Friday, July 31, 2009

Sah Melayu Berentap Melayu


Saya di Kuala Lumpur sejak Selasa lalu, Aktiviti di Kuala Lumpur berjalan seperti biasa. Hari ini (Jumaat) polis telah mengadakan sekatan jalanraya di beberapa jalan masuk ke bandaraya Kuala Lumpur sebagai langkah menghadapi rancangan pihak yang merancang untuk mengadakan demonstrasi anti dan pro ISA Sabtu ini. Tidak kelihatan sebarang tanda-tanda menghalang perhimpunan dilakukan kecuali kesesakan kenderaan di beberapa tempat. Walaupun Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein telah memberi amaran polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang menyertai demonstrasi untuk berarak ke Istana Negara esok ianya hanya tinggal arahan belaka. Kedua-dua pihak nampaknya ghairah untuk turun esok.

Sebelum kedua-dua team pro dan anti ISA ini turun dibeberapa lokasi esok adalah lebih molek jika baca dulu 2 artikel di bawah ini yang berkaitan dengan ISA.

klik dan klik.

Bagi golongan anti ISA atau mansuh ISA nampaknya bersungguh-sungguh untuk turun ke gelanggang esok. Mereka beranggapan setelah desakan mereka memansuhkan PPSMI berjaya maka mereka mencuba taktik yang sama untuk memansuhkan ISA pula. Melihat kepada kecenderungan kerajaan yang agak lembut buat masa ini, maka kumpulan pro ISA turut akan turun padang untuk sama-sama menghantar memorandum ke Istana Negara. Tujuannya adalah bagi membuktikan sebahagian rakyat masih memerlukan ISA atas tujuan keselamatan dan keamanan negara.

Kesungguhan kedua-dua pihak boleh dilihat melalui iklan-iklan di blog atau website kedua-dua penentang dan penyokong ISA. klik dan klik

Jadi atau tidak perhimpunan esok? Masih adakah penyokong dan penentang ISA hendak mendengar nasihat perdana menteri kita atau mereka akan mempersetankan sebarang nasihat daripada sesiapa pun. klik

Amir Hamzah
Kuala Lumpur
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, July 27, 2009

Antara Yasmin , Nik Aziz Dan Anwar......



Ketiga-tiga nama di atas adalah antara nama yang masyhur diperkatakan orang tentang kehebatan masing-masing. Cuma bidang mereka berbeza. Yasmin adalah pengarah tersohor tanah air yang baru saja meninggal dunia sementara dua orang lagi itu adalah pemimpin tersohor juga di pentas politik negara.

Marina Mahathir mengecam keras akhbar Kosmo! kerana mendedahkan latar belakang pengarah terkenal Yasmin Ahmad yang sejak lahir dikenali sebagai Zulkifli.
Menyifatkan akhbar dalam kumpulan Utusan Melayu Bhd itu sebagai "makhluk yang hina", aktivis wanita itu berang dengan media berkenaan yang melaporkan pengarah itu sebagai seorang naib juara bintang RTM pada 1975 dan penyerang bolasepak Melaka pada zaman persekolahannya sewaktu dikenali dengan nama asalnya.

"Malangnya terdapat makhluk hina yang dipanggil Kosmo! yang mengaibkan nama baiknya (Yasmin). "Remuk perasaan keluarganya," kata Marina. "Yasmin belum lama disemadikan dan Kosmo! telah mula menerbitkan bermacam-macam sampah mengenainya.

Kalau tidak ada pendedahan daripada Kosmo ini saya sendiri pun tidak tahu mungkin juga beribu-ribu pembaca Kosmo hari ini pun baru tahu. Saya pun tidak tahu tujuan sebenar pendedahan oleh Kosmo. Bagi mereka yang berotak berniaga, tentu tersenyum lebar kerana Kosmo hari itu laris macam goreng pisang panas. Dari segi hukum, saya menyerahkan kepada Allah s.w.t kerana Allahyarham pun sudah meninggal dunia. Biarlah Allahyarham berurusan dengan Allah s.w.t kerana dalam pengetahuan saya yang cetek, memang wujud golongan khunsa di kalangan manusia.

Saya ingin memperkatakan tentang sumbangan Allahyarham semasa hidupnya terhadap industri seni tanah air. Apabila kita memperkatakan Yasmin kita akan teringatkan iklan Petronas ketika menjelang Hari Raya yang disampaikan melalui pelbagai mesej. Selalunya mesej yang ingin disampaikan adalah mengenang budi dan jasa kedua ibu bapa, mesej pengorbanan dan kesetiaan dan tidak kurang juga mesej perpaduan.

Yasmin tak perlu jadi pemimpin politik untuk mengajar rakyat Malaysia bersatu padu, Yasmin tidak perlu berpidato mengajak rakyat Malaysia berfikir sebagai seorang Malaysia, cukup sekadar hasil kreatif beliau yang memupuk perasaan berkasih sayang antara kita rakyat Malaysia tanpa sempadan kaum. Semangat kenegarawan yang beliau cetuskan dalam iklan kemerdekaan beliau itu akan sentiasa segar mengajar kita apa itu erti perpaduan. - komen sdr Nordin seorang sahabat dalam forum Kelab chedet.

Pemergian Yasmin, seorang pengarah yang mengangkat perfileman negara mutakhir ini bersama kontroversinya tersendiri, ditangisi oleh tokoh politik, penggiat seni dan peminatnya. Filem-filemnya Sepet, Gubra dan Mukhsin cukup terkenal, termasuk di di luar negara dan menggondol beberapa anugerah di beberapa festivel filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes.

Dalam waktu yang sama, pentas politik negara tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Walaupun ada reaksi positif yang melihat kenyataan Menteri Besar Kelantan Nik Aziz yang sedia melupakan sengketa antara kerajaan negeri itu dengan Persekutuan dan perselisihan UMNO dan PAS semasa bertanding pada pilihan raya kecil Manek Urai demi perpaduan Melayu dan Islam, tidak kurang juga yang sinikal atau sangsi.



Sebab itu semasa di Uganda, Dr Mahathir dilaporkan sebagai memberi ingatan kepada UMNO agar berhati-hati menerima kerjasama yang ditawarkan oleh Nik Aziz bimbang nanti parti itu akan terjerat dalam permainan politik PAS. "Saya tahu kerana saya sudah melalui pengalaman ini. Dalam skim FELDA kita masukkan orang UMNO, dan selepas pemimpin PAS (allahyarham Tan Sri Asri Muda) jadi menteri yang bertanggungjawab hal ehwal FELDA, semua orang FELDA cenderung menentang kita. Sebabnya mereka kempen untuk PAS dan bukan untuk kerajaan," katanya

Pandangan yang sama juga dilontarkan oleh Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Datuk Mohamad Aziz yang menasihati pemimpin UMNO agar jangan melayani kenyataan yang dibuat oleh Nik Aziz kerana tidak diketahui apa niat sebenar kenyataan tersebut dibuat. “Kalau ada yang bertanya komen, jawablah kita nak dengar lagi dari Nik Aziz sendiri apa yang dia maksudkan, jangan terus kita komen kerana berdasarkan pengalaman kita, banyak kenyataan yang dibuat semuanya penuh muslihat dan helah politik,” ujar beliau.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee pula dalam komennya yang disiarkan melalui blog UMNO Cheras mengingatkan UMNO supaya jangan terlalu beria-ia dengan Nik Aziz untuk berbaik dengan Kerajaan Pusat dengan melupakan sengketa lama. Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan itu juga sebelum ini dilihat tidak konsisten kearah penyatuan umat Islam sebaliknya lebih mementingkan agenda politik bersama pakatan pembangkang.

Tidak sampai sehari, Nik Aziz telah mengiakan pandangan-pandangan orang kebanyakan tentang kenyataannya itu. Nik Aziz main wayang lagi. Perkembangan terbaru ini mengundang kenyataan Muhyiddin bahawa agar pemimpin-pemimpin UMNO tidak lagi memberi respon kepada sebarang kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ini kerana katanya, dalam soal hubungan dengan UMNO, pendirian Menteri Besar Kelantan itu daripada segi rekodnya sering berubah-ubah. Mungkin itulah yang terbaik memandangkan Nik Aziz memang ‘tak berahi’ dengan UMNO’ malah dah suruh ‘UMNO pergi jahanam’. Muhyiddin dilaporkan berkata, penafian Nik Aziz mengenai kesediaan kerajaan PAS Kelantan mengadakan hubungan dengan UMNO bukanlah yang pertama dan ia ibarat satu putaran - agendadaily.com

Bagaimana pula dengan Anwar Ibrahim? Adakah Anwar mempunyai misi yang sama dengan Nik Aziz. Setakat ini Anwar dan Nik Aziz mempunyai agenda yang selari. Kedua-duanya mengejar dan mengekalkan kuasa. Anwar mengejar jawatan Perdana Menteri dan Nik Aziz berusaha mengekalkan jawatan Menteri Besar. Kenyataan-kenyataan mereka berdua tidak nampak langsung ke arah perpaduan kerana jikalau isu perpaduan ini diwar-warkan mereka akan kehilangan status sebagai penasihat dan ketua, suara mereka menjadi lemah dan lebih penting hasrat dan impian mereka menguasai negara ini hanya akan menjadi impian sahaja.



Mereka tidak suka kepada idea perpaduan ini walaupun akar umbi penyokong mereka mahukan kepada perpaduan bangsa dan lebih penting adalah perpaduan ummah. Saya rasa seluruh rakyat faham tentang situasi politik semasa. Ketika Pakatan Rakyat sedang berada dipuncak adalah rugi bagi mereka untuk bercakap soal perpaduan.

Yasmin sudah meninggal dunia. Jika ada kesilapan dan kebaikkan itu adalah urusannya dengan Allah. Tidak ada faedahnya untuk kita memperkatakan hal orang yang telah meninggal dunia kecuali perkara-perkara kebiakan yang telah ditaburkan semasa hayatnya. Yang boleh mempunyai peluang untuk kita mengubah ialah tingkahlaku orang-orang yang masih hidup yang sedang menyalahgunakan kuasa dan pengaruh.

Amir Hamzah
Kuala Lumpur
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, July 25, 2009

Melayu Boleh Bersatu Jika.............





Saya rasa tertarik dengan pendapat bekas tokoh UMNO, Tan Sri Sanusi Junid yang berpendapat orang Melayu tidak akan bersatu atas dasar parti sama ada antara UMNO dengan PAS sebaliknya boleh berbuat demikian atas ancaman lain.

Apakah yang dimaksudkan dengan ancaman lain itu? Beliau mengambil contoh ancaman Inggeris mahu menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946.Semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu serta ulama bersatu untuk menjaga maruah dan bangsa Melayu. Pertubuhan-pertubuhan Melayu Negeri-negeri juga bergabung dibawah kepimpinan Dato' Onn dengan menubuhkan PEKEMBAR di Istana Besar, Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Mungkin inilah perpaduan Melayu yang pertama selepas kejatuhan Melaka pada 1511. Perpaduan Melayu yang merentasi semangat kenegerian yang tebal dan dialek yang menyebabkan Malayan Union dibatalkan. Pada 1 Februari 1948 Malayan Union dibatalkan secara keseluruhannya dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Hebatnya perpaduan Melayu ketika itu.



Peristiwa 13 Mei 1969 juga menyaksikan perpaduan Melayu tercipta semula. Menurut bekas Setiausaha Agung UMNO itu, selepas tragedi 13 Mei, PAS sanggup bersama-sama UMNO kerana khuatir ancaman kaum lain untuk mengambil alih negara ini. Sedangkan sebelum itu kata beliau, PAS tidak mahu menyertai UMNO kerana menganggap parti itu seperti tong najis dan sesiapa yang sudah masuk ke dalamnya tidak akan bersih walaupun dicuci berkali-kali.

Kalau mengikut pendapat TS Sanusi itu, adakah selepas pilihanraya ke 12 lalu, Melayu masih tidak terancam? Kalau Malayan Union dan kekalahan besar Parti Perikatan tahun 1969 dikatakan ancaman, mengapa pilihanraya ke 12 yang menyaksikan 5 Negeri terlepas ke tangan pembangkang masih tidak dianggap ancaman kepada politik Melayu? Apakah orang Melayu mahu ancaman yang lebih besar atau setelah kehilangan segala-galanya baru hendak bersatu?

Perkembangan politik Melayu abad ke 21 menyaksikan bahawa orang Melayu sendiri ingin menjatuhkan kuasa politik Melayu. Orang Melayu tanpa segan silu boleh menggundi calon DAP bagi mengalahkan calon Melayu daripada parti lain. Sedangkan terang-terang parti itu bukan untuk membela Melayu dan Islam tetapi memperkudakan orang Melayu untuk melaba kuasa. Liberalisasi politik Melayu sudah sampai ke syiling dan nampaknya Melayu hari ini lebih rela bertuankan DAP daripada parti yang telah banyak menyumbang dan berjasa kepada orang Melayu. Contoh paling baik ialah di Perak sebelum Perak dirampas semula oleh BN.

TS Sanusi menyimpulkan bahawa “Melayu hari ini sudah boleh terima kekalahan…ini alamat Melayu akan hilang maruah dan hilang kekuatan,” . Pemerintahan 11 bulan MB Boneka menyaksikan Melayu Perak dalam keadaan tertekan apatah lagi Melayu Pulau Pinang yang hidup semakin terhimpit dibawah kerajaan DAP.

Orang Melayu hari ini bukan saja tidak mahu bersatu tetapi sudah tidak lagi berani mempertahankan kedaulatan raja-raja, Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. “Dulu perkara-perkara inilah yang menjadi wadah perjuangan menguatkan Melayu. Sekarang berapa ramai yang sanggup pertahankannya,” soal Sanusi. Beliau mengaitkan perubahan ini dengan sikap ‘kecairan rasa Melayu’ dikalangan orang Melayu di negara ini.

Hari ini kita bergantung kepada NGO-NGO Melayu untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu. Mereka ini lebih bebas bersuara dan suara-suara mereka ini semakin lantang. Mereka sudah menjadi suara pendesak setelah politik Melayu kelihatan lemah. PERKASA antara NGO yang tegas dan bersuara lantang. PERKASA menyalurkan keresahan Melayu akar umbi setelah suara Melayu sudah tidak didengari di saluran politik.

Dalam perkembangan terbaru saya menyambut baik kenyataan Nik Aziz berkenaan perpaduan Melayu dan persaudaraan Islam.Bercakap pada wartawan selepas satu majlis di Kota Bharu Sabtu,Nik Aziz berkata, beliau sedia menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri di bawah PAS dengan kerajaan Pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam. Ikut cakapnya sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah pun menganggap kerajaan Pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha kerajaan Pusat yang akan mengadakan usahasama untuk menganjurkan Kelantan Fiesta 2009 di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Katanya lagi, perselisihan pendapat yang timbul di kalangan pemimpin politik terutama antara UMNO dan PAS sewaktu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai baru-baru ini perlu dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.


Walaupun sedikit prasangka berdasarkan lidahnya yang bercabang, saya terpaksa mengalu-alukan kenyataan beliau ini. Kita tunggu apa perkembangannya selepas penganjuran Kelantan Fiesta 2009 di Kuala Lumpur dan pada 28 hingga 31 Oktober ini di Padang Perdana dan perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke-IV di Kota Bharu. Atau mungkin selepas itu cakapnya berputar semula?

Terbaru.....tak sampai sehari.....

Dah kata…ini maksud sebenar kenyataan Datuk Nik Aziz Nik Mat pasal yang disangka nak hulur salam berbaik-baik dengan UMNO semula.Menteri Besar Kelantan itu petang Isnin keluar satu kenyataan khusus beri penjelasan mengenainya dimana beliau anggap UMNO over react keatas kenyataannya.Katanya beliau tidaklah bermaksud sampai nak rundingan perpaduan PAS-UMNO tapi Cuma untuk baiki hubungan kerajaan negeri dan kerajaan pusat.Kata Nik Aziz pendiriannya menentang rundingan perpaduan tidak berubah.Ini,katanya adalah soal lain.Menurut Nik Aziz beliau mahu kerajaan pusat penuhi tanggongjawabnya pada kerajaan negeri termasuk bayar royalty minyak.Katanya jika demikian beliau sanggup rapatkan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.-27/7/2009 -Agendadaily.



Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, July 23, 2009

Bekas Tahanan ISA Pun Mahukan ISA Dikekalkan.



Siapakah orangnya yang beriya-iya sangat mahukan ISA ini dihapuskan kalau bukan orang yang bercita-cita mahu membuat onar dalam negara. Hasrat mereka agar selepas ini mereka boleh melakukan sesuatu sewenang-wenangnya kerana selama ini ISA mengikat mereka untuk menjadikan negara ini 'bapak mereka' seorang yang punya. Mereka ini lah yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang dapat melihat bahawa ada beberapa perkara yang menghalang mereka untuk berkuasa mutlak apabila kuasa itu ada di tangan mereka.

Antara perkara yang menghalang petualang-petualang ini ialah Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Negara dan juga Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA). Mengapa mereka beriya-iya berhasrat mengadakan satu perhimpunan serta perarakan jalanan menuju ke Istana Negara anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) pada 1 Ogos 2009 ini? Siapakah orang-orang yang berada di belakangnya?

Bagi rakyat jelata mengapa kita harus terpedaya dengan pemimpin-pemimpin yang tamak dan hasad seperti ini. Mengapa kita harus menyokong kepada pemimpin-pemimpin yang mahu negara ini hancur dan musnah? Bukankah ISA ini satu senjata kepada pemerintah menghalang pengaruh komunis, gerakan subversif dan juga pemimpin-pemimpin yang merbahaya kepada keselamatan negara yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan cara hidup? Kenapakah susah sangat kita hendak mengakui bahawa ISA ini sangat berguna kepada kita rakyat jelata yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup.

Lagi pun, apa kena mengena kita dengan ISA ini?. Sebagai rakyat biasa, apa bahaya ISA ini kepada kita? Apakah dengan wujudnya ISA ini menyusahkan sebahagian besar 26 juta rakyat Malaysia? Apakah dengan ISA ini kita sukar dan tidak bebas untuk meneruskan kehidupan? Apakah dengan ISA ini anak-anak kita tidak mendapat pendidikan yang sempurna? Adakah dengan ISA juga rakyat tidak lagi bebas untuk mengamalkan agama masing-masing. Banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh kita kemukakan sebagai seorang rakyat biasa.

Kalau begitu mengapa kita terikut-ikut dengan beberapa kerat orang yang merasakan kepentingan diri mereka terancam dengan ISA sedangkan dengan adanya ISA tidak memberi kesan negatif pun kepada rakyat terbanyak. Kita jangan diperbodoh-bodohkan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang bukan mewakili majoriti rakyat Malaysia. Bagi penyokong-penyokong tegar Pakatan Rakyat tidak bolehkah memilih perkara-perkara yang patut kita sokong dan perkara-perkara yang tidak patut kita sokong.

Semasa Anwar menjadi TPM, pernahkah kita mendengar daripada mulut Anwar tentang cadangan untuk memansuhkan ISA? Adakah Anwar ketika sedang berkuasa tidak ada menggunakan kuasanya untuk menahan seseorang dengan menggunakan ISA. Semasa menjadi Menteri Pendidikan tidak pernahkah Anwar menggunakan kuasanya dengan menukar guru-guru ke kawasan pendalaman kerana tidak selari dengan perjuangan partinya ketika itu? Kalau itu pun dilakukan oleh Anwar, apatah lagi ISA. Bukankah Anwar juga pernah bersubahat dengan ISA sekian lama. Kenapa sekarang baru mahu hapuskan ISA sedangkan ketika beliau berkuasa bukankah lebih mudah kerjanya.

Setelah menjadi ketua pembangkang tentulah dia sedar bahawa ISA boleh menyebabkan dirinya dan rakan-rakan karibnya tidak selamat. Anwar tentunya tidak selesa apabila rakannya Ibrahim Ali berpendapat sebaliknya dan melawan arus dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang.Walaupun pernah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Presiden Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Ibrahim Ali tetap melihat akta itu sebagai satu keperluan.Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ISA masih diperlukan di negara ini dan berikrar akan mempertahankan kewujudan akta itu. "Saya tidak akan menuntut ISA dihapuskan," katanya ketika berucap di Perhimpunan Perkasa Mac lalu.

Kali pertama beliau ditahan di bawah ISA pada tahun 1974 selama 26 bulan dan selepas itu pada 1987 di bawah Ops Lalang, selama dua bulan. "Saya tiada penyesalan ditahan di bawah ISA, malah saya mahu akta dikekalkan. Saya tidak menyalahkan pihak keselamatan dalam penahanan itu... berani buat berani tanggung," Kata Ibrahim, ISA wujud atas alasan yang kukuh dan jika seseorang ditahan di bawahnya, maka pihak yang ditahan itu tidak boleh menyalahkan sesiapa. Ibrahim berkata, beliau bersedia ditahan bawah ISA untuk kali ketiga atau keempat dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu di negara ini.

Ketegasan bekas tahanan ISA yang sekarang ini Presiden PERKASA adalah jelas melalui kenyataan rasmi PERKASA pada 22 Julai 2009:

1. PERKASA amat berasa bimbang dengan situasi semasa apabila satu perhimpunan serta perarakan jalanan menuju ke Istana Negara anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) akan diadakan pada 1 Ogos 2009 ini.

2. PERKASA hormati hak mana-mana pihak tertentu untuk bersuara menuntut Kerajaan mansuhkan ISA walaupun PERKASA tidak setuju apa yang dituntut itu tetapi ianya hendaklah dilakukan dengan cara tidak melanggar undang-undang dan tidak mencetuskan suasana tegang yang boleh menggugat keselamatan masyarakat dan Negara.

3. PERKASA berpendapat dalam isu ISA ini, oleh kerana pihak Kerajaan telah pun membuat kenyataan baru-baru ini berjanji akan mengkaji cara perkemaskan ISA , semua pihak perlu member i ruang dan masa kepada pihak Kerajaan untuk melakukannya.

4. PERKASA berpendapat ISA masih perlu dikekalkan tetapi perlu ada perubahan agar ianya tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bila mereka berkuasa.

5. PERKASA akan menghantar memorendum cadangan-cadangan menambahbaikkan perlaksanaan ISA kepada Kerajaan sekiranya PERKASA berpendapat perubahan yang dilakukan terhadap ISA seperti yang dijanjikan masih lagi ada ruang untuk disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

6. PERKASA juga berharap jika GMI membatalkan hasrat untuk berhimpun dan berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos ini pihak PEWARIS juga membatalkan hasratnya untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan pada tarikh yang sama itu.

7. PERKASA menuntut pihak GMI buat kenyataan umum bahawa perhimpunan dan perarakan ke Istana Negara pada 1 Ogos ini dibatalkan. Jika GMI teruskan juga perhimpunan dan perarakan itu, PERKASA akan menyertai PEWARIS berhimpunan di tempat, waktu dan tarikh yang sama demi pertahankan ISA.

8. PERKASA mendesak pihak PDRM dan Kerajaan mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak-pihak yang menggugat keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan Negara.

Insyallah saya akan hadir menyokong Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan berarak ke Istana Negara seperti kumpulan penentang akta itu, Gerakan Mansuh ISA (GMI) pada 1 Ogos ini.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, July 22, 2009

Bencana Di Malaysia kerana Peliwat Masih Bebas?



Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengah bencana ini boleh dijangkakan manakala sebahagian lainnya tidak. Bencana alam telah berlaku di muka bumi ini sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Namun, kejadian ini akan hanya dikenali sebagai bencana hanya apabila ia melibatkan kehilangan nyawa manusia. Walaupun bencana yang datang meninggalkan kesan yang menggerunkan namun amat penting dan menarik bagi kita mengetahui dan mempelajarinya.



Bencana alam sebahagian besarnya berlaku akibat dari proses semulajadi alam. Namun, dalam keadaan tertentu, bencana alam juga boleh berlaku akibat dari campur tangan manusia. Dalam kes-kes yang lainnya, kesan-kesan dari bencana alam meningkat intensitinya akibat tingkah-laku manusia di dalam alam ini.

Di Malaysia bencana alam jarang berlaku. Walaupun begitu, antara bentuk-bentuk bencana yang kerap direkodkan di negara ini adalah banjir, banjir kilat dan tanah runtuh. Sepanjang sepuluh tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti Tragedi Highland Tower (1993), Tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996), kejadian tanah runtuh di Gombak (2004) dan banyak lagi. Manakala, tragedi hempasan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004 yang lalu merupakan yang pertama kali berlaku dan tidak mungkin kita semua lupakan.

Sejak beberapa bulan terakhir ini, Malaysia kelihatan seperti sebuah negara yang berada dalam zon bencana alam serius. Apa tidaknya, bermula dengan beberapa tragedi tanah runtuh di Selangor, termasuk Bukit Antarabangsa, batuan runtuh di Ipoh, tanah runtuh di Miri, dan banjir besar di beberapa daerah, termasuk di Sabah dan Sarawak. Walhal, Malaysia sebetulnya boleh dikategorikan sebagai negara yang 'hampir bebas' daripada bencana alam.

Malaysia pada umumnya bukan sebuah negara yang bergunung-ganang, dengan ramai penduduk tiada pilihan, melainkan terpaksa tinggal di kawasan pergunungan yang berisiko tanah runtuh. Sungai kita tidak terlalu panjang dan berdataran banjir yang luas sehingga penempatan yang sesuai untuk membina kawasan perumahan amat terhad.

Negara kita juga jauh daripada 'jalur lingkaran api', di mana bencana gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi – berada pada tahap risiko yang sangat rendah. Begitupun, negara kita begitu prihatin dengan rakyatnya yang ditimpa bencana alam.

Penyakit virus H1N1 juga merupakan satu bencana kepada negara. Banyak sekolah sudah ditutup malah Institusi Pendidikan Tinggi juga telah menerima tempiasnya. Selepas H1N1 apa lagi agaknya bencana yang datang.



Selalunya bila berlaku bencana alam atau bencana manusia sering dipersalahkan. Faktor manusia sedikit sebanyak mempengaruhi sesuatu bencana selain ketentuan Allah sejak azali. Saya teringat sejarah ringkas Kemusnahan Kaum Lut A.S yang masyhur itu.



Nabi Lut merupakan anak saudara lelaki Nabi Ibrahim a. s. Baginda menetap di sebuah kawasan bernama Sadum. Kaum Nabi Lut mempunyai sifat yang amat buruk iaitu lelaki memperisterikan kaum lelaki dan perempuan bersuamikan perempuan. Mereka tidak mahu berkahwin dan hanya tertarik kepada kaum sejenisnya sahaja. Oleh itu Nabi Lut diutuskan Allah untuk berdakwah kepada kaum ini. malangnya dakwah yang disampaikan oleh Nabi Lut tidak diterima oleh kaumnya, lalu Nabi Lut berdoa kepada Allah agar menurunkan bala seksaan terhadap kaumnya. Allah berfirman dalam surah Allah-Ankabut ayat 28 yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika Lut berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya kamu benar-benar mengerjakan perbuatan yang amat keji yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun daripada umat-umat sebelum kamu.”Lalu Allah menurunkan seksaan terhadap mereka. Firman Allah dalam surah Hud ayat 82 yang bermaksud :

“Tatkala datang perintah kami, kami jadikan yang tinggi menjadi rendah dan kami jatuhkan batu dari tanah yang keras di atasnya berturut-turut.” Kaum Nabi Lut yang ingkar itu akhirnya ditimpa balasan Allah yang berupa kemusnahan dan kematian yang penuh azab. Bumi bergoncang sehingga runtuh gunung-ganang. Dan da riwayat menceritakan pada keetika itu malaikat mengangkat negeri dan kaum Nabi Lut ke atas kemudian di campakkan semula ke bumi lalu dihenyakkan kemudiannya sehingga ia menjadi tanah yang rendah dan menjadi laut. Begitulah seksaan Allah terhadap kaum Nabi Lut yang suka melakukan hubungan sejenis. Semoga kisah ini menjadi iktibar dan pengajaran untuk manusia.

Lebih molek lagi Anwar Ibrahim jangan berdalih lagi. Minta dan rayu kepada mahkamah supaya dipercepatkan perbicaraan kes liwatnya dengan Saiful Bukhari. Rakyat Malaysia teringin sangat hendak mencari kebenaran dan keadilan.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Tuesday, July 21, 2009

Jawapan Tun M Yang Racist ?


Saya antara ribuan orang yang berpeluang menghadiri Program Wacana: Kedudukan Institusi Beraja Dan Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif 1Malaysia di PWTC anjuran GEMPITA dengan kerjasama UMNO beberapa minggu yang lalu. Tetamu istimewa yang menyampaikan ucaputama adalah mantan Perdana Menteri Malaysia yang dikasihi, Tun Dr.Mahathir b Mohamad. Tajuk Ucaptama Tun Dr M ialah "Dilema Orang Melayu Di Era Liberalisasi Dan Globalisasi".

Seperti biasa, pengerusi majlis membuka kepada hadirin untuk bertanyakan soalan . Seingat saya ada 10 orang dengan setiap orang mengemukakan sekurang-kurangnya 2soalan berpeluang untuk mengemukakan soalan. Dalam banyak-banyak soalan ada seorang pensyarah wanita Melayu yang bertugas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah mengemuka soalan yang menarik malah amat berguna untuk kita berhujah dan menjawab serta mempertahankan hak-hak kita sebagai orang Melayu dan bumiputera. Soalan yang menarik ini dijawab dengan bernas oleh Tun. Malah Tun telah memilih soalan ini untuk diulas di dalam blognya www.chedet.com.

www.chedet.co.cc :

Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.

2. Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).

3. Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.

4. Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.

5. Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.

6. Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.

7. Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.

8. Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.

9. Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.

10. Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.

11. Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?

12. Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).

13. Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada 60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?

14. Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.

15. Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.

16. Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.

17. Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?

18. Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.

19. Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot

Monday, July 20, 2009

Hadiah Dari Seorang Kawan : Ilustrasi Sebuah Jambatan


Ilustrasi Jambatan lurus ini adalah karya sahabat blogger di Batu Pahat. http://rouslenz.blogspot.com. Beliau melukis lakaran ini berdasarkan imajinasi beliau. Saya selalu menulis dan menaruh harapan yang tinggi terhadap jambatan menggantikan Tambak Johor yang telah usang. Lakaran ini adalah khas untuk saya seperti komennya :rouslenz said...,bro amir did asked me to illustrate one...this is for him...

Ilustrasi Jambatan ini adalah berbeza dengan ilustrasi Jambatan-jambatan yang pernah disiarkan di media-media. Terima kasih bro

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Sunday, July 19, 2009

Najib - Muhyiddin Jangan Dengar Laporan Pengampu.



Najib tentunya tidak lupa sejarah apabila beliau hanya menang dengan majoriti 200 undi dalam pilihanraya tahun 1999 bagi Parlimen Pekan gara-gara mendengar laporan 'DS jangan risau, semuanya ok...'. Laporan yang diberikan oleh pengampu-pengampu beliau yang hampir-hampir menjerumuskannya ke lubang neraka politik, sedangkan pemngampu-pengampu dan penjilat-penjilat ini tidak membuat kerja di Parlimen Pekan waktu itu.

Situasi yang sama berulang lagi selepas 100 hari pentadbirannya sebagai PM melihatkan beliau semakin mendapat sokongan daripada rakyat. Kononnya kemenangan tipis PAS (keputusan di mahkamah)sebanyak 65 undi itu ada kaitan dengan sokongan rakyat terhadap dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Najib sehingga Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa BN masih relevan lagi di mata rakyat. Benarkah begitu pada hakikatnya?

11 hadiah yang diberi kepada rakyat sempena 100 hari pentadbirannya itu adakah begitu disenangi oleh rakyat terbanyak? Dasar 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan itu benar-benar sudah difahami dan diterima oleh rakyat? Pemansuhan PPSMI dan rasional pemansuhannya benarkah telah dihayati oleh rakyat dan pendokong tegar PPSMI? Pemansuhan MECD sudahkah dijelaskan kepada rakyat? Biasiswa Nasional dan lain-lain perkara yang masih kabur sememangnya seperti gantung tidak bertali.

Media massa cetak dan bertulis, para blogger pendokong kerajaan serta web site PM sendiri telah memainkan peranan menerang dan menjelaskan. Malangnya bukan semua, khususnya orang Melayu menonton TV, membaca blog di internet atau membaca akhbar khususnya di luar bandar. Mereka lebih suka mengambil jalan mudah dengan hanya menggunakan teknik mendengar seperti mendengar ceramah atau majlis-majlis penerangan berkaitan isu-isu semasa.

Teknik ini digunapakai secara berleluasa dan efektif oleh Pakatan Rakyat. Medium tradisional ini lah yang diapplikasikan oleh Pakatan Rakyat untuk memberi persepsi buruk kepada kerajaan. Pakatan rakyat menggunakan 2 medium sekali gus iaitu medium baru melalui website,blog, facebook dll serta tidak mengenepikan medium lama dan tradisional seperti ceramah dan dialog-dialog.

Pada hari ini apa yang saya perhatikan sama ada menteri, timbalan menteri, ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri atau jentera penerangan parti baik UMNO, MCA dan MIC jarang kelihatan memberi penerangan, penjelasan,dialog atau forum berkaitan dengan dasar-dasar negara di kawasan atau tempat masing-masing. Hari ini, kerajaan sedang diserang kiri, kanan, depan dan belakang. Rakyat amat dahaga penjelasan terperinci sesuatu dasar yang diperkenalkan kerana persepsi rakyat khususnya Melayu merasakan mereka semakin kehilangan hak-hak istimewa mereka.

Mengapa keadaan ini berlaku?. Adakah ahli parlimen dan ADUN kerajaan itu sendiri tidak begitu mahir dengan dasar-dasar kerajaan itu? Adakah mereka ini jenis malas membaca? Adakah mereka ini tidak begitu yakin untuk membuat penjelasan? Apakah yang dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen atau ADUN di kawasan masing-masing jika mereka turun ke padang bertemu rakyat? Sebahagian besar hanya memberi ucapan berkenaan dengan pembangunan, peruntukan yang akan diberi atau membina hubungan baik dengan ahli-ahli parti demi sokongan politik masing-masing.

Saya rasa Najib dan Muhyiddin dalam keadaan sukar untuk menerangkan sendiri kepada rakyat berkaitan dasar-dasar kerajaan malah lebih sukar untuk parti menyerang balas dakyah pembangkang. PM dan TPM sampai bila boleh bertahan jika ahli-ahli parlimen, ADUN atau pemimpin parti buat tidak kisah dengan serangan dan dakyah pembangkang yang tidak putus-putus.

Contohnya dalam kes terbaru kematian pembantu Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock. Pakatan Rakyat sudah melakukan beberapa kenyataan dan tindakan dengan terus membakar ‘kemarahan’ orang ramai berkaitan dengan kematian Teo Beng Hock. Petang Ahad 19/7/2009, pakatan pembangkang menganjurkan satu perhimpunan di Stadium Kelana Jaya bagi membolehkan para pemimpin mereka ‘menyerang’ kerajaan berhubung dengan isu berkenaan. Dalam stadium berkenaan, kain rentang ‘Keadilan Untuk Beng Hock’ banyak digantung d samping sepanduk “MACC murderer” , "dari kematian demokrasi ke kematian Teo Beng Hock – siapa pembunuh” dan "Najib Jawab". Walaupun siasatan polis masih dijalankan, nampun perhimpunan tersebut jelas sudah meletakkan kesalahan kepada kerajaan dan menuduh SPRM bertanggungjawab.

Mereka juga akan kumpul 10,000 tandatangan bagi hantar pestisyen kepada kerajaan desak tubuh Suruhanjaya Diraja siasatan kematian Beng Hock, tuntut Pengarah SPRM meletakkan jawatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Nazri Aziz memohon maaf kerana membuat kenyataan andaian Beng Hock mati kerana jatuh sendiri.

Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dalam ucapannya berkata akan cadangkan kepada mesyuarat Exco Selangor untuk beri saraan hidup kepada teman wanita Beng Hock dan bayi yang lahir dari hubungan mereka (anak luar nikah). Beliau juga kata, pembangkang tidak akan terima jika siasatan dapati Beng Hock bunuh diri dan tegaskan pembangkang tidak akan benarkan SPRM siasat mana-mana orang pembangkang sebelum kes kematian Beng Hock selesai.

Bagaimana pula bilasan daripada pihak pemerintah? Ini bukan tugas PM dan TPM sahaja. Ini adalah tugas bersama semua pemimpin kerajaan dan pemimpin parti keseluruhannya. Pemimpin peringkat pusat, negeri dan bahagian-bahagian yang beribu jumlahnnya. Jangan hanya memberi laporan semuanya ok Datuk Seri, Jangan risau Tan Sri semuanya beres dan terkawal sedangkan mereka hanya berpeluk tubuh dan tidak bekerja untuk PM dan TPM. Awas dengan laporan pengampu dan penjilat politik sebegini.

p/s Utusan Malaysia 20 Julai 2009
'Kenapa penyokong pembangkang tidak boleh sabar? Sepatutnya berilah ruang supaya siasatan dijalankan. Sekarang belum apa-apa lagi sudah buat tuntutan dan perhimpunan'
-Ibrahim Ali-Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

'Tindakan membuat tuntutan dan melemparkan pelbagai tuduhan adalah tidak menghormati undang-undang'
-Osman Abu Bakar-Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, July 18, 2009

Bila Dah Bersara, Baru Tak Nak ISA.



SINTOK 17 Julai - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan diganti dengan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.

Beliau berkata, ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan."Oleh itu, akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja dan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya.

Menurut Abdullah, untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru. "Saya percaya kerajaan perlu berani melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara," ujarnya. Jelas beliau, ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

Amir Hamzah :

Soalan saya yang pertama, mengapakah semasa menjadi PM dari 2003 - 2008, Pak Lah masih menggunakan ISA dan tiada cadangan untuk memansuhkannya keluar dari mulut PM sendiri?

Seandainya Pak Lah masih menjadi PM sehingga sekarang adakah Pak Lah akan mengeluarkan cadangan penghapusan ISA?

Cadangan asal penghapusan ISA datangnya daripada Zaid Ibrahim. Beliau juga mengusulkan Akta Suruhajaya Perlantikan Kehakiman. Permintaan Zaid dan Gerakan agar ISA dihapuskan telah dipandang sepi oleh Pak Lah waktu itu sehinggalah beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Demokrasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Ada beberapa perkara penting yang disebut dalam ucapannya.

1. Mencadangkan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh. undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.

2. ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.

3. Melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara.Ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

Jikalau Pak Lah seorang yang perihatin mengapa tidak laksanakan perundangan baru itu ketika beliau mempunyai kuasa tetapi apabila kuasa sudah tidak ada baru hendak cadangkan idea baru menggantikan ISA. Ini tidak adil untuk Najib dan Muhyiddin kerana pemimpin yang sedang berkuasa sekarang sangat memerlukan ISA demi keselamatan rakyat teramai dan negara sepertimana beliau berkuasa dahulu.

Persepsi negatif itu datangnya daripada pemimpin pembangkang bukan daripada rakyat. Pemimpin pembangkang mahu ISA ini dihapuskan supaya mereka lebih bebas membuat huru hara dan kacau bilau dalam negara. Majoriti rakyat mahukan keamanan dan kestabilan sebab itu rakyat berpendapat ISA adalah satu cara untuk menjaga keselamatan negara. Rakyat yang menyokong ISA dihapuskan adalah rakyat yang telah dihasut oleh pemimpin-pemimpin yang mahu ISA dihapuskan.

Kenyataan Pak Lah itu seolah-olah menyokong desakan pembangkang bahawa skop akta itu terlalu besar sehingga kerajaan telah menyalahgunakan kuasa menahan musuh-musuh politik mereka. Adakah penahanan ISA terhadap orang-orang politik ini dilakukan secara sewenang-wenangnya. Mengapa Pak Lah menggunakan ISA untuk menahan 5 orang pemimpin Hindraf semasa pemerintahannya. Adakah penahanan mereka itu kerana politik atau kerana keselamatan negara?

Bagi rakyat biasa, Secara umumnya, ISA menghalang apa-apa pengapian kepada keganasan, mencegah pengingkaran kepada undang-undang atau kepada apa-apa perintah yang sah, menyekat penyebab kepada pecah keamanan, atau mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan, menghalang intrumen yang boleh mendatangkan mudarat kepada kepentingan negara, ketenteraman awam atau keselamatan Malaysia.

Melihat kepada perkembangan yang berlaku di Thailand, Pakistan , India dan terbaru pengeboman 2 hotel terkemuka di Indonesia ,rusuhan dan demontrasi boleh mengancam keselamatanan negara . Undang-undang apakah yang boleh digunakan oleh negara berkenaan untuk mententeramkan negara dalam masa yang singkat. Disebabkan ISA sudah ada, walaupun tujuan asalnya membendung kegiatan subversif dan komunis tetapi perangai dan tingkahlaku komunis masih diamalkan di kalangan rakyat Malaysia. Wajar benarlah ISA ini dikekalkan.

Bagi pejuang-pejuang hak asasi manusia yang melihat bahawa undang-undang ini zalim dan tidak berperikemanusiaan saya ingin bertanya adakah mereka memperjuangkan hak bagi kelompok yang kecil atau kelompok yang ramai. Adakah kerana hendak menyelamatkan beberapa kerat yang membuat onar kepentingan yang ramai dipinggirkan. Apakah hak golongan rakyat yang lebih ramai untuk menikmati hak keamanan dan keselamatan dinafikan.

Kepada mana-mana pemimpin politik baik pihak kerajaan atau pembangkang. ISA adalah senjata ampuh yang berkesan untuk membendung sesuatu kegiatan yang merbahaya yang boleh mengancam keselamatan negara. Oleh itu sesiapa sahaja yang akan memerintah Malaysia, BN atau Pakatan Rakyat, ISA ini wajar dikekalkan.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, July 16, 2009

Chua Jui Meng ' Mangsa ' Terbaru Anwar.


Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Ji Meng dipercayai akan melompat parti untuk menyertai PKR di satu majlis hujung minggu ini.Chua telah memanggil mesyuarat tergempar MCA Bakri malam ini di mana beliau dijangka melepaskan jawatan ketua bahagian berkenaan.(16/7/2009)

Berita terkini,
Desas desus mengatakan Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng nak meletak jawatan sebagai Pengerusi MCA bahagian Bakri nyata betul.Khamis malam beliau buat pengumuman itu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA bahagian Bakri,Johor.

Namun yang lebih hangat menjadi spekulasi ialah apakah bekas Naib Presiden MCA ini nak sertai PKR. Ini yang membuatkan sidang akhbar berkenaan yang diadakan selepas pertemuan tertutup dengan penyokong-penyokongnya selama sejam di dewan bangunan pejabat MCA itu menarik perhatian ramai.

Dari nada cakapnya semasa menjawab soalan wartawan mengenai hal itu,Chua memberi indikasi beliau akan tetap kekal dalam MCA. Katanya desas desus kononya beliau menyertai pembangkang bukan kali pertama. "Dalam pilihan raya umum lalu saya ditawarkan bertanding sebagai calon parti pembangkang, tetapi saya menolaknya,"ujarnya.

Kata Chua beliau tetap berpegang kepada matlamat perjuangannya yang terkandung dalam manifesto semasa bertanding untuk jawatan Presiden MCA pada tahun 2005 dan 2008 lalu akan terus diperjuangkan sekalipun tidak lagi memegang jawatan dalam parti.
Beliau menyerahkan tugas memimpin bahagian itu yang disdandangnya sejak tahun 1988 kepada Timbalan Pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan. "Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya," katanya.

Berita terbaru :
Chua Jui Meng dijadual hadir di satu forum anjuran PKR di Hotel Sunway Resort petang Sabtu.Datuk Seri Anwar Ibrahim tulis dalam blognya bekas Naib Presiden MCA itu akan buat satu 'pengumuman khas' di situ.-17/7/2009

Amir Hamzah :

Bukan menjadi suatu yang rahsia lagi. Chua Jui Meng sah letak jawatan Pengerusi MCA Bakri dan tindakannya itu disusuli dengan spekulasi kemasukannya ke dalam PKR. Tidak menghairankan kerana PKR adalah tempat berhimpunnya orang-orang yang kecewa dengan politik parti masing-masing. Sebelum ini orang yang kecewa dalam UMNO Zaid Ibrahim sah menyertai PKR , sekarang bekas orang kuat MCA pula menyusul.

Kemasukan mereka digembar-gemburkan seolah-olah mereka akan masuk membawa beribu-ribu penyokong masing-masing. Selepas kemasukkannya beberapa bulan berita mengenainya akan hilang dibawa angin bayu. Tambahan lagi, Chua, 64, bekas menteri kesihatan dan seorang peguam, mengetuai bahagian Bakri sejak 23 tahun yang lalu, apa lagi cerita politik yang hendak diperjuangkan oleh Chua setelah lebih 23 tahun mendapat keistimewaan daripada kerajaan.

Kekecewaan beliau ada kaitan dengan kehampaan beliau dalam politik MCA. Beliau yang pernah bertanding jawatan timbalan presiden MCA tetapi tewas kepada Datuk Seri Ong Ka Ting pada 2005 dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008 antara ramuan kekecewaannya.

Sepatutnya, setelah mengecapi keistimewaan yang lama bersama MCA dan sumbangannya yang besar kepada parti tidak dicacatkan dengan kemasukkannya ke dalam parti lain , apatah lagi parti yang ingin disertainya seperti PKR yang tiada prinsip perjuangan. Mungkin parti ini pernah dicercanya ketika beliau di dalam kerajaan, tapi kali ini menjilatnya semula. Sewajarnya Chua bersara dengan aman seperti pemimpin-pemimpin MCA sebelum ini. Tidak ada apa yang boleh dibuatnya dalam umur se tua 64 tahun itu.

Kekalutan dalam kepimpinan MCA Bakri menyebabkan Parlimen Bakri jatuh kepada DAP sementara 2 DUN di dalam Parlimen tersebut turut tumpas. DUN Sungai Abong jatuh kepada PAS sementara DUN Bentayan kepada DAP. Pencapaian terburuk politik di Parlimen Bakri ketika Jui Meng menjadi pengerusi MCA di situ. Tidak hairan jika MCA 'dibungkuskan' dalam pilihanraya ke 12 lalu kerana mempunyai pemimpin-pemimpin seperti ini, telunjuk lurus, kelingking berkait.

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dijangka menggunakan kemasukan Jui Meng ke dalam PKR untuk meningkatkan sokongan kepada gabungan pembangkang yang kini berdepan dengan krisis dalaman dan kebangkitan semula BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri baru. Saya berpendapat tidak ada apa yang boleh disumbangkan oleh Jui Meng sekadar menghimpun lebih ramai mulis-muflis politik di dalam parti itu.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, July 15, 2009

Janji Nik Aziz Lebih Ummp Dari Janji Muhyiddin




Pilihanraya kecil Manek Urai sudah pun melabuhkan tirainya dengan PAS mempertahankan kerusi dengan majoriti 65 undi. Walaupun menang dengan perbezaan 1 undi sekalipun ianya akan dikira menang. Tahniah kepada kedua-dua parti yang bertanding kerana berjaya menabur banyak janji-janji duniawi dan ukhrawi. Manek Urai yang menjadi Kota Metropolitan sepanjang tempoh berkempen kini kembali sepi. Tiada lagi kelibat pemimpin-pemimpin, tiada lagi sorak sorai para penyokong dan ceramah-ceramah sudah tidak kedengaran lagi.

Tinggal lah penduduk-penduduk Manek Urai yang ditatang selama 8 hari, kini menunggu lagi janji-janji pilihanraya yang entah kan dapat entah kan tidak. Sudah ada kata-kata, jambatan yang dijanjikan tu boleh lah mintak kepada pihak yang menang. Kalau begitu gigit jari lah penduduk-penduduk Manek Urai nak dapat jambatan baru yang menghubungi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru. Disebabkan BN kalah kita yang di luar Kelantan tertanya-tanya, jadi atau tidak Manek Urai hendak dijadikan kawasan agropolitan. Dengar cerita jika BN menang Manek Urai akan dijadikan anak angkat kerajaan persekutuan. Begitulah antara harapan-harapan yang diberi.

Setelah berhempas pulas penyokong dan pengerak kedua-dua parti akhirnya ketentuan Allah juga yang paling tepat. Walaupun sebelum pilihanraya kedua-dua parti yang bertanding berkeyakinan penuh untuk menang. Sewajarnya mereka layak membuat andaian begitu kerana dengan majoriti yang kecil membuktikan persaingan yang sengit untuk pilihanraya kali ini.

N41: MANIK URAI (12,293)

KEPUTUSAN

1.MOHD FAUZI ABDULLAH (PAS)…….. 5,348
2.Tuan Aziz Tuan Mat (BN)………. 5,283


Jumlah mengundi………………. 10,631
Peratus………………………… 87%
Undi rosak…………………….. 117
Majoriti……………………….. 65

Penyandang: Ismail Yaacob (PAS)
Undi diperolehi………………..5,746
Majoriti:……………………..1,352

Seperti biasa, bagi menutup malu kemenangan yang dulunya majoriti 1352 menjunam hingga 65 undi, penasihat pilihanraya PAS Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengakui terdapat pengundi yang terpengaruh dengan tawaran dan janji yang dibuat oleh BN. Beliau mendakwa, BN membuat tawaran yang berbentuk ugutan,dan berunsur rasuah.

Bagaimana pula janji-janji yang ditaburkan oleh Nik Aziz? Apalah sangat janji-janji pembangunan Barisan Nasional jika dibandingkan dengan jaminan dan janji syurga kepada penduduk Manek Urai, sekiranya mengundi Pas. Sentimen Nik Aziz yang begitu kuat di sini dikatakan sukar ditembusi oleh gerak gempur BN. Saya ingin bertanya rasuah mana yang lebih hina dengan membawa pembangunan yang pasti ada dengan dijanjikan perkara-perkara yang belum pasti? Mana yang lebih menarik? Janji pembangunan atau janji masuk syurga? Sudah tentu janji masuk syurga berjaya memikat hati penduduk Manek Urai kerana ianya kekal abadi. Jadi rasuah PAS nampak lebih power.

Kalau hendak baca post mortem pilihanraya Manek Urai ianya mudah diperolehi daripada blog-blog politik dengan pelbagai andaian dan pendapat. Setiap orang khususnya penduduk Manek Urai sendiri boleh membuat post mortem berkenaan kemenangan PAS dan kekalahan BN. Bagi saya walaupun hari ini BN yang diwakili UMNO hanya tewas dengan 65undi sahaja ianya adalah gula-gula untuk BN/UMNO. Kemungkinan untuk mendapat pelbagai projek pembangunan membuatkan mereka tertarik. Tidak mustahil pada pilihanraya ke 13, mereka akan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dengan undi majoriti yang lebih banyak.

Ada yang berpendapat, slogan one Malaysia, slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, pemansuhan PPSMI, 11 hadiah istimewa sempena 100 hari pentadbiran sebagai perdana menteri bukan lah sesuatu yang membahagiakan semua rakyat, malah ada yang melihat sebagai gimik semata-mata. Tidak nampak ketara lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan slogan 'rakyat didahulukan' itu. Kalau ye pun, kemerosotan undi PAS ini berkemungkinan datang daripada kelemahan PAS sendiri. Pengundi atas pagar dan pengundi tidak berparti mula meluat dengan kerjasama Pakatan Rakyat yang melibatkan PAS, sokongan kumpulan orang muda yang jemu ditipu Anwar Berahim juga menjadi faktor penyebab kemerosotan majoriti kemenangan PAS.

Suka atau tidak ,janji syurga Nik Aziz tetap menjadi pilihan ramai. Janji Muhyiddin tentang pembangunan bukan sesuatu yang boleh membuat'small swing, big impact'di Manek Urai.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Sunday, July 12, 2009

Manek Urai : Seronoknya Kalau Ada Pilihan Raya Kecil.


Apabila seseorang wakil rakyat meninggal dunia tentulah akan diadakan pilihanraya kecil seperti mana yang berlaku di Kuala Terengganu ,di Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai dan Manek Urai kecuali Permatang Pauh dan Penanti. Semua pilihanraya kecil ini dimenangi oleh Pakatan Rakyat kecuali di Batang Ai. Maksudnya pengundi Semenanjung tolak BN dalam setiap pilihanraya kecil. Pengundi Sarawak tetap menolak PKR kerana walaupun mereka bercawat seperti yang dikatakan oleh Hadi Awang tetapi fikiran mereka tidak berkarat. Mereka tidak mahu berketuakan seorang peliwat.

Sebab itu, 11 hadiah Najib sempena 100 hari beliau menjadi PM kebanyakkannya adalah untuk penduduk Sabah dan Sarawak. Rakyat Semenanjung jangan cemburu kerana BN hari ini memang bergantung nyawa dengan kerusi-kerusi Parlimen daripada Sabah dan Sarawak. Walaupun mereka masih lagi ketinggalan dalam banyak perkara terutama sekali kemudahan asas dan pendidikan mereka tetap setia dan yakin kepada BN. Jangan hina mereka seperti Hadi menghina mereka. PAS dan Pakatan Rakyat semakin jauh dihati mereka atas penghinaan itu. Kerajaan BN seharusnya membalas jasa-jasa kesetiaan mereka daripada menumpukan kepada negeri-negeri pembangkang yang liat dan degil.

Pilihanraya Manek Urai tidak memberi harapan yang tinggi kepada calon UMNO yang mewakili BN. Walaupun calon BN yang dikatakan begitu rapat dengan pengundi Manek Urai tetapi parti yang diwakilinya bukan pilihan pengundi Manek Urai dalam pilihanraya yang lepas. Sentimen Nik Aziz juga begitu tinggi di sana. Betapa tidaknya, dengan melihat gambar Nik Aziz pun sudah dapat pahala.

Bila tiba musim pilihanraya kecil maka berbondong-bondong pemimpin-pemimpin politik datang bertandang. Tanpa mengira parti datang menabur janji. Ada janji kebendaan dan ada janji-janji syurga. Duit datang tak terkira banyaknya. Pembangunan dijaja melata-lata. Tetapi semua itu hanya bila tiba musim pilihanraya. Sebelum ini hendak mintak ganti bumbung surau pun payah tetapi bila musim pilihanraya sebut saja hendak ganti surau yang hampir roboh, peruntukan masjid pula yang diberi. Mintak apa saja, inilah masanya.

Kalau kerajaan Persekutuan menggunakan kemudahan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri pun sama juga. Habis segala kenderaan diguna ke hulu ke hilir. Dulu mengata orang, tapi sekarang dia pula yang lebih. Sama saja rupanya kalau mereka ada kuasa.
Pengundi Manek Urai sedang memerhati gelagat mereka. Nik Aziz sudah mengajar pengundi di Manek Urai, kalau BN bagi kain ambik, bagi gula ambik, bagi beras ambik, bagi duit ambik, bagi pembangunan ucap terima kasih tetapi undi belum tentu.

Kalau melihat pembangunan dan janji yang datang mencurah-curah sesekali terfikir bilakah agaknya pilihanraya kecil hendak berlaku di kawasan kita. Bukan hendak mendoakan wakil rakyat kita cepat mati tetapi seronoknya menerima habuan pilihanraya. Sekarang ini bukan main susah hendak dapat peruntukan, masjid tempat saya sudah memohon masjid baru 10 tahun dulu kerana uzur masih tidak berganti lagi. Agaknya kalau lah ada pilihanraya kecil sudah tentu dapat masjid baru yang diumumkan oleh Perdana menteri sendiri.

Agaknya di Manek Urai, nasib BN sama kah dengan nasib di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau?. Berapa juta nilai pembangunan yang ditabur di tempat-tempat tersebut? Berapa pulak janji-janji yang akan tertunai walaupun BN kalah di situ? Adakah pembangunan meterial semata-mata yang rakyat mahukan? Tidakkah BN mahu belajar daripada kehendak majoriti pengundi di kawasan-kawasan pilihanraya sebelum ini?

Sebelum saya akhiri tulisan saya, mari kita fikir-fikirkan puisi di bawah ini :

Melayu Hari Ini ? by Someone

Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Terengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh, pusat pemulihan, dulu di Pudu
Dan di jalan, lumba haram, rempit tak berlampu
Dan di selekoh duit rasuah depa pun sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu

Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika, Metro pasal cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Berpusu-pusu pergi tengok pamiran hantu
Sambil makan junk food, kuaci dan muruku
Sibuk bercerita tentang Datuk K dapat bini baru
Apa pakaian Siti nak pakai itu pun nak tahu
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak Melayu masih nombor satu
Asal bergaye sanggup makan nasi dan tokyu

Boleh tak jumpa Melayu di kedai buku?
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada jugak tapi kurang sangat mereka di situ
Kenapa Melayu jadi begitu?
Nak salahkan siapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah Melayu malas selalu
Nak harap Kerajaan saja membantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh siapa dulu
pasal jambatan bengkok atau siapa dia penghulu
Dan suka sangat dengan budaya ampu mengampu

Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa yang maju
Boleh! dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata Nabi ikutlah Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dahulu
tapi apa yang kita tahu, cuma baca bila nak halau hantu!

Kepada pengundi Manek Urai diucapkan selamat mengundi. Tunaikan tanggungjawab sebagai warganegara. Bukankah esok rasuah cuti sudah diberi. Buatlah pilihan yang tepat atas kehendak diri sendiri. Berfikir sejenak mana yang baik dan molek untuk kita.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, July 11, 2009

Hadiah Najib : Macam Piliharaya Dah Dekat.


KUALA LUMPUR 11 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 11 berita gembira untuk rakyat Malaysia sempena 100 hari pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
11 perkara tersebut ialah:-

1. Kadar tol diberi diskaun 20 peratus untuk pengguna yang berulang alik ke tempat kerja menggunakan lebuh raya bertol.

2. 44,000 rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan akan dijual kepada penyewanya.

3. Diskaun 50 peratus untuk pembaharuan lesen peniaga kecil di Wilayah Persekutuan.

4. Lesen untuk pemandu teksi, 7,000 permit teksi individu dan 3,000 lagi akan diluluskan dalam tempoh tiga bulan akan datang

5. Langkah drastik kurangkan jenayah dan perangi rasuah.

6. Pendaftaran kelahiran dipermudahkan terutama di Sabah dan Sarawak.

7. 34,000 permohonan kewarganegaraan 46 peratus selesai dan bakinya hujung tahun ini

8. Kemudahan jalan dipertingkatkan di Sabah dan Sarawak.

9. Bekalan air Sabah dan Sarawak diperluaskan.

10. Amanah Saham 1Malaysia dengan 10 bilion unit ditawarkan.

11. Peruntukan untuk Tekun ditambah RM150 juta dan RM15 juta untuk usahawan muda kaum India.

- Utusan

Amir Hamzah :

Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada PM di atas berita gembira di atas ,khususnya bagi penduduk-penduduk di Lembah Kelang , Sabah dan Sarawak. Sudah sewajarnya mereka mendapat hadiah tersebut disebabkan permasalahan yang berlaku di tempat masing-masing dan ianya perlu disegerakan.

Walau bagaimana pun saya mempunyai beberapa cadangan tambahan kepada PM mungkin boleh difikirkan sebagai hadiah genap SETAHUN beliau menjadi PM untuk mengumumkannya.

1. Amalan rasuah perlu dihapuskan ke akar umbi. Jadikan ia satu 'jihad' memeranginya. Peranan dan kuasa SPRM diperluaskan. Jihad Rasuah untuk orang politik, sektor perkhidmatan awam, sektor swasta dan rakyat keseluruhannya.

2. Perbaiki, perbetul. susun semula, dan buat apa saja bagi meningkatkan kualiti Perkhidmatan Awam setiap peringkat, kementerian dan jabatan. Apa guna sebuah kerajaan yang baik, tetapi pelaksana dasar yang lemah, lembab, lemau, penuh birokrasi ,rasuah, tidak amanah dan tidak setia yang akhirnya menjadi beban kerajaan untuk berhadapan dengan rakyat. Kualiti perkhidmatan awam perlu dipertingkatkan daripada ketua pengarah hingga kepada tukang sapu.

3. Setelah PPSMI dimansuhkan apakah dasar yang lebih baik untuk pelajar-pelajar cemerlang dalam PPSMI supaya mereka ini tidak terbantut, malah terus cemerlang dengan dasar yang baru. Kita juga ingin melihat satu dasar bahasa kebangsaan yang mantap sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. DBP dan pejuang bahasa perlu menyahut cabaran ini. Kita juga ingin melihat usaha-usaha pemantapan P&P Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di sekolah-sekolah sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa ke dua.

4. Dasar-dasar membantu kedudukan ekonomi dan pendidikan orang Melayu khususnya di luar bandar perlu dipertingkatkan lagi. Orang Melayu luar bandar masih jauh ketinggalan sedangkan mereka ini setia dan memberi sumbangan undi yang besar kepada kerajaan. Hak-hak istimewa orang Melayu jangan ditarik balik tetapi perlu dipelihara kerana memang hak orang Melayu yang sudah termaktub di dalam perlembagaan.

5. Berusaha dengan lebih giat mendisiplinkan rakyat Malaysia, menangani gejala sosial secara bersungguh-sungguh dan memberi peluang lebih luas kepada remaja dan belia untuk meningkatkan potensi diri disamping merapati golongan ini melalui pelbagai agensi.

6. Teruskan usaha untuk menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan.

Terima kasih


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Friday, July 10, 2009

Hari Ulang Tahun Tun Dr M yang ke-84!


Hari ini saya berpeluang menghadiri Program Wacana: Kedudukan Institusi Beraja Dan Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif 1Malaysia di PWTC anjuran GEMPITA dengan kerjasama UMNO. Tetamu istimewa yang menyampaikan ucaputama adalah mantan Perdana Menteri Malaysia yang dikasihi, Tun Dr.Mahathir b Mohamad.

Saya pergi bersama rombongan 20 orang pemimpin-pemimpin masyarakat daripada Batu Pahat termasuk blogger Kuntong, OTAI Batu Pahat.

Tajuk Ucaptama Tun Dr M ialah "Dilema Orang Melayu Di Era Liberalisasi Dan Globalisasi".

Sebelum Tun menyampaikan ucaputamanya, satu majlis ringkas telah diadakan iaitu majlis memotong kek sempena ulangtahun Tun Mahathir yang ke 84.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT HARI JADI kepada Tun. Semoga Tun sentiasa berada dalam limpah rahmat Allah s.w.t. Selamat berbahagia untuk Tun berdua.

Selepas ucaputama Tun, satu sessi soal jawab telah dibuka kepada para hadirin. Saya antara beberapa orang yang beratur untuk bertanyakan soalan. Disebabkan saya tidak boleh berdiri lama kerana menunggu giliran menyoal dan menunggu jawapan Tun saya terpaksa duduk semula.

Saya bercadang untuk menyoal soalan ini tetapi tidak kesampaian....

'Dua orang Perdana Menteri selepas Tun telah menggagalkan 2 perkara yang diasaskan di zaman Tun. Tun Abdullah sebaik saja menjadi PM telah membatalkan projek Jambatan Bengkok menggantikan Tambak Johor. DS Najib pula dalam tempoh 100 hari menjadi PM telah memansuhkan PPSMI. Apakah perasaan dan komen Tun berkaitan perkara ini?'

Agak-agaknya apakah jawapan Tun ye?

Amir Hamzah
Kuala Lumpur
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, July 9, 2009

Alasan Kerajaan Mansuh PPSMI : Guru Sabotaj?


Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

"Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.

Amir Hamzah :

Kalau begitu ulasannya tujuan, matlamat, prinsip dan konsep PPSMI tidak ada masalah. Statistik yang diberi menunjukkan bahawa perlaksanaannya yang bermasalah. JPN, PPD, Pengetua dan guru-guru PPSMI yang mempunyai masalah tersendiri.
1. Kursus e-tems kepada guru-guru PPSMI agaknya tidak mencukupi.

2.'Buddy surport system' di sekolah tidak mendapat kerjasama daripada guru-guru Bahasa Inggeris yang berkelayakan bagi membantu guru-guru PPSMI yang lemah dalam Bahasa Inggeris.

3. Elaun tambahan 5% dan 10% kepada guru-guru PPSMI di sekolah rendah dan sekolah menengah sepatutnya digunakan untuk mengambil kelas-kelas BI swasta bagi guru-guru yang tidak fasih telah digunakan untuk membayar ansuran kereta baru.......hehehe

Berdasarkan statistik di atas jelas menunjukkan kelemahan Kementerian dan Jabatan Pelajaran yang tidak bersungguh-sungguh memastikan kejayaan PPSMI yang menelan belanja yang bukan sedikit. Kalau itu statistiknya usaha apa pun yang dibuat oleh kerajaan akan dibuat sambil lewa oleh penjawat-penjawat awam. Sebelum kerajaan membuat sesuatu perkara pastikan pembuat dasar atau penjawat awam dibetulkan suisnya terlebih dahulu. Jika tidak, ianya akan membazirkan DUIT RAKYAT.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI : Idea Baik, Perlaksanaan lemah.


Setelah 6 tahun perlaksanaannya iaitu bermula tahun 2003, akhirnya kabinet mengambil keputusan memansuhkannya dan matapelajaran Matematik dan Sains kembali diajar dalam Bahasa Melayu berkuatkuasa tahun 2012. Ketika membuat pengumuman itu Muhyiddin tidak pula menyebut tentang cadangannya agar Bahasa Inggeris dijadikan syarat wajib lulus bagi mendapatkan sijil SPM.

Ini bermakna selain pemansuhan PPSMI, cadangan lulus Bahasa Inggeris untuk dijadikan syarat mendapat sijil SPM juga berakhir tanpa sebarang perbincangan. Kita pun tidak tahu tentang pro dan kontra dari pandangan rakyat ketika Muhyiddin membuka pintu perbincangan tempoh hari. Bekemungkinan bilangan rakyat yang menentang lebih ramai membuatkan Muhyiddin tidak ada mood untuk memperkatakannya.

Bagi Tun Mahathir, orang yang mencetuskan idea PPSMI ini dikhabarkan tidak gembira dengan keputusan kabinet ini, sedangkan Muhyiddin dan pegawai-pegawai Kementerian pelajaran sudah memberi taklimat kepada Tun. Tun menganggap ia akan menjejas masa depan anak-anak, sekaligus menjadikan mereka mangsa kepada keputusan kerajaan itu.

Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa pemansuhan PPSMI adalah selaras dengan hasrat 1Malaysia iaitu 'rakyat didahulukan'. Tentangan terhadap PPSMI ini secara rasminya bermula selepas Tun Mahathir meletakkan jawatan dan bersara. Ianya adalah tentangan berterusan daripada pejuang bahasa, pembangkang dan bagi pihak UMNO sendiri. Ianya lebih galak selepas pembangkang memenangi banyak kerusi parlimen dan menguasai 5 negeri dalam PRU yang lepas.

Malangnya pemansuhan PPSMI ini tidak pula cuba untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sekolah-sekolah kebangsaan akan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah-sekolah SRJK (C) dan SRJK(T) akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Jika benar ianya adalah selari dengan slogan 1Malaysia adalah lebih molek Kementerian Pelajaran mencadangkan matapelajaran Matematik dan Sains di ajar dalam Bahasa Melayu juga. Sepatutnya begitulah kerana kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disamping ke arah perpaduan nasional melalui satu bahasa.

Malah cadangan yang lebih drastik dan kontroversi sudah kedengaran tentang cadangan 1Malaysia 1 Sekolah dan 1 Sukatan Pelajaran yang sama di seluruh negara. Tun Mahathir pernah membawa idea ' sekolah wawasan ' tetapi bukan sahaja tidak mendapat sambutan malah ditentang khususnya daripada NGO's Cina seperti Siqui. Hasrat untuk mewujudkan hanya satu aliran persekolahan di negara ini masih jauh untuk dicapai.

Bagaimana pula cadangan kerajaan untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah? Setakat hari ini, pencapaian subjek BI khususnya di kawasan luar bandar masih ditakuk lama. Pemansuhan PPSMI perlu diganti dengan Kaedah pengajaran dan pembelajaran BI yang lebih mantap, menarik, berkesan bagi mencapai hasrat setiap rakyat sekurang-kurangnya menguasai kemahiran bertutur 2 bahasa. Penggunaan teknologi komputer dan internet dalam mempelajari bahasa wajar diperluaskan bagi menarik minat pelajar-pelajar. Semasa pengumuman semalam, Muhyiddin turut memberitahu bahawa seramai 13,933 guru BI ditambah termasuk 1,000 dari luar negara dan 600 guru bersara.

Berbalik kepada pemansuhan PPSMI, Muhyiddin menegaskan, kerajaan mengambil keputusan memansuhkan PPSMI selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar terbabit mula diperkenalkan pada 2003. PPSMI menunjukkan dasar itu tidak pernah dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Maksudnya kelemahan bagi pihak guru kerana mereka melaksanakn PSMI/BM, di mana guru mengajar matapelajaran Sains dan matematik masih mengajar secara campur aduk dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Bagi pelajar luar bandar khususnya yang lemah dan sederhana masih menjawab soalan dalam Bahasa Melayu walaupun soalan dalam Bahasa Inggeris disediakan.

Walau apa pun, bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Mungkin kata-kata Muhyiddin menjadi sedikit penawar kepada penyokong dan pendokong PPSMI yang berjuang sejak 6 tahun lalu - Bahasa Melayu dimartabat, Bahasa Inggeris dimantapkan.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Tuesday, July 7, 2009

100 hari : Najib Belajarlah Dari Sejarah Bapanya.



Allahyarham Tun Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976. Pada ketika itu dalam tempoh sebulan corong-corong radio dan kaca televisyen menyiarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran untuk Perdana Menteri ke dua ini. Tidak cukup dengan itu, ucapan-ucapan keramat bapa pembangunan ini di siarkan dan diperdengarkan berulang kali untuk didengari oleh rakyat jelata. Begitulah penghormatan yang diberikan kepada negarawan ulung ini setelah beliau meninggal dunia yang melihatkan negara berkabung
7 hari sebagai tanda sedih kehilangan negarawan yang tiada tolok bandingnya berjasa kepada negara.

Terlalu banyak jasa Allahyarham kepada negara dan orang Melayu khususnya. Ada 2 jasa besar yang tidak boleh tidak untuk dikenang iaitu Dasar Ekonomi Baru (1970) dan pembukaan Tanah Rancangan FELDA yang hari ini(7Julai 2009) disambut sebagai 'Hari Peneroka'. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 21 Jun 1970 adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi dengan menjadikan matlamat utamanya:

Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum

Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua merupakan pemangkin Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB mempunyai kerangka waktu 20 tahun dari 1970-1990 merumuskan bahawa ekuiti bumiputera dalam negara harus mencapai 30% di akhir tempoh itu.

Allahyaraham Tun Abdul Razak sedar masyarakat Melayu jauh ketinggalan dalam kemajuan sosio-ekonomi. Oleh itu Allahyaraham Tun Abdul Razak berupaya meningkatkan taraf hidup golongan luar bandar melalui Rancangan Buku Hijau (1974) serta pembukaan tanah melalui FELDA dan FELCRA. Rancangan-rancangan ini benar-benar membantu masyarakat Melayu memutuskan rantaian kemiskinan.

Antara institiusi yang paling penting hasil dari DEB ialah ' Federal Land Develoment Authority' (FELDA), suatu badan yang membuka tanah dan mengagihkannya kepada rakyat untuk tujuan pembangunan. Program ini sehingga hari ini dikenali sebagai program reformasi tanah yang paling besar dan berjaya di dunia dan seterusnya menjadikan Malaysia pengeluar terbesar getah dan minyak kelapa sawit.

Hari ini, anak sulong Allahyarham, Najib Tun Razak telah menjadi Perdana Menteri ke 6yang mewarisi kepimpinan yang lemah sehingga BN gagal mendapat kemenangan 2/3 dalam Dewan Rakyat. Peristiwa yang sama telah dilalui oleh ayahandanya di mana Parti Perikatan gagal mendapat kemenangan 2/3 dalam pilihanraya 1969. Tambah parah apabila berlaku rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang hampir-hampir meruntuhkan Malaysia.

Apakah tindakan Tun Razak dalam keadaan politik yang tidak stabil itu? Adakah Tun Razak mengikut telunjuk kaum-kaum pendatang dan parti pembangkang kerana Perikatan ketika itu berada dalam kedudukan yang lemah? Tidak! sebaliknya Tun Razak telah membuat satu iltizam. Iltizam utamanya sebagai Perdana Menteri ialah menangani ke peringkat akar umbi sebab-musabab yang menyumbang kepada rusuhan kaum. Ada dua sebab utama yang menjadi punca ketegangan kaum iaitu kemiskinan orang-orang Melayu serta rapuhnya perpaduan kaum. Menyedari hakikat ini, Allahyaraham Tun Abdul Razak telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukun negara.

Apakah Najib belajar daripada tindakan bapanya 39 tahun dahulu? Nampaknya Najib tidak seberani bapanya yang bingkas balik mempertahankan hak-hak bangsanya yang termaktub dalam perlembagaan tetapi sebaliknya Najib seolah-olah tunduk dengan desakan dan tekanan politik dalam negara sehingga beliau membuat beberapa keputusan yang merugikan orang-orang Melayu.

Apakah sumbangan Tun Razak kepada orang Melayu selain daripada DEB dan FELDA?

1.Tun Abdul Razak sebagai Menteri Pelajaran telah merombak sistem pelajaran penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Maka terhasil lah Penyata Razak 1956.

2.Tun Abdul Razak berjaya menyatupadukan sistem pelajaran untuk membina satu bangsa yang bersatu padu dengan harapan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan menjadi bahasa penghantar utama.

3.Tun Abdul Razak yang mempunyai pengalaman dalam peperangan gerila dan mengenali taktik pengganas komunis telah melancarkan gerakan anti-komunis dengan jayanya sehingga 'darurat', iaitu satu tempoh 12 tahun memerangi pengganas komunis disytiharkan tamat pada tahun 1960.

4.Ketika sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, selama 10 tahun memegang potfolio itu, Allahyaraham Tun Abdul Razak telah berjaya membasmi buta huruf di kalangan tiga juta rakyat yang kebanyakkannya Melayu.

5.Allahyaraham Tun Abdul Razak juga merangka program pembangunan luar bandar dengan menangani masalah kemiskinan apabila menitik beratkan penambahan prasarana asas luar bandar serta mempertingkatkan produktiviti pertanian. Sebanyak tiga juta ekar padi, kelapa dan pelbagai tanaman lain diberikan kemudahan tali air manakala 800 000 ekar hutan telah dibuka untuk pembangunan. Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap keperluan negara, yang dikenali sebagai 'Buku Merah'.

6.Allahyaraham Tun Abdul Razak juga bertanggungjawab menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan nama, Parti Perikatan.

Sekali lagi saya bertanya, Adakah selepas keputusan pilihanraya 1969 yang menyebabkan kemerosotan prestasi perikatan, Tun Razak telah mengadaikan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu semata-mata hendak menarik sokongan pengundi bukan Melayu kepada Perikatan semula?

Berbeza dengan Najib, walaupun baru 100 hari menjadi Perdana Menteri banyak tindakannya yang mengguris hati dan perasaan orang Melayu. Najib harus sedar beliau bukan sahaja Perdana Menteri Malaysia tetapi adalah presiden UMNO, Parti yang mmperjuangkan nasib orang-orang Melayu.

Penghapusan Kementerian Usahawan dan Koperasi (MECD), Dasar Laberalisasi Ekonomi , Dasar 1Malaysia yang kabur dan Biasiswa Nasional seolah-olah merampas hak-hak orang Melayu yang telah dibangunkan oleh perdana menteri-perdana menteri dahulu. 100 hari Najib menjadi perdana menteri bukan memberikan harapan baru kepada orang Melayu tetapi mimpi ngeri apabila melihat ketirisan demi ketirisan kepentingan Melayu.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com