Monday, September 19, 2011

Tun M: Desak Negara Maju Turuti Malaysia Mansuh ISA



19 September 2011, Kuala lumpur.
Ketika PM mengumumkan permansuhan ISA, rakyat tergamam seketika dengan keberanian PM ke 6 itu yang begitu berani memansuhkan satu undang-undang yang selama ini dianggap sebagai zalim dan menyekat kebebasan rakyat di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Pandangan rakyat juga berbeza dan sebahagian besarnya menganggap tindakan Najib ini sebagai mengundur ke belakang akibat tekanan demi tekanan daripada pembangkang terutama sekali dengan gerakan Anti ISA. Sebahagiannya pula melihat bahawa ianya adalah gula-gula pilihanraya dan ada yang mewujudkan persepsi jahat dengan mengatakan undang-undang yang bakal menggantikan ISA itu lebih kejam, keras dan zalim. Prinsipnya sama cuma bersalin kulit saja.

Apapun pandangan pelbagai lapisan rakyat, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir membuat pilihan menyokong terhadap penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang diumum Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini. Berucap dalam majlis ramah mesra Aidil Fitri anjuran Kelab Chedet.com petang tadi Tun menyatakan bahawa pemansuhan akta tersebut akan memberi lebih kebebasan kepada rakyat memberi pandangan dan pendapat mereka.

Dalam masa yang sama, bukanlah bermakna ISA ini sesuatu yang kejam dan zalim seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Menurut Tun, semasa adanya ISA rakyat masih lagi bebas untuk memberi pandangan ,pendapat serta bebas menulis apa saja selagi ianya tidak melanggar undang-undang sedia ada.

“Tidak semua mereka yang membuka mulut terus ditahan di bawah ISA, dan tanggapan bahawa Malaysia tidak bebas kerana ISA juga tidak tepat,” katanya.

ISA yang diwarisi sejak zaman British itu wajar diganti dengan undang-undang ciptaan kita sendiri dan sesuai dengan kehendak semasa dan keperluan rakyat.

Tun Dr Mahathir berkata tindakan menghapuskan ISA meletakkan Malaysia dikelasnya yang tersendiri berbanding dengan negara jiran di Selatan yang masih menggunakan ISA malah boleh dianggap lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Dengan pemansuhan ini, Malaysia boleh memainkan peranannya mendesak Amerika dan Britain supaya menghapuskan pusat-pusat tahanan seperti di Pusat Tahanan Abu Ghuraib dan Tahanan di Teluk Guantanamo. Tahanan tanpa bicara dan disiksa dengan kejam kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Islam.

Menurut Tun, jika dahulu mereka menggelarkan Malaysia sebagai sebuah negara zalim dengan mengamalkan undang-undang yang tidak berperi kemanusiaan, kini tiba masanya mereka juga menuruti langkah Malaysia menghapuskan undang-undang yang sudah tidak relevan dengan tuntutan masa.

“Mungkin mereka baru sedar dalam situasi tertentu, Malaysia terpaksa menahan orang tanpa perbicaraan, namun apa yang mereka lakukan di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo dan Pusat tahanan Abu Ghuraib lebih kejam dengan meluluskan undang-undang yang membenarkan penyeksaan tahanan,” katanya.

Pada mulanya saya melihat Tun seolah-olah memerli dengan pemansuhan ISA ini namun berdasarkan pandangan jauhnya melangkaui sempadan negara dengan melihat kepada kepentingan umat Islam di dunia, sokongan Tun ini adalah sokongan yang ikhlas daripada pemimpin yang sentiasa berfikir jauh kehadapan demi kepentingan agama, bangsa, negara serta umat Islam secara keseluruhannnya.

Amir Hamzah Mohamad
Hotel Putra, Kuala Lumpur

No comments: