Saturday, August 29, 2009

Wira Yang Terpinggir

سلامت مڽمبوت هاري كمرديكأن نڬارا يڠ ك 52. سباڬاي ڤريبومي ساي برشكور دڠن نعمت الله د ڬري برتواه اين. برسامله كيت ممڤرتاهنكن كمرديكأن اين ستله ڬينراسي يڠ تردهولو ممڤرجواڠكنڽ دڠن سوسه دان ڤايه والاوڤون مريك تيدق مڠچاڤي كهيدوڤن سليسا سڤرتي كيت ڤد هاري اين. مودهن-مودهن الله چوچوري رحمة ك اتس روح-روح ڤجوڠ كمرديكأن نڬارا. أمين.

مرديك! مرديك! مرديك!



Setiap kali menyambut kemerdekaan negara, kita akan diulang-ulang untuk mengingati tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan negara. Setelah 52 tahun merdeka , tidak ada siapa yang boleh menafikan nikmat yang diperolehi rakyat daripada kemerdekaan itu. Sebab itu kita wajar bersyukur dan berterima kasih kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah dimulakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu seperti Mat Kilau, Datuk Maharaja Lela, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Rosli Dhobi dan lain-lain yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Kita juga wajar berterima kasih kepada perintis yang membakar api semangat merdeka yang lebih awal seperti Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestaman, Pak Sako dan lain-lain yang bergerak di bawah panji PKMM atau golongan berhaluan kiri. Walaupun pihak golongan kiri ini tidak mendapat sokongan British malah menjadi musuh kepada British maka sebagai rakyat Malaysia kita wajar berlaku adil untuk mencatat nama-nama mereka dengan tinta emas atas kepayahan, kesusahan dan keperitan mereka menyedar dan menanam benih untuk merdeka di sanubari rakyat.

Dengan tidak menafikan sumbangan mereka ,kita juga akur dengan kebijaksanaan dan kecerdikkan pemimpin-pemimpin Melayu lain seperti Dato'Onn, Tunku Abdul Rahman, Datuk Ahmad Kamil, Datuk Panglima Bukit Gantang, Tun Abd.Razak, Tun Dr Ismail dan lain-lain sebagai orang yang bertanggung jawab membawa dan merealisikan kemerdekaan itu dengan secara rundingan tanpa menumpahkan darah dan jiwa di kalangan rakyat.

Begitu banyak nama-nama besar yang mewarnai politik negara selepas itu. Selepas mencapai kemerdekaan tentulah menjadi tanggung jawab pemimpin dan rakyat sebuah negara merdeka untuk mengisi kemerdekaan itu. Pengisian kemerdekaan ini telah diteruskan oleh perdana menteri-perdana menteri Malaysia selepas Tunku Abdul Rahman. Pembangunan tanpa jaminan keselamatan sebuah negara daripada ancaman musuh tidak memberi erti kepada kemerdekaan mutlak sebuah negara. Walaupun setelah merdeka, negara masih lagi dibayangi dengan ancaman komunis yang juga berhasrat untuk menguasai negara ini.

Sebahagian daripada kita mungkin masih segar dalam ingatan tentang perjanjian damai antara PKM dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand yang ditandatangani di Hotel Gardens Haadyai pada 2 Disember 1989. Hasil daripada perjanjian damai itu maka berakhirlah peperangan bersenjata antara kedua-dua negara dengan PKM. Begitu besar jasa orang yang berjaya mencetuskan idea perdamaian ini. Nama-nama besar seperti Rahim Noor , Hanif Omar , Norian Mai dan Hashim Mohamad Ali serta rakan-rakan SBnya tentunya menghiasi dada-dada akhbar sebagai hero dan watak utama.

Tanpa menafikan juga sumbangan tokoh-tokoh itu, kita wajar juga mengkalongkan jambangan bunga kepada Haji Mokhtar Mahmud Baginda yang menjadi pencetus awal dalam melakukan rundingan di peringkat rendah yang membuka laluan kepada perundingan di peringkat tinggi sehingga terciptalah sejarah yang sangat penting kepada usaha mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. Beliau adalah HERO dan WIRA. Bukan saja jasanya tidak didendangkan malah dipinggir dan dilupakan terus lantaran adanya nama-mana besar yang menutupi nama-nama kecil.

Menjelang sambutan hari merdeka ke 52, wajar kita mengetengahkan hero-hero yang tersorok di bawah karpet ini tentang sumbangan yang tidak ternilai kepada negara tercinta ini. Mereka adalah kalangan rakyat biasa tetapi memberi sumbangan luar biasa kepada keselamatan negara. Bagi mengenali dan menghayati sumbangan tokoh ini elok saya paparkan dua artikal yang berkaitan. Artikel yang bertajuk MOKHTAR BAGINDA HERO TIDAK DIDENDANG LAGI TERPINGGIR dan DARI JEJAK KASIH KEPADA MEMBELA NEGARA jika kita menghayatinya sudah tentu kita tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih kepada insan istimewa ini.

Selamat menyambut hari kemerdekaan ke 52.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Friday, August 28, 2009

Kepala Lembu, Kepala Babi dan Khairy.







Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin telah mengutuk tindakan sekumpulan orang Islam menunjuk perasaan dengan membawa kepala lembu dihadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini kerana membantah pembinaan kuil Hindu di kawasan majoriti Islam.

Menurut portal berita Malaysiakini Khairy yang marah telah bertanya bagaimanakah perasaan orang Islam kiranya bukan Melayu menunjuk perasaan dengan membakar Quran di hadapan Masjid? klik di sini untuk bacaan selanjutnya. Ianya juga adalah selaras dengan kekesalan Najib Razak dengan tindakan penduduk mengarak kepala lembu sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka. Klik di sini untuk laporan penuh.

Nampaknya kenyataan Khairy selari dengan kenyataan PM. Baguslah begitu. Ulasan-ulasannya juga melihatkan kematangannya sebagai ketua pemuda BN. Lebih-lebih lagi apabila beliau berkata, "Sekiranya mereka yang melakukan perarakan ini tidak senang dengan cadangan pembinaan kuil di kawasan perumahan mereka pun, mereka sepatutnya menggunakan saluran yang sedia ada untuk meluahkan ketidakpuashatian sejajar dengan semangat sivik atau kemasyarakatan". Nampaknya kenyataan-kenyataan ini seolah-olah Khairy tidak pernah menyertai mana-mana demontrasi anjuran Pemuda UMNO atau Pemuda BN. Benarkah begitu? Jika beliau pernah mengetuai mana-mana demontrasi semasa menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO dulu, semangat sivik dan kemasyarakatan mana yang beliau anut ketika itu?

Seperkara lagi apabila Khairy berkata, "tidakkah perarakan kepala lembu yang dipenggal itu tidak serupa menghina? Di manakah semangat 1Malaysia yang wajar dipraktikkan terutamanya oleh orang Melayu Islam sebagai golongan majoriti negara ini?". Jarang Khairy bercakap tentang 1Malaysia. Sejak bila pulak dia faham tentang 1Malaysia? Sedangkan Tun Mahathir yang cerdik pun belum faham-faham. Adakah dengan mempromosi 1Malaysia akan membuatkan beliau semakin rapat dengan PM sedangkan di luar sana sudah berdentum dentam guruh di langit meminta pucuk pimpinan UMNO membersihkan UMNO daripada sampah sarap rasuah?

Sebelum ini tidak kedengaran pula komen Khairy apabila beberapa ketul kepala babi digantung di surau dan masjid di Melaka apabila isu babi memuncak di negeri itu. Bagaimana pula sekumpulan orang Hindu yang mewakili Hindraf telah menceroboh masuk ke Majlis Terbuka Hariraya Idilfitri yang diberikan oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi tahun lalu untuk menunjuk perasaan tetapi tidak mendatangkan sebarang reaksi dari Khairy?

Kalau kepala lembu yang mungkin menghina penganut-penganut agama Hindu dijadikan isu mengapa kepala babi hanya menjadi cerita sampingan. Benarkah kumpulan seramai 50 orang itu membawa kepala lembu itu semata-mata hendak menghina orang Hindu? Kalau mereka kata mereka tidak tahu bahawa lembu itu adalah binatang sensitif bagi orang Hindu, bagaimana pula?. Orang bukan Melayu di negara ini ambil tahu sangat ke tentang sensitiviti agama Islam dan orang Melayu. Kalau mereka sensitif dengan perasaan orang Melayu dan agama Islam mereka tidak akan meneruskan usaha membina kuil di Seksyen 23 yang mendapat tentangan daripada penduduk Islam tempatan

Malaysiakini memetik kata-kata wakil penduduk sebagai maksud kepala lembu itu "Mungkin mereka maksudkan kepala lembu dengan kebodohan. Dalam budaya Melayu, lembu ini simbol kebodohan, pemimpin yang bodoh," Sesuailah kepala lembu itu dihadiahkan kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah.

Bagi Khairy, duduklah di tempat mereka. Mereka bukan mahu kuil itu dibatalkan tetapi mahu agar kuil itu dipindahkan dari Sekysen 23, ke Seksyen 22. Sepatutnya sebagai pemimpin anda perlu ambil tahu masalah mereka kerana kemungkinan ada di antara mereka itu pemuda-pemuda UMNO yang menyokong anda menjadi Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, August 27, 2009

MCA Mendahului UMNO....


Apabila disebut tentang perubahan dalam parti selalunya harapan orang yang bercakap dan mendengar ialah akan ada perubahan paradigma, perubahan sikap, perubahan secara fikizal atau perubahan kepada penstrukturan semula parti dan sebagainya. Najib sebagai Presiden UMNO pernah bercakap tentang perubahan atau berani berubah, jika tidak, pilih antara berubah atau rebah. Kadang-kadang ianya hanya retorik dan sebagai ulam dan perasa kepada sesuatu ucapan yang berseni dan berkobar-kobar tetapi dari segi tindakan hanyalah seperti tin kosong.

Dari segi memulakan perubahan ini, MCA nampaknya telah mendahului UMNO dalam tindakan. Dengan mengenepikan faktur persaingan politik dalam parti serta konspirasi, MCA telah mengambil langkah yang tepat dengan menyingkirkan Timbalan Presidennya Chua Soi Lek dari parti kerana pendedahan skandal seksnya telah merosakkan imej parti.

Ceritanya hampir-hampir sama ketika Tun Mahathir memecat Anwar Ibrahim daripada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1998. Nasib baik tidak ada DVD atau VCD yang merakamkan salah laku seks oleh Anwar Ibrahim terhadap Azizan, Sukma dan Dr Munawer ,jika tidak DVD dan VCD sudah lama tersebar sepertimana tersebarnya DVD/VCD Chua disekitar Muar dan Batu Pahat pada tahun 2007 dahulu. Cuma yang tersebar adalah buku '50 dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM'.

Apakah alasan Tun ketika memecat Anwar? Seingat saya kesalahan moral Anwar sebagai seorang peliwat tidak melayakkan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang juga ketua kerajaan bagi sebuah negara seperti Malaysia. Apakah ketika itu semua menteri, rakyat dan pembesar negara menerimanya? Tidak sama sekali dan bermula saat itu Tun melalui zaman sukar dalam sejarah kariernya sebagai PM walaupun sebelum itu beliau telah melalui pelbagai krisis dalam UMNO. Bermula lah istilah 'reformasi' yang menjadi kegilaan sebahagian rakyat untuk berhimpun dan berpesta pada setiap hari Sabtu di Jalan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur.

Apakah andaian media, penulis politik, sebahagian rakyat dan ahli-ahli politik pada masa itu? Antara andaian yang popular adalah antaranya, Anwar akan menentang Tun sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan Perhimpunan Agung tahun 1999. Disebabkan takut akan sokongan Anwar di segenap bahagian UMNO seluruh negara, maka dikatakan Tun berasa gentar dan mengambil keputusan mencantas Anwar lebih awal supaya kedudukannya sebagai Presiden UMNO pada tahun 1999 akan selamat. Maka ketika itu muncul lagi istilah yang popular iaitu 'konspirasi' politik yang dilakukan oleh Tun terhadap Anwar.

Tidak samakah yang dilakukan oleh Ong Tee Keat terhadap Chua Soi Lek pada hari ini? Memang ramai akan membuat andaian bahawa Chua adalah seteru paling rapat bagi Ong, maka Chua mesti di 'checkmate' dengan segera. Tidak kurang juga akan marah kerana Chua dipilih oleh perwakilan sebagai Timbalan Presiden MCA, apa bezanya Anwar yang juga dipilih oleh perwakilan semasa menjadi Timbalan Presiden UMNO? Apa salahnya Ong dan Tun Mahathir ketika memecat Chua dan Anwar?

Setidak-tidaknya MCA sudah mengambil langkah pembersihan lebih awal.Tindakan itu sekali gus menafikan anggapan ramai bahawa orang Cina boleh menerima kehidupan yang tidak bermoral, seperti yang dilakukan oleh Chua Soi Lek. Malah sudah menjadi suatu keharusan bagi setiap lelaki Cina sedangkan pada hakikatnya wanita Cina pada keseluruhannya tetap tidak dapat menerima perbuatan suami mereka menyimpan perempuan lain atau 'bini kecik' dan sebagainya. Selain itu keputusan MCA in menunjukan bahawa Presidennya Ong Tee Kiat berhasrat untuk memutihkan parti tidak sahaja dari segi rasuah politik tetapi juga moral kepimpinan untuk menjadikan MCA sebuah parti yang cekap , bersih dan amanah. Salahkah? Kata suruh buat perubahan?

Tindakan MCA ini juga akan membezakan MCA dari parti DAP yang telah menginjak-injak nilai-nilai moral yang menjadi asas utamanya demi untuk kepentingan mencapai matlamat politik. Orang ramai telah mengetahui tidak lama dahulu DAP telah mengekalkan kedudukan seorang ADUN nya di Selangor yang bersekedudukan dengan seorang lelaki Melayu yang gambar bogelnya tersebar luas. DAP telah melencong jauh dari keperibadian parti PAP yang melahirkannya yang mengutamakan kebersihan moral dari keseronokan hidup, ketamakkan dan hak kebebasan diri.

Pemimpin DAP sekarang mempertahankan rasuah dan penyelewengan ahlinya dari landasan yang benar. Pemimpin besar nya Lim Kit Siang asyik menuding jari kepada kekotoran parti lain tanpa melihat rumahnya sendiri penuh dengan sampah sarap.(maharajablogger)

Seperti yang dijangka, penyokong-penyokong Chua akan bertindak balas. Hari ini mereka telah memulakan kempen peringkat nasional untuk mendapatkan persetujuan perwakilan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam tempoh dua minggu lagi, untuk melucutkan jawatan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat. Cara ini mungkin menyamai tindakan kroni-kroni Anwar mengerakkan demontrasi reformasi saban minggu di Kuala Lumpur untuk mendesak dan menekan Tun Mahathir meletakkan jawatan.

Setiap tindakan pasti ada risikonya. Ada kos melepas yang perlu dibayar. Ada yang berkorban dan terkorban. Bukankah slogan berani berubah sentiasa berkumandang selepas pilihanraya ke 12 lalu bukan sahaja kepada UMNO malah parti-parti komponan BN yang lain. Lebih-lebih lagi MCA yang kalah teruk dan banyak kehilangan kerusi kepada DAP dan PKR. Kalau dengan membersihkan dalang-dalang dan musuh-musuh dalam selimut ini boleh memacu MCA semula dan menjadi rakan politik yang tidak membawa beban kepada UMNO, apa salahnya?

Cuma sekarang ini, bila pulakah UMNO yang hendak melakukan perubahan setidak-tidaknya menstrukturkan semula parti dan membersihkan parti daripada pemimpin-pemimpin yang sudah dicopkan perasuah tetapi masih bebas di dalam parti? MCA sudah membuka jalan, UMNO perlu berani mengorbankan pemimpin-pemimpin yang sudah tidak disukai rakyat. Inilah yang dikatakan 'berani berubah'.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, August 26, 2009

Jui Meng Menanti Soi Lek di Pintu PKR.



Malam tadi selepas sembahyang terawikh di Masjid Dato'Bentara Luar, Batu Pahat saya melintasi bangunan MCA Batu Pahat di persimpangan Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggung Ibrahim. Tidak ada perkara pelik berlaku, cuma papan tanda MCA Batu Pahat baru saja dipasang di bangunan baru 4 tingkat itu. bangunan itu kepunyaan Chua Soi Lek. Waktu itu jam 10.10 malam Chua Soi Lek belum lagi dipecat dan disingkirkan daripada MCA.

Setelah membaca agendadaily.com selepas bersahur pagi ini barulah saya tahu. Agendadaily.com melaporkan 'dalam mesyuarat lebih lima jam mulai 7 malam di Wisma MCA,Kuala Lumpur Majlis Presiden itu mengambil keputusan menerima cadangan Lembaga Disiplin parti agar bekas Menteri Kesihatan itu disingkir kerana menjejaskan imej parti ekoran skandal seksnya dengan teman wanitanya yang dirakam secara sulit di sebuah hotel di Batu Pahat.

Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat ketika mengumumkan keputusan itu pada sidang akhbar jam 12.15 pagi Khamis berkata mesyuarat Majlis Presiden MCA menerima dengan sebulat suara cadangan Jawatankuasa Disiplin parti itu'

Tindakan MCA yang berani ini sama ada akan membuatkan Ong Tee Keat tidur lena buat sementara waktu atau mengundang lebih banyak cerita-cerita panas yang bakal muncul. Tindakan MCA ini sudah dijangka kerana Chua adalah musuh dan seteru Ong malah boleh dikatakan sebagai pencabar terdekat kepada presiden MCA itu. Sebagai Timbalan Presiden yang dipilih oleh perwakilan kemungkinan keputusan ini akan mendapat reaksi aggresif daripada penyokong-penyokong Chua. Kita tunggu saja lah.........

Chua di dalam reaksi awalnya memberitahu bahawa beliau tidak akan menyertai mana-mana parti pembangkang. Adakah ianya benar atau sekadar cakap-cakap politik sahaja. Chua Jui Meng sewaktu mengisyhtiharkan keluar MCA berkata seperti itu juga. Tetapi akhirnya ke pangkuan Anwar juga dia bergayut. Tambahan pula Chua Soi Lek telah dikesan mengadakan pertemuan sulit dengan Anwar pada tahun 2008 lalu. Klik di sini.

Chua Soi Lek tidak ada pilihan lain. Papan tanda MCA Batu Pahat rasanya masih baru lagi di pasang. Soi Lek rasanya sudah menyampah dengan papan tanda itu. Malam ini Ong Tee Keat benar-benar telah 'checkmate' dirinya dalam MCA sepertimana Tun Mahathir 'checkmate' Anwar tahun 1998 dulu. Adakah Chua Soi Lek akan membuat demontrasi jalanan selepas dipecat seperti mana Anwar yang tidak boleh menerima hakikat bahawa beliau telah dipecat. Rasanya tidak kerana orang Cina tidak suka berdemontrasi lebih-lebih lagi di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Paling tidak, suka atau tidak untuk kita mendengarnya lambat laun Chua akan menyertai PKR juga seperti mana regunya yang telah sedia menanti. Chua tidak akan berasa canggung kerana Jui Meng sudah membuka jalan. Anwar, Soi Lek dan Jui Meng adalah veteran-vetaran politik yang bukan asing bagi mereka bertiga. Chua dikatakan agak kecewa apabila beliau berkata 'laporan jawatankuasa disiplin yang dihantar kepadanya jam 5.30 petang ini mendedahkan syor memecat beliau. Majlis Presiden selalunya sekadar "cop getah" untuk meluluskan syor yang dibuat oleh jawatankuasa disiplin'

Sama ada tindakan MCA ini tepat dan betul atau sebaliknya? Ianya bukan penting sangat untuk difikirkan kerana MCA bukan rakan yang baik dalam BN. MCA gagal menarik pengundi Cina kepada BN. MCA adalah beban kepada BN seperti Gerakan juga. Mereka hanya pandai menuntut bermacam-macam bukan untuk memulihkan keadaan malah menekan BN khususnya UMNO.
Biarlah sama ada hendak hidup atau mati.........Aiman tak kisahhhhhh....

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Permatang Pasir: Mampukah Najib-Muhyiddin sekat Anwar ?





Perlu diingat DUN Permatang Pasir adalah kerusi kepunyaan PAS sejak pilihanraya 1999 lagi. Walaupun BN menang besar pilihanraya 2004 tetapi kerusi DUN ini masih kekal di tangan PAS. Apatah lagi piliharaya umum 2008, Pilihanraya kecil Permatang Pauh dan terakhir Pilihanraya Kecil Permatang Pasir.

Peti undi PAS BN majoriti

Samagagah 1397 594 803
Pmtg Ara 1397 1075 322
Pmtg Pauh 875 354 521
Bkt.Indera Muda 1302 862 440
Kg Pelet 738 546 192
Kubang Semang 773 275 498
Tanah Liat 971 500 471
Cross Street 938 300 638
Pmtg Tengah 1225 555 570
undi pos 2 6 4

umno cuma menang undi pos hehehe....

Seperti dijangkakan ramai orang, PAS mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir apabila calonnya, Salleh Man menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi. Salleh berjaya memperolehi 9,618 undi manakala Rohaizat pula meraih 5,067 undi.Pada pilihan raya kecil kali ini, seramai 14,832 atau 73.1 peratus pengundi daripada 20,290 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Pendek kata tidak ada satu ulasan yang menarik yang boleh diberikan berikutan kekalahan BN ini.

1. Permatang Pasir adalah kawasan PAS sejak pilihanraya Umum 1999. DUN ini adalah terletak di dalam Parlimen Permatang Pauh. Ini menunjukkan Pakatan Rakyat masih utuh dan tidak retak seperti mana yang disangkakan.

2. Momentum sokongan rakyat masih terus menerus kepada Pakatan Rakyat dan sememangnya kawasan yang ditandingi memang kerusi pembangkang kecuali Parlimen Kuala Terengganu yang terlepas kepada PAS. Andai kata pilihanraya kecil ini berlaku di Parlimen Rembau atau Parlimen Johor Bahru di kala ini, adakah momentum ini akan berterusan atau beralih arah? Atau pun berlaku pilihanraya kecil disalah satu DUN dalam Parlimen Pagoh atau Pekan?

3. Pengundi-pengundi Cina semakin berminat dengan Pakatan Rakyat. Konsep 1Malaysia tidak dapat menambat hati pengundi Cina kerana slogan Harapan Baru Rakyat Malaysia ciptaan Anwar lebih menarik. Mereka berpendapat slogan 1Malaysia adalah palsu kerana ianya datang kemudian setelah Anwar mengwar-warkan konsep Harapan Baru Rakyat Malaysia. Kesimpulannya tidak perlu lagi menambat hati Cina-Cina ni, 8 pilihanraya kecil sudah memadai untuk memahami kehendak mereka, MCA, Gerakan dan DAP sudah satu hati untuk ajar UMNO. Itu saja.

4. Pilihanraya-pilihanraya kecil yang telah berlaku, bukan ukuran sebenar tentang penolakan rakyat keseluruhannya. BN masih kuat di Sabah dan Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung. Tetapi ianya bukan satu jalan mudah untuk BN lepas tangan kerana Pakatan BN- UMNO,MIC dan MCA semakin longgar. Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR-PAS dan DAP masih utuh walaupun mereka diserang dari pelbagai sudut.

5. Berikutan dengan itu ketokohan Najib dan Anwar menjadi perbandingan. Najib sebagai pengerusi BN kelihatan lemah dan tidak boleh membangkitkan semula kekuatan MCA dan MIC. Krisis-krisis di dalam MCA dan MIC berterusan. Isu-Isu pemimpin kedua-dua parti tidak habis-habis. Kelemahan MCA dan MIC memperlihatkan kelemahan BN. Apatah lagi Parti Gerakan yang semakin menjauhkan diri. Berbanding dengan ketokohan Anwar Ibrahim di dalam Pakatan Rakyat yang mudah mengawal PAS dan DAP apabila berlaku sesuatu krisis. Kejayaan Anwar mengawal dua parti yang berbeza langsung dari segi perjuangan adalah satu bonus kepada Anwar. Rakyat semakin hari semakin yakin dengan Pakatan Rakyat.

6. Jika Pakatan Rakyat ini kekal teguh berdiri di belakang Anwar ianya satu ancaman besar kepada BN dalam PRU ke 13. Pakatan Rakyat hanya boleh bersatu kerana adanya Anwar. Inilah senjata besar kepada BN. Bagaimana hendak menyekat Anwar daripada terus memperkudakan PAS dan DAP bagi mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri?
Masa masih ada beberapa tahun. Mampukah Najib dan Muhyiddin berganding bahu melawan bekas bosnya itu?

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.

Tuesday, August 25, 2009

Usik , Sindir Atau Hina Perdana Menteri?


Perdana Menteri ialah menteri yang paling kanan dalam kabinet, sebahagian cabang eksekutif dalam sistem berparlimen. Walaupun perdana menteri biasanya merupakan ahli politik, ini tidak semestinya.

Dalam banyak sistem, Perdana Menteri memilih serta boleh memecat ahli-ahli kabinet, dan memperuntukkan jawatan kepada ahli-ahli dalam Kerajaan. Dalam kebanyakan sistem, perdana menteri merupakan pengerusi kabinet. Dalam sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, perdana menteri ialah ketua kerajaan, manakala ketua negara ialah DYMM Seri Paduka Baginda yang di Pertuan Agong.

Hari ini, Najib Tun Abdul Razak adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 dan beliau adalah ketua kerajaan Malaysia. Walaupun kerajaan yang dipimpin oleh Najib gagal mendapat majoriti 2/3 kerusi di Parlimen tetapi kerajaan yang ada adalah pilihan majoriti rakyat Malaysia.

Tun Abdul Razak pernah dibaling dengan buah tomato oleh pelajar-pelajar Malaysia ketika Allahyarham Tun melawat China pada tahun 1974. Hari ini anaknya, telah dilaporkan oleh Malaysiakini disindir oleh sebuah majalah humor di dalam tajuk beritanya 'Sindir PM, majalah humor dirampas'. Antara kandungannya, ialah memaparkan gelagat Najib yang tersilap mengibarkan BENDERA MONGOLIA bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Nampaknya walaupun Najib sudah bersumpah tiga kali bahawa beliau tidak mengenali siapa itu Athantuya Syahribu sekali gus menafikan penglibatannya di dalam kes pembunuhan yang telah pun selesai tetapi ceritanya masih 'hidup' hingga ke hari ini.
Majalah humur ini benar-benar ingin mengusik Perdana Menteri dan setakat mana Perdana Menteri boleh menahan sabar.

Sama ada ianya mengusik, menyindir atau menghina Perdana menteri, kita ingin melihat apa tindakan ahli-ahli UMNO, Menteri Dalam Negeri yang juga sepupu Najib dan juga Najib sendiri. Kes ini nampak seperti lawak jenaka tetapi siapakah target atau kumpulan sasaran majalah ini. Walaupun majalah ini bersifat Humor sambil bersantai tetapi mempunyai impak yang besar. Tentulah mensasarkan golongan muda, belia, peminat-peminat majalah Humor tanpa mengira umur malah lebih parah golongan kanak-kanak. Tidak terkecuali pelajar-pelajar sekolah dan IPTA. Kesannya adalah kesan jangka panjang dan majalah ini ada agenda tersembunyi.

Saya tidak hairan dengan situasi semasa kerana serangan peribadi sudah menjadi senjata ampuh untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin. Sambutan kemerdekaan kali ke 52 semakin hampir, ini bermakna sudah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan. Kita sudah mempunyai 6 perdana menteri. Malangnya PM yang ke 6, sering diusik, disindir dan dihina dengan perkara yang sama. Di manakah nilai dan penghormatan kepada jawatan Perdana Menteri sebagai ketua negara?

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, August 24, 2009

Hairan : Anwar Tidak Pernah Belasah Ezam!


ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh telah keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas. Sama ada dia keluar atas kehendak dirinya sendiri atau kerana 'dibeli' oleh UMNO bukan perkara penting. Rakyat bukan hirau sangat macam mana dia keluar tetapi rakyat hendak tahu sebab apa dia keluar. Peristiwa keluar masuk parti ni bukan cerita aneh waktu ini. Sekejap heboh orang UMNO, MCA atau MIC masuk PKR, tidak lama keluar berita orang PKR keluar parti pulak. Rakyat tidak hairan pun. Paling lama orang bercerita cuma sehari.

Alkisah ceritanya kenapa ADUN Lunas ini keluar PKR telah pun diceritakan oleh pembantunya, bukan tuan badannya sendiri. Kononnya,masalah kekurangan dana dan masalah berpuak-puak dalam parti.Beliau sudah lama tidak puas hati terhadap kepimpinan PKR peringkat pusat dan negeri.

Kalau minta kerajaan Kedah logik juga tidak berduit tetapi PKR pusat tidak mungkin tidak mempunyai duit yang cukup. Rasa-rasanya DUN ini pun maklum benar PKR pusat memang berduit sebab itu dia merajuk. Disebabkan beliau ini bukan kroni rapat Anwar sudah tentu layanan tidak sama dengan layanan Anwar dengan Azmin Ali misalnya. Mungkin DUN Lunas ni tidak sedar diri agaknya. DUN Lunas ini tidak tahu kah masalah kronisme dan nepotisme sudah disuburkan oleh Anwar ketika dia dalam UMNO lagi?

Dakwaan kekurangan dana dan masalah berpuak-puak di dalam parti ini diulas atau tidak oleh Anwar semasa beliau memberi komen kepada DUN Lunas yang keluar PKR. Ikuti ulasan Anwar di bawah ini yang dipetik daripada anwaribrahimblog.com:

Mengkhianati Amanah Rakyat Hanya Menggamit Jalan Buntu

'Hari ini saya difahamkan Adun Lunas Sdr Radzhi Salleh telahpun mengisytiharkan keluar dari parti. Pimpinan parti sememangnya memandang serius prestasi beliau yang terbukti lemah sepanjang menjawat jawatan dalam kerajaan negeri. Turut mengecewakan pimpinan ialah tuntutan perbelanjaan beliau yang tidak munasabah dan masalah perkahwinannya di Thailand. Amaran keras telahpun diberikan agar segera meningkatkan prestasi kerja dan memperkukuh khidmatnya di kawasan. Nampaknya nasihat dan amaran kami tidak beliau endahkan, lalu mengambil tindakan mengistiharkan keluar dari parti hari ini. Apapun alasan yang diberikan oleh beliau, saya berharap Sdr Radzhi sedar bahawa jangan sesekali bertindak mengkhianati amanah rakyat. Kerana “sesiapa yang menyemai angin, dia pastinya menuai badai.”

Seperti yang dijangkakan, mendekati tarikh mengundi Selasa ini, pastinya ada serangan bertujuan mengalih pandangan bersertakan cita-cita menggugat kerjasama kempen Pakatan Rakyat di Permatang Pasir. Adakah episod ini membabitkan tawaran sogokan jutaan ringgit? Saya tidak yakin SPRM yang dicurigai kewibawaannya mampu menjalankan siasatan tanpa ditunjuki serta berupaya memberi sebarang penjelasan memuaskan'

Jika kita lihat komen Anwar ini tidak pula dia menjawab berkenaan dengan masalah kekurangan dana dan perpecahan dalaman PKR termasuklah isu berpuak-puak dalam PKR. Sebaliknya mengatakan ADUN ini telah 'dibeli' berjuta ringgit. Setidak-tidaknya jawab lah dakwaan ADUN tersebut. Kalau tidak jawab, orang akan bersangkakan benar. Jadi kesimpulannya, kalau semasa baik, ADUN ini akan disanjung tetapi apabila sudah tidak tidur sebantal habis madu sepah dibuang. Keluarlah prestasi kerja yang lemah, tuntutan perbelanjaan melampau dan kahwin lain di Thailand. Kasihan......

Paling muskhil di hati saya, kalau ada DUN PKR keluar daripada parti mereka, tunggulah komen dan ulasan Anwar. Tetapi sudah hampir setahun Ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Noor keluar PKR dan masuk UMNO belum terdengar lagi Anwar 'membelasah' Ezam kecuali pencacai-pencacainya saja. Adakah kerana Ezam banyak menyimpan rahsia-rahsia Anwar? Tidak teringin ke Anwar membelasah Ezam sedangkan Ezam sudah pun 'menelanjangi' Anwar beberapa kali terutamanya semasa PRK Permatang Pauh dahulu. Sabar menanti........

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Sunday, August 23, 2009

Sudah Terlambat ! Yusri........


Malaysiakini 22 Ogos 2009 melaporkan, Yusri Isahak bekas rakan kongsi firma guaman calon BN, Rohaizat Othman menafikan bahawa beliau dipergunakan oleh PAS dalam kempen pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir."Saya muncul adalah untuk membersihkan nama saya. Ada pihak mendakwa saya memihak kepada PAS, didesak dan dipergunakan oleh PAS, saya nafi sekeras-kerasnya.

"Saya ke pentas PAS adalah atas kehendak hati saya sendiri," kata Yusri dalam ceramah PAS di di hadapan Kedai Asri di Permatang Tengah malam tadi. Beliau menggunakan pentas ceramah dalam pilihanraya kecil tersebut untuk membersihkan namanya yang didakwa bertanggungjawab berhubung isu penyelewengan wang Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang.

Yusri menolak dakwaan Umno bahawa beliau adalah rakan kongsi yang menyebabkan calon BN Rohaizat Othman dibatalkan lesen guamannya oleh Majlis Peguam.Beliau menyifatkan sebagai satu pembohongan dakwaan Umno bahawa Rohaizat tidak terlibat dan tidak tahu menahu berhubung transaksi wang koperasi itu.Walaupun muncul sekadar lima minit tetapi Yusri mampu menarik kehadiran orang ramai untuk mendengar penjelasannya itu.

Berita sebelumnya 20 Ogos 2009, Malaysiakini turut melaporkan 'Yusri buat penjelasan atas pentas PAS'. Menurut laporan itu, Yusri akan menggunakan pentas ceramah pembangkang bagi membersihkan dirinya berhubung kes pembelian hartanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) pada 2002. Yusri Isahak berkata, beliau akan menemui kepimpinan PAS dan PKR untuk menggunakan pentas ceramah mereka bagi memberi penjelasan mengenai isu tersebut serta membersihkan dirinya.

Malangnya apabila Yusri membuat sidang akhbar kali ke 2, di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur pada pukul 5 petang tadi tidak adapun laporan oleh Malaysiakini. Tapi itu bukan isunya, isunya sidang akhbar kali ke 2 ni sudah terlambat dan keadaan sudah menjadi lintang pukang. Hari ini Yusri menyatakan beliau tidak ditawarkan ganjaran untuk tampil memberi kenyataan. Beliau memohon kesemua pihak bermuhasabah dan hentikan sengketa. Pulak dah!. Percayakah orang? Tentu sekali rakyat akan menyangka bahawa sudah tentu berapa puluh ribu UMNO telah bayar kepada En.Yusri untuk sidang akhbar kali ke 2 ni.

Walaupun tujuan Yusri kali ini lebih untuk mempertahankan Rohaizat,tetapi perlu diingat tindakan beliau sebelum ini telah memberi peluru dan digunakan oleh pihak PAS untuk mengadakan kempen peribadi terhadap Rohaizat. Malang sekali bagi BN, strategi pembangunan yang ingin dibawa strategi bertahan pula yang terpaksa digunakan untuk mempertahankan calon. Malang juga bagi Rohaizat umpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila kes perkahwinan keduanya juga dijadikan bahan kempen.

Ramai pemerhati politik tidak menyangka bahawa isu calon yang mendominasikan kempen PRK Permatang Pasir. Sepatutnya Permatang Pasir menjadi medan 'rezeki terpijak' seperti mana PRK di tempat lain. Adakah situasi yang berlaku di Permatang Pasir dengan serangan ke atas calon BN akan memberi undi simpati kepadanya atau menjadi semakin buruk hanya akan ditentukan oleh pengundi di Permatang Pasir sendiri. Walaubagaimana pun tindakan Yusri itu bolehkah membawa kesan positif atau negatif ke atas sahabatnya itu?

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, August 22, 2009

Pengundi Hantu : Bila Hendak Selesai ?


Isu pengundi hantu ini selalunya sering dibangkitkan oleh pihak pembangkang. Agak pelik juga jika pilihanraya kecil Permatang Pasir keadaan sebaliknya berlaku. Setakat ini selepas laporan oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang,(Klik di sini) dua hari lalu, Puteri UMNO negeri(Klik di sini) turut membuat laporan polis pada petang Sabtu mengenai kewujudan pengundi hantu atau pengundi setinggan di kawasan Permatang Pasir. Adakah kemungkinan jika kawasan itu memang kawasan kuat penyokong pembangkang maka pengundi hantu ini dibiarkan saja tetapi sebaliknya jika kawasan itu kawasan penyokong tegar BN maka menyalak-nyalak lah suara mengatakan wujudnya pengundi hantu itu.

Apakah yang dimaksudkan pengundi hantu?

Pengundi hantu adalah istilah politik kepada pengundi sama ada:-
Contoh pengundi hantu (SPR)

* Pengundi itu berumur lebih daripada 120 tahun (lihat contoh SPR di bawah)

* Pengundi beralamatkan rumah yang mengandungi lebih daripada 20 orang.
* Pengundi itu tiada kaitan dengan pemilik alamat berdaftar pengundi berkenaan.
* Pengundi yang sama didaftarkan lebih daripada sekali. Ini sering berlaku di kalangan pengundi tentera(Klik di sini) yang merupakan pengundi pos dan juga pengundi biasa. Dalam konteks ini, mereka didaftarkan dengan nombor tentera untuk undian pos manakala nombor kad pengenalan Malaysia untuk undian biasa.

Perlukah kita menyalahkan SPR dalam hal ini? Apa kata SPR ? Pihak SPR pula menjelaskan bahawa mereka hanya boleh mengeluarkan nama seseorang pengundi jika disertakan bukti (surat mati), dan tidak boleh menerima maklumat lisan. Oleh itu nama mereka yang meninggal dunia akan kekal dalam senarai sehingga dilaporkan oleh waris beserta surat mati atau dokumen rasmi yang lain. SPR juga memerlukan kuasa untuk mengadakan daftar pemilih baru dari semasa ke semasa dan kuasa bagi melupuskan senarai lama (termasuk mereka yang telah meninggal dunia). Sehubungan itu, pihak SRR meminta waris yang mengetahui saudara mara sudah meninggal dunia, mengemukakan salinan sijil kematian atau permit mengebumikan individu terbabit supaya SPR dapat membuat semakan.

Menurut undang-undang Malaysia, seseorang pengundi hantu, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.

Berdasarkan laporan yang pernah dibuat oleh pihak pembangkang (klik di sini) dan juga laporan polis oleh Pemuda dan Puteri UMNO menunjukkan bahawa memang wujud manusia-manusia yang menjadi pengundi hantu ini. Cuma bezanya jika kawasan itu kubu BN maka pihak pembangkang akan bersuara dan begitu juga jika berlaku di kawasan yang kuat pengaruh pembangkang maka UMNO pula yang bersuara. Setakat ini sudah berapa kes / orang yang pernah didakwa atas dakwaan pengundi hantu ini? Tak tau ! Kenapa tidak buat pendakwaan kerana kesalahan ini memang ada di dalam peruntukan undang-undang beserta dengan hukuman sekali.

Berdasarkan penerangan SPR maka parti-parti politik dan individu-individu tertentu yang tidak mengambil berat untuk menghapuskan masalah-masalah pengundi hantu ini. Perkara ini tidak boleh dibiarkan sehingga menjadi barah yang boleh menjadikan keputusan sesuatu pilihanraya itu tidak 'diiktiraf' gara-gara masalah 'pengundi hantu'. SPR rasanya boleh mencipta satu sistem yang lebih mudah untuk parti-parti politik 'membuang' pengundi-pengundi hantu dalam daftar pemilih pengundi. Dengan sistem pengkomputeran canggih sekarang, SPR tidak hanya boleh mengharapkan cara konvensional dan manual untuk menyelesaikan masalah pengundi hantu ini.

Pilihanraya Umum ke 13 akan datang dijangkakan menjadi medan pilihanraya terhebat dalam sejarah. Pilihanraya Umum akan datang akan menentukan kerajaan mana yang menjadi pilihan rakyat. Kerajaan yang ada memerlukan mandat baru rakyat atau akan kehilangan kuasa. Oleh itu SPR diharapkan dapat bertindak cekap dan telus untuk menjadikan pilihanraya di Malaysia ini bersih, tepat dan betul.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.

Friday, August 21, 2009

Ramadhan Al-Mubarak Datang Lagi....


Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan sihat tubuh badan supaya kita dapat menjalankan ibadat puasa dengan lebih sempurna.

Terima kasih kepada pengunjung-pengunjung blog saya yang tidak seberapa ini. Tidak ketinggalan kepada para pengunjung yang sudi memberi komen-komen di dalam blog 'segalanya mungkin'. Semoga Allah memberkati ibadah-ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang mulia. Kepada Allah Kita Berserah.

Antara sms yang menarik saya terima daripada kawan-kawan :

"Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak" semuga kita tidak lupa renew lesen mulut, serviskan hati, kawal kadar pencemaran mata & telinga, peliharalah enjin perut, tax minda & cukai kesabaran...anda mungkin salah seorang pemenang Anugerah Malam Lailatul Qadar 2009 bersamaa 1430H..........

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, August 20, 2009

Lagu Khas Mengenang Jasa Tun M.


Mencipta lagu untuk Tun Mahathir mungkin kali pertama. Jikalau mencipta sajak untuk Tun sudah acap kali kita dengar. Malah Tun sendiri pernah mendeklamasikan sajaknya yang berjudul 'Perjuangan Yang Belum Selesai'

Penghasilan lagu dan CD ini bertepatan untuk mengiktiraf jasa dan kepimpinan Tun Dr. Mahathir yang mentadbir negara selama 22 tahun. Ianya juga mungkin boleh dijadikan hadiah untuk negarawan ini sempena sambutan hari kemerdekaan negara kali ke 52.

Berita penuh boleh klik di sini.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

PRK Permatang Pasir : Batang Tubuh Anwar Masih Penentu.



KEMPEN Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir telah pun bermula namun pelbagai isu telah pun dibangkitkan pihak lawan termasuk menyerang peribadi calon Barisan Nasional (BN).Sebelum penamaan calon tempohari terlalu banyak isu dan senjata yang boleh dijadikan bahan atau 'buah tangan' kepada pengundi-pengundi di Permatang Pasir. Isu-isu Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang mutakhir ini sudah boleh dijadikan 'modal' untuk bersembang-sembang dengan pengundi bahawa Pakatan Rakyat belum bersedia untuk menggantikan kerajaan yang ada sekarang.

Namun begitu kita jangan lupa bahawa DUN Permatang Pasir terletak di dalam Parlimen Permatang Pauh. Pilihanraya ke 12 dan Pilihanraya kecil Permatang Pauh tempohari undi Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim banyak datangnya dari DUN ini selain DUN Penanti dan DUN Seberang Jaya

KEPUTUSAN PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN PERMATANG PAUH (P44):

Datuk Seri Anwar Ibrahim (KeADILan): 31,195 undi
Hanafi Mamat (AKIM): 92 undi
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi

Parlimen ini telah dikuasai oleh keluarga Anwar Ibrahim sejak pilihanraya 1982 -2008. Anwar telah memenangi pilihanraya ini sejak 1982 -1995 ketika mewakili BN sementara isterinya Wan Azizah telah memenangi pilihanraya 1999-2008 mewakili PKR/Pakatan Rakyat. Ini bermakna PRK Permatang Pasir masih tebal dengan sentimen sayangnya orang Permatang Pauh / Permatang Pasir kepada Anwar.

Pilihanraya kecil Permatang Pasir bukan pertandingan antara BN dan Pakatan Rakyat tetapi lebih kepada Anwar bertemu Najib dan Muhyiddin. Sebelum ini, kawasan ini adalah kawasan BN apabila Anwar sebagai wakilnya di Parlimen tetapi sokongan terus menerus diberikan kepada Anwar sejak pilihanraya 1999-2008 walaupun Anwar tidak lagi berada di dalam kerajaan dan BN. Tergamakkah pengundi yang memberi sokongan kepada Anwar dalam PRK Permatang Pauh memberi undi kepada BN dalam DUN Permatang Pasir? Tergamakkah rakyat Permatang Pasir untuk menikam Anwar dari belakang kerana batang tubuh inilah yang menjadi sandaran mereka sejak 1982?

Kekalahan dalam PRK DUN Permatang Pasir oleh Pakatan Rakyat akan memberi indikator baru kepada senario politik negara. Kemenangan BN membuktikan bahawa pengundi telah menolak Anwar iaitu satu petunjuk yang positif dalam PRU ke 13 nanti. Signifikan kepada kemenangan ini ialah gelombang baru rakyat kepada penerimaan kepimpinan Najib dan Muhyiddin. Walaupun ianya pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri tetapi ianya satu mesej jelas bahawa kubu kuat Anwar telah berjaya ditembusi dan kedudukan Anwar tidak lagi selamat dan terjamin di Permatang Pauh.

Berkaitan dengan sentimen rakyat dan pengundi Permatang Pasir ialah persepsi / tanggapan yang salah terhadap kerajaan masih terus kekal tebal. Isu-isu nasional pastinya akan mengatasi isu-isu tempatan. Isu-isu integriti kerajaan, rasuah di dalam UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO yang masih tidak diterima rakyat, perubahan-perubahan yang telah dilakukan oleh UMNO dan kerajaan adalah sesuatu yang menjadi pertimbangan para pengundi. Isu-isu moral Anwar hanya akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja malah akan membangkitkan kemarahan pengundi. Sejak daripada 1982, Anwar adalah idola dan memang menjadi harapan rakyat Permatang Pauh mahu melihat anak Permatang Pauh ini menjadi Perdana Menteri. Inilah yang saya maksudkan dengan sentimen yang menebal terhadap Anwar.

Mampukah persepsi buruk kerajaan dan sentimen Anwar yang tebal ini dikurangkan? Jika para pemimpin UMNO dan kerajaan berjaya bermain dengan isu ini ianya masih dapat mengurangkan sedikit undi kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimana bermain dengan persepsi mungkin blogger Nobisha ada ulasannya. klik di sini.

DUN Permatang Pasir ini bukanlah kawasan mudah bagi BN. Sewajarnya tidak ada ruang kelemahan yang boleh diberikan untuk dieksplotasikan oleh Pakatan Rakyat. DUN dan Parlimen ini adalah kawasan maut bagi BN. Malang bagi Muhyiddin kerana sering mendapat kawasan sukar dalam pilihanraya kerana kawasan yang terlibat dalam PRK adalah kubu-kubu kuat pembangkang. Dalam siri-siri PRK kerajaan hanya gagal dalam PRK P046 Kuala Terengganu yang terlepas kepada Pakatan Rakyat. Selebihnya memang kerusi-kerusi itu kepunyaan Pakatan Rakyat.

Secara jujurnya saya meramalkan bahawa PAS akan menang di dalam pilihanraya kecil ini berdasarkan kepada hujah sentimen dan persepsi yang mewarnai pilihanraya kali ini. Sememangnya inilah kehendak Pakatan Rakyat untuk mengekalkan momentum sokongan rakyat dalam setiap pilihanraya kecil sehinggalah kepada penentu muktamad dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Walaupun begitu, BN jangan menyerah kalah sebelum berjuang. Harapan tetap ada kalah dalam tangan. Pengurangan majoriti atau pertambahan undi adalah kemenangan moral yang sangat besar. Gunakan apa saja senjata yang boleh untuk terus memberi saingan kepada Pakatan Rakyat.

Selamat mengundi kepada rakyat Permatang Pasir.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, August 17, 2009

Perang Saraf Nik Aziz - Jangan Layan!


Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin. Katanya, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.

"Islam di bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Para pembaca sekelian tidak perlu terperanjat dengan kenyataan Pak Nik ni kerana sudah acap kali beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat provokasi. Bagi saya beliau sengaja mengeluarkan pelbagai kenyataan untuk mempromosikan partinya sebagai satu cara kempen dan perang saraf menjelang Pilihanraya kecil Permatang Pasir. Beliau tahu kenyataan terbaru itu akan dibincangkan dan dijawab oleh BN semasa pilihanraya kecil nanti dan ini akan menyeronokkan Pak Nik.

Pak Nik tidak suka BN menyerang kebobrokan pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor yang sedang hangat dengan pelbagai isu. Kelemahan dan sumbangan PAS khususnya dalam isu arak kalau boleh tidak disentuh oleh penceramah-penceramah BN. Kerajaan Negara Islam dan perlaksanaan hukum Hudud juga satu kelemahan PAS yang sehingga kini belum tertunai. Rasuah dan salahguna kuasa serta penglibatan kongsi gelap di kalangan beberapa wakil rakyat begitu berleluasa di Selangor. Kalau boleh perkara ini tidak dibahaskan dan menjadi modal kerajaan menyerang Pakatan rakyat.

Percayalah selepas ini akan keluar lagi pelbagai kenyataan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat. Hadi Awang pula mengatakan bahawa Umno-BN sentiasa mengamalkan 'Politik Dajal' dalam usaha mengekalkan kekuasan memerintah negara. "Lantaran itu kita wajib menyingkir mereka walaupun penyakit itu sudah lama melanda negara kita,"kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ceramah di Markas Permatang Luar di sini semalam.Katanya, jika mereka terus diberi kuasa, politik seperti ini akan tetap diamalkan kerana pada mereka inilah cara terbaik lagi halal untuk mengaburi mata rakyat. "Politik Dajal ini ialah mengutamakan sahabat handai dan kaum keluarga dalam usaha mereka menyalurkan kekayaan negara dan pelbagai kemudahan,"katanya. (Utusan Malaysia-18 Ogos 2009)

Apabila Hadi Awang mengatakan "Politik Dajal ini ialah mengutamakan sahabat handai dan kaum keluarga dalam usaha mereka menyalurkan kekayaan negara dan pelbagai kemudahan" telah dinafikan pula oleh Nik Aziz. Baca kenyataan Pak Nik di sini.

Sebelum ini Pak Nik pernah mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO disifatkan sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. "UMNO dan komunis adalah sama. UMNO ialah parti sosialis kerana menolak Islam. UMNO ialah parti Melayu bukan parti Islam," klik di sini.

Jadi apa yang hendak dihairan dengan kenyataan-kenyataan ini. Kita sudah 'mangli' dan jelak membaca dan mendengarnya. Mereka berdua memang telah ditugaskan oleh Anwar untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan sebegini kerana di mata rakyat mereka berdua adalah ulamak. Rakyat akan menerima apa yang dikatakan oleh ulamak. Ungkapan yang keluar daripada mulut Hadi dan Nik Aziz akan ditelan bulat-bulat dan sudah diterima sebagai fatwa yang tidak boleh ditentang oleh penyokong-penyokongnya.

BN seharusnya berhati-hati dengan taktik ulamak 2 ekor ini. Politik tinggi yang telah diajar oleh Anwar dan kedua-duanya cepat faham. Penceramah dan pemimpin-pemimpin UMNO harus fokus kepada tujuan, matlamat, misi dan visi parti dan tidak perlu melayan kenyataan ke dua-dua ulamak politik ini. PENGERTIAN ‘ULAMA’ DAN CIRI-CIRI ULAMA’ sila baca di sini.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

TERBARU : Klik di sini berkenaan isu yang berkaitan.

Sunday, August 16, 2009

Melayu Pantai Barat Tiada Pilihan Lain.


Sejak pilihanraya ke 12, 2008, Isu Hudud tidak kedengaran lagi berkumandang dalam ceramah-ceramah PAS diserata ceruk pelosok negara. Sama ada ditangguhkan atau telah hilang bersama angin bayu tidak pula dipastikan. Sekian lama pemimpin-pemimpin PAS turun temurun mendendangkan cita-cita dan harapan mereka ke arah pembentukan sebuah negara Islam dan perlaksanaan hukum hudud. Besar pengharapan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin PAS kepada penyokong-penyokongnya, besar lagi cita-cita untuk tertegaknya sebuah negara Islam yang diimpi-impikan oleh mereka yang mengundi PAS dalam pilihanraya umum yang lepas.

Namun perkembangan terbaru yang berlaku di Selangor berkenaan isu arak sedikit sebanyak menghiris hati penyokong taksub mereka dan sudah mula berdetik rasa kecewa di dalam hati. Mampu atau tidak, PAS boleh mewujudkan sebuah negara Islam sedangkan isu arak yang sekecil itu pun terpaksa tunduk dengan kehendak Anwar dan DAP? Bagaimanakah nanti jika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya ke 13, mampukah PAS bersuara untuk mencadangkan kepada bapak pengerusi Pakatan Rakyat untuk menubuhkan negara Islam dengan undang-undang hudud ditegakkan dibumi bertuah ini?

Penyokong-penyokong PAS di negeri-negeri Pantai Barat tentu rasa bersalah apabila memenangkan banyak kerusi-kerusi DAP yang sekarang ini bukan sahaja memijak-mijak agama Islam tetapi mereka inilah nanti yang menjadi penghalang kepada kegagalan wujudnya negara Islam. Penyokong-penyokong PAS Pantai Barat jangan terpengaruh dengan PAS Pantai Timur dan Kedah. Di negeri mereka tidak ada kerusi DAP, pengundi Cina pun macam antah beras boleh dibilang dengan jari. Sebab itu mereka boleh tukar kerajaan sesuka hati. Kalau bertukar kerajaan negeri pun masih di tangan kuasa politik Melayu.

Melayu Pantai Barat tidak boleh berpecah. Kita mesti bersatu. Keadaan sekarang sangat merbahaya kerana Melayu telah diracik-racik oleh Anwar. Melayu UMNO, Melayu PAS dan Melayu PKR. Keadaan ini melemahkan kuasa politik Melayu. Lihat apa yang berlaku di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Kalau Melayu se Malaysia tidak boleh bersatu, memadailah kita Melayu di Pantai Barat saja yang bersatu. Kita tidak boleh samakan diri kita dengan Melayu di Pantai Timur. Kedudukan kita sangat genting dan seolah-olah berada di hujung tanduk jika kita berpecah. Negeri kita pengundinya bercampur-campur dan kita sedikitpun tidak boleh berpecah dalam pilihanraya ke 13. Kalau kita mahu Cina DAP bertambah biadap dan kurang ajar kepada orang Melayu, maka bolehlah saudara-saudara abaikan nasihat ini.

Pengalaman di Perak sudah cukup untuk kita bertafakur sebentar tentang bahayanya jika negeri itu dikuasai DAP. Cuba bayangkan jika DAP menguasai Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Selangor dan Perak. Walaupun mereka mungkin tidak menjadi Menteri Besar atas halangan peruntukkan undang-undang tubuh negeri masing-masing tetapi penguasaan mereka akan mengubah lanskap politik dan ekonomi negara. Pada ketika itu UMNO menang sedikit, PKR menang sedikit dan PAS menang sedikit. DAP akan menguasai negeri berkenaan disebabkan PKR dan PAS telah melemahkan kekuatan UMNO.

Dalam masa yang sama undi Cina akan bertumpu kepada DAP dan akan mengundi PAS dan PKR di kawasan majoriti Melayu. Mungkin seruan ini diperlekehkan oleh ahli-ahli PAS yang taksub dan kemaruk nak masuk syurga. Mungkin penyokong tegar PKR pun tersenyum sumbing. Jadi kepada Melayu mana lagi hendak saya serukan perpaduan ini?

1. Pertama sekali kepada ahli-ahli UMNO sendiri. Jangan kerana bos kita tidak terpilih sebagai calon kita kecewa dan tidak menyokong dan berkempen untuk calon parti pemerintah.
2. Mereka yang tidak berparti dan berdiri di atas pagar. Harap-harap mereka ini akan tetap pendirian dan dapat berfikir dengan rasional.
3. Golongan pengundi-pengundi baru yang pertama kali mengundi dan dapat melihat betapa buruknya perangai Cina DAP di Selangor dan Perak.
4. Pengundi-pengundi muda yang telah tertipu dengan slogan kosong Pakatan Rakyat.
5. Mereka yang mencuba-cuba mengundi pembangkang yang pada asalnya hendak memberi amaran kepada BN rupa-rupa terberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.
6. Tidak lupa juga kepada penyokong-penyokong PKR dan PAS yang semangatnya cuma suam-suam kuku yang merasakan Pakatan Rakyat lebih buruk. Lebih baik 'cabut' saja daripada parti retorik ini. Parti tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain.
7. Akhir sekali kepada seluruh umat Melayu yang boleh meletakkan otak di kepala bukannya di kepala lutut yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara itu mengatasi kepentingan perut dan tembolok diri sendiri.

Jika begitu, undi rosak tertinggi di Johor itu dan kemenangan besar DAP di DUN Negeri Sembilan itu tidak menjadi sesuatu yang menrungsingkan. Kepimpinan negara boleh menumpukan terus usaha-usaha memperkukuhkan parti. Jika Melayu Pantai Barat bersatu semula insyaallah Selangor akan dirampas semula, Perak akan mendapat kemenangan lebih selesa disamping mengekalkan kerusi-kerusi di negeri-negeri yang telah dikuasai. Biarlah Kedah dan Kelantan terus ditangan PAS jika itu yang rakyat di negeri itu mahukan.

Pilihanraya ke 13 adalah pilihanraya menentukan sama ada negara ini akan memberi kuasa kepada Cina DAP untuk berkuasa atau mengekalkan kuasa Melayu memerintah negara. Mungkin inilah titik permulaan kehilangan kuasa politik Melayu. Andainya Cina DAP ini menguasai pemerintahan di sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah Melayu ia juga akan membawa kehidupan yang tidak aman dan selamat. Pergaduhan dan mungkin peperangan PASTI berlaku.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Tun Mahathir : Tidak Sedar Jadi Pengkhianat


Apabila ditanya pengalaman Tun Mahathir berkenaan perbezaan perasaan cintakan negara jika dibandingkan dengan zaman dahulu dan sekarang, Tun secara spontan menyatakan perasaan itu semakin merosot dan semakin berkurangan. Apabila sudah merdeka dan sudah dapat semua, mereka bebas bercakap. Rakyat tidak lagi menghargai apa yang diperolehi daripada negara sendiri. Kita hanya nampak keburukan negara dan jarang nampak kebaikan walaupun kita kena akur keburukan itu memang ada namun kita perlu menimbang antara dua perkara itu.

Bagi Tun Mahathir, apabila perasaan cintakan negara itu telah hilang maka mungkin timbul perasaan untuk mengkhianati negara sama ada dalam keadaan sedar atau tidak. Mereka juga tidak nampak kenapa perlu terhutang budi kepada negara. Mereka cuma berfikir tentang diri mereka sahaja.

Kerajaan telah melaksanakan dasar DEB selama 20 tahun iaitu daripada 1970-1990. Dalam tempoh itu negara telah melahirkan ramai bijak pandai Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang dan dalam masa yang sama telah meningkatkan bilangan kelas menengah Melayu. Walaupun tidak semua, tetapi sebahagian daripada mereka ini telah hilang semangat Melayunya. Bagi Tun Mahathir, mereka ini beranggapan apa yang mereka dapat itu memang hak dia, jadi perlu apa mereka berterima kasih.

Mereka beranggapan pihak kerajaan yang bertanggung jawab terhadap apa yang mereka perlukan. Jika mereka hendak belajar maka kerajaan yang perlu sediakan. Jika tidak ada duit maka perlu diberikan. Tun Mahathir sendiri pernah mendengar seorang pemimpin berkata memang patut kerajaan bagi duit sebab itu duit rakyat. Mereka rakyat dan memang ada hak terhadap duit itu. Menurut Tun, apabila mereka menunjukkan sikap sedemikian mereka tidak menunjukkan sikap mengenang budi dan kenapa perlu mereka membalas budi.

Bagi memperbetulkan pemikiran mereka yang tidak berterima kasih ini, Tun Mahathir mencadangkan agar menarik balik segala yang mereka nikmati ini. Umpamanya jika mereka bekerja dengan kerajaan kita tarik balik kerana mereka ini tidak layak. Kita ada meritrokrasi dan kita pilih yang layak dan mereka mungkin tidak layak. Selama ini kerajaan memberi peluang yang lebih kepada orang Melayu misalnya bukan kerana meritrokrasi tetapi atas dasar DEB dan juga hak-hak istimewa orang Melayu.

Dalam situasi sekarang, orang sudah berani menggugat institusi raja, perlembagaan dan hak orang Melayu. Maka orang Melayu perlu bersatu. Dalam hal ini, Tun Mahathir menyatakan orang Melayu melihat kerajaan masih lagi kurang kebolehan untuk menyatukan semula orang Melayu. Sebab itu di mana-mana sekarang ini NGO-NGO Melayu tumbuh bagai cendawan. Tun sendiri banyak menerima jemputan untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis NGO Melayu ini.

Menurut Tun, di mana-mana beliau pergi, orang Melayu bukan sahaja kurang senang dengan tuntutan kaum-kaum lain yang melampau tetapi juga tidak puas hati dengan cara kerajaan melayan tuntutan-tuntutan itu. Pemimpin-pemimpin kerajaan harus lebih tegas, bukannya meminta maaf yang melambangkan kelemahan kerajaan sendiri.

Sempena sambutan kemerdekaan kali ke 52, Tun merasakan konsep BN itu masih relevan berdasarkan pengalaman mentadbir negara selama 52 tahun dengan jayanya. Perkara yang baik jangan dibuangkan kerana yang hendak diganti itu belum pasti baik buruknya. Pemimpin-pemimpin kerajaan yang ada harus cekap dan faham mengurus sistem sedia ada supaya lebih cekap dan diterima rakyat semula.

Tulisan ini adalah berdasarkan wawancara yang berlangsung di pejabat Tun di tingkat 86 di Menara Berkembar Petronas, oleh Wartawan Mingguan Malaysia ZIN MAHMUD, AZMAN ANUAR, HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar RAHMAN SALLEH.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Friday, August 14, 2009

Mat Poyo Nama Baru Hassan Ali




Pakar motivasi Hassan Ali yang sekarang exco Negeri Selangor yang juga Pesuruhjaya PAS negeri perlu diberi nama baru iaitu 'Mat Poyo' memandangkan muka poyonya ketika berjabat tangan dengan Ronnie Liu, seorang lagi exco Selangor dan juga ahli jawatankuasa pusat DAP. Setelah bergaduh bagai nak rak berkenaan isu arak sehingga seantero dunia tau setelah mendapat liputan media akhirnya di depan media juga mereka berdamai.

Kalau PAS dan DAP bergaduh orang tengah yang mendamaikannya tidak lain dan tidak bukan adalah Anwar Ibrahim, orang yang bertanggung jawab menggabungkan PAS dan DAP dalam satu kelambu. Hassan Ali dikhabarkan oleh Malaysiakini , menyifatkan “masalah kecil” antara mereka sengaja diperbesar-besarkan Umno dan media yang mahu mengambil kesempatan. Malah katanya lagi UMNO yang cuba memainkan isu ini mujurlah rakyat Selangor tidak mudah tertipu, ujarnya lagi.

Celupor betul anak Pak Ali ni. Berjuta orang melihat urat leher dia timbul sebesar ibu jari mempertahankan bahawa arak tidak boleh dijual secara terbuka di kawasan orang Islam. Tiba-tiba UMNO dan media juga yang salah. Kasihan wartawan surat khabar dan wartawan media elektronik yang dituduh menjadi alat UMNO untuk memecah-belahkan pakatan pembangkang yang kononnya masih utuh walaupun pelbagai isu melanda.

Wak Hassan jangan cakap berbelit-belit nanti kudung lidah awak tu digunting malaikat. Hassan Ali dan Ronnie tentunya sudah 'dicuci' oleh Anwar Ibrahim. Ugutan Anwar kepada mereka berdua sama ada hendak kekal atau tidak memegang exco Selangor sebelum ditendang keluar. Mereka tidak ada pilihan lain, seperti ahli-ahli politik yang lain untuk melepaskan kuasa bukan semudah keluar daripada mulut, banyak kemudahan exco itu dan mereka tidak sanggup untuk melepaskan 'kemewahan', 'keselesaan' dan 'kelebihan' seorang exco.

Sebelum itu, Hassan menafikan mereka berdua mendapat arahan pimpinan tertinggi Pakatan supaya menutup kes tersebut bagi memberikan gambaran baik hubungan PAS dan DAP di depan umum.“Kamu media, kita tutup pun, kamu buka juga. Perbincangan dalam media ini natural. Saya nampak rakyat Selangor berbeza dengan di tempat (negeri) lain" ujarnya. Beliau sekali lagi menyalahkan media tetapi menurutnya rakyat Selangor tidak mudah menerima putar belit berita media.

Walau apa pun kita bukan mudah lupa sesuatu peristiwa yang berlaku apatah lagi jika peristiwa itu baru benar terjadi. Kita tidak marah kepada Hassan jika beliau tidak 'terlalu banyak berlakon' sehingga satu ketika beliau dilihat sebagai 'hero Melayu terakhir'. Malaysiakini ada menyiarkan berita bertajuk 'Dr Hasan tidak tunduk 'ugutan' DAP'. Namun semuanya menjadi layu semula apabila tajuk berita bertukar menjadi 'Exco PAS-DAP berdamai depan media'.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, August 12, 2009

H1N1 adalah satu konspirasi ?


Seronok juga saya membaca rencana yang di tulis oleh Hishamuddin Rais bertajuk H1N1 konspirasi kapitalis buat duit. Beliau telah memulakan rencananya dengan menggunakan contoh-contoh yang sering berlaku disekeliling kita. Walaupun ianya bukan pengalaman peribadi Hishamuddin tetapi seolah-olah dia sendiri mengalaminya.

Hishamuddin menulis, "Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar. Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir. Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.

Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung."


Sama ada kita dapat menerimanya, terpulanglah kepada kita. Hishamuddin tidak pula memaksa kita untuk mempercayainya tetapi dalam masa yang sama beliau beriya-iya meyakinkan kita bahawa H1N1 seperti mana virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal dan ianya adalah satu virus yang dilepaskan untuk mengurangkan penduduk dunia dan menjual ubat-ubatan.

Hishamuddin juga merujuk kepada Depleted uranium (DU) yang sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan di mana tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Menurut Hishamuddin penggunaan DU ini penduduk atau rakyat negara berkenaan akan berkurangan. Dalam masa yang sama , bagi yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat dan mengayakan golongan kapitalis. Itulah hipotesis Hishamuddin dalam tulisan konspirasinya itu. Matlamat mengurangkan penduduk dan mengayakan golongan kapitalis akan datang serentak. Klik di sini untuk bacaan sepenuhnya.

Sewaktu zaman reformasi 1998 Hishamuddin antara watak utama reformasi jalanan setiap hari Sabtu di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Walaupun pada peringkat awal beliau tidak terlibat secara langsung tetapi kemudian beliau mengubah fikiran dan menyertai demonstrasi jalanan. Beliau beberapa kali ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Polis kerana dituduh berhimpun secara haram. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus aktif berjuang untuk reformasi dan demokrasi di Malaysia.

Pada 9 April 2001 beliau telah ditangkap oleh sepasukan polis dari cawangan khas dipejabatnya di bawah seksyen 71 (3) Akta Keselamaatn dalam Negeri (ISA) atas tuduhan merancangan untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dan keganasan.

Bagi saya, Hishamuddin sebagai penyokong reformasi dan pendokong perjuangan Anwar Ibrahim, beliau tentunya tidak terlepas untuk mengatakan pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 daripada jawatan TPM itu juga adalah satu KONSPIRASI. Kononnya pada masa itu Anwar dikatakan sangat popular di kalangan rakyat dan ahli UMNO untuk menjadi perdana menteri. Kononnya juga Tun Mahathir sangat curiga dengan kepopularan Anwar ini apatah lagi terdengar desas desus mengatakan Anwar akan bertanding jawatan Presiden UMNO yang akan diadakan pada tahun 1999.

Ianya juga menepati kata-kata Anwar sendiri selepas beliau di pecat daripada jawatan TPM bahawa tuduhan liwatnya itu adalah satu konspirasi untuk menjatuhkannya. Berkali-kali Anwar akan mengwar-warkan bahawa beliau adalah pemimpin berjiwa rakyat, membantu golongan miskin dan luar bandar, membenteras rasuah, menentang kronisme dan nepotisme yang kesemua pendekatan beliau ini tidak disenangi oleh Tun Mahathir.

Beberapa hari sebelum Anwar ditangkap pada tahun 1998, beliau telah datang ke Batu Pahat untuk bersumpah di depan ribuan rakyat bahawa beliau tidak sesekali melakukan perbuatan terkutuk itu. Sumpahnya berbunyi begini, " Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa semua ini adalah satu konspirasi untuk menjatuhkan saya dan berniat jahat". Rakyat kecewa kerana sepatutnya Anwar bersumpah begini, " Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak meliwat dan sesekali saya tidak melakukan perbuatan terkutuk itu". Untuk pengetahuan semua sehingga kini dan mungkin selama-lamanya Anwar tidak akan mengaku apatah lagi untuk bersumpah.

Kepada Hishamuddin adakah saudara masih lagi berpegang lagi dengan teori konspirasi pemecatan Anwar pada tahun 1998 seperti mana saudara sekali lagi mengutarakan konspirasi baru kepada Virus H1N1?


Amir Hamzah
Kuala Lumpur
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, August 10, 2009

Pemimpin Melayu Akar Umbi Juga Layu......


Mesyuarat UMNO Bahagian- bahagian sedang rancak berlangsung di seluruh negara. Mesyuarat pada tahun ini tidak semeriah pada tahun lepas kerana tidak ada pertandingan di semua peringkat daripada cawangan, bahagian dan UMNO Pusat. Kalau ada pun pertandingan untuk mengisi perwakilan G7 ke Perhimpunan Agung UMNO bulan oktober nanti.

Seperti kebiasaannya perwakilan-perwakilan yang hadir adalah untuk majlis perasmian dan pengundian G7 sahaja. Selepas jamuan, yang tinggal di dalam dewan hanyalah kerusi-kerusi kosong lebih banyak daripada manusia. Pada hal pada tahun ini UMNO akan membuat beberapa pindaan dalam perlembagaan parti dan ianya menjadi usul bahagian-bahagian sama ada mengekalkan cadangan daripada UMNO Malaysia atau membuat penambahbaikan dan cadangan kepada UMNO Malaysia.

Perkara penting seperti ini tidak dihiraukan oleh pemimpin UMNO peringkat akar umbi yang terdiri daripada ketua cawangan (layak secara automatik) dan perwakilan yang dipilih berdasarkan jumlah ahli cawangan tersebut. Kita selalu menuding jari kepada pemimpin-pemimpin kita sama ada di pusat, negeri dan bahagian tetapi bagaimana pula dengan sikap pemimpin parti peringkat akar umbi dan perwakilan-perwakilan yang diberi mandat oleh ahli-ahli? Paku dulang paku serpih, mengata orang diri yang lebih.

Adalah sudah menjadi kewajipan kita hadir sebagai perwakilan yang diamanahkan untuk mengikuti keseluruhan mesyuarat UMNO Bahagian daripada majlis ucapan perasmian, pengundian pertandingan, membahaskan usul-usul mau pun ke aturcara ucapan penangguhan. Sebagai pemimpin akar umbi penglibatan kita sudah tentu amat dialu-alukan jika tidak berkemampuan memadai menjadi pendengar yang baik. Sekurang-kurangnya kita faham akan isu-isu yang sedang dibincangkan di dalam mesyuarat bahagian masing-masing.

Fenomena yang berlaku seperti ini akan memeningkan pemimpin-pemimpin UMNO bahagian khususnya ketua Bahagian dan barisan kepimpinannya. Agak sukar kepimpinan UMNO Bahagian untuk membetulkan sikap dan mentaliti ketua-ketua cawangan dan anak-anak buahnya meninggalkan majlis sebelum mesyuarat berakhir. Kalau kita menagih sesuatu daripada kepimpinan atasan apakah mereka juga tidak menagih pengorbanan pemimpin akar umbi untuk berjalan seiring dan sederap dengan pemimpin-pemimpin kita yang lain?

Di dalam kelesuan mesyuarat-mesyuarat UMNO Bahagian mujur juga ada peristiwa menarik yang berlaku seperti yang berlaku di dalam mesyuarat UMNO Bahagian Johor Bahru yang peka dan perihatin dengan isu-isu semasa. Shahrir Samad telah mengetuai 398 orang perwakilan UMNO Bahagian Johor Baharu serentak melaungkan 'Anwar Ibrahim Pengkhianat Bangsa' dan mencabar penasihat PKR itu menyaman kesemua mereka.Ini berlaku semasa Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian itu menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat bahagian itu di Johor Bharu.Kata Shahrir UMNO Johor Baharu bersama-sama dengan Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyuarakan pandangan yang terbuku dalam hati semua anggota UMNO Johor Baharu selama ini.

Sahabat saya di dalam kelabchedet.com saudara ccfu telah memberi komen :

"Saya merasa terkilan juga apabila Umno Bahagian Johor Bharu sahaja yang mengisukan pengkhianatan Anwar kepada bangsa Melayu. Adakah Umno bahagian lain, 190 bahagian lagi, memandang sepi perkara ini ? Mereka tidak sensitif terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh orang Melayu terhadap bangsa sendiri.

Adakah otak orang Umno di bahagian lain sebesar otak burung unta ?

Sekarang Umno sedang mengadakan mesyuarat di seluruh bahagian.Apa agaknya yang dicakapkan dalam mesyuarat?

Ketidakpekaan pemimpin Umno di peringkat bahagian terhadap isu ini memberi satu gambaran yang negatif terhadap kepimpinan Umno. Terdapat 191 orang ketua (pemimpin) Umno diseluruh negara, tapi kalau inilah keadaannya, Umno hanya mempunyai pemimpin yang tidak mempunyai daya kepimpinan. Bagaimana agaknya keadaan Umno akan datang ?"


Saya juga ingin menambah, selain daripada kepimpinan UMNO peringkat bahagian seperti yang dikatakan oleh sahabat saya itu , bagaimana pula dengan sokongan dan komitmen pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat cawangan yang dikatakan pemimpin akar umbi yang lebih ramai bilangannya? Pendek kata kekuatan UMNO perlu lah bersepadu daripada pemimpin tertinggi hingga lah kepada ahli biasa jika kita mahu dan yakin kepada parti ini. Jika tidak jangan lagi cakap berdegar-degar untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara. Jangan lagi kita ungkapkan 'UMNO dulu, kini dan selamanya' jika ianya hanya mainan kata-kata dibibir sahaja.

Kalau ahli-ahli UMNO tidak lagi peka dan sensitif lagi dengan isu-isu besar mengenai bangsa dan agamanya mungkinkah tugas yang selama ini digalas ke bahu UMNO telah dipikul oleh orang lain. Mungkin dakwaan saya agak keterlaluan tetapi ada sedikit kebenaran. Untuk menghimpun orang Melayu dalam majlis ilmu dan percambahan fikiran amat susah. Menghimpun orang Melayu untuk majlis fitnah memfitnah, mengumpat, mengutuk dan majlis kata-mengata, keji mengeji tak payah dijemput. Cuma beritahu saja bila dan di mana. Beribu-ribu akan hadir.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Sunday, August 9, 2009

Anwar…samanlah kami ! - Samanlah Kalau Berani !


Shahrir Samad mengetuai 398 orang perwakilan UMNO Bahagian Johor Baharu serentak melaungkan 'Anwar Ibrahim Pengkhianat Bangsa' dan mencabar penasihat PKR itu menyaman kesemua mereka.Ini berlaku semasa Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian itu menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat bahagian itu di Johor Bharu.Kata Shahrir UMNO Johor Baharu bersama-sama dengan Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyuarakan pandangan yang terbuku dalam hati semua anggota UMNO Johor Baharu selama ini.

Anwar adalah 'master mind' kepada semua kecelaruan politik negara pada hari ini. Anwar lah 'kepala' nya yang menyebabkan kepada kebiadapan DAP terhadap orang Melayu dan agama Islam. DAP yang begitu berani hari ini adalah kerana Anwar seorang Melayu yang berada di belakangnya. Tanpa Anwar DAP hanyalah seperti harimau yang tidak bergigi. Disebabkan Anwar yang memulakan serangan kepada orang Melayu UMNO dan merestui pula tindakan DAP maka DAP sekarang seperti singa kebulur seolah-olah setahun tidak bertemu makanan.

DAP nampaknya sudah naik tocang di Selangor. Isu arak, kongsi gelap, kes pembunuhan Teoh Beng Hock, rasuah dan pecah amanah serta tuduhan-tuduhan terhadap individu dan gerakan Islam yang menyinggung perasaan umat Islam semakin menjadi-jadi. Jikalau bukan kerana Anwar dibelakangnya DAP tidak sampai sejauh itu untuk bertindak. Mereka betul-betul sudah naik lemak.

DAP sudah menunjukkan belangnya di Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Tanpa bantuan Melayu PKR dan Melayu PAS yang bersekongkol menjatuhkan Melayu UMNO dan rakan-rakan komponennya di dalam BN, DAP tidak akan mendapat sebanyak itu kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di negeri-negeri Pulau Pinang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor. Jadi memang benarlah bahawa Anwar itu pengkhianat bangsanya kerana marah kan nyamuk habis kelambu di bakar.

Anwar hanya bermasalah dengan Tun Mahathir yang memecatnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa. Beliau telah pun menjalani hukuman 6 tahun penjara dan sekarang ini masih lagi akan berhadapan dengan kes yang sama seperti tahun 1998 dahulu. Semasa menjadi TPM dulu, Anwar disanjung dan ditatang seperti minyak yang penuh. Kalau Anwar tidak melakukan perkara yang buruk sudah hampir pasti Anwar sudah menjadi Perdana Menteri. Anwar harus sedar bahawa di dalam politik ini ianya adalah segalanya mungkin.

Bukan sahaja Cina DAP yang kurang ajar dan biadap sekarang ini tetapi Cina PKR pun sama sahaja perangainya. Penghinaan dan kebiadapan Lim Soo Nee (PKR-Kulim) menyebut ’kerajaan BN paria semasa berkuasa” ketika membahaskan isu pusat penyembelihan babi telah menimbulkan kekecohan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini (9/8/2009)

Masih sanggup dan tergamakkah lagi Melayu PKR dan Melayu PAS melihat rakan yang berlainan bangsa dan agama menghina dan menginjak-injak bangsa yang seagamanya dengan mereka. Tentu sekali sanggup kerana mereka sudah 'bertuhankan' Anwar b Ibrahim. Mereka sudah 'dijampi' dan 'dibomohkan' oleh Anwar. Setidak-tidaknya mereka sudah kenyang dan sendawa dengan 'nasi kangkang' Anwar.

Tidak salah dan tidak silap Muhyiddin Yassin yang hari ini diberi sokongan padu oleh UMNO Bahagian Johor Bahru terus mempertahankan bahawa Anwar memang pengkhianat bangsanya.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com