanpa membawa imej MCA.

4. Sesetengahnya tidak mahu berjumpa dengan wakil BN jika membawa bersama MCA tetapi mereka lebih senang berinteraksi dengan skuad 1 Malaysia yang tidak diketahui daripada mana datangnya mereka ini. Sama ada daripada pusat atau negeri. Ini membuktikan penolakan terhadap MCA dan Chua Soi Lek. Sebab itu, MCA tidak dapat bergerak dan tiada ceramah berbanding dengan program DAP saban malam dan mendapat sambutan hangat.

5. Walaupun begitu, keputusan ini tidak berbaloi berbanding dengan apa yang pengundi Cina dapat.

6. MCA turut menguris hati orang Melayu dan Islam apabila CSL mempertikaikan isu salam calon PAS. Walaupun berlainan ideologi tetapi dari segi hukum dalam Islam ianya tiada kompromi. PERKASA membidas keras kenyataan CSL berdasarkan isu salam tersebut.

7. MCA turut menghalang Ibrahim Ali untuk berucap di hadapan pengundi Melayu di Kampung Sawah Baru pada malam 28 Jan.2011 dengan alasan pengundi Cina sedia ada akan berpatah balik ke PAS jika Ibrahim Ali meneruskan ucapannya. Dijangkakan Ibrahim akan berucap bersama-sama YB Datuk Dr Awang Adek Husin, Timbalan Menteri Kewangan bertajuk Pembohongan Pelan 100 Hari Pakatan Pembangkang.Tindakan mengugut MCA ini menimbulkan rasa meluat orang Melayu.

8. Pada hal kehadiran Ibrahim Ali hanyalah sebagai ahli Parlimen Bebas Pasir Mas bukannya atas nama Presiden PERKASA yang dibenci oleh MCA itu. Tanpa ucapan Ibrahim Ali pun, adakah undi pengundi Cina meningkat dengan ketara?

9. Jelas menunjukkan bahawa sokongan pengundi Melayu terutama di kampung tradisional dan FELDA sangat memberangsangkan. Mereka lebih setia, lebih bertanggung jawab dan lebih berhak untuk dibela selepas ini berdasarkan kekurangan-kekurangan dan masalah-masalah tertunggak yang mereka hadapi.

10. Masalah banjir dengan sistem pengairan di kawasan-kawasan seperti Kg.Paya Merah, Tenang, Tenang Station, Felda Tenang, Chempelak dan Chempelak Barat perlu diambil perhatian. Isu-isu sosial dan keruntuhan akhlak terutama remaja FELDA tidak boleh lagi dilepas tangan tetapi perlu ada gerakerja membantu mereka.

11. Tidak ketinggalan isu-isu tanah dan penempatan generasi ke dua FELDA perlu diambil perhatian serius. Isu-isu yang dibawa oleh Mazlan Aliman perlu dikenalpasti dan diselesaikan oleh YB Azhar Ibrahim sebelum PRU ke 13. Sekurang-kurangnya rintihan mereka didengari dahulu sebelum tindakan susulan diambil.

12. Kemudahan-kemudahan masyarakat dan pendidikan yang masih kurang di kampung-kampung tradisional dan FELDA perlu diambil perhatian setelah diabaikan oleh wakil rakyat sebelum ini. Faktur calon yang merupakan anak tempatan dan anak kepada bekas wakil Rakyat DUN Tenang amat disenangi oleh orang Melayu, Cina dan India. Kebaikan dan keperihatinan ayahanda YB Azhar Ibrahim masih menjadi sebutan dan ingatan daripada pengundi-pengundi.

13. Jangan musnahkan harapan mereka kerana bagi mereka YB Azhar Ibrahim mampu meneruskan dan mencontohi perkhidmatan ayahanda mereka dalam memberi jasa dan sumbangan kepada rakyat Tenang.

14. Tahniah kepada YB Azhar Ibrahim dan selamat berkhidmat.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Tuesday, January 25, 2011

DUN Tenang, Tiada Naib Juara.


1. Di dalam mana-mana pilihanraya tidak ada istilah naib juara kecuali antara menang atau kalah. PRK Tenang akan menentukan sama ada BN akan mengekalkan kemenangannya atau PAS akan tersungkur untuk ke sekian kalinya. Namun kali ini laluan BN bukan semudah yang disangka kerana BN Johor bukan lagi 'jantung hati' kepada BN Pusat.

2. Sehingga pukul 11.59 malam 29 Januari 2011 tidak ramai yang berani meramalkan BN akan berjaya menambah jumlah mojoriti kemenangan mereka kepada 5000 lebih seperti mana yang dicapai dalam PRU ke 11, 2004 yang lalu. Jauh sekali hendak meramalkan BN akan menang mudah. Ini satu perkembangan yang merisaukan BN Johor kerana kenyataan ini agak janggal bagi negeri yang menjadi kubu kuat BN sekian lama.

3. BN mungkin kurang mempunyai masalah dengan pengundi-pengundi luar bandar iaitu daripada kampung tradisional dan tanah-tanah rancangan FELDA. Sokongan daripada orang Melayu sekitar 70% terhadap BN.

4. Masyarakat Cina masih lagi bermain tarik tali. Tiada beza antara MCA, DAP dan Gerakan. Sekali pandang mereka bersatu atas nama bangsa bukannya parti.

5. DUN Tenang adalah di dalam Parlimen Labis di mana anak Chua Soi Lek adalah ahli Parlimennya. CSL sendiri pernah menjadi ahli Parlimen Labis. CSL dan anaknya tentu mempunyai pengaruh di Labis dan Tenang. Kemenangan atau kekalahan BN di Tenang sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada CSL anak beranak.

6. DAP dikatakan mengadakan ceramah-ceramah umum setiap malam dan mendapat sambutan hangat daripada pengundi Cina. Bilik gerakan MCA lengang dan tidak ada ceramah atau rapat umum sepertimana DAP. DAP sudah menguasai jiwa dan raga pengundi Cina yang berjumlah 5766 yang mewakili 39.08%. Ceramah-ceramah yang bertali arus ini, sedikit sebanyak boleh mempengaruhi undi Cina walaupun mereka adalah ahli MCA.

7. Dalam PRU 12, 3 peti undi yg dimenangi oleh Pas iaitu Bandar Labis Timur di mana undi PAS berjumlah 740 undi sementara yang mengundi BN 669 undi.Majoriti 71. Bandar Labis Tengah undi yang diperolehi PAS adalah 1013 undi dan BN hanya memperolehi 504, majoriti 509 undi. Akhir sekali peti undi Labis, undi PAS 421 dan undi BN 411.Majoriti kemenangan PAS hanya 10 undi. Ada yang mengatakan pengundi Cina yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang kerana mereka akan pulang pada Tahun Baru Cina juga boleh mengurangkan sokongan kepada PAS.

8. Bagaimana pula dengan pengundi baru dan muda daripada kalangan pengundi Melayu, Cina dan India? Kecenderungan mereka seperti mana di tempat-tempat lain adalah majoritinya kepada pihak pembangkang. Ketidakpuasan hati ada di mana-mana di tempat masing-masing baik isu pembangunan, prinsip dan pemahaman politik peribadi mereka. Di dalam PRK ini ramai pemimpin-pemimpin pusat dan negeri yang turun. Banyak input yang mereka dapat dan terpulang lah bagaimana mereka menganalisa input-input supaya memberi impak kepada keputusan pilihanra N5 DUN Tenang kali ini.

9. Adakah keputusan DUN Tenang ini akan memberi gambaran atau petunjuk kepada PRU ke 13?.Mungkin boleh kita jadikan ukuran berdasarkan pola fikir para pengundi kali ini sama ada mereka membuat keputusan politik berdasarkan isu-isu semasa di peringkat pusat atau tempatan atau melihat kepada isu-isu calon daripada ke dua-dua belah pihak. Tidak kurang ramainya akan membuat keputusan politik mereka kepada pengaruh parti yang mereka menjadi ahlinya.

10. Kepada penduduk Tenang, PRK ini bukan boleh dicuba-cuba atau jangan fikir akan ada Naib Juara. Keputusan akan ditentukan jumlah undi terbanyak dan calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi wakil kepada rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri. Jangan fikir keputusan PRU ini tidak akan mengubah apa-apa kerajaan tetapi ambil berat tentang kesan kepada momentum perkembangan politik semasa. Jangan bagi ruang kepada anasir-anasir yang boleh memecah belahkan masyarakat di Tenang serta merencatkan pembangunan di Tenang.

11. Adakah majoriti 2 492 undi BN akan bertambah atau berkurangan, kita nantikan malam esok......Selamat mengundi kepada 14 753 pengundi Tenang.

Amir Hamzah
Batu Pahat

Monday, January 17, 2011

Dah 47


18 Jan.2011 ada hari ulangtahun ku yang ke 47. Alhamdulillah sihat dan bersyukur kehadrat Allah kerana di berikan sebuah negara yang aman dan damai.

Sunday, January 16, 2011

Fitnah di Tenang



Satu laporan polis akan dibuat oleh PERKASA Segamat.

Klik di sini.

Tuesday, January 4, 2011

Beban atau Imbuhan.



1. Sesi persekolahan musim baru 2011 telah bermula 3 hb Januari yang lalu. Selamat pulang ke sekolah semula kepada pelajar-pelajar dan guru-guru.

2. Ketika sibuk melayan kerenah para pelajar masih ada ruang antara guru-guru berbicara tentang imbuhan RM500 yang ditawarkan oleh sebuah parti politik sebaik saja memerintah negara ini selama 100 hari.

3. Ada yang bertanya balik, begitu rendahnya mereka memandang guru-guru dengan hanya bernilai RM500 sebulan sebagai 'sogokan' untuk menyokong mereka.

4. Ada segolongan lain yang berpendapat, siapa sahaja yang memerintah mereka tetap seorang guru. RM500 itu hanya umpan yang entah betul atau tidak.

5. Bagi mereka duit bukan segala-galanya tetapi sistem pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran, sukatan pelajaran , disiplin dan akhlak para pelajar dan sebagainya berkaitan guru dan pelajar lebih penting.

6. Mereka mahukan guru lebih fokus kepada mengajar dan mendidik pelajar-pelajar dengan tidak melakukan kerja-kerja pengkeranian yang kadang-kadang tiada kaitan dengan tugas guru.

7.Mengambil kedatangan pelajar, mengutip yuran, mengisi kad kemajuan, mengisi markah ujian dan peperiksaan, membuat headcount, menganalisa keputusan, membina soalan-soalan peperiksaan dan ujian bulanan, menanda latihan harian, menanda kertas ujian dan peperiksaan adalah antara kerja rutin guru di sekolah.

8. Ianya tidak termasuk lagi dengan kerja-kerja Hal Ehwal Murid seperti biasiswa, bantuan persekolahan dan kebajikan, takaful dan Insuran, disiplin pelajar, Unit 3K, Pemantapan sahsiah, Asarama, SPBT, Kantin, Penerbitan, Program 1 Malaysia dan Data dan maklumat.

8. Belum lagi dengan tugas-tugas ko-kurikulum seperti persatuan, kelab, Unit beruniform serta sukan dan permainan.

9. Rasanya pemberian imbuhan RM500 sebulan itu tidak menarik sangat bagi majoriti guru yang dibebankan dengan kerja-kerja separuh mati ini.

10. Adalah lebih praktikal jika Kementerian Pelajaran mewujudkan lebih banyak jawatan pengkeranian di sekolah bagi membantu kerja-kerja guru yang bersifat pengkeranian seperti mengambil kehadiran pelajar, memungut yuran, melakukan kerja-kerja berkaitan Hal Ehwal Murid serta pengurusan ko-kurikulum.

11. Banyak masa dan tenaga guru dapat dijimatkan bagi membolehkan guru-guru menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran seperti merancang pengajaran lebih berkesan, penyediaan alat bantuan, menanda latihan kerja dan perkara-perkara yang berkaitan dengan P&P.

12. Jika rintihan dan rungutan ini didengari, ianya jauh lebih bermakna daripada pemberian imbuhan RM500 itu.

13. Selamat bertugas kepada guru-guru.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Sunday, January 2, 2011

Hari Pertama Persekolahan.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan terima kasih kerana memilih sekolah ini sebagai destinasi baru untuk menyambung pengajian di peringkat sekolah menengah. Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR yang lalu, pihak sekolah tidak keberatan untuk melepaskan anda memilih sekolah-sekolah yang lebih berprestij dan masyhur kerana sememangnya anda layak mendapat tempat belajar di situ. Jika gagal, jangan kecewa kerana di sini pun anda boleh mencipta kejayaan seperti mana pelajar-pelajar yang terdahulu. Minggu Orientasi pelajar tingkatan 1 akan diadakan pada 3 dan 4hb iaitu selama 2 hari.

Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar tingkatan 3 yang berjaya menduduki peperiksaan PMR pada bulan Oktober yang lalu dengan jayanya. Tahniah yang tidak terhingga kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang khususnya yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Beri tepukan gemuruh kepada pelajar-pelajar yang mendapat 8A seperti berikut iaitu 1. Muhammad Hasif b Ahmad Ghazali 2. Mustaqim bin Mazlan 3. Noor Harissa bt Md.Amin 4. Nor Afiqah bt Misrom 5. Nor Lyana bt Mokhtar 6. Nur Fatin Farhani bt Kormin 7. Nurul Huda bt Kabil 8. Siti Nur Adilah Izzati bt Md Daim. Begitu juga tidak ketinggalan kepada mereka yang mendapat 7A dan 6A.

Saya mengambil kesempatan di hari pertama persekolahan ini untuk mengingatkan kepada para pelajar tentang beberapa perkara asas yang sepatutnya menjadi rutin bagi seseorang pelajar. Walaupun ianya sudah didengar berulang kali tetapi sebagai seorang guru tidak salah untuk mengingatkan berulang-ulang kali asalkan ianya dengan tujuan membawa kebaikan. Sepanjang pemerhatian saya sejak akhir-akhir ini cara dan kaedah pelajar-pelajar mendapat ilmu pengetahuan di dalam kelas menjurus kepada suasana belajar yang lari dan jauh daripada adab-adab belajar bagi seorang pelajar khususnya bagi pelajar yang menganut agama Islam.

Sebagai seorang Islam, kita bukan sahaja wajib menjauhkan yang dilarang dan ditegah tetapi kita juga wajib memelihara akhlak yang baik. Akhlak yang baik akan melahirkan pelajar-pelajar yang beradab. Beradab di dalam menuntut ilmu akan menyebabkan kita mudah faham bahkan ilmu yang kita pelajari mempunyai keberkatan bukan sahaja di dunia tetapi juga diakhirat. Imam Ghazali menggariskan beberapa perkara yang patut kita patuhi ketika menuntut ilmu khususnya di dalam kelas dan apabila berhadapan dengan guru. Secara ringkas Imam Al-Ghazali menyatakan,
1.Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan- ikut jantina
2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru
3. Jangan bercakap jikalau tidak ditanya
4. Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru
5. Jangan menyangkal kata-kata guru
6. Jangan mengumpat pelajar lain
7. Jangan berbisik di hadapan guru
8. Jangan berpaling kiri dan kanan
9. Jangan menyoal semasa guru kepenatan
10. Berdiri apabila guru bangun
11 Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali
12 Rujuk guru dalam memilih ilmu
13 Jangan duduk tempat guru
14. Jangan berjalan dihadapan guru kecuali atas sebab-sebab yang tak boleh dielakkan
15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya
16. Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya
17. Muliakan anak-anak guru
18. Selalu berhubung dengan guru
19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu
20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu.

Mudah-mudahan apa yang disebut di atas akan menjadi panduan dan amalan kepada para pelajar sama ada yang Islam dan bukan Islam. Islam adalah untuk semua umat manusia. Tidak ada apa yang diajar oleh Islam itu buruk dan lemah malah semata-mata membawa kebaikan semata-mata.

Sekian dulu untuk kali ini.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Saturday, January 1, 2011

Menggila bersama FB.


Sejak ada FB ni, rasanya blog 'segalanya mungkin' ni begitu terabai. Jarang benar dah nak menulis di sini. Tambahan lagi pengikut di FB berjumlah 1255 orang berbanding pengikut di blog ni cuma 222 orang. Betul kata sahabat ku dulu, kalau dah berhantu dengan FB, blog kita akan punah ranah.

Tambahan pula masa untuk menulis sudah agak terhad sejak aktif di dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara. Kalau di dalam FB tidak perlu menulis panjang berjela, sekadar seperenggan sudah boleh membuka perbincangan.

Apa pun sempena menyambut tahun 2011 ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baru kepada pengunjung-pengunjung blog ini, sahabat-sahabat jauh dan dekat. Kehadiran 2011 akan memberi sinar baru dalam kehidupan kita keseluruhannya.

PRK Tenang akan membuka gelanggang politik negara kita. Ramai berpendapat di Tenang akan menguji keikhlasan MCA dan MIC dalam BN. Peluang tetap 50-50. PERKASA sudah ambil pendirian berkecuali di DUN Tenang. Semoga keputusan Pilihanraya Kecil Tenang akan memberi petunjuk baru bilakah PRU akan diadakan. Selamat mengundi kepada pengundi DUN Tenang.

Amir Hamzah
Batu pahat