Friday, July 30, 2010

Semua Melayu Berhak: Kaya Atau Miskin.


Hak Keistimewaan Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan tidak menyebut pun sama ada Melayu itu kaya atau miskin. Pemahaman saya, Orang Melayu semuanya berhak. Raja dan Sultan juga berhak mendapat hak keistimewaan Melayu itu kerana diri baginda juga berdarah Melayu. Ianya bukan untuk Melayu miskin semata-mata tetapi untuk Melayu yang bergelar jutawan, hartawan, ahli korperat atau apa saja asalkan dirinya orang Melayu.

Cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua supaya diskaun 5% kepada bumiputera terhadap hartanah kormesial dan rumah mewah di Selangor dimansuhkan menyerlahkan lagi sikap DAP yang berniat jahat dan dengki kepada orang Melayu. Ianya melibatkan nilai hartanah melebihi RM500,000 ke atas. Pembelian hartanah bernilai tinggi ini tentunya akan dibeli oleh orang-orang kaya Melayu. Orang-orang kaya Melayu ini juga berhak mendapat diskaun 5% atas status bumiputera walaupun mereka sudah kaya raya.

Nampaknya setiap minggu kerajaan kena melayan kerenah atau isu yang dibawa oleh Cina DAP dan Cina MCA. Tuntutan-tuntutan mereka banyak berkisar kepada hak sama rata. Kalau Wee Kah Siong (MCA) berani menyentuh biasiswa anak-anak Melayu kini Tony Pua pula meminta dimansuhkan diskaun terhadap hartanah dan rumah mewah di Selangor. Perkara ini akan berterusan secara bergilir-gilir oleh MCA dan DAP.

Jikalau mereka masih menuntut hak sama rata maka mereka sebenarnya tidak faham akan konsep 'keadilan' antara bumiputera dan golongan pendatang. Kontrak sosial telah memberi mereka hak kewarganegaraan tanpa tiada tanda-tanda mereka akan kehilangan hak itu sedangkan dalam senyap dan terancang mereka berusaha pula menghapuskan hak-hak istimewa Melayu yang menjadi ganti kepada kewarganegaraan yang telah datuk nenek mereka perolehi.

Perkara ini boleh menimbulkan keresahan rakyat dan perlu ditangani dengan bijak. Orang Melayu semakin rimas dengan situasi begini dan lebih merunsingkan apabila Cina DAP dan Cina MCA ini semakin bermaharaja lela dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman. Kita pertahankan ISA supaya digunakan pada ketika yang betul dan adil. Kenyataan-kenyataan provokasi ini boleh membangkitkan kemarahan dan keselamatan negara semakin terancam. Hak-hak istimewa orang Melayu ini bukan merupakan peraturan baru, malahan hak-hak ini telah tercatat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan perjanjian-perjanjian ini telah pun diamalkan di negeri-negeri Melayu yang tidak bersekutu sebelum perang lagi.

Jawatan Yang di-Pertuan Agong, tidak merupakan hak istimewa orang Melayu tetapi akan dipegang oleh orang Melayu sampai bila-bila. Hak-hak ini akan dipatut sampai bila-bila kecuali jika perlembagaan diubah atau dicabuli.Hak-hak istimewa orang Melayu adalah di bawah perlindungan Yang di-Pertuan Agung. Yang di-Pertuan Agung hendaklah mendengar nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, dan segala perubahan baharu berkenaan dengan hak-hak istimewa orang Melayu adalah berdasarkan persetujuan Raja-raja Melayu. Hak-hak istimewa orang Melayu di negeri-negeri Melayu adalah terjamin selain daripada hak-hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu saya mencadangkan bagi menyekat provokasi berterusan kerajaan boleh menggunakan ISA untuk menahan mana-mana individu atau kumpulan yang sengaja mencabar perlembagaan negara. Undang-undang yang diguna pakai tetapi tidak dikuatkuasakan melambangkan kelemahan kerajaan yang memerintah. Cadangan Zulkifli Nordin agar DAP diharamkan mungkin agak keras tetapi jika tidak lagi terkawal ianya boleh dilakukan. Buat masa ini ISA adalah senjata berkesan bagi menjamin keselamatan rakyat.

Jikalau di zaman Allahyarham TS Ghazali Shafie, Wee Kah Siong dan Tony Pua sudah lama merengkok dalam tahanan ISA. Tapi di bawah Menteri seperti Hishamuddin, hanya amaran-amaran sahaja yang dikeluarkan sehingga beliau digelar 'menteri amaran'. Rakyat bosan dengan tingkah laku menteri yang lembab seperti Hishamuddin kerana beliau tidak mengamalkan 'rakyat didahulukan'dan menyepi jika ada isu-isu kritikal dimainkan.

Selembab-lembab zaman Pak Lah, ada juga tindakan dilakukan. Sebijak-bijak Najib rupanya rasa khuatir dan takut menguasai kerajaan. Apabila rakyat bersetuju Najib mengambil alih kerajaan, mereka mengharapkan perubahan drastik yang lebih baik tetapi dari segi keselamatan rakyat dan negara Najib dan sepupunya lebih suka bermain selamat sedangkan kenyataan-kenyataan itu sudah cukup mencabul perlembagaan dan undang-undang.

ISAkan mereka!

Amir Hamzah
Batu Pahat

Monday, July 26, 2010

Bertemu Tun M di Perth, Australia.

22 Julai hingga 25 Julai 2010 tempohari kawan melancong ke Perth, Australia. Tak sangka pulak berjumpa Tun M semasa solat Jumaat di Masjid Al-Majid, Perth.




Saturday, July 17, 2010

Satu Bahagian 1 Regu ?


Semua orang sedia maklum dalam 191 bahagian UMNO diseluruh negara dari jauh kelihatan tenang dipermukaan tetapi pada hakikat sebenar bergelora di dasarnya. Perkara ini bukan menjadi rahsia bagi ahli-ahli UMNO malah ianya sudah dianggap lumrah oleh sebahagian ahli. Boleh dikatakan hampir tiada bahagian yang benar-benar aman di mana ketua bahagian mempunyai satu regu dengan timbalannya, Naib Ketuanya, ketua wanitanya, ketua pemudanya hatta ketua puterinya. Kalau ada pun boleh dibilang dengan jari.

Ianya bukan berlaku di dalam UMNO sahaja tetapi berlaku juga di dalam PAS dan PKR. Saya tidak mahu menyentuh tentang perpecahan di dalam PKR dan PAS kerana apabila tiba saatnya mereka akan bersatu dan mereka mempunyai satu matlamat yang jelas dalam pilihanraya umum ke 13 iaitu mengalahkan BN dan memerintah negara ini. Hasrat untuk memerintah negara ini seolah-olah akan tercapai dalam PRU ke 13 setelah mereka melakukan percubaan pertama dalam PRU ke 12 dan hasilnya diluar jangka.

Kesungguhan Pakatan pembangkang jelas terpancar apabila Chua Jui Meng telah diarahkan untuk mengetuai 'Gerakan Tawan Johor' bagi edisi PRU ke 13. Jikalau dahulu, Johor ibarat 'tiang seri' kepada UMNO dan 'Jantung Hati' kepada BN sukar digugat tetapi PRU ke 12, 4 DUN dan 1 Parlimen sudah berjaya dirobek. Ini makna Johor bukan lagi kawasan selamat kepada BN jika dilihat juga negeri itu mempunyai undi rosak tertinggi diseluruh negara. Pembangkang sedang memberi perhatian kepada Johor, Sabah dan Sarawak kerana peti-peti undi daripada negeri ini yang menyelamatkan BN. Apabila ketiga-tiga negeri ini berjaya ditembusi, BN bukan sahaja akan kehilangan majoriti 2/3 tetapi keberangkalian untuk kalah semakin cerah. Itu baru gerakan di Johor, bagaimana pula gerakan mereka di Perak, Terengganu, Melaka atau Negeri sembilan?

Walaupun negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan pembangkang seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan juga mempunyai masalah-masalah yanhg lebih teruk tetapi rakyat memejamkan mata dan memekak kan telinga dengan isu-isu yang membabitkan kelemahan pemimpin-pemimpin mereka seperti mana isu pasir yang sedang hangat diperkatakan orang sekarang. Pendek kata, PR memang sudah ada 'pengundi tetap' dan mereka sama sekali tidak mempertikaian kesalahan-kesalahan pemimpin mereka dan menyerang dan menuduh UMNO semula sebagai konspirasi, mempunyai tujuan dan berniat jahat, ada agenda tertentu dan lain-lain tuduhan.

Setelah hampir 2 tahun PRU ke 12, bagaimana pula persediaan UMNO untuk menghadapi gelombang ke 2 nanti. Seperti kata TPM, momentum perubahan atau transformasi dalam UMNO agak perlahan. Di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO peringkat Bahagian seolah-olah tidak boleh diselamatkan lagi. Kebanyakaan pemimpin UMNO di bahagian yang berseteru akibat daripada perebutan jawatan akan lebih rela parti kalah dalam pilihanraya daripada mereka berbaik-baik dalam satu parti ataupun memberi laluan kepada pemimpin lain. Senario ini sudah lama berlaku di dalam UMNO tetapi ianya masih lagi terkawal.

Keadaan yang sulit dan tersorok ini akhirnya terdedah juga apabila Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa kecewa dengan tindakan empat wakil rakyat kawasan Setiu,Terengganu yang tidak hadir majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Setiu baru-baru ini. "Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya ketika berucap merasmikan persidangan itu.

Beliau mengingatkan anggota UMNO supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Selain daripada kekalutan di peringkat bahagian berkenaan dengan jawatan dan kepimpinan ia juga disebabkan dengan pengaruh dengan kepimpinan tertinggi di pusat. Kalau pemudanya, penyokong Mukriz mungkin kurang mesra dengan penyokong KJ. Begitu juga dengan orang-orang Rafidah dan orang Shahrizat. Tidak keterlaluan juga adanya 'krisis' antara penyokong Ali Rustam dan penyokong Muhyiddin Yassin. Jadi ianya bukan berlaku di bahagian semata-mata tetapi ada juga kaitan dengan kepimpinan UMNO Pusat. Kemungkinan hanya Presiden sahaja yang terkecuali kerana semuanya 'orang presiden'.

Bagi saya untuk memperbaiki kekalutan yang berlaku di bahagian-bahagian agak sukar kerana 'orang-orang pandai' semakin ramai dan berlumba-lumba menjadi pemimpin. Perebutan jawatan dalam UMNO adalah puncanya dan sudah sampai masanya agar UMNO mencari formula baru dalam memilih kepimpinannya jika tidak mahu 'pergolakan dalam cawan' ini akhirnya boleh membawa bencana kepada parti. Bercakap untuk berpadu dan bersatu memang senang tetapi realitinya di gelangang politik berlaku tikam menikam, cantas mencantas yang menyuburkan lagi dendam mendendam dan 'menutup periuk nasi' lawan masing-masing.

Justeru itu, tidak menjadi sesuatu yang menghairankan jika hasrat Mufti Perak, Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini akan hanya tinggal hasrat. Kalau di dalam satu parti pun sukar untuk mendapat satu regu, bagaimana pula jika parti yang mempunyai tujuan, matlamat dan prinsip yang berbeza boleh bersatu. Parti mana yang mahu mengorbankan kepentingan parti dan pemimpin mana yang mahu mengenepikan kepentingan diri?

Soalnya sampai bila orang Melayu mahu berpecah?

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Thursday, July 15, 2010

KJ : Serius, Helah atau Umpan ?


Secara peribadi saya melihat Khairy Jamaluddin atau nama glamournya KJ bukan lah sembarangan orang jika hendak dibandingkan dengan Hishamuddin, Nazri Aziz, Zahid Hamidi maupun Suhaimi Kamaruddin. Walaupun tidak mengatasi karisma dan ketokohan Anwar Ibrahim tetapi mereka berdua mempunyai beberapa persamaan. Jika beliau tidak hebat, bagaimana dalam usianya 34 tahun Ahli Parlimen Rembau dan menantu kepada bekas Perdana Menteri boleh mencipta sejarahnya yang tersendiri sebagai Ketua Pemuda UMNO yang paling muda.

Anak muda ini mempunyai cita-cita tinggi setinggi cita-cita Anwar Ibrahim. Ketika Anwar sudah berusia lebih 60 tahun masih begitu berahi dengan jawatan perdana menteri, anak muda ini pula menyimpan cita-cita untuk menjadi perdana menteri sebelum umur 40 tahun. Sekarang beliau mempunyai masa 6 tahun sahaja lagi untuk merealisaikan impiannya itu. Dalam politik tidak ada yang mustahil....segalanya mungkin.

Realitinya perjalanan politik KJ tidak semudah beliau melafazkan impiannya untuk menjadi PM. Tanpa Pak Lah, siapa lah KJ. Kemenangan KJ sebagai ketua Pemuda tidak diiktiraf bahkan beliau di boo dan dijerit rasuah! rasuah! rasuah! oleh para perwakilan sewaktu beliau diumumkan sebagai ketua pemuda mengalahkan Khir Toyo dan Mukhriz. Tidak pernah berlaku Ketua Pemuda UMNO di boo setelah memenangi jawatan Ketua Pemuda.

Lebih malang, apabila Perdana Menteri, Najib mengumumkan kabinet baru pada April 2008, KJ tidak dilantik, sebaliknya, Naib Ketuanya, Razali Ibrahim menjadi pilihan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Begitu juga Mukhriz walaupun kalah tetapi dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Keputusan Najib itu mengundang pelbagai persepsi politik.

Berkemungkinan kerana tidak dilantik memegang apa-apa jawatan di dalam kabinet menyebabkan KJ agak 'malas' membuat kerja. Pemuda UMNO dilihat lemah dan tidak bermaya walaupun isu yang melibatkan orang Melayu melambak di depan mata. Paling teruk ada yang mendakwa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kini kurang menyerlah dan sudah hilang arah. KJ mencari jalan selamat dengan berlindung disebalik slogan 1 Malaysia untuk dia tidak bertindak aggresif apabila ada kepentingan Melayu disentuh oleh pelbagai pihak. KJ mengambil jalan tengah dengan berbaik-baik dengan parti komponen seperti mana beliau menyokong Wee Ka Siong atas kapisitinya sebagai Ketua Pemuda Barisan Nasional. Mungkin ada pro dan kontra atas tindakan KJ ini.

Sebagai Ketua Pemuda UMNO, sewajarnya lah beliau mendahului jawatannya di dalam UMNO kerana kemenangannya dalam UMNO membolehkan beliau mengetuai Pemuda Barisan Nasional. Suka atau tidak KJ mesti mendahului dulu jawatan yang dipilih oleh perwakilan. Seperti mana Muhyiddin apabila ditanya oleh Lim Kit Siang sama ada TPM mendahului Melayu dulu atau Malaysia dulu. Tanpa ragu-ragu TPM menyebut Melayu dulu kerana dirinya sendiri adalah seorang Melayu apatah lagi beliau adalah Timbalan Presiden UMNO. Jikalau KJ malu untuk berkata demikian, sudah barang pasti KJ tidak layak untuk menjadi ketua parti yang berasaskan kaum seperti UMNO. KJ sangat sesuai untuk menjadi ketua pemuda bagi parti PKR, DAP atau Gerakan yang lebih bersifat parti multiracial.

Setelah diasak sekian lama oleh pihak pembangkang dan UMNO sendiri, KJ telah menyuarakan hasratnya untuk melepaskan jawatan dan ini adalah penggal terakhir sebagai Ketua Pemuda. Hasrat ini disambut baik oleh kebanyakan ahli UMNO tambahan lagi mereka tidak mahu KJ menjadi beban kepada UMNO menjelang PRU ke 13.

Namun begitu, saya rasa ramai yang tidak gembira apabila KJ menyatakan 'Saya tak nak tinggalkan Pemuda kepada orang yang sama taraf dengan saya. Falsafah saya kalau kita nak tinggalkan, biarlah kita tinggalkan kepada orang yang lebih baik dari kita. Nobody is the best. There must be others. Jadi, sekarang saya dalam proses memerhati. I test certain people . Sebab itu saya bagi banyak ruang tonjolkan Exco sebab saya nak tengok. Can they carry or not? Kalau saya sendiri nilai, sukar. Tapi kalau mereka tonjolkan diri, saya boleh dapat feedback dari rakyat'. Ini bermakna KJ mungkin akan letak jawatan sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 tahun.

KJ mungkin akan menjadi seperti Samy Bulu yang hanya bercakap untuk mengundur diri tetapi tidak berbuat demikian. Ramai mengharapkan KJ akan meletakkan jawatannya sekarang bukannya meletakkan berbagai syarat. Kalau nak letak, letaklah. Apa yang hendak ditunggu lagi. Bukankah Pemuda UMNO ada naibnya dan berlambak lagi yang mempunyai gaya kepimpinan dan ketokohan yang lebih baik.

Setelah membaca alasan KJ, saya berpendapat kemungkinan untuk meletakkan jawatan itu hanya gimik politik dan cakap-cakap politik kosong yang tidak mungkin menjadi kenyataan. KJ mungkin ingin menguji sokongan orang-orangnya atau melihat apakah tindakbalas orang ramai khususnya golongan pemuda sendiri. Adakah KJ akan melepaskan jawatan KP untuk mengintai peluang di kerusi yang lebih tinggi seperti Naib Presiden misalnya. Bagaimana hubungan KJ dengan Hishamuddin mau pun Zahid Hamidi?

Tidak mungkin pemuda yang bercita-cita tinggi untuk menjadi PM akan menyerah kalah dengan begitu mudah. Teori mengundur setapak ke belakang untuk lonjakan 5 tapak ke hadapan mungkin digunapakai oleh KJ buat masa ini. Kenyataan untuk meletakkan jawatan hanyalah umpan psikologi untuk orang yang cerdik dalam berpolitik. Bagi musuh-musuh KJ, jangan terpesona dengan permainan politik licik KJ.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Wednesday, July 14, 2010

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin....


Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan UMNO bersatu. Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara UMNO dan PAS terlaksana. Apabila ditanya wartawan, Muhyiddin secara ikhlas menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Isu kerjasama PAS-UMNO dibangkitkan semula oleh JASA dan ABIM bukannya oleh UMNO. Apabila diminta memberi komen sudah tentulah Muhyiddin sebagai TPM mengalu-alukan cadangan itu. Tidak munasabah sebagai orang nombor dua dalam kerajaan memberi pandangan negatif walaupun beliau faham adalah sesuatu yang sukar untuk berlaku buat masa ini. Ini bermakna cadangan kerjasama ini bukan datang daripada UMNO tetapi ada pihak lain yang mencadangkannya demi kepentingan Melayu dan Islam.

Seperti yang dikatakan oleh PM, UMNO mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS. Bahasa mudahnya UMNO bukan teringin sangat tetapi jika ada hasrat mana-mana pihak untuk bekerjasama UMNO tidak menutup pintu malah sentiasa berlapang dada. Kepada PAS, mungkin UMNO boleh berkata begini ' pinggan tak retak, nasi tak dingin, PAS tak hendak, UMNO pun tak ingin'.

Malangnya isu kerjasama PAS-UMNO telah diputarbelitkan oleh naib presiden PAS, Mahfuz Omar seolah-olah ianya dibangkitkan oleh UMNO. Kita pun faham isu kerajaan perpaduan dulu pun dicadangkan oleh Hadi Awang dan Nasharuddin tetapi kumpulan erdogen dalam PAS seperti Mahfuz yang menentang keras. UMNO tidak kisah pun apabila kerajaan perpaduan itu gagal. Namun UMNO sebagai parti terbesar dan telah mengemudi negara ini sekian lama tidak cepat melatah jika rakyat atau orang awam yang tiada berkepentingan menyuarakan pandangan demi bangsa dan agama adalah lebih molek agar parti-parti yang mewakili orang Melayu-Islam ini bersatu. Pada dasarnya UMNO tidak mempunyai masalah untuk berkrompromi.

Justeru itu, rakyat seharusnya sedar siapakah yang menolak jalan kebaikan dan siapakah yang suka kepada permusuhan. Harakahdaily memetik Mahfuz ketika diminta mengulas perkara itu berkata, UMNO juga seperti terkena demam panas yang kuat sehingga mengganggu fungsi otak mereka. "Kita dah kata dah tak nak, duk bercakap lagi. Orang yang duk bercakap sorang-sorang ni ada problem la. Kita sedia sediakan khidmat pakar psikiatri untuk UMNO dan Muhyiddin," katanya sinis.

Mahfuz bercakap seolah-olah PAS ada 80 kerusi di Parlimen sedangkan hakikatnya hanya ada 23 kerusi sahaja. Lihatlah betapa sombong dan bongkaknya manusia yang bernama Mahfuz ini. Kalau lah PAS berjaya menawan 60 kerusi parlimen dalam PRU ke 13 nanti bagaimanakah lagaknya si Mamat parang kontot ini. Klik di sini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga dengan bongkaknya berkata,orang Melayu sebenarnya akan lebih maju tanpa UMNO kerana selama ini yang merosakkan Melayu adalah UMNO. Saya tidak berhasrat untuk memberi komen dengan kenyataan ini. Terpulanglah kepada para pembaca untuk menilai kata-kata si Mamat parang kontot ini dan siapakah sebenarnya yang patut diberi rawatan pesakit mental?

Berbalik kepada isu kerjasama PAS -UMNO, sebagai rakyat tidak ada gunanya kita mengajak orang berbuat baik tetapi dibalas dengan tuba. UMNO pula yang dilabel sebagai tidak siuman dan gila talak. Kalau UMNO hendak bekerjasama pun tentu lebih logik dengan pemimpin-pemimpin Melayu PKR kerana mereka pun pernah bersama UMNO di satu ketika dahulu berbanding dengan PAS yang rata-rata pemimpinnya ada 'besar batu dalam kepala'.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Tuesday, July 13, 2010

Bukti UMNO Tidak Menaja PERKASA


Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz menegaskan, Umno tidak sama sekali menyokong atau mengiktiraf PERKASA yang mendakwa perjuangkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera ianya satu kelebihan kepada PERKASA. Sudah terang lagi bersuluh bahawa penubuhan PERKASA bukan NGO tajaan UMNO. Sekaligus mematikan dakwaan pakatan pembangkang bahawa UMNO menaja penubuhan PERKASA.

Walaupun Nazri tidak menyokong atau mengiktiraf PERKASA itu tidak penting kerana Nazri bukan orang penting dalam UMNO. Lebih penting daripada itu beratus ribu orang Melayu menyokong PERKASA dan berlumba-lumba mengisi borang keahlian PERKASA. PERKASA terbuka kepada semua orang Melayu dan bumiputera tanpa mengira pegangan dan haluan politik masing-masing. Selagi mana orang Melayu mahu mempertahankan perlembagaan dan undang-undang yang memelihara hak-hak istimewa Melayu boleh sertai PERKASA.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menambah, Umno menentang amalan sebarang bentuk sikap perkauman.Oleh itu katanya, idealisme PERKASA, pertubuhan yang berusia hampir dua tahun itu, tidak selari dengan fokus pentadbiran Najib yang menekankan pluraliti dan perpaduan. “Kita harus mengetepikan sama sekali PERKASA. Mengapa saya kata begitu? Ini kerana PERKASA tidak seiring dengan konsep 1Malaysia Datuk Seri Najib,” kata beliau.

PERKASA bukan perkauman seperti yang didakwa oleh Nazri. PERKASA adalah NGO yang berjuang atas dasar politik yang mempertahankan perkara 153 perlembagaan negara. Malah PERKASA sebenarnya asas kepada gagasan 1 Malaysia yang mempunyai matlamat akhirnya perpaduan nasional. Apabila semuanya kembali mematuhi perlembagaan, saling memahami dan menghormati hak-hak kaum masing-masing seperti yang tertulis di dalam perlembagaan maka negara ini dijamin dalam keadaan selamat dan aman.Lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan Melayu yang dilindungi oleh undang-undang perlu dihormati dan tidak boleh dipertikai. Ini lah kontrak sosial antara Melayu dan bukan Melayu di mana kewarganegaraan menjadi galang gantinya.

Ianya sama dengan dasar affirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kelihatan DEB itu bersifat perkauman tetapi matlamat akhirnya adalah perpaduan nasional apabila jurang ekonomi antara Melayu dan Bukan Melayu cuba dirapatkan. Sehingga sekarang pun DEB masih belum mencapai sasaran 30% kekayaan negara dimiliki oleh Melayu dan bumiputera. Adakah DEB dan Tun Abd.Razak itu racist? Sudah tentu tidak kerana sudah menjadi tanggung jawab kerajaan waktu itu untuk memberi hak keistimewaan itu kepada orang Melayu dan bumiputera yang rata-rata daif dan miskin.

Fasal 4- Tujuan dan matlamat PERKASA yang ke 6 adalah mempertahankan kedaulatan negara. Sudah tentu keselamatan negara dan rakyat menjadi keutamaan. PERKASA tidak berniat menghancurkan negara ini dengan membangkitkan isu-isu perkauman sehingga boleh menimbulkan perbalahan. PERKASA cuma mahu membawa rakyat memahami perlembagaan yang melibatkan perkara-perkara yang disebutkan supaya tidak ada lagi perkara-perkara yang dipertikaikan. Jika ianya dipertikaikan maka akan mengundang ketidakpuasan hati PERKASA dan orang Melayu.

Komen Nazri ke atas PERKASA mudah difahami. PERKASA mendapat sokongan penuh daripada mantan PM, Tun Mahathir. Mesyuarat Agung PERKASA yang pertama diselamatkan oleh Tun setelah DYMM Sultan Selangor tidak dapat berangkat ke majlis perasmian. Semua orang tahu hubungan dingin Nazri dan Tun M. Apabila Tun M menyokong penuh PERKASA, mungkin kah Nazri akan menyokong PERKASA? Sudah tentu tidak. Kritikan ke atas PERKASA dalam waktu yang sama seolah-olah menyindir Tun M.

Walau apa pun PERKASA akan meneruskan agenda perjuangannya. Agak membanggakan juga kerana PERKASA semakin popular dan diminati ramai. Semuanya adalah hasil pengiklanan yang dibuat oleh Pakatan Pembangkang, MCA, MIC, KJ dan Nazri.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Sunday, July 11, 2010

KJ, MCA dan MIC dah satu Regu Hentam PERKASA


Selepas MCA dan KJ, hari ini perwakilan MIC, S Pulligesi dari Batu Gajah telah berkata PERKASA sepatutnya diharamkan sejak awal lagi dan menyarankan agar Presiden Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia, Ibrahim Ali ditahan ISA. klik di sini.. Sudah acap kali saya tegaskan bahawa PERKASA bergerak atas landasan undang-undang dan perlembagaan negara. Mengapa takut dengan PERKASA? PERKASA tidak menyerang tetapi cuma MEMPERTAHANKAN hak-hak bangsanya yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Berbeza dengan kumpulan haram seperti HINDRAF yang membuat perhimpunan, demontrasi dan tuntutan-tuntutan yang mengelikan hati. Barisan Tindakan Hak Hindu (HINDRAF) pernah menganjurkan perhimpunan di hadapan bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang, tanpa permit dan benar-benar mencabar undang-undang negara.

Setelah polis membatalkan permit perhimpunan tersebut, ianya tetap dihebahkan kepada umum bagi menyeru semangat kaum India dengan mereka dibayangkan tuntutan RM3.4 juta bagi setiap seorang India di Malaysia yang kononnya menjadi mangsa penjajahan selamanya.

Perhimpunan anjuran HINDRAF ini antara lain menuntut agar pihak Britain membayar pampasan sehingga RM14,000,000,000,000 kepada kaum India di Malaysia kerana kononnya mereka telah dibawa ke Tanah Melayu dengan keadaan daif dan kebajikan mereka tidak dibela.Selain itu tuntutan itu juga mencakupi pengabaian British atas hak mereka semasa proses merangka perlembagaan negara ini.

Lebih jahat lagi,menurut salah seorang peguam yang terbabit merencanakan tuntutan ini, Waytha Moorthy, dalam web Indian Malaysian Online terbitan 22 November 2007 menyebut,
"Kami menuntut pampasan kerana kami kini selamanya terjajah yakni pada zaman penjajahan British dan kini di bawah kerajaan etnik Melayu". "Kaum India telah mengalami kesengsaraan di bawah pemerintahan majoriti Melayu Muslim dan pemerintahan Inggeris untuk selama 200 tahun".

Mengapa MIC tak melalak waktu itu malah seolah-olah mengiyakan apa yang diperkatakan oleh HINDRAF? Apakah itu satu pembohongan dan perkauman? Memang patut pun pemimpin-pemimpin mereka ditahan ISA.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Friday, July 9, 2010

Siapa Sebenarnya Yang Celaka!


Apabila Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan Chiew Lian Keng berkata, '"Jikalau PERKASA mahu Wee Ka Siong dipenjarakan kerana kenyataan Pemuda MCA yang membela keadilan, maka EKSTREMIS YANG CELAKA ini lebih patut dipenjarakan di bawah ISA,"

Selain itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen turut menggesa agar polis menangkap Ibrahim Ali dan mengambil tindakan terhadap Suara Perkasa, dengan menggunakan Akta Hasutan 1948.

"Artikel dalam Suara PERKASA yang menggesa untuk menangkap Wee Ka Siong dengan ISA ini telah mencungkil kemarahan Pemuda MCA. Seandainya kerajaan berpeluk tubuh dalam isu ini, Pemuda MCA akan menyerang balik sehabis-habisnya. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah MCA," kata Chai Kim Sen dalam kenyataannya.

Malah, Setiausaha Agung Pemuda MCA ini menambah, "PERKASA langsung tidak masuk akal. Pertubuhan yang dipimpin Ibrahim Ali ini bukan sahaja ekstrem, malah satu pertubuhan yang mengada-ada. MEMANG CELAKA BETUL!". Berapa banyak perkataan CELAKA untuk PERKASA ni.

Mungkin MCA tidak membaca lagi perlembagaan PERKASA. Fasal 4- Tujuan dan matlamat penubuhan.
1. Memperkasakan Islam sebagai agama Pesekutuan (Perkara 3 dalam Perlembagaan),
2. Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152),
3.Memperkasakan Kedaulatan Raja-raja Melayu (klik di sini),
4.Mempertahankan Hak-hak istimewa Orang Melayu (Perkara 153)
5. Memperkasakan kaum pribumi
6. Mempertahankan kedaulatan negara.

Jikalau dilihat kepada tujuan dan matlamat PERKASA ada 2 perkataan sahaja yang digunakan iaitu MEMPERKASAKAN dan MEMPERTAHANKAN. Tidak ada perkataan pun yang menunjukkan kepada tujuan keganasan, mengugat keselamatan negara maupun mendatangkan bahaya kepada kaum-kaum lain. Tegasnya ianya hanya berkisar kepada kepentingan orang Melayu dan ianya tidak sedikit pun bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Apabila Wee Ka Siong mempertikaikan biasiswa MARA maka PERKASA menganggap kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang Menteri yang faham perlembagaan negara. Ini kerana biasiswa termasuk di dalam perkara 153 hak-hak istimewa orang Melayu yang tercatat di dalam perlembagaan. Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Maka dengan sebab itu, edisi sulung Suara PERKASA yang bertajuk "Tahan Ka Siong bawah ISA" berani di terbitkan kerana mengikut tafsiran Perlembagaan hak-hak istimewa orang Melayu tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971). Jadi apa salahnya Suara PERKASA dan Ketua Pengarangnya sehingga dipanggil oleh KDN dan diberi amaran keras. Adakah KDN sendiri 'buta' dengan perkara mudah begini.

Pemuda MCA tidak boleh sesekali mengeluarkan perkataan 'CELAKA' kepada PERKASA kerana PERKASA dianggotai oleh keahliannya 100% orang Melayu dan bumiputera. MENCELAKAKAN PERKASA ADALAH SAMA MENCELAKAKAN ORANG MELAYU. Memberi amaran kepada PERKASA ada sama memberi amaran kepada orang Melayu. Maka dengan sebab itu, PERKASA mendakwa Kim Sen menghasut. Satu laporan Polis telah dibuat di Kuala Lumpur oleh Timbalan Presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman b Abu Bakar. Saya mencadangkan agar Presiden PERKASA mengarahkan semua PERKASA Negeri dan PERKASA Daerah-Daerah serta individu-individu PERKASA membuat laporan polis atas kebiadapan Wee Ka Siong, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng dan Setiausaha Agung Pemuda MCA.

Jikalau hendak dibandingkan dengan PERKASA siapakah yang lebih patut dicelakakan berbanding dengan tuntutan-tuntutan Persatuan Gabungan Guru Sekolah China (Jiao Zong) dan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah China (Dong Zong).Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengibaratkan kedua-dua persatuan itu dan sebuah lagi kumpulan lobi, Suqiu, seperti “komunis” dan “ekstremis”. Sebenarnya jika difikirkan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina ini tidak membantu ke arah konsep 1Malaysia dan penghalang utama kepada perpaduan nasional yang hakiki .Tanpa penghapusan sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini hanya akan melahirkan perpaduan yang palsu dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Bagaimana pula dengan 83 tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) yang pernah dikemukakan kepada kerajaan suatu ketika dahulu. Misalnya Suqui mendesak kerajaan hapuskan sistem kuota untuk kemasukan universiti, Mendesak kerajaan mengambil langkah untuk memansuhkan perbezaan antara bumiputra dan bukan bumiputera dalam semua bidang, hapuskan sistem kuota yang berasaskan kaum dan gantikannya dengan sistem pengagihan yang berasaskan kebolehan (means tested sliing scale)dan lain-lain. Kesemuanya di atas adalah termasuk di dalam perkara 153 dan tidak boleh dipertikaikan serta dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Bagi saya MCA jangan berlagak hendak menjadi hero tetapi tak kena tempat. Kita sedia maklum MCA mempunyai masalah besar. Masalah dalaman parti yang tak kesudahan dan kemerosotan kepercayaan pengundi Cina kepada parti itu. Jika pilihanraya umum diadakan dalam waktu terdekat, MCA pasti bungkus dikebanyakan kerusi yang ditandinginya. Jangan kerana tidak boleh selesai masalah sendiri, pemimpin-pemimpin mereka hilang pertimbangan dan membuat kenyataan-kenyataan biadap dan tidak bertamadun.

Jika orang Cina mempunyai NGO seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Suqui, Orang India dengan pertubuhan haramnya seperti Hindraf maka orang Melayu tentulah dengan PERKASAnya.Kalau NGO bukan Melayu membuat tuntutan-tuntutan yang bercanggah dengan perlembagaan negara, PERKASA lah yang akan menentangnya. Barulah adil bagi orang Melayu keseluruhannya.

PERKASA tidak perlu gentar bukan sahaja dengan parti kurap seperti MCA ini yang telah kehilangan pengaruh malah tidak perlu gentar dengan KDN kerana perjuangan PERKASA tidak lari walau seinci pun daripada perlembagaan negara dan undang-undang. Pedulikan Pemuda UMNO yang sudah menjadi pemuda pondan, teruskan perjuangan dan jangan gentar dengan gertakan dan provokasi orang-orang yang takut dengan kebangkitan orang Melayu melalui PERKASA.

BRAVO PERKASA!

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Monday, July 5, 2010

Khairi Menjangka PERKASA NGO Kerdil.



Khairi Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO begitu mencemburui kelantangan dan keberanian Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dalam memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Melayu dan Islam yang dulunya tugas ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin daripada kalangan Pemuda UMNO. Perasaan malu mungkin datang menerjah ke dalam diri kerana beliau sendiri tidak mampu melakukannya. Dengan berselindung di sebalik gagasan 1 Malaysia, beliau cuba untuk menutup kelemahan diri dengan mengatakan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh PERKASA tidak menepati hasrat dan matlamat 1 Malaysia. Maka tindakan PERKASA dianggap sebagai mengundur ke belakang dan menyelar pemimpin PERKASA sebagai jaguh kampung.

Jika Khairi tidak mampu seperti mana PERKASA lakukan, 'anak omak' ini lebih baik menjadi pemerhati dan tutup mulut. Tindakan seperti ini kelihatan lebih bijak daripada mencari pasal dengan PERKASA. Khairi dan Wee Ka Siong tidak banyak bezanya. Kedua-duanya tidak faham perkara 153 dalam perlembagaan yang berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu. Kalau Khairi faham dan tahu, sudah semestinya beliau menasihati rakan sejawatnya di dalam MCA supaya jangan mempertikaikan biasiswa MARA yang menjadi sebahagian daripada hak-hak istimewa orang Melayu itu. Disebabkan beliau sendiri tidak tahu, ditambah lagi dengan perasaan kurang senang dengan PERKASA beliau mengambil tindakan yang merugikan dirinya dengan membela rakannya daripada MCA yang sememangnya sedang mengambil kesempatan atas kelemahan politik orang Melayu dewasa ini.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.Kenyataan ini, dilihat telah mencabul 'kontrak sosial' apabila pendatang mendapat hak kewarganegaraan tetapi dalam masa yang sama mereka dikehendaki menerima tanpa syarat serta menghormati hak-hak istimewa orang Melayu.

Persoalan yang timbul sekarang ini, bukan Melayu dan Melayu liberal memandang PERKASA sebagai NGO yang merbahaya dan bermain dengan isu-isu perkauman. Apakah dosa PERKASA kepada orang Melayu, rakyat Malaysia dan Khairi sendiri. Jikalau ada pihak yang menuduh PERKASA sebagai kumpulan pelampau dan extremis, tuduhan itu agak meleset. PERKASA tidak mengancam sesiapa tetapi perjuangan dan tindakannya sentiasa bergerak di atas landasan undang-undang dan perlembagaan negara. Apa yang ditentang oleh PERKASA kesemuanya telah melanggar dan mencabul perlembagaan terutama perkara 153, yang berkaitan dengan hak-hak istimewa Melayu.

Berkrisis dengan PERKASA umpama berkrisis dengan orang Melayu. Ini adalah kerana PERKASA di dokong oleh orang Melayu dan Bumiputera di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak. Bahkan sebahagian besar yang menyokong dan menjadi ahli PERKASA adalah terdiri ahli-ahli UMNO akar umbi yang tidak berkepentingan. Mereka mahu PERKASA mewakili mereka bagi menyuarakan hasrat dan suara mereka kerana PERKASA adalah satu-satunya NGO yang bergerak atas landasan dan kesedaran politik. Jikalau Pemuda UMNO yang diketuai oleh Khairi Jamaluddin itu sehebat dan setangkas PERKASA, kemungkinan besar PERKASA itu sendiri tidak wujud.

Khairi juga harus sedar bahawa PERKASA sudah diwujudkan dikesemua negeri di Malaysia dan sekarang sedang mengembangkan sayapnya ke daerah-daerah pula. Di Johor yang menjadi 'jantung hati' kepada BN dan 'tiang seri' kepada UMNO sudah menubuhkan 8 daripada 10 daerah dalam waktu yang singkat. Sambutan rakyat diseluruh pelusuk negeri sangat menggalakkan walaupun mereka tahu Ibrahim Ali hanyalah seorang yang tidak berparti. Tetapi keberanian, kelantangan dan keikhlasan Ibrahim yang satu ketika adalah pemimpin Semangat 46 menarik perhatian mereka. Orang Melayu tidak lagi memikirkan latar belakang politik seseorang itu asalkan pada masa ini sanggup menyuara dan mempertahankan hak-hak orang Melayu. Berdasarkan sentimen ini, Khairi memang jauh ketinggalan dengan Ibrahim.

Khairi juga boleh menilai kekuatan PERKASA apabila PERKASA menerajui Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dianggotai lebih 100 NGO Melayu menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera : Model Baru Ekonomi (MBE) dengan bertemakan 'MEMPERKASA EKONOMI BUMIPUTERA' dengan niat murni untuk memelihara kelangsungan dan menjaga kepentingan umat Melayu dan bumiputera seluruhnya pada 29 Mei 2010 yang lalu. Ini bermakna Khairi bukan sahaja berhadapan dengan orang Melayu dan PERKASA tetapi 100 NGO Melayu lain yang sentiasa bersama PERKASA.

Di dalam perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Pt. Sulong pada 4 Julai yang lalu, Timbalan Presiden UMNO TS Muhyiddin Yassin telah menyelar DAP,“DAP menganggap tindakan saya membela orang Melayu sebagai seorang ultra Melayu, sedangkan Lim Kit Siang lebih bersifat perkauman,” katanya. Beliau turut menyelar sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempertikai dasar kerajaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan usaha meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Adakah kenyataan Timbalan Presiden UMNO ini berbaur perkauman atau ianya sekadar satu ingatan kepada orang-orang Melayu seperti Khairi atau satu kenyataan yang menepati kehendak perlembagaan.

Najib sendiri memberi perakuan bahawa Model Ekonomi Baru yang akan dilaksanakan nanti sekali-kali tidak mengenepikan kepentingan orang Melayu seperti mana yang telah termaktub di dalam perlembagaan. Adakah jaminan ini merupakan satu jaminan yang berat sebelah atau mengenepikan hak dan menafikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain?. Tentu sekali tidak jika kita sentiasa terbuka minda dan faham akan sejarah dan latar belakang negara ini.

Khairi dilihat kurang semangat Melayunya walaupun beliau mengetuai salah satu sayap parti Melayu, malah beliau seperti semakin jauh dengan golongan petani dan golongan bawahan. Pada masa yang sama, Ibrahim dan PERKASA diangkat oleh rakyat di serata pelusuk negara termasuk dari ceruk kampung dan pendalaman. Maka sesuailah Ibrahim digelar 'juara kampung' sedangkan Khairi tidak menjuarai apa-apa.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Friday, July 2, 2010

PMR Dan STPM Wajar Dimansuhkan.


Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Alasan Muhyiddin adalah kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Beliau berkata dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Muhyiddin secara peribadi juga berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Sebagai rakyat Malaysia saya berpendapat ujian atau penilaian adalah penting untuk pengukuran kepada keberkesanan sistem atau proses pengajaran atau pembelajaran. Peperiksaan awam ialah satu peperiksaan setara diseluruh negara yang wajib diduduki oleh semua pelajar. Peperiksaan ini adalah alat pengukur atau penentu kepada keperluan kementerian dan negara.

Saya melihat, idea ini timbul adalah kerana kos atau perbelanjaan peperiksaan awam ini terlalu tinggi kerana bilangan pelajar yang menduduki peperiksaan ini semakin ramai. Jikalau dahulu, sebahagian kos ditanggung oleh pelajar dengan membayar yuran peperiksaan tetapi kini dengan tiada lagi yuran peperiksaan dan yuran persekolahan maka tanggung jawab itu terletak di bahu kerajaan. Maka faktur utamanya adalah kos peperiksaan awam menjadi bebanan kepada kerajaan.

Bagi membantu kerajaan mengurangkan beban ini, sebahagian daripada kita bersetuju untuk menghapuskan peperiksaan awam UPSR dan PMR. Jika dikira kos kedua-dua peperiksaan ini, kerajaan mungkin dapat menjimatkan lebih 50% kos keseluruhan peperiksaan awam yang melibatkan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Adalah tidak begitu adil jika kita bersetuju menghapuskan UPSR dan PMR semata-mata kerana untuk menjimatkan perbelanjaan tetapi dalam masa yang sama sistem pendidikan kita menjadi caca marba.

Secara umumnya saya hanya mencadangkan agar PMR dan STPM sahaja wajar dihapuskan tetapi terus mengekalkan UPSR dan SPM. UPSR adalah alat mengukur pencapaian pelajar di peringkat rendah sementara SPM adalah pengukuran pencapaian pelajar di peringkat menengah. Pelajar rendah akan belajar selama 6 tahun dan diuji dengan UPSR sementara 5 tahun di peringkat menengah akan diuji dengan SPM.

Selepas ujian UPSR di peringkat rendah, pelajar-pelajar boleh diasingkan mengikut aliran sama ada sastera, sains, teknikal atau kemahiran apabila naik ke tingkatan 1. Tidak perlu lagi ujian khas untuk mereka bagi menentukan arah aliran dan hala tuju mereka selepas tahun 6. UPSR juga boleh dijadikan tanda aras bagi pemilihan pelajar ke asrama penuh. Setelah menerima aliran pendidikan daripada tingkatan 1, pelajar akan belajar selama 5 tahun untuk satu lagi peperiksaan yang menentukan kerjaya, pendidikan lanjutan sama ada berbentuk akademik, teknikal dan kemahiran.

Untuk mencapai keberkesanan sistem penilaian baru ini, sekolah rendah perlu diperkasakan. Masalah kemahiran membaca, menulis dan mengira mesti diselesaikan di sekolah rendah. Tidak ada lagi pelajar buta huruf di sekolah menengah.

Daripada UPSR juga kementerian sudah boleh memilih koata pelajar aliran sastera 40% dan sains 60%. Dengan tempoh pembelajaran 5 tahun dalam setiap aliran pelajar berkemungkinan lebih mahir dengan kemahiran dan pengetahuan yang diberi sebelum melanjutkan pelajaran ke IPTA/ IPTS, Institut Kemahiran atau alam kerjaya.

Dengan hanya 2 peperiksaan awam ini iaitu UPSR (Sekolah Rendah) dan SPM (Sekolah Menengah) akan memberi ruang yang lebih luas kepada guru dan pelajar untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka dalam bidang-bidang yang lain seperti seni lukis, muzik, sukan dan kebudayaan misalnya. Kita juga semakin tandus dengan penglibatan pelajar dalam drama dan teater, pengucapan awam seperti pidato, perbahasan dan perdebatan, berbalas pantun dan lain-lain. Kita juga ketandusan qari dan qariah, penulis tulisan khat dan sebagainya kerana ibubapa dan pelajar lebih menumpukan kepada tiusyen dan peperiksaan. Tidak dinafikan, pada masa ini aktiviti-aktiviti yang disebutkan ada di sekolah-sekolah tetapi tidak menjadi satu budaya pembelajaran dan pengajaran. Jika ada hanya dengan tujuan pertandingan dan sudah tentu tidak melibatkan keseluruhan pelajar.

Dalam masa yang sama, bidang sukan dapat dimajukan terutama dengan saranan menteri pelajaran agar 'seorang pelajar satu sukan'. Tanpa terlalu merisaukan tentang peperiksaan, pelajar boleh melibatkan secara aktif dalam sukan. Cuma kerajaan perlu memberhentikan membina bangunan baru sekolah di kawasan padang sekolah kerana kebanyakan sekolah hari ini terpaksa mengorbankan tanah kawasan padang untuk pembinaan bangunan tambahan sekolah yang baru.

Selain daripada sistem peperiksaan yang perlu dikaji semula, suka saya mencadangkan agar sistem pendidikan secara keseluruhan juga sudah boleh dibuat pengubahsuaian atau dirombak berdasarkan kepada sistem peperiksaan yang telah diubah. Pengiktirafan tidak seharusnya diberikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi pelajar yang mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang bukan akademik juga perlu diberi perhatian. Misalnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan, pertukangan, pertanian, bahasa dan penulisan, sukan, permotoran , keusahawanan dan sebagainya. Mereka bukan sahaja boleh mengilap bakat mereka tetapi boleh meneruskan pengajian secara formal sehingga boleh menjadi kerjaya hidup mereka. Mereka ini tidak hanya bergantung harap bekerja dengan kerajaan dan swasta semata-mata tetapi boleh berusaha sendiri untuk meneruskan kehidupan berdasarkan bakat dan kemahiran yang ada.

Pada umumnya sistem peperiksaan sudah wajar dinilai semula tetapi untuk jangkamasa panjang sistem pendidikan keseluruhannya juga perlu dirombak kerana sistem yang ada pada hari ini telah menghakiskan bakat-bakat semula jadi manusia Malaysia kerana tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya seperti mana mereka yang cemerlang di dalam bidang akademik.

Amir Hamzah
Batu Pahat.