Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433



Tema sambutan Maal Hijrah 1433 ` Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ sangat bertepatan dengan keadaan dan situasi sekarang. Semoga kita menghayati tema dan sambutan kali ini dengan menghijrahkan diri kita daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1433H kepada semua kaum muslimin dan muslimat.

Thursday, October 20, 2011

Muammar Gaddafi terbunuh!



Selepas Saddam Hussein, seorang lagi pemimpin negara Islam yang juga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terbunuh dalam pertempuran dengan rejim yang menumbangkan pemerintahan pemimpin berkenaan secara pemberontakan.

Rejim berkenaan yang dikenali sebagai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengesahkan Gaddafi terbunuh dalam serangan terakhir di bandar Sirte.

“Kami mengumumkan kepada dunia Gaddafi telah dibunuh oleh pasukan revolusi,” kata jurucakap NTC, Abdel Hafez Ghoga. - AFP

Satu laporan berita dari Al Jazeera juga menyebut beliau telah terbunuh. Punca kematian Gaddafi akibat daripada kakinya yang cedera parah selepas diserang bertubi-tubi oleh tentera pealihan kerajaan (NTC) dengan bantuan tentera NATO yang berjaya menawan kubu terakhir Gaddafi di bandar kelahirannya, Sirte. Jurucakap NTC,

Jamal abu-Shaalah yang juga komander operasi menangkap Gaddafi berkata, semasa ditawan, Gaddafi merayu supaya tidak ditembak kerana kedua-dua kakinya cedera teruk semasa pertempuran.

Satu lagi laporan menyebut bahawa Gaddafi bersembunyi di dalam lubang bawah tanah setelah cuba melarikan diri menggunakan lebuh raya menuju ke sempadan Tunisia. Jurucakap NTC yang berada di Sirte, Abdel Majid berkata Gaddafi dikejarkan ke hospital menggunakan sebuah ambulans.

Majed juga menyebut semasa pertempuran tersebut, ketua turus tentera Gaddafi, Abu Bakr Younus Jabr terbunuh berhampiran dengan tempat di mana Gaddafi ditawan. Agensi berita Reuters turut mengesahkan bahawa Gaddafi terbunuh, sebentar tadi. - AAKJ

Selepas Muammar Gaddafi disahkan terbunuh, tentera pemberontak mendedahkan anak pemimpin itu Mo’tassim turut diberkas dalam pertempuran di Sirte.

Televisyen Al Jazeera dan Al Arabiya turut menyiarkan berita penangkapan Mo’tassim. - REUTERS

Tuesday, October 18, 2011

Mesyuarat Agung Tahunan PERKASA Kali ke 2

Semua perwakilan negeri Johor seramai 100 orang seperti mana yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Khas Perkasa Johor di Kluang dijemput hadir ke MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE 2.

Tarikh : 26 Oktober 2011 (Rabu) Bersamaan 28 Zulkaedah 1432H
Tempat : Dewan Centrum, Tingkat 5, Kompleks Centrum, No.1, Jalan 8, Taman Setiawangsa, 54200, Kuala Lumpur.
Perasmi : Mantan Ketua Polis Negara, Ybhg Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor.
Pendaftaran : 8.30 pagi.- 9.30 pagi.
Majlis Perasmian : 9.30 pagi -12.30 tengahari
Mesyuarat Agung : 2.30 ptg - 6.00 petang

Agenda Mesyuarat:
1. Ucapan Presiden
2. Meluluskan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Yang Pertama
3. Pembentangan laporan Tahunan oleh Setiausaha Agung daripada 1hb januari 2010 hingga 31hb Dis 2010 untuk diterima dan diluluskan.
4. pembentangan laporan kewangan oleh Bendahari Agung daripada 1hb januari 2010 hingga 31hb Dis 2010 untuk diterima dan diluluskan.
5. Pembentangan dan perbahasan usul-usul.
6. Pengulungan dan Ucapan penangguhan
7. Ucapan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke 2 oleh Pengerusi Tetap.

Semua perwakilan dikehendaki menaiki kenderaan secara berkongsi daripada daerah masing-masing. Semua daerah telah ditetapkan menghantar 9 perwakilan kecuali Kulaijaya 8 perwakilan. AJK Perkasa Negeri seramai 20 orang. Pakaian Baju Melayu bagi perwakilan lelaki dan Baju Kurung bagi Wiranita dan Wirawati


Selamat bersidang.

Amir Hamzah b Hj Mohamad
Setiausaha kehormat,
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negeri Johor

Friday, October 14, 2011

Johor Tak Selamat, Tapi Datang......


Akibat mengeluarkan kenyataan di Singapura yang menyatakan 'Johor tidak selamat', Lim Guan Eng (LGE) dikecam hebat sehingga dia memohon maaf kepada DYMM Sultan Johor.

Permohonan maaf itu dianggap tidak ikhlas oleh sesetengah pihak. Ada yang menganggap DAP membuat pengadilan berpilih kerana tidak mengantung keahlian DAP kepada Lim Guan Eng seperti mana yang dihadapi oleh Manoharan.

Pertubuhan Pembangunan Kaum India Pulau Pinang melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Majlis Tertinggi DAP yang mengantung Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan selama enam bulan berhubung satu kenyataan tentang Jalur Gemilang menerusi Facebook.

Dalam masa yang sama, Lim Guang Eng juga telah melakukan kesilapan dengan mengutuk dan membuat dakwaan yang buruk terhadap negeri Johor sehingga menimbulkan kemurkaan Sultan Johor tidak dikenakan sebarang tindakan.

Hakikatnya masih ada yang 'terbuku di hati' kepada LGE. 12 Oktober 2011 yang lalu, ratusan penduduk di Segamat berkumpul di hadapan Restoran Siang Hai Kee di Kampung Abdullah bagi membantah kedatangan Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada satu majlis makan malam anjuran DAP di restoran tersebut.

Kebanyakan yang datang, masing-masing hendak 'memulang paku buah keras' kepada LGE. Rata-rata di kalangan mereka dengan sinis menyatakan 'Kalau tidak selamat, mengapa datang'?

Baca berita di sini Penduduk bantah kedatangan Guan Eng

Kedatangan LGE ke Segamat, menunjukkan P140 Segamat antara kerusi parlimen sasaran bagi DAP. P140 Segamat bukan lagi kerusi selamat kepada BN tetapi selamat untuk DAP.

Berdasarkan komposisi kaum di P140 Segamat dengan Melayu: 40.99%, Cina: 47.68%, India: 11.26%, Lain-Lain: 0.07%, DAP berasa yakin untuk mengalahkan Dr S.Subramanian (MIC/BN)dalam PRU akan datang. Keputusan PRU ke 12 lalu, DAP berjaya menurunkan majoriti kemenangan BN di mana BN mendapat 15,921 dan DAP meraih 12, 930 undi.

LGE dengan muka tidak tahu malu, tetap turun ke negeri yang dikatakan tidak selamat untuk menagih undi daripada pengundi di Segamat. Demontrasi aman yang dbuat oleh ratusan penduduk Segamat adalah ingin menunjukkan kepada LGE, penduduk Segamat tidak semudah itu digula-gulakan oleh LGE.

Penduduk Segamat sepatutnya sudah berpuas hati dengan pengagihan kerusi di Parlimen Segamat di mana P140 Segamat diserahkan kepada calon MIC/BN, N1 Buluh Kasap diwakili oleh calon UMNO/BN dan N2 Jementah diwakili oleh calon MCA/BN. Pengagihan ini sudah cukup sempurna melambangkan toleransi antara parti-parti di dalam BN.

Kedatangan LGE ke Segamat membuktikan kenyataan LGE itu sebagai fitnah dan satu pembohongan.

Johor tak selamat, Segamat selamat pulak......Tolak LGE, tolak DAP sekali di Segamat.

Amir Hamzah Mohamad
KL Internasional Hotel.

Saturday, October 8, 2011

Penghargaan Najib kepada penjawat awam

Walaupun baru beberapa hari lalu mengkritik Najib kerana memuji Namewee yang dikatakan ada kelainan tersendiri disamping dikatakan sangat memahami konsep gagasan 1 Malaysia, tetapi petang 8hb Oktober 2011, ramai yang tersenyum lebar.

Bagi saya, kes Namewee satu cerita lain sementara pembentangan budget satu cerita lain. Sebagai kakitangan awam, sepatutnya mengucap syukur ke hadrat Allah atas nikmat yang diberikan dan berterima kasih kepada Najib dan kerajaan semasa yang sedang memerintah kerana prihatin dan peka dengan permasalahan rakyat khususnya penjawat-penjawat awam.

Walaupun budjet semalam adalah defisit di mana unjuran perbelanjaan lebih besar daripada unjuran pendapatan tetapi ramai pihak membuat komen seperti berikut, SEKALUNG TAHNIAH BUAT YAB PERDANA MENTERI DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK DENGAN PEMBENTANGAN BAJET 2012 "DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA" SALAH SATU BAJET TERBAIK YANG PERNAH DIBENTANGKAN NEGARA.

Agak janggal sedikit dengan budjet kali ini dimana cukai rokok dan arak tidak dinaikkan. Maka harga rokok dan arak kekal seperti harga sekarang.

Berita tentang budjet pada 7 Oktober 2011.

1. Membela rakyat, sejahtera negara
2. 1.2j penjawat awam naik gaji
3. Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan
4. Pembentangan Budjet 2012 berjalan lancar.

Kalau ada yang nak berkata, ianya adalah budjet pilihanraya......dengan pantasnya aku menjawab...ye, sudah tentu. hehehe

Amir Hamzah Hj Mohamad
Batu Pahat.

Thursday, October 6, 2011

Namewee: Menasihati Bukannya Memuji



Pengarah filem Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee, mendapat sokongan Najib kerana dikatakan menyokong Gagasan 1Malaysia perlu terus menyokongnya melalui kreativiti mereka tersendiri.

"Bagi Namewee dan pihak-pihak lain yang menyokong 1Malaysia, yang penting sekali baginya ialah menyokong apa yang sedang kita lakukan untuk negara ini, saya difahamkan beliau merupakan penyokong kuat kepada Gagasan 1Malaysia.

"Saya menggalakkan beliau untuk terus memberi segala pandangan beliau melalui cara sebagai blogger atau mungkin cara-cara lain seperti penerbitan filem dan sebagainya yang mencerminkan sokongan kepada Gagasan 1Malaysia,” katanya.

Mengulas beberapa video yang dihasilkan oleh Namewee yang dikatakan menimbulkan kontroversi, Najib berkata Namewee merupakan seorang individu yang ada kelainan tersendiri.

"Saya tak nak beri komen, tapi sebab masing-masing ada kelainannya. Dia merupakan seorang yang ada kelainan dia, bukanlah merupakan seorang konvensional dari segi pendekatan pemikirannya,” kata Najib.

Namewee yang berkelulusan ijazah sarjana muda komunikasi massa dari sebuah universiti di Taiwan menjadi pengarah untuk filem Nasi Lemak 2.0 yang kini sedang ditayangkan di pawagam yang mendapat bantahan ramai.

Apa Namewee sudah lakukan?.Tentu kita belum terlupa, anak muda ini pernah mencipta lagu Negarakuku, memperlekeh negara dan menghina wanita Islam bertudung dan azan subuh. Selepas itu anak muda ini telah menghina TNB dan dalam lagu bertajuk 'Kawanku menghina Melayu' dengan lirik ‘Melayu Balik Hutan Jadi Sakai’ melalui youtube yang ditonton oleh berjuta orang.

Tidak cukup dengan itu, dia membuat satu lagi klip video yang menghina seorang pengetua di Kulaijaya dan Kementerian Pelajaran dengan perkataan-perkataan lucah. Selepas Utusan Malaysia mengeluarkan artikel bertajuk 'Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee...' yang ditulis oleh Fauziah Arof, akhirnya Utusan Malaysia pun di'fuck' oleh anak muda ini.

Saya tidak pasti sama ada Najib menonton atau tidak semua video klip Namewee ini. Kalau dia ada menonton, apakah perasaannya sebagai seorang Perdana menteri dan Presiden UMNO juga Pengerusi Barisan Nasional. Jika dia belum menonton, mengapa beliau begitu berani memberi komen yang mengundang kecaman dan rasa ketidakpuasan hati sebahagian besar rakyat negara ini?

Bagaimana Najib boleh tergamak mengeluarkan perkataan seperti Namewee mempunyai kreativiti tersendiri, mempunyai kelainan, bukan seorang konvensional dari segi pendekatan pemikirannya atau dengan lain perkataan seorang yang unik. Pujian yang melambung ini diberikan semata-mata kononnya anak muda ini menyokong dan sangat memahami konsep gagasan 1 Malaysia.

Benarkah Namewee menyokong gagasan 1Malaysia? Bukankah objektif utama gagasan 1 Malaysia adalah perpaduan. Adakah dengan menghina orang Melayu, agama Islam, agensi kerajaan, kementerian, pegawai kerajaan, pekerja swasta dan akhbar itu menuju ke arah perpaduan.

Kelainan apa yang dibawa oleh Namewee ini?. Adakah menyuarakan ketidakpuasan hati dan mengkritik dengan lagu dan senikata yang menyakitkan itu satu kelainan yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri? Adakah Perdana Menteri mengiktiraf cara dan kaedah seperti ini? Bagaimana pula selepas ini akan muncul anak-anak muda lain yang membuat perkara yang serupa?

Klip video yang dilakukan oleh Namewee ini seolah-olah tidak menjadi satu kesalahan kepada Najib malah dipuji melambung. Ini lah uniknya seorang anak muda yang boleh berjumpa menteri dan berjumpa perdana menteri.

Rakyat tidak marah jika Perdana Menteri memberi layanan 5 bintang kepada Datuk Lim Chong Wei yang sentiasa mengharumkan nama negara dan mengekalkan Malaysia sebagai antara kuasa badminton dunia. Chong Wei boleh dianggap istimewa, ada kreativiti, ada kelainan dan unik.

Sepatutnya, sebagai perdana menteri, Najib tidak perlu memberi sebarang komen ke atas anak muda yang kontroversi ini. Tidak perlu mencela dan jauh sekali tidak perlu memuji. Sebagai Perdana Menteri, beliau boleh menasihati anak muda ini supaya menjaga hati dan perasaan orang lain dalam menyampaikan rasa ketidak puasan hati.

Sepatah nasihat dan tunjuk ajar tidak diberikan oleh Najib, dan menteri-menteri lain yang berpeluang berjumpa dengan pemuda ini. Adakah mereka juga berasa 'takut' jika Namewee akan memaki dan menghamburkan kata-kata lucah di dalam youtube nanti?

Sebagai rakyat dan orang Melayu, saya berasa kecewa dengan tindakan Perdana Menteri yang tidak mengambil kira perasaan dan maruah orang Melayu. Sesetengahnya pernah membuat laporan polis atas beberapa klip video yang biadap dan menghina dengan harapan pemuda ini disiasat dan diberi pengajaran.

Hari ini, sia-sia laporan polis yang dibuat apabila seorang perdana menteri memberi keistimewaan kepada pemuda ini. Harapan saya, Perdana Menteri tidak mengulangi perkara yang serupa kerana sudah acap kali hati kami terluka.

Tulisan ini bukan untuk menyerang Perdana Menteri. Ianya sekadar pendapat daripada seorang rakyat kepada pemimpin. Kadang-kala pendapat dan saranan daripada rakyat yang tidak ada kelainan atau unik ini perlu didengar juga untuk kebaikan kepada negara.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Friday, September 30, 2011

Hak Yang Hilang Akan Hilang Terus......

Sebahagian daripada kita berasa lega dengan penafian Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan memansuhkan kuota untuk bumiputera ketika berucap pada Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu seperti mana dalam laporan Malaysian Insider bertarikh 27.9.2011, sebaliknya beliau menyatakan bahawa orang Melayu jangan terlalu bersandarkan kuota. Tenaga bumiputera mesti lebih berdikari dan sanggup berusaha dengan orang lain supaya ia akan jadikan kita lebih dihormati.

Pengkhususan kouta 30% kepada bumiputera belum lagi dicapai walaupun dibantu oleh penguasaan GLC-GLC dengan sedikit sokongan syarikat-syarikat dan individu Melayu. hakikatnya seperti yang dinyatakan oleh Naib Presiden PERKASA, Dr Zubir Harun, hampir 60% daripada 67% kaum Bumiputera rakyat pribumi Malaysia itu mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM 1,500 sebulan (berada di paras miskin).

Secara logiknya, Orang Melayu baru saja terlepas daripada belenggu penjajahan kira-kira 54 tahun dahulu iaitu pada tahun 1957 sedangkan kita dijajah selama 446 tahun sejak 1511 apabila Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sepanjang tempoh penjajahan, Melayu bukan saja dijajah dari segi politik, tetapi mentaliti dan cara berfikir mereka telah dirosakkan. Tujuannya memang mudah agar pribumi sentiasa bergantung kepada British dan British sengaja tidak mahu memberi pendidikan yang sempurna kepada golongan pribumi.

Penjajahan dan mengaut hasil bumi di Tanah Melayu lebih rakus apabila British membawa pendatang-pendatang daripada China dan India untuk membantu meningkatkan penguasaan ekonomi British di Tanah Melayu. Orang Melayu tersisih daripada penguasaan bijih timah dan perusahaan getah, jika ada pun dikalangan kerabat diraja dan golongan bangsawan.

Pembukaan lombong bijih timah dan getah telah merancakkan pembukaan bandar-bandar baru seperti di Lembah Kelang dan Lembah Kinta. Di bandar ini menjadi pusat kepada perniagaan dan perdagangan yang dikuasai oleh pendatang-pendatang daripada China. Sekali lagi, Orang Melayu tersisih oleh arus perdana ekonomi Tanah Melayu.

Ianya bukan saja pusat perniagaan dan perdagangan tetapi juga pusat ilmu di mana sekolah-sekolah Inggeris didirikan di bandar-bandar. Siapakah yang berpeluang mendapat ilmu di situ? Sekali lagi anak-anak Melayu tertinggal dan terbiar.

Di bandar-bandar diterangi dengan bekalan elektrik, bekalan air bersih, sistem pengangkutan , sistem pengairan, tahap kesihatan lebih baik dan tempat kediaman yang sempurna, terancang dan teratur. Maka sekali lagi orang Melayu tersisih dan tertinggal sejak sebelum merdeka lagi.

Orang Melayu hanya dibiarkan berselerak di kampung-kampung dengan sistem sosial dan ekonomi yang tradisional serta sistem pendidikan yang menyediakan mereka menjadi 'office boy' dan kerani saja. Memang itupun tujuan British supaya anak pribumi terus kekal bodoh dan dungu agar mereka tidak pun terfikir untuk merdeka dan memerintah negara sendiri.

Selepas merdeka 1957, tidak ada apa tindakan kerajaan secara berkesan kepada orang Melayu untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan. Maka DEB dilancarkan pada tahun 1970.

“DEB telah berjaya dilaksanakan dan itulah sebabnya peratus kemiskinan rakyat dapat dikurangkan dari 52 peratus pada tahun 1970 kepada 5 peratus sahaja pada 2002. Sebagaimana mengikut persetujuan semua kaum, DEB lupus pada tahun 1990, dan dengan itu berakhir program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat dalam tempoh 20 tahun..” Dasar Ekonomi Baru digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (1990)

Jikalau dilihat dengan tempoh masa kita dijajah dan tempoh kita merdeka, padang yang disediakan untuk Bukan Melayu dan Orang Melayu memang tidak sama rata. Orang Melayu tidak marah kepada Orang Cina, India atau British kerana orang Melayu mempunyai rasa tolak ansur yang luar biasa. Cuma mereka memerlukan pembelaan sehingga mereka dapat dipulihkan agar dapat berjalan dan bersaing serta berdiri dengan megah di tanah airnya sendiri.

Bagi memulihkan pencapaian orang Melayu yang gemilang dahulu bukan boleh diambil dalam masa yang singkat. Jika orang Melayu terhina selama lebih 400 tahun maka orang Melayu sewajarnya dibantu selama 400 tahun juga.

Umum mengetahui bahawa masalah ketidaksamaan sosioekonomi di negara ini masih berterusan. Terdapat golongan yang masih jauh ketinggalan dari segi pendapatan dan hak milik kekayaan, iaitu :

1. Golongan Bumiputra – pemilikan dari segi ekuti dalam sektor korporat 19.4%, hak milik premis 15.0%, dan pendapatan purata RM3,156.

2. Golongan Bumiputra Sabah & Sarawak – dari segi hak milik sektor korporat 3.0%, dan pendapatan purata antara RM2,063 hingga RM2,858.

DEB merupakan penterjemahan roh perlembagaan dalam usaha memulihkan nasib generasi bumiputra yang ketinggalan sejak berzaman atas apa jua alasan yang diberikan sejarah. Perbedaan struktur asasi masyarakat mengikut garis ethnik dalam bidang pekerjaan, pendapatan dan harta memerlukan jangka masa yang lama hingga memerlukan beberapa generasi untuk dipulihkan. Ini diakui oleh Pendita Zaaba dalam tulisannya mengenai kemiskinan orang Melayu 1927, dalam Jejak-jejak di Pantai Zaman.

Orang Melayu perlu belajar daripada orang Cina bagaimana mereka mempertahankan hak dan menuntut hak. Baca USUL HUA ZONG


Kalau ada tanah, jangan terjual kepada orang lain. Kalau ada bangunan jangan terlelong pada orang lain, kalau ada hak jangan mudah membuang hak itu. Kalau hak itu tidak penting tentu mereka tidak bersungguh-sungguh untuk membuang segala hak keistimewaan orang Melayu tersebut.

Bagi mengubah orang Melayu supaya menjadi yang lebih baik ianya tidak ada kena mengena dengan hak. Pemimpin Melayu jangan lagi sesuka hati mengubah dan membuang hak bangsanya seperti mana mereka menggantikan Tanah Melayu kepada Malaysia, Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia, melemahkan Tulisan Melayu dalam arus pendidikan perdana, soal-soal biasiswa dan pendidikan dan beberapa lagi tindakan yang mengguris hati orang Melayu.

Penubuhan Teraju dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), umpamanya dibuat untuk menjaga kepentingan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Walaupun ada pihak memandang sinis penubuhannya dan mengaitkannya dengan cubaan mengaburi mata Melayu dan Bumiputera yang tidak sedar keistimewaan mereka ditarik sedikit demi sedikit, nyata penubuhannya akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi mereka bagi jangka panjang.

Penubuhan Teraju, umpamanya, antara usaha menambahkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara ini sekurang-kurangnya sehingga 50 peratus. Usaha yang berterusan hingga membolehkan Teraju mengenal pasti lebih 1,000 syarikat milik Bumiputera yang berpotensi untuk dibantu berkembang kini mencapai tahap membanggakan.

Jikalau Melayu tak menjadi pemerintah jangan mimpi lah kita boleh merancang sedemikian rupa. Perancangan dan perlaksanaan yang dilakukan oleh Teraju dan MTEM itu atas dasar hak kita sebagai pribumi.

Keistimewaan Melayu adalah hak kita dan bukan satu keperluan.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Wednesday, September 28, 2011

Kerajaan Johor Perlu Pantas Bertindak!

Berdasarkan sedutan transkrip temu ramah Lim Guan Eng dengan FCA di Singapura yang menyatakan 'Pulau Pinang berada di tempat pertama tahun lalu dari segi mengatasi jenayah iaitu sebanyak 27 peratus.Bagi tempoh enam bulan pertama juga jenayah dikurangkan sebanyak 25 peratus. TETAPI DI JOHOR, SESEORANG WARGA SINGAPURA BOLEH DICULIK'. Anda tidak akan alaminya jika datang ke Pulau Pinang.

Kenyataan yang tidak beradab ini akan menjejaskan pelaburan asing di Johor kerana antara faktur menarik pelabur asing ialah kestabilan politik, kemudahan dan prasarana dan tidak ketinggalan faktur keselamatan.

Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah menjejaskan hubungan setiakawan antara negeri-negeri dalam Persekutuan tetapi sekali gus membawa imej buruk kepada negara. Sedikit masa dulu, Menteri kanan Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) bernada sama ke atas Johor dengan mendakwa Johor adalah negeri yang tidak selamat kerana banyak berlaku jenayah. Adakah ini satu serangan berterusan ke atas Johor daripada sebuah negara yang berjiran dengan yang terbaru daripada Ketua Menteri sebuah negeri di dalam Malaysia?

Adakah ini satu taktik pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memburuk-burukkan negara sendiri di luar negara seperti yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim di Indonesia yang tidak mahu mengakui batik Malaysia mempunyai pelbagai keunikan termasuk corak dan rekaan khususnya batik Terengganu.

Perkara seumpama ini tidak boleh dibenarkan berlaku dan berulang di masa hadapan. PERKASA Negeri Johor membantah keras tindakan biadap Lim Guan Eng seperti mana yang telah dibantah oleh UMNO Johor dan Pemuda Barisan Nasional Johor.

Desakan meminta Lim Guan Eng memohon maaf seperti rakyat Johor mendesak Lee Kuan Yew tidak mencukupi. PERKASA Johor mendesak Menteri Besar Johor membawa usul di Dewan Undangan Negeri untuk menyaman Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas keceluparan mulut Ketua menteri tersebut. Jika Kerajaan Johor dan Menteri Besar terus membisu, seolah-olah mengiyakan kenyataan Lim Guan Eng tersebut. Tindak balas ini adalah bertujuan memberi keyakinan semula kepada pelabur-pelabur asing dan menyatakan kenyataan Lim Guan Eng itu satu dusta.

PERKASA Johor mendesak Kerajaan Negeri dan Menteri Besar bertindak secepat mungkin untuk mengambil tindakan undang-undang kerana keceluparan Ketua Menteri itu meninggalkan impak besar kepada pelaburan di Iskandar Malaysia dan di Senai Hi-Tech Park.

Kelesuan Kerajaan Negeri bertindak tegas mengecewakan banyak pihak khususnya rakyat negeri Johor sendiri. Mereka berpendapat soal undi, sokongan dan politik kepartian dikesampingkan kerana yang lebih utama adalah maruah dan kedaulatan negeri telah diperlekehkan.

Kerajaan Negeri dan Menteri Besar harus bangkit daripada ketakutan kehilangan undi untuk menggerakan sokongan rakyat, pertubuhan-pertubuhan NGO, Badan-badan sukarela dan seluruh rakyat Johor untuk bangun menentang. PERKASA Negeri Johor tidak wajar bertindak dengan membelakangkan kerajaan negeri kerana ianya melibatkan kepentingan dan pentadbiran kerajaan negeri sendiri. Sedangkan PERKASA hanyalah sebuah Badan Bukan Kerajaan.

Cukup-cukup lah kita dihina dengan pembatalan jambatan bengkok, penjualan pasir , pencerobohan ruang udara oleh jet-jet pejuang tentera negara jiran dan kehilangan Pulau Batu Putih. Kini sekali lagi Johor dicabar dengan kenyataan yang dangkal, dendam dan mempunyai niat busuk, maka perlukah lagi Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar mendiam diri.

PERKASA Johor mahu Menteri Besar mengetuai kebangkitan dan kemarahan rakyat dengan mempertahankan Negeri Johor daripada berterusan dihina. Di dalam isu ini PERKASA Johor sentiasa di belakang Kerajaan Negeri dalam mempertahan maruah kepimpinan bangsa dan kedaulatan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.


Amir Hamzah Mohamad
Setausaha,
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negeri Johor.

Sunday, September 25, 2011

Mengalihkan pandangan rakyat ?

1. Isu Md Sabu mengatakan komunis adalah pejuang sebenar kemerdekaan.
2. Isu Md Sabu mahu mengubah fakta sejarah negara.
3. Isu pemimpin DAP mahu mengubah Bendera Malaysia.
4. Isu Hudud oleh Nik Aziz.
5. Isu Lim Guan Eng mengatakan Johor tidak selamat untuk pelabur.

Ini adalah isu-isu terbaru yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Pembangkang. Apakah muslihat mereka membangkitkan isu-isu ini?

Pada PRU ke 12 dahulu, mereka mengambil pendekatan menyerang Barisan Nasional dengan isu-isu kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, kenaikan taraf hidup rakyat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan lain-lain yang akhirnya menyebabkan BN kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan kehilangan 5 negeri ke tangan Pakatan Pembangkang.

Tranformasi ekonomi dan politik yang dilakukan oleh Najib nampaknya telah membuatkan Pakatan pembangkang kekeringan modal dan isu. Antara tranformasi paling berani yang dilakukan oleh Najib adalah dengan memansuhkan ISA. Gerakan anti ISA terpaksa menelan air liur sehingga terlupa untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan.

Pemansuhan PPSMI, penambahbaikan SPR, menggagalkan demontrasi BERSIH 2.0 adalah antara perkara yang berjaya ditangani oleh kerajaan dengan jayanya. Ada yang berpendapat bahawa Najib dan barisan kabinetnya tunduk dan akur kepada desakan pembangkang tetapi dari sudut yang lain dilihat mengundur setapak kebelakang bukan bererti kalah. Mengundur kebelakang untuk mencari kebaikan kepada semua. Pada asalnya, ramai yang tidak bersetuju tetapi lama kelamaan pendekatan ini diterima.

Pendekatan menyerang BN telah ditukar kepada pendekatan menyerang 'minda rakyat' dengan isu-isu kontroversi yang mengambil masa beberapa minggu untuk rakyat memperkatakan isu-isu yang remeh temeh.

Jika PRU ke 12 dahulu mereka bermain dengan 'persepsi' sehingga rakyat percaya bahawa kerajaan ini zalim dan perlu ditukar kepada kerajaan yang baru. Dalam waktu yang sama mereka berjanji dan memberi harapan baru dengan kehidupan yang baik. Kali ini usaha memberi persepsi buruk dan harapan baru semakin berkurangan.

Sampai bilakah Pakatan Rakyat mahu menggunakan 'isu-isu kontroversi' mereka? Apakah muslihat mereka sebenarnya? Adakah ianya mahu mengalih pandangan rakyat tentang kebobrokan pemimpin-pemimpin utama mereka seperti berikut:

1. Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim yang sudah berada di pertengahan jalan.
2. Pendedahan video seks Anwar Ibrahim bersama pelacur China.
3. Pendedahan terbaru video seks Anwar Ibrahim di Thailand.
4. Pendedahan phoneseks antara Md Sabu dan Normah di blog-blog pro kerajaan.

Sebahagian besar rakyat tidak pasti apakah muslihat sebenar mereka. Yang pasti, apabila mereka menimbulkan isu-isu baru yang kontroversi, pandangan dan fokus rakyat beralih kepada isu kontroversi mereka dengan melupakan isu-isu seks pemimpin mereka malah terlupa untuk membicarakan transformasi dan kebaikan yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Saturday, September 24, 2011

MCA rasa dah kuat sangat ker?

Presiden MCA Chua Soi Lek hari ini memberi kata dua bahawa MCA akan keluar Barisan Nasional(BN) jika hukum hudud dilaksanakan oleh UMNO. Suara yang sama juga dicanang oleh Karpal Singh di dalam Pakatan Pembangkang yang menentang perlaksanaan hudud di Kelantan kerana bercanggah dengan perlembagaan negara.

Bezanya Karpal Singh bercakap di mana DAP mendominasi Pakatan Pembangkang yang menang besar dalam PRU 12 yang lalu. DAP adalah 'abang besar' dalam Pakatan Pembangkang berbanding PAS yang tidak mempunyai suara yang kuat di dalam Pakatan Pembangkang kecuali diperalatkan semata-mata. PAS hanya bertanding 66 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Di Dewan Rakyat PAS hanya ada 23 kerusi berbanding DAP 28 dan PKR 31 dalam PRU ke 12. Setelah ramai wakil rakyat PKR keluar BEBAS, DAP mengetuai jumlah kerusi terbanyak di kalangan Pakatan Pembangkang walaupun terpaksa mengekalkan Anwar Ibrahim PKR sebagai ketua pembangkang. Pendek kata, Karpal Singh menganggap PAS hanya ranking ke 3 di dalam Pakatan Pembangkang.

Berbanding dengan keputusan pilihanraya Umum ke 12, MCA kalah teruk di tangan DAP. MCA hanya menang 15 kerusi daripada 40 kerusi yang dicalonkan dan kehilangan banyak kerusi DUN daripada 90 kerusi DUN yang dipertandingkan. MCA mengalami kekalahan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, P. Pinang dan N. Sembilan. Dengan 15 kerusi daripada 222 kerusi di Parlimen atas kedudukan apa MCA boleh memberi kata dua kepada parti UMNO iaitu perti teras di dalam BN. Ada kerusi calon MCA yang hanya kerusi subsidi yang diberikan walaupun kawasan itu majoritinya Melayu. Kalau tiada kekuatan , mengapa Chua Soi Lek berani mengeluarkan amaran dan memberi kata dua?

Bukan Chua Soi Lek tak faham seperti yang dinyatakan oleh TPM, Muhyiddin Yassin. Bagi saya Chua Soi Lek amat faham dan yakin benar bahawa BN tidak akan melaksanakan Hudud dalam masa terdekat. Namun MCA tidak ada pilihan lain untuk membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa bukan DAP saja yang berani menentang hudud malah MCA di dalam komponen BN pun tak kurang beraninya. Lawan MCA adalah DAP di kebanyakan kerusi. Jikalau MCA tidak bersuara, maka benar lah MCA adalah 'adik kecil' di dalam BN. Daripada memberi undi kepada 'adik kecil' lebih baik pengundi Cina memberi undi kepada 'abang besar' (DAP) di dalam Pakatan pembangkang.

Di Dalam PRU ke 12 lalu, pengundi-pengundi Cina banyak membantu PAS dan PKR ketika bertanding melawan UMNO. Kekalahan pemimpin-pemimpin UMNO di kawasan undi bercampur adalah disebabkan pengundi Cina telah beralih arah mengundi PKR / PAS. Pengundi Cina juga berperanan memenangkan banyak kerusi PAS terutamanya di kawasan Pantai Barat.

Semasa PRU ke 12, PAS agak berlembut dengan berkorban menukarkan manifestonya yang menjadi tradisi setiap kali pilihanraya daripada penubuhan negara Islam dan Hudud kepada yang lebih enak dan cucuk dengan masyakarat bukan Melayu. Hasil pengorban menggugurkan tujuan asas dan dasar PAS itu maka pengundi tidak lagi menganggap PAS sebagai Parti Islam yang tertutup.

Apabila Nik Aziz bermain dengan retorik hudud semula, maka MCA terpaksa menuruti DAP yang terang-terang menolak hudud. Kenyataan Soi Lek itu menunjukkan MCA masih berusaha menarik semula pengundi Cina balik kepada MCA. Apabila Nik Aziz bermain dengan isu hudud semula, pengundi Cina akan beralih arah dan tidak akan menyokong parti PAS ketika bertanding dengan UMNO. Di kawasan majoriti Cina mereka juga akan berpecah semula sama ada MCA atau DAP. Maka tindakan Chua Soi Lek itu adalah betul.

Jerkahan Chua Soi Lek itu adalah tindakan politik MCA sebagai usaha terakhir menarik semula pengundi Cina. MCA terpaksa mengeluarkan kenyataan seperti itu atas dasar mahu menang dalam pilihanraya kerana MCA tidak mahu lagi menanggung malu. Jikalau MCA kalah dengan teruk dalam PRU 13 nanti, orang Cina akan melupakan MCA. Chua sendiri pernah memberitahu kerajaan jikalau calon-calon MCA ramai yang kecundang dalam PRU 13, kerajaan boleh tidak memilih wakil-wakil MCA sebagai menteri atau timbalan menteri.

Kesimpulannya, MCA terpaksa buat apa saja termasuk sanggup 'bermain' dengan isu hudud ini. MCA tidak banyak pilihan kerana masa untuk menghadapi pilihanraya terlalu hampir.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Friday, September 23, 2011

Hudud : Sekejap Ada, Sekejap Tak Ada.

Apa reaksi Najib apabila Nik Aziz memohon Perdana Menteri, supaya menarik balik surat tersebut dan membenarkan Kelantan melaksanakan hudud jika benar-benar UMNO ikhlas berjuang untuk agama. Klik di sini untuk membaca surat Tun Mahathir kepada Nik Aziz.

Di dalam surat tersebut juga Tun menulis yang membawa maksud adalah tidak adil hukum hudud ini hanya pada orang Islam sahaja sedangkan mereka yang bukan beragama Islam akan terlepas walaupun melakukan jenayah yang sama, jadi di manakah keadilan di dalam hukum Hudud ala PAS ini? Sehingga kini surat itu tidak pernah dijawab oleh Nik Aziz.

Setiap kali pilihanraya, setiap kali lah akan berkumandang isu-isu lama untuk membugarkan kembali semangat penyokong PAS yang agak kecewa apabila dasar PAS daripada menubuhkan negara Islam dengan melaksanakan hukum hudud telah bertukar kepada Penubuhan Negara Kebajikan. Isu ini menjadi peluru kepada blogger-blogger pro kerajaan dengan menyerang PAS. PAS dikatakan hilang prinsip dan terpaksa tunduk kepada tuntutan di dalam pakatan terutama Anwar dan DAP.

Nik Aziz sedar keluh kesah dan kebimbangan penyokong tegar terutama penyokong golongan ulamak bahawa tindakan mengubah dasar asas ke arah pembentukan negara Islam kepada penubuhan negara kebajikan adalah satu kesilapan daripada segi moral dan maruah parti. Bagi menutup kesalahan ini, Hadi Awang bukan orangnya kerana Hadi tidak cukup berani berbanding Nik Aziz yang dikenali sebagai ahli politik yang 'gila-gila bahasa'. Maka Nik Aziz dikambing hitamkan sekali lagi.

Permainan wayang ini terus berlaku apabila Anwar secara peribadi menyokong hudud dilaksanakan di Kelantan. klik di sini. Sedangkan pemimpin-pemimpin PAS sendiri berbeza pandangan. Apa kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkenaan dengan perlaksanaan hukum hudud. klik di sini. kenyataan Naib Presiden PAS ini tidak jauh bezanya dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO.

Berkenaan dengan hukum hudud ini ramai yang telah mengulasnya. Hudud Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah itu bersifat adil ke atas seluruh umat manusia. Agama Islam itu sendiri adalah satu agama yang benar untuk seluruh umat manusia maka hukum-hukumnya juga adalah untuk menjaga alam ini supaya aman, damai dan barakah. Sedangkan Hudud PAS pula lebih bersifat politik dan hanya untuk orang Islam dan ianya telah disanggah oleh Tun Mahathir dalam suratnya kepada Nik Aziz. Penulisan yang menarik tentang hudud yang benar-benar dituntut Islam boleh baca di sini.

Seperti biasa ketika menjelang pilihanraya, sebelum menang mereka akan berjanji akan melaksanakan hudud sebelum ayam berkokok, selepas menang mereka akan berkata hukum hudud 0.0001 daripada hukum Islam seperti yang dikatakan oleh Hadi Awang.




Kita jangan terpengaruh sangat dengan pergaduhan olok-olok antara Nik Aziz dengan Karpal Singh berkenaan isu hukum hudud ini. Seperti kata Nik Aziz perjuangan hudud ini telah PAS perjuangkan sejak tahun 1951 lagi. Semenjak itulah 'hudud' menjadi senjata PAS dalam setiap kali pilihanraya. Akhirnya PAS tersilap langkah selepas PRU ke 12, sepatah pun perkataan Islam termasuk manifestonya telah digugurkan semata-mata untuk menjayakan pakatan politik bersama PKR dan DAP.

Percayalah, jika Najib membenarkan sekalipun, hudud ini tidak akan tertegak di Kelantan. Nik Aziz tahu Najib tidak akan membenarkannya bagi pihak kerajaan persekutuan, maka sebab itu Nik Aziz berani menimbulkan kembali isu ini dan berjanji untuk kesekian kalinya menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud. Najib memikirkan keadilan untuk semua rakyat atas kepentingan jawatan Perdana Menteri yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat seluruh negara sedangkan Nik Aziz bercakap mewakili umat Islam yang menjadi majoriti rakyat negerinya.

'Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.'

Baca juga di sini.

Pada pandangan peribadi saya, sesekali Najib perlu juga menjadi 'gila-gila bahasa' dengan membenarkan Nik Aziz melaksanakannya di Kelantan. Nik Aziz sudah memerintah Kelantan 20 tahun sehingga kini cita-citanya tidak pernah tercapai. Di penghujung usianya Kerajaan Persekutuan berilah keizinan kepada Nik Aziz kerana rakyat Kelantan sudah faham dan menerima hukum Allah ini dan tidak ada halangan kerana 95% rakyat Kelantan adalah beragama Islam.

Jika hasrat Nik Aziz ini disekat oleh Kerajaan Persekutuan, selagi itulah Kerajaan Persekutuan akan dipersalahkan. Kalau berjaya kita jadikan contoh, kalau gagal Nik Aziz telah meruntuhkan sebuah sistem undang-undang Islam yang adil dan benar.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Sukanya dia.......







Wednesday, September 21, 2011

Tukar Kerajaan Mestikah Perlu Tukar Bendera ?

Hasrat membuak-buak pakatan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada selepas PRU ke 13 sudah sampai ke peringkat tidak terkawal lagi. Beberapa kenyataan yang mengambarkan keghairahan mereka sudah terpacul daripada mulut pemimpin-pemimpin mereka. Mereka sudah merancang dan berkira-kira apa yang akan dibuat selepas menawan Putrajaya nanti.

Pemimpin Pakatan daripada PAS, Mat Sabu mahu mengubah sejarah negara ini dengan melakukan penulisan semula sejarah negara. Kononnya sejarah negara yang ditulis sekarang terlalu menyebelahi kepada kerajaan dan UMNO. Banyak fakta-fakta sejarah yang disembunyikan oleh UMNO kerana kononnya UMNO mahu rakyat tahu hanya UMNO saja yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

Mat Sabu akan mengangkat komunis sebagai pejuang sebenar dengan menafikan golongan yang mereka anggap sebagai tali barut British sekiranya Pakatan menang nanti.

Kemudian timbul pula hasrat pemimpin pakatan pembangkang daripada DAP, M.Manoharan mahu menukar bendera Malaysia kepada sesuatu yang lain. Bendera yang yang ada sekarang lebih mengambar UMNO dan Barisan Nasional serta mempunyai persamaan seperti mana bendera Amerika Syarikat.

Bagi kedua-dua hasrat pakatan pembangkang ini menggambar mereka sudah kekeringan isu. Modal untuk menipu rakyat sudah tak ada, maka mereka membangkitkan sentimen-sentimen membenci oleh rakyat kepada kerajaan dengan isu-isu sejarah dan bendera.

Tidak ada perkara lain kah jika mahu membuat perubahan atau pembaharuan?

Apa niat sebenar dan simbolik tentang hasrat M.Manoharan untuk mengubah bendera Malaysia. Bagi saya Manoharan hanya mahu mengubah simbol-simbol dan warna di dalam bendera bukan mahu menjadikan bendera Malaysia itu berbentuk bujur, bulat atau tiga segi.

Simbol apa yang kemungkinan Manoharan mahu mengubahnya.

1. Simbul bulan dan bintang akan diubah menjadi simbul sabit dan tukul besi. Simbul itu adalah simbul komunis. Sedangkan bulan sabit itu lambang agama Islam sebagai agama Persekutuan.

2. Jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan juga akan dibuang kerana mereka mahu menjadikan negara ini satu kerajaan Republik Komunis yang berpusat kepada satu kerajaan bukannnya pecahan daripada pelbagai negeri

2. Jalur 14 merah putih akan disatukan menjadi satu warna iaitu warna merah yang amat disukai oleh orang Cina dan komunis.

3. Warna kuning mungkin juga akan ditukar kerana pakatan pembangkang tidak berminat kepada sistem beraja kerana sistem komunis anti tuhan,anti agama dan anti raja. Sedangkan warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.

Ramai orang berpendapat, daripada memikirkan perkara-perkara yang belum pasti lebih baik pastikan pendaftaran ROS pakatan diluluskan sebelumkan PRU. Lambang dan bendera pakatan pembangkang pun belum wujud. Mereka akan bertanding dalam PRU dengan menggunakan lambang dan bendera parti masing-masing. Bagaimana mahu dipanggil 'pakatan 'jika banyak mereka antara mereka belum sepakat.

Persoalan lain, perlukah menukar bendera Malaysia jika kerajaan baru di bentuk kerana bendera Malaysia adalah lambang kedaulatan negara bukan lambang kepada parti atau kumpulan.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Apabila Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan

Walau apa pun alasan ,pihak pentadbir sekolah mahu pun pengawas peperiksaan tidak boleh menghalang seseorang pelajar untuk menduduki peperiksaan. Seorang pelajar wajib menerima pendidikan selama 12 tahun atau pun paling minima 10 tahun iaitu daripada tahun 1 hingga Tingkatan 5/6. Mereka juga berhak untuk menduduki peperiksaan awam di mana yuran peperiksaan sudah dibayar sama ada oleh ibu bapa atau pihak kerajaan. Inilah yang dinamakan pendemokrasian dalam bidang pendidikan iaitu semua mendapat hak mendapatkan pendidikan.

Walau apa pun kesalahan disiplin yang dilakukan seperti faktor masalah ketidakhadiran ataupun salah laku di sekolah tidak perlu diambil kira kerana tidak ada pekeliling atau garis panduan yang dikeluarkan oelh kementerian pelajaran untuk menghalang mereka daripada menduduki peperiksaan.

Peraturan Lembaga Peperiksaan Malaysia masih lagi kurang jelas dan apa yang kita faham ini berbeza dengan peraturan di peringkat universiti iaitu penuntut yang tidak cukup waktu kehadirannya boleh dihalang untuk menduduki peperiksaan. Sehingga kini peraturan seperti ini tidak berlaku di sekolah.

Kekecohan berlaku setelah kes tiga pelajar dari sebuah sekolah rendah di bandar Bintangor dekat Sarikei yang tidak dibenarkan menduduki peperiksaan pada 13 Sept dan 14 September lalu dan hanya menduduki peperiksaan pada hari terakhir iaitu pada 15 September.

Lazimnya yang berlaku, pelajar-pelajar yang dihalang untuk menduduki peperiksaan adalah pelajar-pelajar yang lemah dan pihak sekolah telah menjangkakan pelajar ini akan gagal di dalam peperiksaan. Kegagalan dalam peperiksaan akan memberi kesan kepada pelajar dan sekolah malah mempengaruhi peratus peningkatan atau penurunan kepada prestasi sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri.

Misalnya jika keseluruhan calon ada 30 orang, diandaikan 3 orang akan gagal maka purata nilai gred keseluruhan sekolah akan merosot 10%. Ianya akan memperlihatkan penurunan yang ketara jika tahun lepas pencapaian nilai gred keseluruhan sekolah adalah 100%.

Tindakan menyorok dan mengkuarantin calon-calon peperiksaan ini memang berlaku sejak dahulu cuma tindakan pihak sekolah diketahui umum atau tidak. Jika ada 'pihak dalaman' yang membocorkan cerita dan diberitahu pihak media maka ianya akan menjadi berita sensasi. Hakikatnya mungkin lebih banyak sekolah-sekolah yang 'berani' melakukan tindakan ini tetapi tidak diketahui dan tersembunyi.

Keadaan ini berlaku apabila sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan bukannya berorientasikan ilmu. Peperiksaan dilihat sebagai satu petunjuk kejayaan atau kegagalan hidup seorang pelajar. Peperiksaan bukan dilihat sebagai penilaian tentang pemahaman dan applikasi sesuatu cabang ilmu tetapi 90% keputusan peperiksaa dijadikan ukuran untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi, peluang kerjaya, peluang peningkatan satus hidup. Mereka yang gagal menutup peluang untuk menyambung pelajaran, menutup peluang dalam kerjaya dan dipandang sinis oleh masyarakat.

Setiap sekolah akan mengejar populariti peningkatan PURATA NILAI GRED KESELURUHAN PELAJAR
DAN PURATA NILAI GRED KESELURUHAN SEKOLAH. Maka dengan sebab itu pelajar-pelajar lembam, kurang displin, kaki ponteng, pemalas dijadikan alasan menghalang mereka mendapat hak menduduki peperiksaan.

Jka dizaman tahun 1970an dan 80an, masyarakat akan bertanya soalan lulus atau gagal tetapi sekarang masyarakat akan bertanya berapa A anak kita perolehi.

Saban tahun apabila musim keputusan peperiksaan diumumkan kita akan didedahkan dengan pencapaian pelajar-pelajar yang cemerlang. Bagaimana pula dengan mereka yang tercicir? Adakah mereka antara bakal penerima bantuan JKM atau bakal menambah jumlah bilangan golongan miskin dan daif?

Amir Hamzah b Mohamad
Batu Pahat.

Tuesday, September 20, 2011

Hujah mesti dibalas dengan hujah.

Satu sudut pandangan yang lain, pemansuhan ISA menampakkan bahawa kerajaan bersedia menangani sebarang isu yang timbul dengan tidak bergantung kepada undang-undang semata-mata. Walaupun dikatakan akan ada rang undang-undang baru yang akan digubal bagi menggantikan ISA tetapi ianya lebih kepada isu-isu keganasan seperti demontrasi, perhimpunan haram atau melibatkan tingkah laku fizikal yang mengancam harta benda dan nyawa orang awam.

Di dalam isu-isu membuat sesuatu kenyataan, ucapan, fitnah, penulisan berbaur hasutan dan lain-lain, pendekatan secara undang-undang agak ketinggalan zaman. Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya mempunyai maklumat dan ilmu secukupnya tentang negara kita. Jika ianya sekadar satu hujah maka kita perlu menangkisnya dengan hujah juga.

Misalnya dalam isu Mat Sabu, kita faham hujah Mat Sabu yang mengangkat Mat Indera sebagai hero sebenar berbanding 26 orang polis yang terkorban itu sebagai tali barut British. Mat Sabu berhujah bukan meminta dirinya ditangkap tetapi apakah jawapan pakar-pakar sejarah, ilmuan, ahli politik dan sebagainya bagi menyanggah kenyataan Mat Sabu itu. Apa yang berlaku, banyak pihak membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat. Sudah lah rakyat kebanyakkannya buta sejarah, ada yang pakar pun membuat kenyataan-kenyataan balas yang tidak menyelesaikan isu yang diketengahkan. Malah lebih buruk, kebanyakannya membisu tanpa sebarang komen.

Ada setengahnya hendak menutup kenyataan bahawa polis itu bukan polis penjajah sehingga timbul pula jawapan mengatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah. Timbul pula soalan kalau negara kita tidak pernah dijajah, mengapa pula Tunku menuntut kemerdekaan 1957? Bukankah jadi cacar marba sejarah negara kita?

Jikalau Mat Sabu menafikan Dato' Onn dan Tunku bukan pejuang sebenar kemerdekaan negara maka kita yang belajar sejarah sudah tentu tahu jawapannya. Bagaimana jika kita sendiri 'jahil' dengan sejarah negara untuk menjawab isu-isu seperti itu. Adakah kebanyakan daripada kita hanya mengikut saja apa orang kata tanpa berusaha untuk menambah ilmu kita.

Jika kita tidak mempunyai ilmu tentang sejarah negara kita, sejarah bangsa kita tentang hak-hak kita dalam perlembagaan maka kita akan tidak menjadi sensitif. Jika ada orang mengatakan, orang Melayu itu juga pendatang, kita tak rasa apa-apa malah mengiyakan tanpa berusaha menafikannya.

Setakat mana kita tahu tentang konsep ketuanan Melayu, jika ada sesetengah pihak mahu membuang dan mempertikaikan ketuanan Melayu dan digantikan dengan ketuanan rakyat maka ramai yang terpinga-pinga.

Kita juga harus faham dan tahu hak-hak kita di dalam perlembagaan khususnya perkara 153 yang melibatkan hak-hak keistimewaan Melayu. Perkara 153 itu sebenarnya tidak boleh dicabar tetapi kalau orang Melayu sendiri mempertikaikannya, ianya menjadi sesuatu yang membinggungkan. Zaman sekarang kita perlu mempersiapkan diri kita dengan pengetahuan untuk berhujah kerana kalau darah dibalas darah, maka hujah mesti dibalas dengan hujah.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Monday, September 19, 2011

Tun M: Desak Negara Maju Turuti Malaysia Mansuh ISA



19 September 2011, Kuala lumpur.
Ketika PM mengumumkan permansuhan ISA, rakyat tergamam seketika dengan keberanian PM ke 6 itu yang begitu berani memansuhkan satu undang-undang yang selama ini dianggap sebagai zalim dan menyekat kebebasan rakyat di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Pandangan rakyat juga berbeza dan sebahagian besarnya menganggap tindakan Najib ini sebagai mengundur ke belakang akibat tekanan demi tekanan daripada pembangkang terutama sekali dengan gerakan Anti ISA. Sebahagiannya pula melihat bahawa ianya adalah gula-gula pilihanraya dan ada yang mewujudkan persepsi jahat dengan mengatakan undang-undang yang bakal menggantikan ISA itu lebih kejam, keras dan zalim. Prinsipnya sama cuma bersalin kulit saja.

Apapun pandangan pelbagai lapisan rakyat, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir membuat pilihan menyokong terhadap penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang diumum Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini. Berucap dalam majlis ramah mesra Aidil Fitri anjuran Kelab Chedet.com petang tadi Tun menyatakan bahawa pemansuhan akta tersebut akan memberi lebih kebebasan kepada rakyat memberi pandangan dan pendapat mereka.

Dalam masa yang sama, bukanlah bermakna ISA ini sesuatu yang kejam dan zalim seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Menurut Tun, semasa adanya ISA rakyat masih lagi bebas untuk memberi pandangan ,pendapat serta bebas menulis apa saja selagi ianya tidak melanggar undang-undang sedia ada.

“Tidak semua mereka yang membuka mulut terus ditahan di bawah ISA, dan tanggapan bahawa Malaysia tidak bebas kerana ISA juga tidak tepat,” katanya.

ISA yang diwarisi sejak zaman British itu wajar diganti dengan undang-undang ciptaan kita sendiri dan sesuai dengan kehendak semasa dan keperluan rakyat.

Tun Dr Mahathir berkata tindakan menghapuskan ISA meletakkan Malaysia dikelasnya yang tersendiri berbanding dengan negara jiran di Selatan yang masih menggunakan ISA malah boleh dianggap lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Dengan pemansuhan ini, Malaysia boleh memainkan peranannya mendesak Amerika dan Britain supaya menghapuskan pusat-pusat tahanan seperti di Pusat Tahanan Abu Ghuraib dan Tahanan di Teluk Guantanamo. Tahanan tanpa bicara dan disiksa dengan kejam kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Islam.

Menurut Tun, jika dahulu mereka menggelarkan Malaysia sebagai sebuah negara zalim dengan mengamalkan undang-undang yang tidak berperi kemanusiaan, kini tiba masanya mereka juga menuruti langkah Malaysia menghapuskan undang-undang yang sudah tidak relevan dengan tuntutan masa.

“Mungkin mereka baru sedar dalam situasi tertentu, Malaysia terpaksa menahan orang tanpa perbicaraan, namun apa yang mereka lakukan di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo dan Pusat tahanan Abu Ghuraib lebih kejam dengan meluluskan undang-undang yang membenarkan penyeksaan tahanan,” katanya.

Pada mulanya saya melihat Tun seolah-olah memerli dengan pemansuhan ISA ini namun berdasarkan pandangan jauhnya melangkaui sempadan negara dengan melihat kepada kepentingan umat Islam di dunia, sokongan Tun ini adalah sokongan yang ikhlas daripada pemimpin yang sentiasa berfikir jauh kehadapan demi kepentingan agama, bangsa, negara serta umat Islam secara keseluruhannnya.

Amir Hamzah Mohamad
Hotel Putra, Kuala Lumpur

Sunday, September 18, 2011

Dari Hitam Putih Ke Warna-Warni





Daripada rakaman video hitam putih hingga lah kepada rakaman cctv warna warni telah pun 'dipersembahkan'. AMK PKR hari ini membuat laporan polis terhadap penulis blog pro-BN dikenali Papa Gomo kerana memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikatakan menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat berlaku aksi seks. Nampaknya ada yang semakin yakin sehingga ke tahap 100%. Terpulang lah.......

Bagi saya Anwar memang pembohong besar. Saya yakin gambar / video semasa masuk dan keluar daripada Lif di arpartment terbabit adalah Eskay dan Anwar. Ianya jelas dah sukar untuk menafikannya.

Seingat saya, Anwar pernah menyata bahawa beliau tidak mengenali siapa dia Eskay malah beliau sendiri keliru sama ada Eskay ini beragama Hindu atau Buddha. Namun setelah melihat video dan gambar di Youtube bertajuk 'Bapak Anwar Di Ampang Apartment' hubungan mereka bukan saja kenal malah memang akrab.

Kalau ini pun Anwar berbohong jangan cerita lah perkara-perkara lain. Semakin hari semakin jelas kebenaran akan muncul.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Saturday, September 17, 2011

ISA - Selamat Tinggal Romeo.

Apabila Najib Tun Razak mengumumkan untuk menghapuskan beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (Internal Security Act) bukan sesuatu yang mengejutkan. Ini adalah kerana sejak kebelakangan ini ISA sudah tidak digunakan lagi walaupun sepatutnya ramai yang sudah ditahan kerana menghasut dan mengugat keselamatan awam. Bagi kerajaan mungkin tanpa ISA pun beberapa masalah seperti BERSIH 2.0 berjaya diatasi.

Apa maknanya jika ada ISA pun tidak berani menggunakannya atas keselamatan negara dan orang awam. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Dalam Negeri yang membolehkan beliau menahan sesiapa pun tanpa merujuk kepada mahkamah sudah tidak berani lagi digunakan ,maka lebih baik ISA dimansuhkan.

Saya yakin sebahagian besar rakyat menyokong ISA kerana atas kepentingan rakyat sendiri. ISA tidak terpakai untuk sebahagian besar rakyat yang tidak terlibat dengan kerja-kerja menghasut, subversif atau aktiviti-aktiviti yang mengancam keselamatan negara. Bagi rakyat keselamatan mereka dilindungi oleh ISA daripada tingkah laku individu-individu yang dengan sengaja mahu menghuru-harakan negara. Pemansuhan ISA menafikan tuntutan keselamatan majoriti rakyat yang cintakan keamanan. Menteri Dalam Negeri yang tidak menggunakan ISA juga sangat mengecewakan rakyat.

Sepatutnya kerajaan menggubal dahulu rang undang-undang baru bagi menggantikan ISA bukannya memansuhkan ISA sedangkan undang-undang baru masih belum ada. Jika sudah ada rang undang-undang baru, barulah boleh kerajaan memansuhkan ISA. Adakah kerajaan merasakan undang-undang yang bakal digubal nanti akan diterima oleh penyokong-penyokong anti ISA?

Saya yakin apa saja yang dibuat oleh kerajaan tidak mungkin diterima. Kalau boleh mereka mahu berpolitik tanpa sekatan apa-apa undang-undang pun.

Bagi rakyat yang rasional, mereka akan menanti dengan penuh minat undang-undang baru yang akan digubal yang dikatakan lebih baik dan diterima ramai . Harapan rakyat, walau apa pun undang-undang yang akan digubal lebih penting daripada itu adalah penguatkuasaan undang-undang itu.


Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Friday, September 16, 2011

Aku Seorang Komunis

AKU SEORANG KOMUNIS

(Sempena Hari Malaysia)

Kata mereka, aku komunis
kerana aku mengganas.
Ya, memang aku mengganas
mengganas …
terhadap kuasa penjajah.

Kata mereka, aku komunis ..
kerana aku membunuh.
Ya, memang aku pembunuh,
akulah pembunuh imperialis
yang menindas buruh dan tani,
aku membunuh talibarut imperialis,
akulah juga yang membunuh
Henry diselekoh maut dilereng Frazer,
justeru dialah yang mengkhianati rakyat dan bumi Palestin,
demi menghalang agenda sama dibumiku.

Kata mereka, aku komunis
Kerana senjata yang ku acukan kepada imperialis
demi membebaskan tanahairku.

Kata mereka, aku komunis..
yang tidak percaya agama.
Aku hanya percaya kepada agama dan Tuhan yang Satu
yang mengajarku supaya membela yang lemah,
yang berdoa kepadaTuhanNya supaya melepaskan mereka
dari siksaan belenggu imperialis,
yang memasung mereka dengan kemiskinan
di bumi yang kaya.

Kata mereka, aku komunis
kerana menghasut…
Ya aku menghasut,
menghasut buruh dan tani miskin
bangun menentang imperialis.
Wahai adik-adiku,
imperialis satu demi satu telah lenyap
Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula
terlalu lama bangsaku dipasung mereka
hingga mereka tidak kenal lagi
musuh dan sahabat.

Kata mereka lagi, aku komunis
kerana kerosakan.
Ya, memang akulah yang merosakkan
lombong, gudang dan estate milik kapitalis Inggeris,
sumber tenaga kolonial
hegemoni politik tanah jajahan.

40 tahun dipangkal pokok aku beradu
bersama rifle dan brengun,
demi citaku untuk melihat bangsaku
bebas dan merdeka!

Ini adalah sajak nukilan komunis Melayu. Seperti mana kata Datuk Zulkifli Abd. Rahman bekas pegawai polis cawangan Khas yang mengatakan semasa perjanjian perdamaian Hadyai 1989, kerajaan tidak memaksa agar PKM dibubarkan tetapi perjanjian tahun 1989 itu hanyalah perjanjian perletakan senjata oleh PKM.

Ini bermakna PKM tidak pernah dibubarkan. Ianya masih hidup sehingga sekarang. Abdullah CD masih kekal sebagai Pengerusi PKM dan Chin Peng masih menjadi Setiausaha Agungnya. Oleh itu, tentangan sebahagian besar rakyat Malaysia menyekat Chin Peng balik ke Malaysia adalah berasas kerana Chin Peng masih lagi Setiausaha Agung PKM.

Apabila timbul isu Mat Indera, Balai Polis Bukit Kepong dan Mat Sabu kita boleh mengemukakan banyak soalan tentang 3 perkara ini.

1. Mengapa Mat Sabu cuba mengaitkan Mat Indera yang hanya Ketua Komunis Selatan Tanah Air yang diberi kuasa untuk mengawasi utara Johor iaitu daerah Batu Pahat, Muar dan Segamat disamping seluruh Melaka. Mengapa tidak Abdullah CD, Rashid Maidin, Syamsiah Fakeh, Musa Ahmad yang jelas lebih penting dan signifikan daripada Mat Indera.

2. Mengapa pula Mat Sabu mengambil peristiwa serangan Bukit Kepung yang telah berlalu 61 tahun yang lalu.

3. Ramai orang melihat Mat Sabu diperalatkan. Agak pelik jika PAS memilih subjek komunis sebagai isu politik mereka. Mengapa pula Mat Sabu, bukan Hadi Awang, Khalid Samad, Husam Musa atau pemimpin-pemimpin lain di dalam PAS?

4. Mengapa pemimpin daripada PAS bukannya pemimpin PKR yang ada di dalam Pakatan Rakyat dipilih untuk diperalatkan?

5. Akhir sekali, ramai yang tidak percaya Mat Sabu adalah komunis tetapi siapakah komunis di belakang Mat Sabu?

Komunis dan ideologinya dan sosialisme masih subur dikalangan pengikut dan peminat-peminatnya baik yang berada di perkampungan komunis di sempadan Thailand atau sedang berada di tengah-tengah masyarakat di negara kita.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Selamat Menyambut Hari Merdeka

Dari A.Kadir Jasin

HARI ini, izinkan saya berpuisi
Meluah rasa terbuku di hati
Melakar cerita suka dan duka
Tanah Melayu bumi ibunda
Semakin hari dibenci dikeji
Ditertawa dipersenda di desa dan kota
Kerana Melayu semakin tidak berani.

Kerana apa?
Kerana yang berkuasa
Lesu tidak bermaya
Yang diberi amanat
Dan memegang wasiat
Hilang dan sesat
Lupa sumpah dan janji
Tidur lena dibuai mimpi
Tidak peduli lagi perjuangan suci
Kerana selesa berpura-pura
Diracuni harta dan kuasa.

Yang Melayunya berkata:
“Kamilah Bumiputera
Peribumi tanah pusaka
Inilah tempat tumpah darah kami
Di sinilah kami hidup dan mati
Kerana di sinilah terkubur
Nenek moyang kami
Polis dan askar Melayu
Dan perwira-perwira dulu
Datuk Bahaman
Datuk Maharaja Lela
Tok Janggut
Dol Said
Mat Kilau
Tok Gajah
Mat Salleh
Datuk Sagor
Tok Kenali
Dan ramai lagi
Yang tumpas dan mati
Demi bumi dan pertiwi.

Orang India dan Cina
Yang asal usulnya
Pedagang dan buruh ikatan
Jauh dari seberang lautan
Pun menuntut hak yang sama
Menolak kontrak yang ada
Kononnya demi reformasi
Meritokrasi dan globalisasi
Lupa bahawa nenek moyang mereka
Kiblat mereka bumi asalnya
Aspirasinya Parti Kongres India
Kuomintang dan Parti Komunis China.

Tetapi Melayu mudah kasihan
Mudah pula diperkotak-katikkan
Maka oleh British disyaratkan
Terimalah mereka sebagai rakan
Maka dapatlah mereka
Satu juta kerakyatan
Di bumi Malaysia yang merdeka
Tanpa orang Melayu sedar dan perasan.

British hebat putar-belitnya
Mereka tidak buruh Cina dan India
Dari tanah jajahan bernama Malaya
Membanjiri bumi suci mereka
Menuntut taraf warganegara
(Seperti terjadi dengan Orang India dari Uganda)
Maka yang mereka bawa
Dari China dan India
Mereka tinggalkan di Malaya
Kerana Melayu pemurah hatinya
Dan mudah pula lupa.

Sekarang Melayu layu dan lesu
Pertahan hak sudah tidak tahu
Takut, malas dan malu
Menjadi defensif dan apologetik
Hanya berharap kepada kuasa politik
Yang gagal diartikulasi dan diisi
Kerana terlalu lama dibuai mimpi
Tidur lena kerana jenama Bumiputera
Lega dan selesa
Dengan tanah se kangkang kera
Dan panji-panji politik yang hambar warnanya.

Kalau Melayu tidak bangkit
Tidak sedar jiwanya berpenyakit
Jangan salahkan orang lain
Kalau terlondeh baju dan kain
Bogel bagaikan orang gila
Di bumi sendiri yang kononnya merdeka.

Ingatlah permata kata
Nenek moyang kita yang bijaksana
Kerana Melayu kita berbudi
Kerana Islam kita beriman
Maka jika Melayu kenal diri
Jadilah dia orang budiman
Yang harga dirinya
Bukan pada wang berjuta
Tetapi pada budi dan bahasa
Tauhid dan pekerti mulia.

Kerana Melayu mudah lupa
Apa sudah jadi kepada negara?
Bumi ini menjadi tempat buangan
Pelacur dan GRO dari Yunan
Ke bumi ini konon mencari pelajaran
Pengemis dan Shao Lin Master
Yang entah dari mana datangnya
Sepatah haram bahasa Melayu tidak tahu
Meminta sedekah hilir dan hulu.

Itu belum dikira
Pendatang haram yang berjuta
Dari Indonesia, Burma dan Afrika
Yang masuk keluar sesuka hati
Maka jadilah bumi ibunda ini
Periuk menidih yang isinya basi
Jenayah dan maksiat menjadi-jadi
Kerana birokrasi dibaham korupsi
Rasuah, pecah amanah
Salah guna kuasa dan berbagai lagi.

Melayu sudah jadi pengkhianat
Lupa kepada amanah dan wasiat
Kerana wang, kuasa dan harta
Mereka khianati bangsa dan negara.

Akhir nukilan,
Ingatkan pesanan orang tua-tua
Sesal dahulu kedapatan
Sesal kemudian tidak berguna
Kera di hutan disusukan
Anak di rumah mati kelaparan.

Wednesday, August 31, 2011

Hilang sebutir permata.

Kita kehilangan sebutir permata dalam bidang bahasa dan kesusasteraan pada tanggal kita menyambut Hari kemerdekaan di dalam bulan Syawal yang mulia ini.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka Dato' Dr Hassan Ahmad menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 2 Syawal 1432H di Petaling Jaya. Anak kelahiran Muar, Johor ini juga adalah pengerusi Yayasan Karyawan.

Takziah dan Al-Fatihah.

Klik di sini.

Kementerian Hal Ehwal Islam

Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan mencecah 28.9 juta orang pada 2010 iaitu meningkat 1.54% berbanding jumlah penduduk pada 2009 berjumlah 28.2 juta orang.

Daripada jumlah itu, Melayu Islam kekal sebagai penduduk majoriti iaitu 66.7% diikuti dengan Cina 24% dan India 7.4%. Bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 1.3%

Berdasarkan statistik terkini itu maka wajarlah cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa iaitu meminta pihak kerajaan mempertimbangkan satu kementerian khas bagi mengendalikan pelbagai isu dan kepentingan yang melibatkan umat Islam. Pada masa ini ianya dikendalikan oleh seorang menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Hari ini PERKASA melalui Presidennya, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan supaya ditubuhkan Kementerian Hal Ehwal Islam. Malaysia adalah negara Islam yang pesat membangun, Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan majoriti penduduknya adalah Islam maka wajarlah cadangan ini diambil perhatian.

Isu-isu semasa yang berlaku amat membimbangkan. Isu murtad, isu akidah, keruntuhan moral, ajaran sesat dan sebagainya semakin menjalar ke dalam masyarakat Islam. Pembangunan ekonomi Islam, Indang-undang Islam dan segalah permasaalahan berkaitan agama Islam boleh dikendalikan oleh kementerian ini.

Oleh itu cadangan PERKASA amat relevan kewujudannya pada masa ini dan ianya perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Monday, August 29, 2011

Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih.

Aidil Fitri adalah hari kemenangan kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Kehadiran Syawal ini menandakan kita berjaya melawan nafsu dan berjaya menjalankan ibadah puasa dengan sempurna.

Kemenangan ini bukan terletak kepada soal ibadah semata-mata tetapi perlu dilihat secara lebih luas bahawa kita sentiasa diberi motivasi untuk menang dan berusaha meletakkan Islam itu mengatasi kepercayaan-kepercayaan yang lain.

Kemenangan ini juga dikaitkan dengan perpaduan umat Islam dalam semua perkara dengan meletakkan Allah dan Muhammad itu sebagai sumber inspirasi ke arah perpaduan. Apa makna kita menyambut Hari Kemenangan tetapi dalam masa yang sama kita bercerai-cerai dan tidak terikat dengan tali-tali Allah. Ini lah dilema yang umat Islam hadapi mutakhir ini.....

Jangan terlalu mengikut kerenah pemimpin-pemimpin kita yang mempunyai kepentingan tertentu dalam politik mereka. Sebagai rakyat dan umat Islam marhaen ini kita rapatkan barisan kita dengan membuang segala kecelaruan dan kekeliruan berasaskan politik kepartian.

Pemimpin-pemimpin kita taunya memecah-mecahkan kita dengan fahaman politik mereka, mereka tidak duduk bersama kita. Mereka duduk jauh daripada kita. Malangnya kita yang duduk dalam satu masyarakat baik di kampung atau di bandar tidak bertegur sapa dan tidak ambil peduli lantaran pegangan politik kita yang dihasut oleh pemimpin-pemimpin kita.

Sebagai masyarakat Melayu yang masih berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam dan adat-adat tradisional Melayu, sewajarnya kita berbaik sangka dengan orang-orang yang hampir dengan kita. Jikalau ada kenduri kendara, pemimpin kita yang duduk di KL, Johor Bahru, Kota Bahru atau lain-lain tempat tak akan datang......kalau ada kematian, mereka yang jauh tak menyembahyangkan jenazah kita....Itu lah orang-orang di kampung kita yang akan menguruskan semuanya.......

Mari lah kita buang yang keruh, ambil yang jernih....

Selamat Hari Raya, Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada pembaca-pembaca blog segalanyanya mungkin.



Amir Hamzah b Mohamad
Batu Pahat

Thursday, August 25, 2011

Hanya Sekadar Alasan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi amaran beliau akan meninggalkan parti itu jika majoriti ahlinya menyokong pertubuhan bukan kerajaan Melayu, Perkasa yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

Khairi bukan tak tahu sebahagian besar ahli PERKASA adalah ahli UMNO. Ini lah alasan kukuh untuk Khairi meninggalkan UMNO. Ianya dilihat sebagai satu sebab yang munasabah.

Sejarah ahli yang kecewa di dalam UMNO yang kemudiannya keluar UMNO sentiasa berulang. Sama ada mereka akan keluar dan menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru. Dalam hal ini Khairi mungkin akan memilih Parti Keadilan Rakyat yang sangat cucuk dengannya.

Khairi mungkin kecewa kerana beliau adalah ketua pemuda yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan berbanding Razali Ibrahim dan Mukriz Tun Mahathir.

Bagi kawan berdasarkan kenyataannya itu, sila kan........Ada tak menambah, Tak ada , tidak pula akan mengurang.

Klik di sini.

Wednesday, August 24, 2011

Kenapa PAS Keluar Daripada UMNO

PANAS !!! KENAPA PAS KELUAR DARI UMNO !!!

by Taming Sari on Tuesday, August 16, 2011 at 2:51am



DISEMBER 1977

UCAPAN Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn (Tun Hussein Onn)

"TERLEBIH dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini.

Perjumpaan ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu.

Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO dan negara.

Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita semua.

Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan.

Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO.

Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa sebelumnya.

Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional.

Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum.

Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan.

Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing.

Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting sekali ialah mematuhi disiplin parti.

Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara.

Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak dipraktikkan.

Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia ditubuhkan.

Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974.

UMNO yang paling mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna dan jayanya.

Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah.

Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi.

Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku.

Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur.

Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua.

Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius kerana ia melibatkan soal pokok.

Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Semangat tolak ansur seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan.

Ia merupakan faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.

UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS.

UMNO menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional.

Langkah itu juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.

UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya.

Oleh itu sikap berkecuali yang telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah.

Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.

Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk.

Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan.

Jika keadaan ini tidak dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya.

Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas.

Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan.

Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Langkah-langkah ini diambil pada masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah Menteri.

Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya.

Sama ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri.

Saya memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.

Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan.

Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan masa depan mereka.

Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan.

Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi.

Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja.

Lebih pendek adalah lebih baik.

Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh.

Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.

Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS.

Semua wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di Kelantan itu.

Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu.

Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda.

Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh memandang ringan perkara ini.

Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.

Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri.

Saya tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya.

Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya.

Sebenarnya UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.

Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang.

Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur.

Kita semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan Nasional selama ini.

Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan.

Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti parti-parti politik.

Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan.

Parti-parti yang ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.

Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan.

Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu.

Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri.

Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.

Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu.

Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri.

Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita.

Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya.

Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini.

Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar menawar.

Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri.

Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS menganggotainya.

Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya.

Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya.

Sebaliknya mereka telah mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.

Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang terdiri draipada ahli-ahli UMNO.

Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah.

Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.

Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional?

Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita terlebih dahulu?

Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang lain?

Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini.

Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional.

Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat.

Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini?

Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian?

Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional?

Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya menentang Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS.

UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang.

Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan Nasional.

Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya.

UMNO mempunyai maruahnya sendiri.

Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini.

Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat.

Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional.

Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai.

Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti.

Pembangunan tetap akan berjalan terus.

Perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya.

Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.

Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar disiplin.

Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS.

Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional.

Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup berpanjangan.

Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.

Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan musnah.

Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi.

Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.

Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu.

Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk pimpinan PAS.

Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi.

Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan orang Melayu amnya.

Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.

Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional.

Ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya.

Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara.

Saya yakin dengan kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.

Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi.

Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran.

Kita akan menghadapinya dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.

Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah."



FAKTA TAMBAHAN.

Izinkan saya memberi sedikit fakta tambahan.

Antara Punca sebenar krisis kelantan 1977 adalah berpunca dari pihak PAS itu sendiri. Malah didalam portal PAS pusat itu sendiri menyatakan bahawa ianya bermula apabila timbulnya ketidak puasan hati PAS terhadap Menteri Besar ketika itu,Datuk Muhamed bin Nasir.


Yang tidak diceritakan oleh PAS:

1... Ada diantara pemimpin PAS Kelantan memfitnah dan menuduh Datuk Muhamed bin Nasir terlalu mengikut telunjuk UMNO-BN.

Hakikatnya pd ketika itu UMNO-BN tidak pernah campur tangan dlm corak pemerintahan PAS (ketika itu).

Malah,ketika itu keputusan pemerintahan PAS Kelantan masih ditangan kuasa majoriti dewan undangan negeri.

2...pada ketika itu juga terdapat usaha dalam PAS utk menjatuhkan Presiden PAS (ketika itu) Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohd Asri bin Haji Muda.

Usaha menjatuhkan Datuk Mohd Asri hanya kerana Datuk Mohd Asri adalah tokoh PAS yg bertanggungjawab membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1973.

3...Asas yg digunakan oleh sebahagian pemimpin PAS Kelantan (ketiak itu) utk menolak Datuk Mohd Asri dan Dato' Muhammad Nasir, hanya kerana selepas PRU 1973, PAS mempunyai kuasa majoriti dgn 22 kerusi dan UMNO hanya 13 kerusi, dan tidak memerlukan sebarang usaha bergabung antara PAS dan UMNO.

4...Dalam tempoh (1973-1978) Datuk Mohd Asri selaku Presiden PAS dan Dato' Muhammad Nasir telah dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan Pas di Kelantan.

Hakikatnya spekulasi dan tuduhan tersebut adalah hasil putar belit fakta sebahagian pemimpin dan ahli2 PAS yg tidak berpuashati dgn perpaduan PAS-UMNO.

5...Krisis Kepimipinan PAS Kelantan 1977 dikatakan timbul hasil ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar, Dato'Haji Muhammad Nasir.

Beliau dipecat sebagai MB Kelantan oleh Pucuk Pemimpin PAS Kelantan itu sendiri.

6...Sementara Datuk Mohd Asri mula ditendang keluar oleh Pucuk Pemimpin PAS Kelantan selepas PRU 1978, dengan desakan-desakan supaya beliau meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agung PAS, desakan yang datang dari beberapa pimpinan Pas antaranya dengan Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama' Pas Pusat Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau akhirnya mengumumkan perletakan jawatan sebagi Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982.

FAKTA TAMBAHAN II.

7....Krisis Kepimipinan PAS Kelantan 1977 ini yg membawa kepada undi tidak percaya kepada MB Kelantan pada 15 Oktober 1978.

Apapun Kerajaan Pusat ketika itu menghormati keputusan yg dibuat oleh PAS Kelantan, atas dasar persefahaman dan tidak masuk campur dgn alasan yg diberi oleh PAS Kelantan itu dgn mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS.

8...Tumbangnya Dato' Muhammad Nasir akibat perebutan kuasa dalam PAS, telah menyebabkn berlakulah rusuhan yg dimulakan oleh penyokong Nasir di Kota Bharu.

Rusuhan ini telah mengakibatkan kerosakkan harta benda, mengancam nyawa dan keselamatan rakyat dan juga mengancam keselamatan negeri Kelantan.

9...Seperti yang dinyatakan oleh Tun Hussein Onn didalam ucapan beliau pada 9 Disember 1977, selaku perdana menteri ketika itu, belaiu harus bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, yang dikhuatiri rusuhan diKelantan mungkin akan merebak ke negeri2 lain, dan mengengkang rusuhan seperti peristiwa 13mei berulang.

10...Pada November 1977,Parlimen Persekutuan meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat.

11...Rang undang2 Darurat Kelantan dirangka bersama menteri2 PAS yg ketika itu masih lagi bersama-sama UMNO dalam jemaah Menteri.

Dan diluluskan oleh Parlimen setelah mendapat persetujuan majoriti termasuk dr kalangan menteri PAS sendiri.

12...Setelah Kelantan dibawah Darurat. Datuk Mohd Asri menerima tekanan dari beberapa pimpinan Pas terutamanya Nik Aziz selaku Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama' Pas Pusat yg dari awal begitu lantang menetang gabungan PAS-BN.

13...Hasil dari desakan itu, Haji Hassan Adli Arshad selaku Timb. Yang DiPertua Agung PAS dijadikan kambing hitam PAS apabila beliau dipecat oleh Datuk Mohd Asri yg kononnya beliau menjadi ketua menteri2 PAS yg menyokong rang undang-undang Darurat.

14...Malah beberapa pimpinan Pas yg menentang gabungan PAS-UMNO ketika itu terutamanya Nik Aziz mula menunjukkan sikap memberontak dalam perikatan gabungan PAS-UMNO, menetang setiap arahan dan perlaksanaan kemajuan yg dilakukan BN di Kelantan.

15...Pemberontakan dalaman ini memungkin barah berlaku dalam BN, hasil ketiadaan disiplin pemimpin PAS ini, telah menyebabkan UMNO terpaksa membuka tali yg mengabungkan PAS-UMNO.

16...Rentetan dari itu juga menyebabkan Krisis dalaman PAS yang kepada perpecahan PAS pada beberapa parti serpihan seperti Berjasa dan Hamim.http://www.blogger.com/img/blank.gif

17...Keluarnya PAS dari gabungan BN-UMNO, telah menyaksikan satu PRK Kelantan diadakan pada Mac 1978.

18...Pada PRK mac 1978,rakyat menjadi gempar setelah pekong yg selama ini disimpan oleh beberapa pimpinan Pas diantaranya Nik Aziz ketika itu terbongkar, apabila isu pemberian kontrak balak diberikan sewenang-wenangnya membuktikan bahawa PAS cuba menggadaikan Negeri Kelantan.

Arn Ron

Sumber : klik di sini.