Tuesday, September 20, 2011

Hujah mesti dibalas dengan hujah.

Satu sudut pandangan yang lain, pemansuhan ISA menampakkan bahawa kerajaan bersedia menangani sebarang isu yang timbul dengan tidak bergantung kepada undang-undang semata-mata. Walaupun dikatakan akan ada rang undang-undang baru yang akan digubal bagi menggantikan ISA tetapi ianya lebih kepada isu-isu keganasan seperti demontrasi, perhimpunan haram atau melibatkan tingkah laku fizikal yang mengancam harta benda dan nyawa orang awam.

Di dalam isu-isu membuat sesuatu kenyataan, ucapan, fitnah, penulisan berbaur hasutan dan lain-lain, pendekatan secara undang-undang agak ketinggalan zaman. Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya mempunyai maklumat dan ilmu secukupnya tentang negara kita. Jika ianya sekadar satu hujah maka kita perlu menangkisnya dengan hujah juga.

Misalnya dalam isu Mat Sabu, kita faham hujah Mat Sabu yang mengangkat Mat Indera sebagai hero sebenar berbanding 26 orang polis yang terkorban itu sebagai tali barut British. Mat Sabu berhujah bukan meminta dirinya ditangkap tetapi apakah jawapan pakar-pakar sejarah, ilmuan, ahli politik dan sebagainya bagi menyanggah kenyataan Mat Sabu itu. Apa yang berlaku, banyak pihak membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat. Sudah lah rakyat kebanyakkannya buta sejarah, ada yang pakar pun membuat kenyataan-kenyataan balas yang tidak menyelesaikan isu yang diketengahkan. Malah lebih buruk, kebanyakannya membisu tanpa sebarang komen.

Ada setengahnya hendak menutup kenyataan bahawa polis itu bukan polis penjajah sehingga timbul pula jawapan mengatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah. Timbul pula soalan kalau negara kita tidak pernah dijajah, mengapa pula Tunku menuntut kemerdekaan 1957? Bukankah jadi cacar marba sejarah negara kita?

Jikalau Mat Sabu menafikan Dato' Onn dan Tunku bukan pejuang sebenar kemerdekaan negara maka kita yang belajar sejarah sudah tentu tahu jawapannya. Bagaimana jika kita sendiri 'jahil' dengan sejarah negara untuk menjawab isu-isu seperti itu. Adakah kebanyakan daripada kita hanya mengikut saja apa orang kata tanpa berusaha untuk menambah ilmu kita.

Jika kita tidak mempunyai ilmu tentang sejarah negara kita, sejarah bangsa kita tentang hak-hak kita dalam perlembagaan maka kita akan tidak menjadi sensitif. Jika ada orang mengatakan, orang Melayu itu juga pendatang, kita tak rasa apa-apa malah mengiyakan tanpa berusaha menafikannya.

Setakat mana kita tahu tentang konsep ketuanan Melayu, jika ada sesetengah pihak mahu membuang dan mempertikaikan ketuanan Melayu dan digantikan dengan ketuanan rakyat maka ramai yang terpinga-pinga.

Kita juga harus faham dan tahu hak-hak kita di dalam perlembagaan khususnya perkara 153 yang melibatkan hak-hak keistimewaan Melayu. Perkara 153 itu sebenarnya tidak boleh dicabar tetapi kalau orang Melayu sendiri mempertikaikannya, ianya menjadi sesuatu yang membinggungkan. Zaman sekarang kita perlu mempersiapkan diri kita dengan pengetahuan untuk berhujah kerana kalau darah dibalas darah, maka hujah mesti dibalas dengan hujah.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

2 comments:

wakketar said...

Salam tuan tanah,
Mat Sabu hanya memasang jerat. Nak tgk reaksi pro kerajaan dengan anti kerajaan. Lepas tu, dia cuci tangan la.. Kita juga yang berbalah mencari kebenaran isu-isu berkenaan....

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Kalau dia memasang jerat, akhirnya siapa yang terjerat?...