Tuesday, January 25, 2011

DUN Tenang, Tiada Naib Juara.


1. Di dalam mana-mana pilihanraya tidak ada istilah naib juara kecuali antara menang atau kalah. PRK Tenang akan menentukan sama ada BN akan mengekalkan kemenangannya atau PAS akan tersungkur untuk ke sekian kalinya. Namun kali ini laluan BN bukan semudah yang disangka kerana BN Johor bukan lagi 'jantung hati' kepada BN Pusat.

2. Sehingga pukul 11.59 malam 29 Januari 2011 tidak ramai yang berani meramalkan BN akan berjaya menambah jumlah mojoriti kemenangan mereka kepada 5000 lebih seperti mana yang dicapai dalam PRU ke 11, 2004 yang lalu. Jauh sekali hendak meramalkan BN akan menang mudah. Ini satu perkembangan yang merisaukan BN Johor kerana kenyataan ini agak janggal bagi negeri yang menjadi kubu kuat BN sekian lama.

3. BN mungkin kurang mempunyai masalah dengan pengundi-pengundi luar bandar iaitu daripada kampung tradisional dan tanah-tanah rancangan FELDA. Sokongan daripada orang Melayu sekitar 70% terhadap BN.

4. Masyarakat Cina masih lagi bermain tarik tali. Tiada beza antara MCA, DAP dan Gerakan. Sekali pandang mereka bersatu atas nama bangsa bukannya parti.

5. DUN Tenang adalah di dalam Parlimen Labis di mana anak Chua Soi Lek adalah ahli Parlimennya. CSL sendiri pernah menjadi ahli Parlimen Labis. CSL dan anaknya tentu mempunyai pengaruh di Labis dan Tenang. Kemenangan atau kekalahan BN di Tenang sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada CSL anak beranak.

6. DAP dikatakan mengadakan ceramah-ceramah umum setiap malam dan mendapat sambutan hangat daripada pengundi Cina. Bilik gerakan MCA lengang dan tidak ada ceramah atau rapat umum sepertimana DAP. DAP sudah menguasai jiwa dan raga pengundi Cina yang berjumlah 5766 yang mewakili 39.08%. Ceramah-ceramah yang bertali arus ini, sedikit sebanyak boleh mempengaruhi undi Cina walaupun mereka adalah ahli MCA.

7. Dalam PRU 12, 3 peti undi yg dimenangi oleh Pas iaitu Bandar Labis Timur di mana undi PAS berjumlah 740 undi sementara yang mengundi BN 669 undi.Majoriti 71. Bandar Labis Tengah undi yang diperolehi PAS adalah 1013 undi dan BN hanya memperolehi 504, majoriti 509 undi. Akhir sekali peti undi Labis, undi PAS 421 dan undi BN 411.Majoriti kemenangan PAS hanya 10 undi. Ada yang mengatakan pengundi Cina yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang kerana mereka akan pulang pada Tahun Baru Cina juga boleh mengurangkan sokongan kepada PAS.

8. Bagaimana pula dengan pengundi baru dan muda daripada kalangan pengundi Melayu, Cina dan India? Kecenderungan mereka seperti mana di tempat-tempat lain adalah majoritinya kepada pihak pembangkang. Ketidakpuasan hati ada di mana-mana di tempat masing-masing baik isu pembangunan, prinsip dan pemahaman politik peribadi mereka. Di dalam PRK ini ramai pemimpin-pemimpin pusat dan negeri yang turun. Banyak input yang mereka dapat dan terpulang lah bagaimana mereka menganalisa input-input supaya memberi impak kepada keputusan pilihanra N5 DUN Tenang kali ini.

9. Adakah keputusan DUN Tenang ini akan memberi gambaran atau petunjuk kepada PRU ke 13?.Mungkin boleh kita jadikan ukuran berdasarkan pola fikir para pengundi kali ini sama ada mereka membuat keputusan politik berdasarkan isu-isu semasa di peringkat pusat atau tempatan atau melihat kepada isu-isu calon daripada ke dua-dua belah pihak. Tidak kurang ramainya akan membuat keputusan politik mereka kepada pengaruh parti yang mereka menjadi ahlinya.

10. Kepada penduduk Tenang, PRK ini bukan boleh dicuba-cuba atau jangan fikir akan ada Naib Juara. Keputusan akan ditentukan jumlah undi terbanyak dan calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi wakil kepada rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri. Jangan fikir keputusan PRU ini tidak akan mengubah apa-apa kerajaan tetapi ambil berat tentang kesan kepada momentum perkembangan politik semasa. Jangan bagi ruang kepada anasir-anasir yang boleh memecah belahkan masyarakat di Tenang serta merencatkan pembangunan di Tenang.

11. Adakah majoriti 2 492 undi BN akan bertambah atau berkurangan, kita nantikan malam esok......Selamat mengundi kepada 14 753 pengundi Tenang.

Amir Hamzah
Batu Pahat

No comments: