Sunday, January 2, 2011

Hari Pertama Persekolahan.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan terima kasih kerana memilih sekolah ini sebagai destinasi baru untuk menyambung pengajian di peringkat sekolah menengah. Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR yang lalu, pihak sekolah tidak keberatan untuk melepaskan anda memilih sekolah-sekolah yang lebih berprestij dan masyhur kerana sememangnya anda layak mendapat tempat belajar di situ. Jika gagal, jangan kecewa kerana di sini pun anda boleh mencipta kejayaan seperti mana pelajar-pelajar yang terdahulu. Minggu Orientasi pelajar tingkatan 1 akan diadakan pada 3 dan 4hb iaitu selama 2 hari.

Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar tingkatan 3 yang berjaya menduduki peperiksaan PMR pada bulan Oktober yang lalu dengan jayanya. Tahniah yang tidak terhingga kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang khususnya yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Beri tepukan gemuruh kepada pelajar-pelajar yang mendapat 8A seperti berikut iaitu 1. Muhammad Hasif b Ahmad Ghazali 2. Mustaqim bin Mazlan 3. Noor Harissa bt Md.Amin 4. Nor Afiqah bt Misrom 5. Nor Lyana bt Mokhtar 6. Nur Fatin Farhani bt Kormin 7. Nurul Huda bt Kabil 8. Siti Nur Adilah Izzati bt Md Daim. Begitu juga tidak ketinggalan kepada mereka yang mendapat 7A dan 6A.

Saya mengambil kesempatan di hari pertama persekolahan ini untuk mengingatkan kepada para pelajar tentang beberapa perkara asas yang sepatutnya menjadi rutin bagi seseorang pelajar. Walaupun ianya sudah didengar berulang kali tetapi sebagai seorang guru tidak salah untuk mengingatkan berulang-ulang kali asalkan ianya dengan tujuan membawa kebaikan. Sepanjang pemerhatian saya sejak akhir-akhir ini cara dan kaedah pelajar-pelajar mendapat ilmu pengetahuan di dalam kelas menjurus kepada suasana belajar yang lari dan jauh daripada adab-adab belajar bagi seorang pelajar khususnya bagi pelajar yang menganut agama Islam.

Sebagai seorang Islam, kita bukan sahaja wajib menjauhkan yang dilarang dan ditegah tetapi kita juga wajib memelihara akhlak yang baik. Akhlak yang baik akan melahirkan pelajar-pelajar yang beradab. Beradab di dalam menuntut ilmu akan menyebabkan kita mudah faham bahkan ilmu yang kita pelajari mempunyai keberkatan bukan sahaja di dunia tetapi juga diakhirat. Imam Ghazali menggariskan beberapa perkara yang patut kita patuhi ketika menuntut ilmu khususnya di dalam kelas dan apabila berhadapan dengan guru. Secara ringkas Imam Al-Ghazali menyatakan,
1.Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan- ikut jantina
2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru
3. Jangan bercakap jikalau tidak ditanya
4. Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru
5. Jangan menyangkal kata-kata guru
6. Jangan mengumpat pelajar lain
7. Jangan berbisik di hadapan guru
8. Jangan berpaling kiri dan kanan
9. Jangan menyoal semasa guru kepenatan
10. Berdiri apabila guru bangun
11 Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali
12 Rujuk guru dalam memilih ilmu
13 Jangan duduk tempat guru
14. Jangan berjalan dihadapan guru kecuali atas sebab-sebab yang tak boleh dielakkan
15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya
16. Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya
17. Muliakan anak-anak guru
18. Selalu berhubung dengan guru
19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu
20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu.

Mudah-mudahan apa yang disebut di atas akan menjadi panduan dan amalan kepada para pelajar sama ada yang Islam dan bukan Islam. Islam adalah untuk semua umat manusia. Tidak ada apa yang diajar oleh Islam itu buruk dan lemah malah semata-mata membawa kebaikan semata-mata.

Sekian dulu untuk kali ini.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

2 comments:

cekodokmasin said...

Ucapan Guru B&K...

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam cekodok masin,

Ucapan hari pertama dalam perhimpunan pagi......tapi tetap ada tokok tambah tanpa mengikut teks.....hehehe