Sunday, January 31, 2010

SIAPA KATA MELAYU TAK HEBAT


Sudah lama saya tidak mendengar cerita tentang Daim Zainuddin. Bekas Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO Zaman Tun Mahathir. Kawan dan sahabat menjual kuih bersama Tun Mahathir di zaman kanak-kanak di Kedah. Kedua-duanya berjaya. Tun Mahathir sudah diketahui umum berjaya mentadbir dan mengurus negara selama 22 tahun. Berjaya mengubah lanskap politik dan ekonomi Malaysia sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri. Selepas tidak lagi berada di dalam kabinet kerajaan, Daim terus menyepi. Bagi generasi baru mungkin tidak mengenali Daim Zainuddin apatah lagi cerita-cerita mengenainya.

Saya baru menerima email daripada seorang sahabat yang menulis serba sedikit tentang Daim yang pendiam itu. Diam-diam ubi berisi.....bukannya diam-diam besi berkarat. Sebagai anak Melayu saya menumpang bangga. Kejayaan Daim membuktikan sesiapa sahaja boleh berjaya jika kita ingin dan berusaha untuk berjaya. Bacalah tulisan sahabat saya ini:


SIAPA tidak kenal bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Bertubuh kecil dan tidak sukakan publisiti, hingga beliau pernah dikenali sebagai 'Daim Yang Diam'

Aku terpanggil untuk menulis entry mengenai Daim bila aku terbaca senarai orang terkaya di Forbes dan juga di majalah Malaysian Business. Aku tak tahu apa 'formula' yang digunakan oleh kedua-dua majalah ini dalam meletakkan 'ranking' seseorang individu itu dari segi pengumpulan harta. Namun seperkara yang menarik adalah nama Daim tidak pernah tersenarai walaupun dalam tangga ke-100 individu terkaya di Malaysia . Apatah lagi di kalangan mereka yang terkaya di dunia.

Hinggalah suatu hari aku dihantar melakuka n tugasan Tanzania . Ketika itu aku hendak menukar 'travellers cheque' di sebuah bank berhampiran Dar-Es-Salam, ibu negara republik berkenaan.

Aku ingat lagi nama bank itu, International Bank of Commerce (ICB). Untuk pengetahuan korang, aku tiba-tiba tergamam sebentar sebaik saja melangkah masuk ke perkarangan bank tersebut.

Mahu taknya, potret Daim 'sebesar-besar alam' tergantung di dalamnya. Dalam hati aku berkata, apa kejadahnya gambar Daim kat dalam ni? Ke ada manusia lain kat Tanzania ni muka macam Daim?

Tapi bila fikir balik, mustahil pulak, kecualilah ada rakyat Afrika yang 'albino' jadi taukeh bank (sebab Daim ni agak cerah orangnya)

Sebaik saja selesai urusan, aku terus pergi berjumpa salah seorang pegawai bank di situ. Aku berpura-pura tanya siapakah lelaki dalam bingkai gambar yang besar itu.

"For your information Sir, he is the owner of this bank, Mr. Daim Zainuddin. We've got 59 branches in Indonesia, 23 branches in Africa itself plus nine branches in Eastern Europe," katanya dalam 'accent' Afrikanya yang pekat itu.

Ambik ko! Sejak hari itu aku tak percaya lagi 'ranking' orang-orang terkaya di dunia yang dikeluarkan oleh Forbes.

Sejak itu juga, aku percaya masih banyak manusia di luar sana yang sememangnya berlipat kali ganda kaya tetapi terus 'low profile'...seperti mana 'Daim Yang Diam'.

Siapa kata Melayu tak hebat?

(Dua tahun lepas ICB menerima anugerah 'Bank Terbaik 2006' daripada The Banker di London.)

Monday, January 25, 2010

Dari Rakyat Kepada Tuanku!


Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Ampun Tuanku...Sembah patik khas dari rakyat untuk Tuanku Sultan. Pertama-tamanya patik merafak sembah menjunjung kasih dan tahniah di atas pemashuran Tuanku sebagai sultan Johor yang ke 5 dalam Kesultanan Johor Moden. Sebagai rakyat yang menjunjung perlembagaan negara dan mendokong sistem demokrasi raja berperlembagaan, patik mengambil kesempatan di waktu yang bertuah ini untuk menyatakan rasa kasih dan taat setia ke bawah Duli Tuanku berdua.

Atas rasa hormat dan kasih rakyat rasanya tidak menjadi sesuatu yang menjolok mata bagi patik-patik pacal rakyat jelata untuk menyatakan rasa kasih dan taat itu dengan memberi kata-kata harapan kepada tuanku berdua sesuai dengan tanggungjawab Tuanku sebagai ketua Agama Islam dan menjaga hal-ehwal serta adat istiadat Melayu. Bagi patik-patik, masih bermurung dan bersedih di atas kemangkatan Almarhum ayahanda Tuanku yang sangat patik-patik kasihi dan hormati kerana ketegasan, keberanian, keikhlasan serta dekat di hati rakyat. Patik-patik akan kerinduan dan terasa kehilangan dengan suara garau dan tingkahlaku spontan almarhum ayahanda Tuanku.

Namun, yang telah pergi tidak akan kembali. Besar harapan Tuanku, begitu juga harapan patik-patik rakyat jelata sekelian. Sebagai rakyat jelata patik-patik memohon perkenan Tuanku berdua untuk meneruskan legasi almarhum ayahanda Tuanku dan harapan rakyat iaitu:

1. Menyokong pembinaan Jambatan Bengkok dan menolak cadangan pembinaan jambatan ke tiga bagi menggantikan Tambak Johor.

2. Meneruskan hasrat almarhum ayahanda Tuanku bagi mendapatkan semula hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih yang kini dimiliki Singapura.

3. Memastikan agama Islam terus utuh di negeri Johor dengan menafikan sebarang bentuk gangguan, desakan melampau dan provokasi yang boleh menggugat kesucian agama Islam dan pegangan agama penganut-penganutnya.

4. Memastikan hak-hak istimewa, adat istiadat, budaya dan bahasa orang Melayu hidup subur seperti mana yang telah tercatat di dalam perlembagaan.

5. Memastikan perpaduan antara rakyat semakin intim dengan jaminan keselamatan dan keselesaan hidup di kalangan rakyat jelata.

6. Saling nasihat menasihati antara Istana dan Kerajaan Negeri agar peluang dan ruang diberikan kepada individu dan syarikat Melayu dan bumiputera supaya tidak ketinggalan dalam pembangunan negeri khususnya di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar.

7. Saling nasihat menasihati antara Istana dan Kerajaan Negeri / Pusat agar memberhentikan terus penjualan pasir dan memerangi penyeludupan pasir ke akar umbi kerana penjualan pasir ke Singapura walau dengan apa tujuan pun kerana ianya mengancam keselamatan dan ekonomi Johor.

8. Saling nasihat menasihati antara Istana dan Kerajaan Negeri /Pusat agar dikaji semula perjanjian penjualan air mentah ke Singapura mengikut saluran undang-undang kerana amalan sekarang sangat merugikan negeri dan negara.

9. Meneruskan amalan mendekati rakyat dengan meneruskan program 'Kembara Sultan' ke daerah-daerah di negeri Johor seperti mana yang lazim dilakukan saban tahun oleh Tuanku supaya tembok batu Istana Bukit Serene tidak menjadi penghalang menautkan jalinan kasih antara Tuanku dan rakyat.

10. Sebagai ketua Agama Islam, besar juga harapan patik-patik dengan kuasa dan daulat ke bawah Duli Tuanku supaya terus meningkatkan syiar Islam di Johor, meningkatkan kualiti akhlak rakyat, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sekolah agama kerajaan negeri dan menjadikan Johor sebagai pusat Ilmu dan Tamaddun Islam.

Ampun Tuanku, sembah patik harap di ampun kiranya ada sembah derhaka yang menguris hati Tuanku berdua. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah serta inayahnya ke atas Tuanku berdua dan kerabat-kerabat yang lain, pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat sekeliannya.

Amin.

Menjunjung Kasih Tuanku.


Amir Hamzah Bin Hj Mohamad
Setiausaha,
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negeri Johor.
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, January 23, 2010

Daulat Tuanku!


Daulat Tuanku!

Kami seluruh rakyat Johor merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas perlantikan Tunku sebagai Sultan Johor yang ke 5. Semoga Tunku akan terus menjadi pelindung kepada Agama Islam dan hak-hak rakyat Melayu serta pribumi.

Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

دولت توانكو!

كامي سلوروه رعيت جوهر مرافاق سمبه مڠوچڤكن ستيڠڬي-تيڠڬي ڤڠهرڬان اتس ڤرلانتيكن تونكو سباڬاي سلطان جوهر يڠ ك 5. سموڬ تونكو اكن تروس منجادي ڤليندوڠ كڤد اڬام اسلام دان حق-حق رعيت ملايو سرتا ڤريبومي.

دولت توانكو!
دولت توانكو!
دولت توانكو!

Baca Di sini
Baca juga di sini

Friday, January 22, 2010

Sultan Iskandar Mangkat.



DYMM Sultan Johor Tuanku Sultan Iskandar Al Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail Al Khalidi yang mangkat senja hari ini merupakan seorang Raja yang amat disayangi dan berjiwa rakyat. Baginda berumur 77 tahun pada 8 April lepas.

Akhbar The Star menyifatkan baginda sebagai ‘Raja Yang Menginspirasi’.

Baginda naik takhta sebagai Sultan Johor apabila ayahanda baginda Almarhum Tuanku Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim mangkat pada 10 Mei 1981. Baginda menjadi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong VIII antara 26 April 1984 hingga 25 April 1989. Semasa menduduki tahkta Kerajaan Persekutuan, baginda menunjukan keperihatin terhadap rakyat, terutama anggota pasukan keselamatan. Baginda telah beberapa kali mencemar duli semasa perayaan Hari Raya Aidil Fitri melawat anggota pasukan keselamatan diperbatasan dan sempadan. Ini termasuk terbang ke atas kapal TLDM yang sedang membuat rondaan dilaut.

Baginda juga mendermakan keseluruhan elaun sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sepanjang menduduki takhta kepada sebuah NGO, Yayasan Iskandar. Dana ini digunakan sebagai membantu pembiayaan pelajar yang kurang berkemampuan.

Baginda juga merupakan Kolonel Kehormat Rejimen Grup Gerak Khas dan menunjukan minat dalam aktiviti sukan.

Sebagai seorang ketua keluarga, baginda adalah seorang ayahanda dan nenda yang amat penyayang. Baginda menentukan cucunda baginda, Tunku Ismail Ibrahim Ibni Tunku Ibrahim Ismail agar dilatih sebagai pegawai kadet di Dehradum, India dan menyoroti perkembangan cucunda tersebut dengan rapat. Baginda juga minat kepada irama keroncong.

Baginda membelakangkan protokol dan membuat kenyataan politik semasa upacara merasmikan Wilayah Pembangunan Iskandar di Danga Bay pada November 2006 apabila menitahkan agar Kerajaan tidak mempercayai orang asing terutama ‘orang putih’ dan mencadangkan wilayah itu dinamakan Wilayah Pembangunan Rahman Andak berbanding dengan nama baginda kerana menghargai pengorbanan Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor itu. Baginda juga menitahkan agar Tambak Johor dirobohkan, “Biar air lalu”, berbanding dengan keputusan bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan agar projek 'Jambatan Bengkok ' dibatalkan pada bulan Mac 2006.

Semasa perasmian Dewan Undangan Negeri Johor ke XII pada tahun 2009, baginda menitahkan akan mengunakan saluran perundangan untuk mengambil kembali Pulau Batu Putih yang telah diputuskan oleh Mahkamah Antarabangsa menjadi milik Singapura. Baginda juga bertegas agar cadangan untuk ‘Jambatan Ke III’ tidak diadakan.

Petikan daripada Big Dog!

Saya mewakili YDP PERKASA Johor dan Jawatankuasanya menghulurkan salam takziah kepada Pemangku Raja Johor dan Kaum kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Tunku Sultan.

Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat keatas roh Almarhum.....Al-Fatihah.

Sultan Iskandar: Raja yang tegas, adil

Najib Pendekkan Lawatan

Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang akhbar, sebentar tadi.

Jenazah Almarhum Sultan Iskandar akan dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah jam 2 petang esok.

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, yang dilantik Pemangku Raja petang tadi, akan dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada jam 1 petang esok di Istana Besar Johor Bahru.

Esok juga diisytiharkan cuti umum untuk seluruh negeri dan Johor akan berkabung selama tujuh hari.

LAPORAN POLIS WAJAR DILAKUKAN OLEH MANA-MANA INDIVIDU YANG PRIHATIN KE ATAS PENULIS BLOG INI YANG BIADAP, ANGKUH DAN BOLEH MEWUJUDKAN KETIDAK TENTERAMAN DALAM MASYARAKT. KDN DAN KERAJAAN JOHOR JUGA WAJAR MENGAMBIL TINDAKAN KERANA AYAT-AYAT YANG TERTULIS MERUPAKAN SATU PENGHINAAN KEPADA INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU.

DYMM Sultan Iskandar Gering.




Berikutan kenyataan rasmi Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli:

Jemaah Majlis Diraja Johor memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar, Sultan Yang di-Pertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim telah dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri Johor Bahru pada 22 Januari 2010 kerana kegeringan.
Dengan itu, Jemaah Majlis Diraja Johor membuat keputusan di bawah pasal 9 (1)(B) dan 9 (2) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1995.

Setelah menerima laporan kesihatan daripada pakar-pakar perubatan, bersetuju melantik Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar, Tengku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja pada hari ini, 22 Januari 2010 bagi menjalankan tugas raja semasa kegeringan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.

Monday, January 18, 2010

Harapan Tinggi Kepada Melayu Johor.











Perlancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Johor pada 17 Januari 2010 (Ahad) yang lalu membuktikan bahawa Melayu Johor adalah benteng terakhir kepada perpaduan Melayu kerana kekuatan dan perpaduan yang ditunjukkan sejak dahulu terserlah dengan kahadiran yang ramai menyokong penubuhan PERKASA di negeri ini. PERKASA sebuah NGO diharap dapat merapatkan kembali perpecahan di kalangan orang Melayu atas nama agama dan bangsa. PERKASA amat peka dengan kedudukan orang Melayu yang semakin terancam akibat 'tikam belakang' oleh orang-orang Melayu sendiri kerana perebutan kuasa.

Menyedari hakikat ini, PERKASA akan menjadi orang tengah, penegur yang aktif dan pembangkang yang tegar bagi mempastikan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu sebagai pribumi dan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang telah pun termaktub di dalam perlembagaan itu kekal dan dipertahankan.

Cintakan perpaduan dan keamanan ini sudah lama tertanam di dalam diri dan jiwa Melayu Johor. Mereka sedar bahawa mereka tidak boleh berpecah kerana disekeliling mereka adalah musuh-musuh yang sentiasa mengintai peluang. Sekali mereka leka dan alpa, negeri tercinta ini akan tergadai. Melayu Johor tidak boleh berpecah!

Amir Hamzah
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
Setiausaha,
PERKASA Johor.

Monday, January 4, 2010

PERLANCARAN PERKASA JOHOR



JEMPUTAN KE MAJLIS PERLANCARAN PERKASA NEGERI JOHOR

Dengan segala hormatnya saya menjemput dan mempersilakan tuan puan umat Melayu ke Majlis Perlancaran PERKASA Johor seperti ketentuan berikut :

Tarikh : 17 Januari 2010
Hari : Ahad
Masa : 2.30 Petang
Tempat : Dewan Jubli Intan Batu Pahat, Johor

Perasmi: Presiden PERKASA Malaysia, Datuk Paduka Ibrahim Bin Ali Merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas.

Datang lah beramai-ramai sebagai bukti sokongan kepada suara Melayu dan kekuatan Melayu dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu di tanah airnya sendiri.

Suara kita suara keramat dan kita satukan dan gemakan di dalam PERKASA.


Sekian Terima Kasih,


Amir Hamzah bin Hj Mohamad
Setiausaha,
PERKASA Negeri Johor.