Saturday, July 17, 2010
Satu Bahagian 1 Regu ?
Semua orang sedia maklum dalam 191 bahagian UMNO diseluruh negara dari jauh kelihatan tenang dipermukaan tetapi pada hakikat sebenar bergelora di dasarnya. Perkara ini bukan menjadi rahsia bagi ahli-ahli UMNO malah ianya sudah dianggap lumrah oleh sebahagian ahli. Boleh dikatakan hampir tiada bahagian yang benar-benar aman di mana ketua bahagian mempunyai satu regu dengan timbalannya, Naib Ketuanya, ketua wanitanya, ketua pemudanya hatta ketua puterinya. Kalau ada pun boleh dibilang dengan jari.
Ianya bukan berlaku di dalam UMNO sahaja tetapi berlaku juga di dalam PAS dan PKR. Saya tidak mahu menyentuh tentang perpecahan di dalam PKR dan PAS kerana apabila tiba saatnya mereka akan bersatu dan mereka mempunyai satu matlamat yang jelas dalam pilihanraya umum ke 13 iaitu mengalahkan BN dan memerintah negara ini. Hasrat untuk memerintah negara ini seolah-olah akan tercapai dalam PRU ke 13 setelah mereka melakukan percubaan pertama dalam PRU ke 12 dan hasilnya diluar jangka.
Kesungguhan Pakatan pembangkang jelas terpancar apabila Chua Jui Meng telah diarahkan untuk mengetuai 'Gerakan Tawan Johor' bagi edisi PRU ke 13. Jikalau dahulu, Johor ibarat 'tiang seri' kepada UMNO dan 'Jantung Hati' kepada BN sukar digugat tetapi PRU ke 12, 4 DUN dan 1 Parlimen sudah berjaya dirobek. Ini makna Johor bukan lagi kawasan selamat kepada BN jika dilihat juga negeri itu mempunyai undi rosak tertinggi diseluruh negara. Pembangkang sedang memberi perhatian kepada Johor, Sabah dan Sarawak kerana peti-peti undi daripada negeri ini yang menyelamatkan BN. Apabila ketiga-tiga negeri ini berjaya ditembusi, BN bukan sahaja akan kehilangan majoriti 2/3 tetapi keberangkalian untuk kalah semakin cerah. Itu baru gerakan di Johor, bagaimana pula gerakan mereka di Perak, Terengganu, Melaka atau Negeri sembilan?
Walaupun negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan pembangkang seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan juga mempunyai masalah-masalah yanhg lebih teruk tetapi rakyat memejamkan mata dan memekak kan telinga dengan isu-isu yang membabitkan kelemahan pemimpin-pemimpin mereka seperti mana isu pasir yang sedang hangat diperkatakan orang sekarang. Pendek kata, PR memang sudah ada 'pengundi tetap' dan mereka sama sekali tidak mempertikaian kesalahan-kesalahan pemimpin mereka dan menyerang dan menuduh UMNO semula sebagai konspirasi, mempunyai tujuan dan berniat jahat, ada agenda tertentu dan lain-lain tuduhan.
Setelah hampir 2 tahun PRU ke 12, bagaimana pula persediaan UMNO untuk menghadapi gelombang ke 2 nanti. Seperti kata TPM, momentum perubahan atau transformasi dalam UMNO agak perlahan. Di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO peringkat Bahagian seolah-olah tidak boleh diselamatkan lagi. Kebanyakaan pemimpin UMNO di bahagian yang berseteru akibat daripada perebutan jawatan akan lebih rela parti kalah dalam pilihanraya daripada mereka berbaik-baik dalam satu parti ataupun memberi laluan kepada pemimpin lain. Senario ini sudah lama berlaku di dalam UMNO tetapi ianya masih lagi terkawal.
Keadaan yang sulit dan tersorok ini akhirnya terdedah juga apabila Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa kecewa dengan tindakan empat wakil rakyat kawasan Setiu,Terengganu yang tidak hadir majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Setiu baru-baru ini. "Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya ketika berucap merasmikan persidangan itu.
Beliau mengingatkan anggota UMNO supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Selain daripada kekalutan di peringkat bahagian berkenaan dengan jawatan dan kepimpinan ia juga disebabkan dengan pengaruh dengan kepimpinan tertinggi di pusat. Kalau pemudanya, penyokong Mukriz mungkin kurang mesra dengan penyokong KJ. Begitu juga dengan orang-orang Rafidah dan orang Shahrizat. Tidak keterlaluan juga adanya 'krisis' antara penyokong Ali Rustam dan penyokong Muhyiddin Yassin. Jadi ianya bukan berlaku di bahagian semata-mata tetapi ada juga kaitan dengan kepimpinan UMNO Pusat. Kemungkinan hanya Presiden sahaja yang terkecuali kerana semuanya 'orang presiden'.
Bagi saya untuk memperbaiki kekalutan yang berlaku di bahagian-bahagian agak sukar kerana 'orang-orang pandai' semakin ramai dan berlumba-lumba menjadi pemimpin. Perebutan jawatan dalam UMNO adalah puncanya dan sudah sampai masanya agar UMNO mencari formula baru dalam memilih kepimpinannya jika tidak mahu 'pergolakan dalam cawan' ini akhirnya boleh membawa bencana kepada parti. Bercakap untuk berpadu dan bersatu memang senang tetapi realitinya di gelangang politik berlaku tikam menikam, cantas mencantas yang menyuburkan lagi dendam mendendam dan 'menutup periuk nasi' lawan masing-masing.
Justeru itu, tidak menjadi sesuatu yang menghairankan jika hasrat Mufti Perak, Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini akan hanya tinggal hasrat. Kalau di dalam satu parti pun sukar untuk mendapat satu regu, bagaimana pula jika parti yang mempunyai tujuan, matlamat dan prinsip yang berbeza boleh bersatu. Parti mana yang mahu mengorbankan kepentingan parti dan pemimpin mana yang mahu mengenepikan kepentingan diri?
Soalnya sampai bila orang Melayu mahu berpecah?
Amir Hamzah
Batu Pahat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Maaf tuanpunya blog sebab lari tajuk,
Saya masih lagi dengan penutupan IKYS tumpang letak dalam topik terbaru tuan.
Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang IKYS sila ke blog saya di http://tendangterajang.blogspot.com/2010/07/ikys-rugi-atau-nak-cari-untung-pintas.html
Luahan hati bapa saudara kepada salah seorang pelajar IKYS
aku yang bingai
Salam Tuan,
Tahniah DAP dan PAS, teruslah bersatu dan bergabung bersama PKR, tumpaskan BN.
Jadikan Lim Guan Eng PM dan yang lain sebagai TPM 1, 2, 3, dam 4.
PRU 13 masa yang paling sesuai...
Post a Comment