Sunday, August 16, 2009

Tun Mahathir : Tidak Sedar Jadi Pengkhianat


Apabila ditanya pengalaman Tun Mahathir berkenaan perbezaan perasaan cintakan negara jika dibandingkan dengan zaman dahulu dan sekarang, Tun secara spontan menyatakan perasaan itu semakin merosot dan semakin berkurangan. Apabila sudah merdeka dan sudah dapat semua, mereka bebas bercakap. Rakyat tidak lagi menghargai apa yang diperolehi daripada negara sendiri. Kita hanya nampak keburukan negara dan jarang nampak kebaikan walaupun kita kena akur keburukan itu memang ada namun kita perlu menimbang antara dua perkara itu.

Bagi Tun Mahathir, apabila perasaan cintakan negara itu telah hilang maka mungkin timbul perasaan untuk mengkhianati negara sama ada dalam keadaan sedar atau tidak. Mereka juga tidak nampak kenapa perlu terhutang budi kepada negara. Mereka cuma berfikir tentang diri mereka sahaja.

Kerajaan telah melaksanakan dasar DEB selama 20 tahun iaitu daripada 1970-1990. Dalam tempoh itu negara telah melahirkan ramai bijak pandai Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang dan dalam masa yang sama telah meningkatkan bilangan kelas menengah Melayu. Walaupun tidak semua, tetapi sebahagian daripada mereka ini telah hilang semangat Melayunya. Bagi Tun Mahathir, mereka ini beranggapan apa yang mereka dapat itu memang hak dia, jadi perlu apa mereka berterima kasih.

Mereka beranggapan pihak kerajaan yang bertanggung jawab terhadap apa yang mereka perlukan. Jika mereka hendak belajar maka kerajaan yang perlu sediakan. Jika tidak ada duit maka perlu diberikan. Tun Mahathir sendiri pernah mendengar seorang pemimpin berkata memang patut kerajaan bagi duit sebab itu duit rakyat. Mereka rakyat dan memang ada hak terhadap duit itu. Menurut Tun, apabila mereka menunjukkan sikap sedemikian mereka tidak menunjukkan sikap mengenang budi dan kenapa perlu mereka membalas budi.

Bagi memperbetulkan pemikiran mereka yang tidak berterima kasih ini, Tun Mahathir mencadangkan agar menarik balik segala yang mereka nikmati ini. Umpamanya jika mereka bekerja dengan kerajaan kita tarik balik kerana mereka ini tidak layak. Kita ada meritrokrasi dan kita pilih yang layak dan mereka mungkin tidak layak. Selama ini kerajaan memberi peluang yang lebih kepada orang Melayu misalnya bukan kerana meritrokrasi tetapi atas dasar DEB dan juga hak-hak istimewa orang Melayu.

Dalam situasi sekarang, orang sudah berani menggugat institusi raja, perlembagaan dan hak orang Melayu. Maka orang Melayu perlu bersatu. Dalam hal ini, Tun Mahathir menyatakan orang Melayu melihat kerajaan masih lagi kurang kebolehan untuk menyatukan semula orang Melayu. Sebab itu di mana-mana sekarang ini NGO-NGO Melayu tumbuh bagai cendawan. Tun sendiri banyak menerima jemputan untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis NGO Melayu ini.

Menurut Tun, di mana-mana beliau pergi, orang Melayu bukan sahaja kurang senang dengan tuntutan kaum-kaum lain yang melampau tetapi juga tidak puas hati dengan cara kerajaan melayan tuntutan-tuntutan itu. Pemimpin-pemimpin kerajaan harus lebih tegas, bukannya meminta maaf yang melambangkan kelemahan kerajaan sendiri.

Sempena sambutan kemerdekaan kali ke 52, Tun merasakan konsep BN itu masih relevan berdasarkan pengalaman mentadbir negara selama 52 tahun dengan jayanya. Perkara yang baik jangan dibuangkan kerana yang hendak diganti itu belum pasti baik buruknya. Pemimpin-pemimpin kerajaan yang ada harus cekap dan faham mengurus sistem sedia ada supaya lebih cekap dan diterima rakyat semula.

Tulisan ini adalah berdasarkan wawancara yang berlangsung di pejabat Tun di tingkat 86 di Menara Berkembar Petronas, oleh Wartawan Mingguan Malaysia ZIN MAHMUD, AZMAN ANUAR, HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar RAHMAN SALLEH.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

12 comments:

zedmagel said...

Salam Bro Amir,

Lama saya tidak menjengah ke blog bro. Maklum kerana sentiasa berdepan secara peribadi.

Kadang-kadang kita membuat satu komen yang mungkin membina untuk kerajaan disalaherti oleh sesetengah orang. Namun mereka tidak pula melebel saya sebagai seorang pengkhianat.

Pengkhianatan lebih besar perbuatannya dari mengata atau membuat pandangan yang jelek kepada kerajaan. Seperti terbit satu tujuan untuk membinasakan keamanan sebuah negara atau menghuruharakan negara dalam satu keadaan yang sukar untuk dipulihkan. Begitulah pandangan saya terhadap istilah pengkhianatan.

surau al-falah pandan jaya said...

Salam semua!
Adakah saya seorang penghianat sekiranya saya meninggalkan parti UMNO dan menyerang peribadi seseorang yang tidak ikut kehendak saya hinggakan parti lain dapat menjadikan ini satu perkara yang menguntungkan mereka hinggalah PRU 12.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam bro zedmagel,
Tahniah terpilih sebagai G7 ke Perhimpunan Agung UMNO Oktober nanti.

Memberi pendapat yang membina untuk keutuhan parti tidak salah malah dialu-alukan. Pengkhianatan yang dimaksudkan adalah tindakan kita yang boleh menyebabkan bangsa dan negara berada di dalam keadaan yang merbahaya dan merugikan sedangkan di masa yang sama kepentingan diri yang diutamakan.

Salam hami,
Jika Tun Mahathir yang dimaksudkan mungkin saya sukar untuk memberikan jawapan. Pada saya Tun sayangkan UMNO, Melayu dan Negara tetapi Tun sangat tidak berpuashati dengan tingkahlaku Tun Dollah dan menantunya yang boleh menyebabkan parti dan negara hancur. Tun tidak berkempen untuk pembangkang dalam pilihanraya ke 12. Tetapi Tun terus mengkritik Abdullah dan Khairi. Apabila Dollah meletakkan jawatan dan Najib menjadi PM, Tun kembali semula kepada UMNO. Ianya berbeza dengan Anwar. tamat.

Unknown said...

salam, parti yang mengaku akan kesilapan dan membetulkan kesilapan yang dikesan adalah satu parti yang terbaik untuk kita beri kuasa memerintah daripada memberi kuasa pada parti yang tak pernah mengaku silap malah menunding pada orang lain lebih baik kita jangan sekali2 dicuba untuk diberi kuasa.

Anonymous said...

SLM BRO..RASA INSAF BILA TUN KOMEN MCM TU. KWN BANGGA JD ORG MELAYU MALAYSIA. SEBURUK2 NEGARA SENDIRI, SEKURANG2NYA INILAH HARTA YG KITA ADA!!!

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam ddinbunga.

Saya bersetuju dengan saudara. UMNO dan BN telah memerintah negara ini 52 tahun yang lalu. Kesilapan ada di mana-mana. Adakah UMNO dan BN itu sekejam rejim Shah Reza Pahlavi di Iran atau Saddam Hussein di Iraq yang membunuh ribuan syiah. Adakah kerajaan ini menjadikan negara ini miskin seperti mexico atau negeri-negeri lain di Amerika Selatan? Atau negara ini sentiasa berada di dalam kancah peperangan? Apa perkara utama yang perlu kita menukar kerajaan ini yang jauh lebih baik daripada negara-negara yang disebutkan itu. Apa pula jaminan yang ada untuk bakal pengganti kerajaan ini yang boleh membawa negara ini lebih makmur dan adil? Bukankah ianya satu perjudian yang kita tidak pasti dengan 'bakal' kerajaan yang ada berdasarkan situasi semasa yang mereka hadapi di negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka.

Salam Jeffry,

Pergilah ke luar negara, lihatlah kebaikan negara ini jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Kadang-kadang di lapangan terbang sahaja kita sudah dapat menilai bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Baik lagi di Malaysia ini. Tun berasa kecewa, 22 tahun menjadi PM, beliau gagal mengubah sikap dan mentaliti orang Melayu.

Geng Samudera said...

Salam,

Kalau ada peluang,pusinglah keliling dunia dan lihat sendiri untung nasib diri kita sebagai rakyat Malaysia..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam Geng Samudera,

Saya teringat perbualan kita tempohari ketika saudara pulang bercuti di Malaysia. Saudara berkata, rakyat di negara Brazil berasa pelik dan hairan apabila mereka diberitahu bahawa kerajaan Malaysia membantu rakyat miskin mendiami rumah yang selesa seperti rumah PPRT dan rumah mesra rakyat. Jarang-jarang berlaku dalam sebuah negara yang dikategorikan sebagai negara membangun.

zedmagel said...

Salam Sahabatku Amirhamzah,

Terima kasih atas ucapan, saya percaya tuan banyak membantu saya bagi merealisasikan tujuan tersebut.

Apa yang harus saya balas atas budi tuan ini? Selamat berpuasa saya ucapkan.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam bro zedmagel,
kalau semua benda nak ada balasan susah la bro. Bro dah belanja kawan memanjang tu pun dah banyak2 terima kasih.

Selamat berpuasa bro. Kurangkan mengumpat!

Unknown said...

salam, bro, betul tu bro..PM dan Menteri Persekutuan banyak juga ke luar negara dan salah satu syarat kena bawa Ahli Parlimen Pembangkang, tujuan untuk buka otak bila pergi ke negara lain, malangnya mereka sorok maklumat dari diketahui ahli mereka sebab politik.

Teman bernasib baik pernah pergi ke Afrika, Mauritius, Muzabique, Filipina, Indonesia, China, Thailand, Australia, New Zealand, Mexico...teman lihat jauh perbezaan antara negara tersebut dengan kita.

Afrika dengan kemiskinan dan jenayahnya, anak watan dipinggirkan dan papa kedana, setinggan saujana mata memandang, malah pemalas.

Mauritius majoriti India dan Tamil naidu juga, sejarahnya sebahagian pendatang india singgah di Mairitius dan sebahagian ke Tanah Melayu, India sana miskin kerja sampai sekarang di ladang tebu hasil utama, setinggan bersepah, paling kaya naik motosikal.

Mozabique, Rasuah, Menteri kaya raya, rakyat miskin, rompakan, setinggan terbesar pernah teman tengok. berbunuh - bunuhan etnik, bangga bahasa penjajah portugis, bahasa sendiri malu nak guna.

Filipina, Indonesia, Thailand semua orang tahu, di himpit kemiskinan, begitu lah negara2 asia lain.

China, kerja pengurus pun gaji RM400 ke RM500 je gajinya, yang kaya kerajaan.

Ini semua memberi kesedaran pada kita, betapa bersyukurnya teman dilahirkan di Malaysia, berbilang bangsa tapi hidup cukup aman damai dan sejahtera.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam ddinbunga,

Terima kasih kerana menjadi 'duta' di sini. Mungkin saudara dan 'geng samudera' sering berada di luar negera. Sekurang-kurangnya cerita saudara dapat menyedarkan rakyat tentang persepsi yang dimainkan oleh pembangkang. Kerajaan kita tidak lah seteruk mana spt mana yang didakwa oleh bang nuar kita