Thursday, April 30, 2009

PR Bergolak, Tandanya Nak BUNGKUS........


Jika Pak Lah tersungkur kerana gara-gara salah nasihat oleh 'budak-budak tingkat 4', perkara yang sama juga berlaku kepada Pok Nik Aziz yang menerima nasihat yang salah oleh 'budak-budaknya di tingkat 1'. Kalau Pak Lah di tingkat 4 itu adalah menantunya sendiri tapi Pok Nik terpengaruh oleh setiausaha politiknya sendiri.(www.gerakan-anti-pkr.blogspot.com)

Bezanya Pak Lah telah pun diminta melakukan peralihan kuasa kerana pengaruh tingkat 4itu sangat merbahaya kepada parti. Nasihat-nasihat 'budak-budak tingkat 4' itu telah melemahkan parti dan Barisan Nasional sehingga pilihanraya ke 12 menyaksikan keputusan paling buruk dalam sejarah kepada BN. Suka atau tidak, ahli-ahli UMNO telah mencadangkan Pak Lah harus diganti agar tidak menjadi wabak berjangkit yang merbahaya.

Bagi Nik Aziz beliau lebih bernasib baik kerana atas jawatan Musyidur am PAS, beliau kelihatan 'kebal'. Tidak ramai yang boleh menegurnya tetapi amat ramai yang menasihatinya sesuatu yang salah terutama berhubung dengan keinginan Presiden PAS untuk membentuk 'kerajaan perpaduan' yang tidak menjadi. Berjaya atau tidak 'kerajaan perpaduan' itu bukan soalnya kerana jikalau ia menjadikan kenyataan pun akan menimbulkan masalah. Kumpulan 'erdogan' di dalam PAS akan menentang habis-habisan usaha perpaduan dengan UMNO.

Kumpulan 'erdogan' yang proAnwar tentunya tidak mahu Anwar kempunan untuk menjadi PM. Ketika BN terkial-kial menambat hati rakyat semula, kumpulan ini tidak akan melepaskan peluang yang bukan datang selalu. Inilah masanya walaupun Pok Nik yang menjadi penghalang mereka akan berusaha untuk mempengaruhinya. Tugas mereka adalah menghalang kehendak Presiden PAS yang sudah mula condong ke arah bekerjasama dengan UMNO. Hadi tidak berseorangan. Hadi mendapat sokongan penuh daripada PAS Terengganu dan PAS orde lama, ulamak-ulamak , Nik Abduh dan terbaru oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Ustaz Nasrudin Hasan.

Hadi turut mendapat sokongan daripada Ketua Dewan Ulama' PAS, Mohamed Daud apabila beliau berkata, dewan itu tiada masalah menyokong usaha Kerajaan Perpaduan PAS - UMNO "demi kepentingan Islam di samping usaha melaksanakan lunas-lunas Islam." (www./umnogombakselatan.blogspot.com)

'PAS sejak tahun lalu berdepan pergeseran terbuka para pemimpin atasannya - termasuk antara Nik Aziz dan Abdul Hadi - berhubung beberapa isu penting, antaranya muzakarah dengan Umno dan kerajaan perpaduan dengan BN' kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan. Beliau turut menyokong pandangan anak Nik Aziz, Nik Abduh mengenai artikel 'Perkara Bodoh Dalam PAS' yang semakin galak dibahaskan di internet.
Nik Abduh diserang habis-habisan oleh kumpulan erdogan berkenaan isu 'Perkara Bodoh Dalam PAS'.

Jelas sekarang PAS juga terpecah dua. Iaitu "kumpulan Erdogan" yang menentang usaha muzakarah dan kerajaan perpaduan dan satu aliran lagi yang pro-Abdul Hadi, yang mendukung kedua-dua idea tersebut.

Perpecahan yang berlaku di dalam PAS ini mungkin satu bonus kepada BN. Apatah lagi jika Pakatan Rakyat bergolak. Merujuk kepada Pilihanraya kecil Penanti hujung bulan ini menyaksikan berlaku pertelingkahan calon di pihak Pakatan Rakyat. PAS Pulau Pinang membuat keputusan untuk memboikot pilihanraya kecil di Penanti. Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Aminah Abdullah juga menawarkan diri untuk menjadi calon bebas bagi menegakkan keadilan di dalam PKR. Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga akan meletakkan calon bagi kerusi tersebut.

Bekas Wakil Rakyat DUN Penanti, Fairus yang tidak didapati bersalah oleh SPRM meneruskan niat meletakkan jawatan menunjukkan ianya satu perletakkan jawatan yang disengajakan bagi meneruskan siri-siri Pilihanraya kecil yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Selain cuba mengalih pandangan rakyat kepada usaha-usaha BN menangani masalah ekonomi ianya juga bertujuan meneruskan momentum sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. DUN Penanti adalah kawasan yang dijangka menang mudah oleh Pakatan Rakyat. Jelas PRK DUN Penanti adalah sesuatu yang dirancang.

Isu-isu semasa di dalam PAS dan kemelut Pakatan Rakyat membuktikan pakatan ini bukanlah sekuat mana. Apakah jaminan sebelum pilihanraya ke 13 akan datang, tidak ada isu-isu lain yang boleh menggugat keutuhan Pakatan Rakyat? Muktamar PAS Jun ini sekali lagi akan memperlihatkan perpecahan yang ketara di dalam parti itu. Selain daripada pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti kita hendak tengok juga kumpulan Pro Hadi berentap dengan kumpulan erdogan.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

SELAMAT HARI PEKERJA.



SELAMAT HARI PEKERJA 1 MEI 2009 DAN Selamat Hari Jadi kepada isteriku.....

Kejayaan sesebuah negara sebenarnya banyak bergantung pada kualiti sumber manusia. Ini dapat dilihat dari negara yang kekurangan sumber semula jadi, berjaya menjadi negara pengeluar kepada produk berkualiti tinggi. Sebaliknya banyak pula negara yang kaya dengan sumber semulajadi tetapi masih dibelenggu kemiskinan. Perbezaan antara keduanya adalah kerana sumber manusia merupakan penjana, penghubung, penggerak, pelaksana dan penyelaras kepada sumber-sumber lain yang ada dalam organisasi.

Segala kecanggihan teknologi, sistem, dan struktur organisasi belum tentu dapat menjamin kejayaan sesuatu organisasi jika sumber manusia organisasi tidak memiliki ilmu yang mampu bersaing melalui kepakaran yang dikemaskini dan sikap yang positif terhadap kerja.

Kepada isteriku......Semakin kau dewasa, semakin banyak jasa yang ditaburkan. Sesungguhnya jasa mu pada diri ku sangat besar artinya. Lebih besar artinya jika kedewasaan umur mu kau taburkan pada bangsa, agama dan tanah air.

Selamat Hari Bekerja dan Selamat Menyambut Hari Kelahiran yang ke 38.......hehehe


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Tuesday, April 28, 2009

Melayu Didahulukan Perlaksanaan Diutamakan.

Dari sehari kesehari DS Najib menjadi Perdana Menteri satu persatu hak-hak istimewa Melayu terhakis satu persatu. Ke mana arah Najib ingin membawa orang-orang Melayu sangat kabur walaupun 100 hari pentadbirannya semakin hampir. Melayu yang merupakan 60% daripada keseluruhan penduduk Malaysia semakin hari semakin gelisah dengan beberapa perkembangan terbaru.

Di luar kerajaan, Melayu amat risau dengan slogan 'Harapan Baru Rakyat Malaysia' ciptaan Anwar Ibrahim sementara di dalam kerajaan, Melayu lebih-lebih risau dengan slogan 'One Malaysia' ciptaan Najib. Bagi saya kalau ditanya mana satu lebih bahaya kepada Melayu maka saya akan menyatakan slogan 'One Malaysia' sangat merbahaya buat masa ini. Kenapa?

Slogan 'Harapan Baru Rakyat Malaysia' masih hanya satu slogan tanpa kuasa untuk merealisasikannya. Sedangkan 'One Malaysia' bukan sekadar slogan tetapi mempunyai kuasa untuk mengambil sedikit demi sedikit kepentingan Melayu semata-mata untuk berlaku adil kepada semua. Najib semakin liberal, semakin berani untuk berubah dan semakin mengelirukan.

Apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dibubarkan dan kuota saham Bumiputera dihapuskan secara sistematik adakah ini yang dimaksudkan berani berubah. Adakah dengan menghapuskan kementerian tempat berpayung peniaga-peniaga kecil Bumiputera merupakan satu agenda 'one Malaysia'?. Adakah penghapusan kementerian ini atas desakan orang-orang Cina kepada Najib sehingga Najib berasa gentar akan kehilangan sokongan daripada orang-orang Cina?.Mungkin juga ini satu syarat yang diberikan oleh orang Cina yang berbaur ugutan untuk mereka kembali menyokong BN?

Adakah Najib ingin mengembalikan 59% kekalahan MCA dan 67% kekalahan MIC dalam Pilahanraya umum lalu dengan 'membayar' kepada mereka iaitu menerima tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dan menghiris perasaan orang-orang Melayu yang 71% menyokong UMNO dalam pilihanraya yang lepas. MCA bukan sahaja meraih keuntungan pada setiap kali Pilihanraya kecil dengan menerima peruntukan jutaan ringgit tetapi berjaya juga menambah kerusi menteri dalam kabinet baru .

Kemungkinan satu kesilapan dengan menutup MECD. Untuk menghidupkannya balik adalah mustahil kerana ianya akan menurunkan kredebaliti Najib. Tidak menjadi kesalahan untuk beliau mencipta sesuatu yang baru dimana fungsinya adalah sama dengan MECD yang dibubarkan. Buat lah sesuatu untuk menurunkan kemarahan orang-orang Melayu. Dengan kata lain, Najib perlu ganti MECD dengan yang baru supaya peniaga-peniaga kecil bumiputera akan terbela semula. Sehingga kini Najib tidak dapat memberi jawapan jelas mengapa MECD dibubarkan.

Mohd Najib boleh memperluas meritokrasi, mengamalkan liberalisasi dan globalisasi. 60% Melayu bolehkah bersaing jika Najib tidak bersedia untuk membantu dan memberi peluang kepada mereka yang rata-rata daripada golongan pertengahan dan miskin. Bolehkah Najib mencapai Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan kalau 60 peratus rakyat Malaysia tercicir dan berasa kurang yakin dengan nasib mereka sekarang dan pada masa depan?


Buat masa ini Najib kelihatan tidak adil untuk orang Melayu. Setakat ini apakah satu dasar yang memberi keuntungan kepada orang Melayu yang diutarakan oleh Najib? Sepatutnya DEB yang dicipta oleh ayahandanya 40 tahun dahulu perlu dihidupkan balik atau diberi nafas baru. Allahyarham Tun Abdul Razak perkasakan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan ini dengan melancarkan DEB pada tahun 1970. Tun Razak tidak melayan tuntutan orang Cina yang menyebabkan Perikatan kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya 1969.

Najib bukan tidak sedar dengan pencapaian orang Melayu ketika ini terutama dalam kegawatan ekonomi yang datang setiap 10 tahun. Suka atau tidak Najib perlu menjaga 71% orang Melayu yang menyokong BN dengan setia. Jangan takut hendak menolong Melayu kerana memang Melayu berhak unuk mendapt keistimewaan ini yang telah termaktub dalam perlembagaan. Melayu telah dijajah lebih 400 tahun tetapi kita baru merdeka 52 tahun. Najib perlu bantu Melayu kerana Najib PM Melayu. Kenapa hendak buang tongkat dan subsidi Melayu kerana itu memang hak Melayu.

Buatlah satu dasar yang membantu Melayu dalam waktu terdekat ini. Seandainya dalam tindakan beliau itu orang Melayu, kaum-kaum Bumiputera dan Orang Asli yang berupa rakyat majoriti terus miskin dan terpinggir, matlamat Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan mustahil tercapai.

Muhyiddin kejutkan Najib!.

Ingatkan dia banyak benda sudah hilang. Usaha bapanya Tun Razak salama 40 tahun dahulu habis dalam masa sekelip sahaja.Bank Bumiputra sudah tiada,Pernas entah ke mana, UDA pun hidup segan mati tak mahu. MARA di takok yang dulu.Perbadanan-perbadanan Kerajaan Negeri (SEDC ) juga sudah macam biskut, sekejap ada sekejap tak ada.

Kontraktor-kontraktor Melayu tidak berkembang. 20 tahun dulu kelas F sekarang masih lagi kelas F. Masih ditakuk lama. Orang Melayu baik dari Pegawai Kerajaan, guru, Pengulu masih pi mai pi mai tang tu jugak .Tahun 1975 orang Baling memberontak kerana harga getah jatuh.Makan satu kali sehari .Salepas 40 tahun mereka masih lagi menoreh getah.

Najib jangan terlalu mengikut kehendak Cina. Sebelum beliau menjadi PM, Melayu mengharapkan sesuatu daripada Najib dan mereka menaruh harapan tinggi berdasarkan rekod pencapaiannya semasa MB Pahang dan menteri di beberapa kementerian. Ramai berpendapat Najib akan mengikut kalau tidak bertambah baik daripada ayahandanya.
Orang Melayu mahu Najib berlaku adil kepadanya, Satu Malaysia, Melayu Didahulukan dan Perlaksanaan Diutamakan.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, April 27, 2009

Syarat Nik Aziz Macam Syarat Puteri Gunung Ledang.


Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemungkinan terasa tertipu dengan helah PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Hadi mungkin sudah mencium bau bahawa PAS hanya menjadi alat kepada ke dua parti itu semata-mata untuk mendapat kuasa daripada BN.PAS hanya menjadi pemangkin kepada sokongan Melayu sedangkan kedua-dua parti multi racial itu sudah cukup untuk menampung pengundi Cina dan India.

Hadi mungkin baru perasan selepas pilihanraya ke 12 lalu bahawa PAS berjaya memecahkan undi Melayu dan dalam masa yang sama undi Cina dan India menjadi penentu bagi banyak kawasan majoriti Melayu. Kelicikan Anwar yang menjadi master mind semasa pilihanraya ke 12 menyebabkan Pakatan Rakyat mendapat laba yang besar dengan menguasai 5 negeri. PAS mendapat kemenangan mutlak di dua buah negeri Melayu, DAP mendapat kemenangan mutlak di Pulau Pinang. Sementara di Selangor dan Perak adalah kerajaan campuran antara PKR,PAS dan DAP bagi menafikan kekuasaan BN di dua negeri tersebut.

Walaupun di Perak, PAS adalah menteri besar, tetapi semua sedia maklum bahawa Nizar hanyalah MB boneka memandangkan beliau dikeliling oleh 18 ahli DUN DAP termasuk 6 exco kerajaan negeri. Kerajaan Perak boleh dikatakan di dominasi oleh DAP dengan Nizar terkonteng-konteng seorang diri. Melihat keadaan yang meruncing bagi politik Melayu maka terfikirlah di benak kepala Hadi untuk bergabung dengan UMNO yang menjadi musuh politiknya sepanjang zaman.

Namun cadangan KERAJAAN PERPADUAN Datuk Sri Abdul Hadi telah ditentang lantang oleh Mursyidul am Parti Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan alasan beliau tidak mahu sejarah tahun 1973 kembali lagi, di mana parti Pas telah digugurkan dari komponen Barisan Nasional. Sejarah mengajar manusia dan pengalaman pahit itu membuatkan Nik Aziz menjadi serik untuk bekerjasama dengan UMNO. Politik memang penuh dengan tipu muslihat.

Parti Pas dan ahlinya kini berada dalam kekusutan serta terbelit dalam senorio arah tuju masa depan Parti Pas. Apakah makna sebenar KERAJAAN PERPADUAN yang dibawa oleh DS Hadi Awang?. Sebenarnya orang Pas dan juga pemimpin Pas juga tidak memahami apa yang sebenarnya presiden itu perkatakan kerana pemimpin Pas dan orang Pas terlalu sibuk dengan ceramah di sana dan di sini. Jadi mereka sebenarnya tidak memahami jenis-jenis kerajaan dalam ertikata Politik sebenar. Kerajaan Perpaduan yang diperkatakan oleh Presiden Pas itu bukanlah seperti "Coalition Goverment"dimana parti pembangkang dan parti memerintah bersama dalam kerajaan. Maka tersendirinya tiada pembangkang.

Parti pembangkang yang bersama coalition Goverment itu dikenakan beberapa syarat dan sebaliknya pula pada parti pemerintah. Syarat-syaratnya biasanya rapuh dan kerajaan pembentukan sebegini senang tumbangkan dengan undi tak percaya.Tetapi apa yang Presiden Pas mengatakan itu rasanya bukan Kerajaan Campuran tetapi "Unity Goverment" yang perlukan pendebatan.Kemungkinan di masa akan datang Unity Goverment ini perlu diberi perhatian secara mendalam dalan sisitem politik negara.Kerajaan seperti yang ada sekarang "Front Nasional" perlu difikirkan peranan dlam penyatuan orang-orang Melayu. Melayu berada di dua pihak (blog) antara Pembangkang dan Pemerintah yang sukar di persatukan. Ini akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri di masa hadapan yang perlu bergantung kepada undi dari Bukan Melayu. (dipetik dari blog Rajahmas.blogspot.com)


Tetapi benarkah penolakkan Nik Aziz itu disebabkan kerana serik dengan pengalaman pada tahun 1973?. Bagaimana pula dengan pendedahan Nik Abduh anakanda Mursyidul Am PAS mendedahkan konspirasi di sebalik usaha cubaan menjatuhkan Presiden PAS. Nik Abduh mendedahkan konspirasi beberapa pembantu terapat Nik Aziz yang cuba mempengaruhi corak pemikiran Mursyidul Am PAS itu .

Nik Abduh turut berkongsi sebahagian perbualan bersama ayahandanya berhubung konsep gabungan "Unity Goverment" yang melibatkan campuran PAS-Umno yang pernah di cadangkan oleh Presiden PAS. Berdasarkan perbualan Nik Abduh dan Nik Aziz ini tentu kita akan mendapat persepsi yang berbeza dan sudah mendapat jawapannya tentang politik Nik Aziz yang dikatakan tinggi itu.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”


Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini? (http://nikabduh.wordpress.com/2009/04/24/kerja-kerja-bodoh-dalam-pas/)


Saya tertarik dengan syarat Nik Aziz yang diberitahu kepada anaknya itu. Syarat menteri kewangan dan menteri pendidikan jika ingin bersama. Mendengar syarat Nik Aziz teringat saya kepada cerita Puteri Gunung Ledang dengan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka. Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, ialah:

1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
7 dulang hati nyamuk.
7 dulang hati kuman.
7 tempayan air mata anak dara.
7 tempayan air pinang muda.
1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan yang masih kanak-kanak lagi.

Dalam kes ini, siapa yang berhendakkan siapa? UMNO yang mengadap PAS atau PAS yang merangkak berjumpa UMNO?

Bagi saya, kerajaan campuran ke , kerajaan perpaduan ke atau apa saja jenis kerajaan yang hendak dicadangkan jika ianya tidak ikhlas, tidak bersih hati, mempunyai kepentingan ianya pasti akan berakhir dengan kegagalan. Kepentingan agama, bangsa dan negara bukan menjadi pertimbangan utama bagi Nik Aziz. Nik Aziz meletakkan kepentingan diri dan kepentingan parti lebih utama daripada kepentingan umat Melayu dan umat Islam.

Saya percaya UMNO pun tidak terhegeh-hegeh kepada PAS. PAS sudah dikuasai sepenuhnya oleh Anwar Ibrahim. Kumpulan Erdogan yang menyusup di dalam PAS telah berjaya mempengaruhi Nik Aziz dan meyekat Hadi Awang. Selama ini pun, PAS bukan boleh bergerak sendiri, kecuali menguasai Kelantan. Anwar telah membantu PAS menguasai Kedah dan menambah beberapa kerusi Parlimen. Kalau inilah jenis perpaduan yang ingin dimeteri, saya berpendapat UMNO lupakan sahaja.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Sunday, April 26, 2009

Rakyat Berpecah, Pemimpin Berpelukkan.

Bersatu Pertahan Hak Bumiputera

KUALA LUMPUR 26 April - Masyarakat bumiputera diminta bersatu mempertahankan hak dan keistimewaan mereka sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, mereka perlu berani menyuarakan hak dan keistimewaan tersebut supaya kaum lain turut memahami hak tersebut sepenuhnya.

"Kita tidak harus takut dan tidak perlu bimbang mengenai perkara ini kerana kita tidak mengenepikan kepentingan bangsa lain,'' katanya.Beliau berucap pada majlis Makan Malam Penghargaan dan Penyampaian Sijil Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Negara anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan timbalannya, Datuk Fuad Hassan.
Shafie turut meminta masyarakat bumiputera supaya memperhebatkan lagi penguasaan mereka dalam bidang ekonomi dan pendidikan sebagaimana kaum lain."Amat penting bagi kaum bumiputera memperkuatkan azam untuk memperkuatkan lagi kedudukan mereka bukan sahaja dalam politik bahkan ekonomi dan pendidikan,'' ujarnya.

Sementara itu, Ibrahim dalam ucapannya meminta kerajaan supaya menjelaskan konsep Satu Malaysia kepada rakyat jelata dengan lebih meluas. "Perkara ini perlu dilakukan segera kerana ramai yang terkeliru dengan konsep ini dan parti pembangkang pula mengambil kesempatan mengeksploitasinya demi kepentingan politik mereka,'' katanya.

Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Negara telah diadakan di sini pada 22 Mac yang lalu bertemakan 'Pribumi Bertindak Demi Negara' dengan bermatlamatkan memperkasakan maruah agama, bangsa dan negara.



komen amirhamzah64:

Siapakah yang memecahbelahkan bangsa Melayu ini sejak dahulu kala lagi. Rakyatkah atau pemimpinkah. Pemimpin Melayulah yang selalu memecahbelahkan rakyat. Rakyat di bawah hanya mengikut pemimpin di atas.
Pemimpin hilang kuasa, ajak rakyat berdemontrasi, buat rusuhan sana-sini.
Pemimpin hendakkan kuasa, hasut rakyat kerajaan yang ada tidak Islamik, tidak bertamadun ,semua yang dibuat tidak ada satu pun yang betul.
Pemimpin yang hendak kekalkan kuasa, akan berbuat apa saja untuk mengekalkan kuasa termasuk mengamalkan rasuah politik, rasuah projek dan lain-lain yang patut.

Mangsanya adalah rakyat biasa yang menjadi pengikut fanatik. Rakyat di kampung ada yang sampai tidak bertegur sapa kerana taasub dengan seseorang pemimpin. Ada kalanya tidak mahu lagi sembahyang jemaah di surau yang dulunya dibuat oleh datuk-datuk mereka tetapi memilih surau lain dengan jemaahnya sendiri. Paling dahsyat tergamak tidak menyembahyangkan jenazah jiran atau kaum keluarga sendiri kerana berlainan parti.

Dalam waktu yang sama, pemimpin-pemimpin Melayu ini boleh bersalam-salaman di Parlimen, berborak dan minum kopi bersama di coffee house. Boleh lagi telefon sana, telefon sini berbincang mahu atau tidak lompat parti. Kalau mahu boleh cepat di rampas Putrajaya.

Kisah-kisah dulu banyak sudah tertulis di dalam buku-buku sejarah malah difilemkan menjadi filem-filem cereka sejarah. Bagaimana kita hendak mempertahankan hak, jika kita tidak bersatu. Hak-hak istimewa orang Melayu, Ketuanan Melayu, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu pun diperlekeh dan dipersendakan oleh bangsa sendiri.

KALAU MELAYU TIDAK MAHU BERSATU BERSAMA UMNO, PAS DAN PKR. PERKASA LAH PILIHANNYA!


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, April 25, 2009

Taska dan Tabika KEMAS - 'Berani Berubah'


Saya gembira dan bersyukur kerana Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di bawah Kementerian Kamajuan Luar Bandar dan Wilayah yang mengambil inisiatif untuk membantu rakyat khususnya dalam Program Pengasuhan Kanak-Kanak atau lebih dikenali sebagai(Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Program Pendidikan Prasekolah atau lebih terkenal dengan nama (Taman Bimbingan Kanak-kanak(TABIKA).

Saya melihat kepada keperluan TASKA dan TABIKA ini sangat mendesak dan sangat diperlukan oleh ibubapa.Merujuk kepada TASKA, program ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Perkhidmatan TASKA termasuk di bawah Program Kesejahteraan Rakyat (PKR) atau Progrm Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Tujuannya untuk memberi peluang kepada ibu-ibu bergiat di bidang ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup keluarga. Di samping itu juga melalui TASKA, program pendidikan keibubapaan dapat dilaksanakan untuk ibu bapa dan masyarakat

Bagi TABIKA pula ianya untuk memberi bimbingan kepada kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun. Tujuannya ialah untuk menggalakkan perkembangan sosial, emosi, intelek dan fizikal di samping menyediakan asas yang kukuh kepada kanak-kanak sebelum pendidikan formal di sekolah rendah. TABIKA berkonsepkan memberi pendidikan non-formal secara belajar melalui bermain. Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 3M (Membaca, Mengira dan Menulis)

Saya melihat, kanak-kanak yang berumur 4-6 tahun ini di kedua-dua Taman Asuhan dan Taman Bimbingan ini tidak memanafaatkan secara maksima mengasuh dan membimbang kanak-kanak ke arah melahirkan insan yang soleh dan solehah. Kita secara umumnya akan dapat melihat kepada perbezaan pembentukan pendidikan daripada kanak-kanak yang bersekolah di Tabika KEMAS atau mana-mana Tabika Islam yang dianjurkan oleh pihak swasta atau tadika-tadika parti politik.


Saya berpendapat TABIKA dan TASKA anjuran KEMAS ini perlu mengemaskinikan lagi pengisian pendidikan awal kanak-kanak menjurus terus kepada pendidikan dan akhlak Islam. Saya melihat, ibubapa-ibubapa lebih selesa menghantar anak-anak mereka ke PASTI atau Tadika Islam swasta yang lain kerana tadika-tadika ini lebih berjaya membentuk akhlak dan sahsiah anak-anak mereka walaupun mereka terpaksa membayar lebih.

Siapakah yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika KEMAS? Selalunya mereka yang kurang keupayaan dan rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi tiada kos menghantar anak ke Tabika KEMAS. Adakah kerana ianya ditanggung oleh kerajaan maka kita mengabaikan amanah memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak seawal usia mereka. Bagi saya tidak ada pendidikan non-formal dalam mendidik anak-anak ke arah pembentukan insan kamil. Pendidikan awal kanak-kanak perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh supaya akidah dan akhlak Islam betul-betul tertanam dalam hati dan jiwa kanak-kanak Melayu kita.


Pendidikan awal kanak-kanak kita di Tabika KEMAS banyak meniru kepada sistem pendidikan barat maka sudah tiba masanya Tabika KEMAS berani berubah untuk balik kepada sistem pendidikan Islam yang menjadi teras kepada kehidupan orang-orang Melayu. Kebanyakan daripada kita beranggapan, kanak-kanak kecil itu masih hingusan dan tidak tahu apa-apa, masih belum mampu membezakan antara kebersihan dan kotoran (mumayyiz) dan sebagainya. Kanak-kanak pada tahap ini dianggap tidak sesuai untuk diajarkan al-Quran,akidah,akhlak dan tauhid kerana mereka tidak boleh memberikan tumpuan dan akan merosakkan al-Quran kerana mereka lebih suka bermain daripada belajar.

Misalnya Tabika KEMAS boleh menjurus terus kepada pendidikan Al-Quran yang menjadi pegangan hidup orang Melayu. Jangan biarkan anak-anak ini dihabiskan masa untuk bermain dan bermain. Mereka akan terus bermain hingga ke Tahun 1 hingga 6 dan seterusnya terus bermain hingga ke sekolah menengah. Ini kerana minda kanak-kanak ini telah ditanam dengan keseronokan bermain sambil belajar sejak berumur 4-6 tahun lagi. Itulah realitinya apa yang terjadi kepada pelajar-pelajar kita di peringat sekolah menengah.


Saya suka mengambil contoh kepada pendidikan tentang solat dan pendidikan Al-Quran yang perlu ditanam diperingkat umur 4-6 tahun ini. Mentaliti dan paradigma seperti yang ada pada hari ini perlu diubah kerana rakaman sejarah dan penemuan pelbagai bukti, fakta dan teknik terkini menunjukkan bahawa kanak-kanak perlu diajarkan al-Quran ini seawal yang mungkin. Kanak-kanak yang telah dapat membaca al-Quran pasti akan lebih cemerlang dalam pelajaran, berakhlak mulia dan lebih tenang menjalani kehidupan harian.

Al-Quran yang dipelajari bukan sahaja merupakan mukjizat dan perlembagaan hidup agung, malah berperanan penting sebagai sumber dan asas kepada semua ilmu dan kemahiran-kemahiran yang lain seperti membaca Bahasa Melayu dan Jawi. Peringkat awal kanak-kanak merupakan peringkat perkembangan yang berlaku dengan pesatnya, baik dari segi intelek, jasmani, mahupun rohaninya. Kanak-kanak tidak berhenti belajar tentang apa yang berlaku di sekelilingnya dan menjiwai setiap yang mereka pelajari. Inilah masa yang sesuai untuk mengajar, merangsang dan mendidik kanak-kanak dengan al-Quran. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mengajar kanak-kanak bagaikan mengukir di atas batu.

Sebagai seorang Melayu Islam malah sebagai ahli UMNO saya wajar memberi cadangan kepada kerajaan tentang kehendak akar umbi rakyat tentang kecelaruan yang berlaku kepada remaja-remaja masa kini dengan pelbagai masalah sosial. Maka kita perlu mencari puncanya. Salah satu sebabnya ialah silapnya kita mengasuh, membimbing dan mendidik anak-anak kita di peringkat awal.

Antara penemuan dan fakta penting yang telah ditemui oleh pelbagai pakar, khususnya pakar kanak-kanak mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak ini ialah dari segi perkembangan potensi otak manusia pada peringkat kanak-kanak. Peringkat ini merupakan tahap yang paling penting untuk merangsang dan meningkatkan keupayaan otak dan minda agar menjadi lebih cekap dan bijak melalui pelbagai bentuk rangsangan. Salah seorang pakar yang banyak membuat kajian dan percubaan terhadap kecerdasan otak kanak-kanak, termasuk kanak-kanak cacat otak ialah Dr. Glenn Doman. Antara rumusan penting daripada kajiannya dan pakar-pakar yang lain ialah:

1.Tiada ahli sains yang dapat mengalahkan kanak-kanak, dari segi semangat belajar, mengkaji, mencuba dan menyelidik.

2.Kanak-kanak akan lebih gembira jika lebih banyak dan lebih cepat menerima pelajaran. Potensi kanak-kanak membaca sama sahaja dengan potensi bercakap.

3.Kanak-kanak boleh bercakap dahulu kerana kanak-kanak lebih banyak menerima rangsangan pendengaran percakapan.

4.Sekiranya ransangan mata dan telinga sama banyak diterima, pasti kanak-kanak akan dapat membaca juga pada masa kanak-kanak itu dapat bercakap. Walau bagaimanapun kaedah dan suasana pembelajaran yang sesuai diperlukan.

5.IQ akan meningkat dengan pesat bila dirangsangkan dalam peringkat ini dan tidak berkesan lagi bila dirangsangkan selepas peringkat ini.

6.Apa yang tidak diperolehinya semasa kecil, sangat sukar diperolehi apabila ia besar kelak.

7.Pembelajaran pada masa akan datang juga terletak di atas apa yang didapatinya semasa kecil.

8.Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang cacat otak (seperti akibat demam panas) masih boleh dirawati jika sel otaknya dirangsangkan sebelum umur persekolahan.

Berdasarkan pelbagai kajian pakar dan para ilmuan tersebut, adalah amat penting berkenaan dengan pendidikan awal kanak-kanak ini. Jika KEMAS berani berubah saya yakin dan percaya ianya pasti akan memberi keyakinan ibubapa-ibubapa dan masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka ke TASKA dan TABIKA KEMAS. Kasihan anak-anak kita yang sepatutnya mendapat hak untuk mempelajari ilmu agamanya tetapi banyak menghabiskan masa untuk bermain dan menyanyi. Maka saya berkeyakinan jika agama, budaya dan bahasa dapat digarapkan secara bersepadu ,saya yakin dan pasti, 10 atau 15tahun akan datang kebejatan sosial remaja hari ini akan dapat diatasi secara beransur-ansur melalui Nur Islam dan Budaya Melayu yang indah oleh kerajaan yang memerintah hari ini.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Pertahankan Hak Bumiputera!



Kenyataan akhbar
Datuk Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
dikeluarkan di Kuala Lumpur
pada hari Jumaat, 24 April 2009


1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.


Ibrahim Ali
25 April 2009


Ahli PERKASA
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, April 22, 2009

Kenapa Orang Muda Sokong Anwar ?


Ramai yang membuat pelbagai kesimpulan tentang kekalahan 5 negeri disamping kegagalan memperolehi undi majoriti kali ke 2 BN di Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum ke 12. Disamping itu diikuti dengan kegagalan BN dalam siri-siri pilihanraya kecil bermula dengan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Jarang penganalisis tidak mengaitkan faktor golongan muda iaitu dari saluran 4 dan 5 yang lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada perjuangan Anwar Ibrahim.

Kalau UMNO bergantung kepada saluran 1,2 dan 3 iaitu golongan atau kumpulan yang sudah sampai kematangannya maka kumpulan Pakatan Rakyat akan mempengaruhi minda kumpulan golongan muda yang aggresif. Usaha Pakatan Rakyat ini sangat berhasil kerana gerakannya telah bermula pada tahun 1998 iaitu kira-kira 11 tahun yang lalu. Tahun 1998 adalah tahun-tahun demontrasi jalanan atau zaman laungan reformasi yang berjaya menarik ratusan ribu golongan muda berumur 21-35 tahun pada ketika itu.

Saya suka merujuk tahun 1993 hingga tahun 1998 kerana dalam tempoh itu terkandung zaman kegemilangan Anwar di dalam UMNO dan zaman kejatuhannya. Pada tahun 1993, ketika pemilihan UMNO ,bilamana Allahyarham Tun Ghafar Baba ‘secara mengejut’ dikalah oleh Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden. Pada ketika itu gejala politik wang dalam UMNO dikira paling memuncak dalam sejarah pemilihan parti pada tahun tersebut.

Tahun 1998 adalah bencana kepada Anwar kerana pada tahun itu Anwar dipecat bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden UMNO dan juga sebagai ahli UMNO. Malah lanjutan itu Anwar disumbatkan ke penjara Sg.Buluh selama 6 tahun sehingga dibebaskan di era Pak Lah.

Bagi generasi muda yang masih kanak-kanak atau remaja pada tahun-tahun 1993-1998 mungkin tidak tahu sejarah politik Malaysia atau pun belum mengertai apa-apa tentang politik. Mereka belum atau tidak 'hidup' ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Pada waktu itu ramai ‘ orang-orang Anwar’ yang tidak tahu berniaga tiba-tiba menjadi pengerusi syarikat. Bukan satu atau dua malah ada yang beratus-ratus. Saya masih ingat ucapan Zahid Hamidi yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO telah mengkritik kerajaan berkenaan isu-isu kronisme dan nepotisme. Pada keesokkan harinya kerajaan telah menampal di PWTC senarai 366 pengerusi syarikat yang dipegang oleh Zahid. Zahid pada masa itu adalah kroni Anwar Ibrahim.

Bagi generasi muda mungkin tidak tahu tentang ramai yang terhutang budi kepada Anwar gara-gara mendapat durian runtuh melalui pink form . Kementerian mana agaknya yang boleh mengeluarkan pink form saham tu dan siapa pula menterinya kalau tidak Kementerian Kewangan dan Anwar sebagai menterinya. Editor-editor suratkhabar pun cukup sedia maklum tentang tangan-tangan ghaib yang mendominasi kekayaan negara.

Pada hari ini Anwar buat-buat lupa sejarahnya ketika berjawatan dalam kerajaan. Beliau sedar generasi muda tidak tahu sejarahnya dan pengikut setianya sudah lama membutakan mata dan memekakkan telinga. Bagi saya yang hidup di zaman itu hanya tersenyum sumbing apabila Anwar berucap di ceramah-ceramah mengata UMNO parti yang sudah reput,politik wang dan bergemulang dengan kronisme dan nepotisme dan segala macam kebobrokan. Generasi muda terpukau dengan ucapan Anwar sedangkan rasuah politik, kronisme dan nepotisme sangat berleluasa ketika Anwar di dalam UMNO.

Saya rasa saya tidak keseorangan tersenyum. Kemungkinan mereka yang 'kenyang' sewaktu kegemilangan Anwar juga turut tersenyum simpul dengan skrip drama yang dilakonkan Anwar sekarang. Seperkara lagi, generasi muda rasanya tidak sedar hanya beberapa kerat saja pejuang asal reformasi dan Parti Keadilan yang kekal. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Dr Chandra Muzaffar, Ezam Mohd.Nor, Roslan Kassim, Lokman Adam semuanya sudah meninggalkan Anwar. Kalau benar dan jujur perjuangan yang dibawa oleh Anwar mengapakah orang-orang kanan yang mempertahankan Anwar sehingga di tahan ISA sanggup meninggalkan Anwar? Generasi muda hanya tahu pemimpin yang ada sekarang ini tetapi tidak sedar ramai yang telah lari membuat hal masing-masing.

Dr.Chandra Muzaffar dalam satu wawancara di sebuah TV swasta menyatakan bahawa persaraannya daripada politik adalah disebabkan jurang yang jauh diantara prinsip dan kuasa. Apabila belum berkuasa, prinsip ditegakkan dengan begitu ideal tetapi apabila sudah mendapat kuasa, persetankan dengan prinsip. Beliau kini menjadi pensyarah semula sebagai pensyarah sains politik di sebuah universiti tempatan. Generasi muda tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir Parti Keadilan Rakyat.

Siapakah golongan muda yang menjadi pendokong hebat Anwar? Saya merujuk tahun 1993-1998 iaitu tempoh Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Pada masa yang sama kita perhatikan kematangan dan pemahaman golongan muda hari ini ketika tahun 1993-1998.

Jika seseorang itu berumur 35 tahun sekarang, pada tahun 1993 baru berumur 19 tahun dan tahun 1998 berumur 24 tahun. Jikalau berumur 30 tahun hari ini, tahun 1993 baru berumur 14 tahun dan 1998 baru mencecah 19 tahun. Jika generasi muda itu berumur 25 tahun sekarang, tahun 1993 baru tahun 3 sekolah rendah dan tahun 1998 baru menjangkau 14 tahun. Jika tahun ini orang muda ini baru mencecah 21 tahun, tahun 1993baru berumur 5 tahun dan tahun 1998 baru berumur 10 tahun.

Oleh itu saya tidak merasa hairan jika remaja atau golongan muda ini membesar dalam suasana simpati terhadap Anwar. Mereka telah meletakkan Anwar sebagai idola melalui harapan-harapan baru yang mereka fikirkan realistik dan mengikuti peredaran zaman. Mereka juga membesar melalui proses kematangan dengan persepsi buruk terhadap BN yang dipasak setiap masa. Akhirnya dalam masa yang sama, mereka tidak mengizinkan fikiran dan minda mereka untuk mengkaji siapa Anwar sebenarnya.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Apabila Orang Bukan Islam Bertakbir.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohammad Omar begitu bangga memberitahu makin ramai masyarakat bukan Islam bertakbir masa ceramah PAS. "Kini bukan Islam pun sudah mula bertakbir, walaupun sebutannya tidak berapa betul namun mereka sudah positif dengan kalimah ini, Alhamdulillah ia satu kejayaan (dakwah) PAS,” katanya.
Berita ini dipetik dalam Harakahdaily Isnin yang bertajuk ‘ Bukan Islam bertakbir, kejayaan dakwah PAS’

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Takbirrrrrrrrr.....

Kalau difikirkan secara positif, ianya memang satu permulaan yang baik agar bukan Islam lebih mendekati kepada Islam. Mudah-mudahan agar sebutan itu akan benar-benar membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam. Alangkah indahnya jika selepas ini mereka bukan sahaja bertakbir tetapi memakai kopiah putih atau berserban. Begitulah indahnya Islam menerima sesiapa sahaja yang ingin mendekatinya tanpa mengira bangsa, warna kulit dan asal keturunan.

Alangkah baiknya juga, mereka itu akan sama-sama meraikan majlis-majlis maulidurrasul yang sekarang ini masih berlangsung di seluruh negara. Baik di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung masih lagi mengadakan sambutan maulud. Biasanya majlis akan dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, bacaan rawi berzanji serta marhaban dan diakhiri dengan ceramah maulud nabi.

Kalau benar lah mereka yang bukan Islam menyokong perjuangan PAS secara ikhlas datanglah ke majlis-majlis ilmu juga seperti majlis sambutan maulidurrasul, ceramah-ceramah fardhu ain atau kelas-kelas agama yang lain. Jika majlis-majlis seumpama ini turut dibanjiri oleh orang-orang bukan Islam dengan melimpah ruah seperti mana program-program ceramah politik PAS, hari ini juga saya menghantar borang keahlian saya untuk menjadi ahli PAS seumur hidup.

Saya juga berasa amat berbesar hati jika semakin ramai orang-orang bukan Islam akan pergi ke kedai-kedai buku mencari kitab-kitab agama Islam untuk dibaca di rumah. Di samping itu mereka juga akan berebut-rebut membeli buku-buku tafsiran Al-Quran untuk dijadikan bahan perbincangan mereka semasa minum kopi di kedai hailam.

Jika ini berlaku saya tidak menyesal meninggalkan parti UMNO walaupun parti ini banyak berjasa kepada diri saya, keluarga, bangsa dan agama saya. Saya telah memilih PAS, satu parti yang bukan sahaja menjaga bangsa dan agamanya tetapi telah berjaya mendakwahkan orang-orang bukan Islam di seluruh negara dari kalangan Cina, India dan Benggali.

Namun dalam saya menghayalkan yang indah-indah datang pula perasaan jahat seperti kata orang-orang tua, jangan fikir yang baik-baik sahaja fikirkan juga apa yang tersirat. Maka hati saya berdetik, kalau setakat bertakbir oleh golongan bukan Islam pun sudah dikira sebagai kejayaan dakwah PAS maka saya tersenyum sumbing. Saya terbayang tentang saudara-saudara baru yang diIslamkan oleh PERKIM dari zaman Tunku Abd Rahman hingga zaman Taib Mahmud sudah berpuluh ribu orang kesemuanya. Malah ada mereka ini 'lebih Islam' daripada orang Islam PAS atau UMNO. Lihatlah beberapa contoh iaitu seperti sdr Riduan Tee Abdullah dan Sdr Ravi Abdullah. Mereka bukan sahaja memeluk Islam malah menjadi pendakwah yang berjaya.

Saya juga ingin bertanya kepada Cina-Cina dan India-India yang bertakbir itu, tahukah mereka makna takbir yang dilaung-laungkan itu. Allah maha besar! Allah maha besar! Allah maha besar!. Adakah orang-orang PAS memberitahu kepada mereka itu makna sebutan takbir dan memberi sedikit huraian ringkas tentang Allahuakbar itu? Adakah setelah diberitahu maknanya itu maka mereka akan bertakbir juga?.

Jawapannya mereka akan terus bertakbir. Sebab agama mereka tidak ada haram dan halal. Yang ada boleh dan tidak boleh atau baik dengan tidak baik.Ianya tidak menyalahi 'akidah' agama mereka. Bagi mereka tidak salah menyebut kerana mereka bukan memeluk agama Islam.

Bagi mereka yang penting jatuhkan Barisan Nasional. Takbirlah dan bacalah ayat Quran walaupun tunggang langgang asal Melayu PAS tidak lari dari Pakatan Rakyat. Orang Cina akan memberikan gambaran bahawa mereka sudah serasi dengan PAS agar Melayu PAS tidak lari daripada Anwar Ibrahim. PAS pun sudah tidak mementingkan negara Islam dan hukum Hudud. Slogan 'membangun bersama Islam' pun sudah diganti dengan slogan sebuah 'negara kebajikan'.

Bagi orang bukan Islam, mereka sangat takut jika PAS berbaik dengan UMNO. Kalau hal itu terjadi, Pakatan Rakyat akan bungkus bersama-sama dengan harapan baru rakyat Malaysia ciptaan Anwar Ibrahim yang boleh membuatkan mereka sama rata sama rasa dengan Melayu UMNO. Sokong Anwar Ibrahim jadi PM, cita-cita Malaysia Malaysian yang mereka perjuangkan puluhan tahun akan tercapai. Oleh itu hati orang-orang PAS perlu dibelai agar mereka tidak lari kepada UMNO. Kalau dengan takbir boleh ambil hati orang PAS, takbirlah beramai-ramai.

Kemungkinan juga mereka bertakbir beramai-ramai adalah untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana budi baik Nizar Jamaluddin bekas MB PAS Perak telah banyak berjasa kepada mereka. Pemberian hak milik kekal 999 tahun Kampung Baru merupakan satu anugerah yang tidak ternilai harganya. Kalau dengan takbir boleh ambil hati orang PAS, takbirlah beramai-ramai.

Akhirnya siapa yang tipu siapa dan siapa yang belit siapa. Jangan lah buat andaian yang boleh membuatkan orang tersenyum seorang diri. Belajarlah daripada sejarah silam. Jangan cepat sangat bersorak nanti kampung yang tergadai.

Takbir!
Takbir!
Takbir!

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, April 20, 2009

Surat terbuka Mahathir: Jambatan Bengkok


Oleh YBhg Tun Dr. Mahathir Mohamad

Saya menulis surat terbuka ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk sesiapa saja yang ingin membacanya.

Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan, sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya.

Mengenai isu di atas, saya telah menyatakan pandangan saya iaitu Kerajaan Malaysia telah gagal mempertahankan kedaulatan negara. Akibat daripada itu negara mengalami kerugian berbilion ringgit. Wang ini adalah wang rakyat.

Saya juga mahu rakyat faham sikap dan tindak-tanduk Kerajaan Singapura serta dakwaan Kerajaan Malaysia yang ia memberhentikan pembinaan jambatan itu kerana isu undang-undang dan kerana sentimen rakyat yang tidak sanggup menyerahkan ruang udara serta penjualan pasir kepada Singapura, dan ini disalahertikan secara sengaja bahawa rakyat tidak mahu jambatan. Rakyat mahu jambatan tetapi menolak syarat Singapura, kerana ia tidak berasas dan bukan hak Singapura.

Singapura sangat gemar mencetak surat-menyurat antara pemimpinnya dengan pemimpin Malaysia dengan tujuan membuktikan yang ia di pihak yang benar.

Kerajaan Malaysia sekarang percaya bahawa dengan tidak menyanggah kempen memutarbelitkan oleh Singapura, masalah yang dihadapi akan selesai dengan sendirinya. Tetapi ini angan-angan yang tidak akan jadi kenyataan.

Di dalam amalan diplomatik, surat-surat yang ditulis oleh suatu pihak dengan memetik persetujuan-persetujuan lisan yang kononnya dicapai di dalam rundingan tidak rasmi di kalangan pemimpin, adalah tidak sah.

Untuk menjadikan ianya sah, rundingan hendaklah dicatat dan dirakam dengan sempurna, disahkan dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak. Kenyataan yang dibuat di dalam sidang akhbar oleh salah satu pihak tanpa pengesahan pihak satu lagi juga adalah tidak sah.

Encik Lee Kuan Yew, ketika dia menjadi Menteri Kanan Singapura, sangat gemar meminta diadakan pertemuan empat mata tanpa agenda yang sempurna dan kemudian merakamkan hasil pertemuan itu di dalam suratnya sendiri kepada pihak ketiga. (sila lihat Apendiks 1)

Berdasarkan surat-surat itu juga, dia harap rakan sejawatnya akan menyetujui kandungannya dan oleh yang demikian terikat dengan kandungan surat-surat itu. Dia tidak mengambil kira jika catatannya tidak dianggap tepat dan tidak disahkan.

Saya menganggap apa-apa pun yang tidak menepati amalan diplomatik sebagai tidak sah. Tanggapan beliau adalah tanggapan beliau sahaja, tidak Iebih dan tidak kurang. Tindakannya mencetak surat-suratnya sebagai bukti bahawa saya telah bersetuju tidak bermakna sama sekali. Hanya jika saya membalas surat itu dan mengesahkan perkara-perkara tertentu, barulah perkara-perkara berkenaan boleh dianggap benar. Tetapi sama ada ia sah dan kita terikat dengannya, bergantung pada pengesahan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, secara rasmi.

Berdolak-dalik mengenai apa yang disebut “pakej” dan ketidakmampuan mencapai sebarang persetujuan adalah kerana kelulusan yang berasaskan “pakej” tidak praktikal. Jika persetujuan tidak boleh dicapai mengenai mana-mana satu perkara maka persetujuan tidak boleh dicapai bagi semua perkara dalam pakej itu.

Atas sebab inilah yang saya mencadangkan dan Encik Goh Chok Tong bersetuju iaitu kita menyelesaikan perkara demi perkara secara berasingan. Ini siperakukan dan diterima oleh Encik Goh Chok Tong selaku Perdana Menteri melalui surat bertarikh Oktober 14 2002 (sila lihat Apendiks 2) yang antara lain menyebut;

“Pada penghujung pertemuan (di Hanoi) anda berkata kita perlu mencuba menyelesaikan isu air, lagi cepat lagi baik. Saya bersetuju....”

Tetapi di dalam surat yang sama, Encik Goh Chok Tong berkata;

“Oleh yang demikian, saya tidak menjangka menerima surat anda bertarikh 7hb Oktober pada l0hb Oktober di mana anda menyatakan “Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendekatan pakej……”


JAMBATAN

Setelah menolak pendekatan pakej, saya membuat jangkaan yang isu pembinaan jambatan tidak akan dikaitkan dengan sebarang isu lain. Saya menaruh harapan yang sangat tinggi apabila isu pembinaan jambatan disebutkan di dalam surat-surat Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Goh Chok Tong.

Dalam sepucuk surat (sila rujuk Apendiks I perenggan 6) kepada Tun Daim Zainuddin, Lee berkata;

“Mengenai cadangan Mahathir membina Jambatan Tambak, Perdana Menteri saya (Goh) bersetuju dengannya tetapi mencadangkan agar kita tidak merobohkan Tambak Johor.”


Nampaknya rakyat Singapura lebih menyetujui jika kedua-dua jambatan baru dan Tambak Johor ada. Ini tentulah tidak masuk akal kerana cadangan pembinaan jambatan baru adalah bertujuan membuka laluan di antara kedua-dua belah di Selat Tebrau supaya air boleh mengalir tanpa sekatan. Ia bukan bertujuan menambah kapasiti hubungan antara Singapura dan Johor. Jika ini berlaku, ia hanyalah satu kebetulan.

Satu lagi hujah menarik Encik Lee ialah (sekiranya Singapura bersetuju dengan pembinaan jambatan itu);

“Singapura akan menambak laut di sebelah wilayahnya hingga ke sempadan dengan Malaysia.” (rujuk Apendiks 3, surat Menteri Kanan Lee kepada Dr Mahathir bertarikh Sept 8, 2001)

Sempadan antara Singapura dan Malaysia di Selat Tebrau adalah dasar laut yang paling dalam. Bagaimanapun, bagi Tambak Johor sempadannya adalah di tengah-tengah jambatan. Jika Singapura menambak laut di sebelah wilayahnya sehingga ke sempadan, ia bererti hanya laut di sebelah Malaysia akan kekal. Jadi apa halnya dengan konsep sempadan berasaskan dasar laut paling dalam? Dalam surat yang sama kepada Daim (rujuk Apendiks I perenggan 12), Menteri Kanan Lee berkata;

“Saya sentiasa memaklumkan inisiatif saya kepada Perdana Menteri saya. Dia (Perdana Menteri Goh) bagaimanapun, berkata dia menyerahkan hal ini kepada saya sehingga peringkat akhir apabila dia akan mengkajinya dengan teliti sebelum memberi sebarang persetujuan.”

Menteri Kanan Lee juga menulis (Apendiks 1, perenggan 12); “semua nota atau surat yang saya hantar kepada anda dan kepada Mahathir dan sebaliknya perlulah dianggap sebagai Tanpa Prejudis (Without Prejudice) iaitu tidak akan ada sebarang perjanjian sehingga semua perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.”

Jelas bahawa Menteri Kanan Lee tidak diberi kuasa untuk memutuskan apa-apa kerana beliau perlu memaklumkannya kepada Perdana Menteri Goh untuk dikaji sebelum dipersetujui. Jika tidak, maka tidak akan ada sebarang persetujuan mengenai semua perkara sehinggalah diperakui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.

Dalam jawapan kepada cadangan saya agar terminal Keretapi Tanah Melayu dibina di Johor Baru, Menteri Kanan Lee, melalui surat bertarikh 10 Disember 2001 (sila rujuk Apendiks 4, perenggan 10), berkata;

“Saya harap anda juga akan menimbangkan kepentingan jangka panjang dan nilai perkhidmatan KTM. Sejak tahun 1923 kereta api merupakan perhubungan yang sangat berharga …….. Saya rasa mengekalkan hubungan kereta api antara Kuala Lumpur dan Singapura menguntungkan kedua-dua buah Negara……... Bagaimanapun, oleh sebab KTM milik negara anda, Singapura akan mematuhi keputusan anda”.

Dalam surat ini, Menteri Kanan Lee berikrar mematuhi keputusan saya. Namun beliau boleh juga berkata Perdana Menteri Goh tidak bersetuju dan segala surat-menyurat kami adalah tanpa prejudis.

Namun begitu, apabila beliau atau Perdana Menteri Goh Chok Tong dan saya sendiri menurunkan pandangan-pandangan kami dalam bentuk tulisan, ia menggambarkan apa yang kami fikirkan. Tetapi oleh sebab ia dilakukan tanpa prejudis, kami tidak terikat dengan apa yang kami katakan.

Justeru itu, tidak timbul persoalan berdolak-dalik atau memindahkan tiang gol. Kedudukan tiang gol belum diputuskan. OIeh sebab apa yang dilakukan itu berasaskan konsep tanpa prejudis, maka ia tidak Iebih daripada cadangan sahaja.

Dalam surat bertarikh 11 April 2002 (rujuk Apendiks 5) Perdana Menteri Goh menyebut;
“Saya sekarang memutuskan untuk mengendalikan sendiri perbincangan kita mengenai pakej dua hala.”
Sekarang barulah seorang yang berkuasa bercakap (bagi pihak Singapura).

Di dalam apa yang boleh dianggap sebagai komitmen mutakhir, Perdana Menteri Goh menulis (kepada saya):

1. Bridge

“Di antara sebuah jambatan baru bagi menggantikan keseluruhan Tambak, dan yang menggantikan hanya bahagian di sebelah Malaysia, saya lebih suka kepada pilihan pertama.”

“Sebaik sahaja jambatan baru siap, Tambak bolehlah dirobohkan, yang mana saya gembira jika dilakukan selepas tahun 2007.” “Tetapi sekiranya anda mahu menggantikan Tambak di sebelah negara anda dengan sebuah jambatan dengan serta-merta, saya akan menyetujuinya, walaupun pada pendapat saya ini tidaklah ideal.”

Apakah kesimpulan yang boleh kita buat kepada kenyataan ini? Tidak pun disebut mengenai pasir dari Malaysia dan pembukaan ruang udara kepada kapal terbang tentera Singapura. Juga tidak disebutkan tentang nostalgia, hanya keutamaan supaya Tambak dirobohkan selepas tahun 2007.

Sekarang dihujahkan pula bahawa jika Malaysia sentuh paip yang membawa air ke Singapura, ia adalah tindakan perang (act of war). Adakah ini perisytiharan perang?

Peruntukan “Wayleave Agreement” dengan Singapura cukup jelas. Berikut adalah apa yang dipersetujui mengenai paip air;

“That the Licensee (Singapore) shall take full responsibility financially or otherwise for any alteration to the pipeline that may become necessary by reason of any alterations or improvements made or to be made on the Johor Causeway and on receiving not less than six months previous notice in writing from the Licensors (Malaysia) shall thereupon carry out the alteration in accordance with such notice and shall have no claim for any compensation.”

[“Bahawa Pemegang Lesen (Singapura) akan mengambil sepenuh tanggungjawab kewangan atau sebaliknya bagi sebarang pindaan kepada saluran paip apabila ia diperlukan untuk sebarang pengubahsuaian atau pembaikan atau yang diperlukan di Tambak sebelah negeri Johor dan apabila menerima notis bertulis enam bulan sebelumnya daripada Pelesen (Malaysia) akan melakukan pengubahsuaian itu seperti yang disebutkan di dalam notis tanpa sebarang tuntutan ganti rugi.”]

Perjanjian itu tidak menyebut mengenai hak Pemegang Lesen (Singapura) mengingkarinya. Peruntukan “akan melaksanakan pengubahsuaian” (Shall carry out the alteration) sangat jelas dan kuat. Singapura wajib melaksanakan pengubahsuaian itu. Tetapi jika Singapura ingkar, ia mungkin merupakan tindakan perang dan bukan sebaliknya.

Apabila kerja awal pembinaan jambatan dimulakan tidak ada protes dan tidak ada permintaan membeli pasir atau menggunakan ruang udara kita. Sekarang pembinaan jambatan di sebelah wilayah kita pun nampaknya tertakluk kepada syarat kita membekalkan berjuta meter padu pasir kepada Singapura untuk menambak laut dan membuka ruang udara kita kepada jet tentera udaranya. Daripada mana datang semua syarat ini? Apakah kaitan antara perluasan wilayah Singapura dengan kita membina jambatan di dalam wilayah kita sendiri?

Tindak-tanduk Singapura mengaitkan pembinaan jambatan di wilayah kita dengan tuntutan kita menjual pasir dan membuka ruang udara kepadanya tidak berasas sama sekali.

Mengapa Kerajaan Malaysia perlu bersetuju memberi pasir dan membuka ruang udara kepada Singapura, jika tidak terpaksa memberhentikan pembinaan jambatan bengkok di wilayah kita sendiri adalah di luar kemampuan saya memahaminya.

Adalah hak rakyat Malaysia tidak menjual pasir kepada Singapura atau membuka ruang udara kepadanya. Tetapi rakyat tidak pernah mengatakan yang mereka bersedia mengorbankan projek jambatan. Yang mereka tidak mahu adalah mengalah kepada tuntutan Singapura supaya kita menjual pasir dan membuka ruang udara. Mereka mahukan jambatan tetapi mereka juga mahu Kerajaan mereka menyanggah tuntutan Singapura kerana di segi undang-undang Malaysia tidak perlu melayan syarat-syarat Singapura.

Tindak-tanduk Singapura ini telah dijangkakan. Tetapi Kerajaan Malaysia gagal mempertahankan kedaulatan negara. Di samping itu, ia telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang rakyat jelata.

Biarlah rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu, Melayu Johor terutamanya, ingat bahawa lnggeris telah menipu Sultan untuk menyerahkan Singapura dengan percuma kepada mereka (Inggeris).

Seperti Pulau Pinang, Lumut dan Melaka, Singapura sepatutnya dikembalikan kepada kita apabila lnggeris melepaskan hak mereka. Tetapi Singapura telah menjadi begitu asing keadaannya sehingga ia tidak boleh lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Apakah Malaysia sekarang akan memberi lebih banyak tanah kepada Singapura supaya ia boleh memperluaskan wilayahnya dan menambah bilangan penduduknya? Menyerahkan dasar laut kita kepada Singapura tidak ada bezanya dengan memberikan bumi kita kepada Singapura. Kesudahannya ialah perluasan wilayah Singapura. Ia tidak ada bezanya dengan menyerahkan sebahagian daripada Johor untuk tujuan ini. Apakah kita begitu miskin sehingga kita perlu menjual sekeping bumi kita kepada orang lain?

Generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sama ada Melayu atau Johor, akan menyumpah kita jika kita melakukan semua ini sedangkan kita berhak membina jambatan di atas bumi dan laut kita sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Cukuplah kita menyerahkan Singapura (kepada Inggeris). Tidak perlulah kita menyerahkan lagi tanah kita kepada Singapura walaupun ada orang yang berpendapat kita hanya boleh membina jambatan di negara kita jika Singapura bersetuju.

Rakyat Malaysia tidak pernah mengatakan demikian. Janganlah ada sesiapa yang menyumbat hujah ke dalam mulut mereka semata-mata kerana orang itu takut untuk mempertahankan hak dan kedaulatan negara serta rakyat Malaysia.

Dr. Mahathir bin Mohamad


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com