Friday, January 23, 2009

Selamat Beristirehat Kepada Ku Li.


Agak menarik juga gossip dalam http://politica-net.com.my kali ini. Politica menulis di dalam blognya : 'Ini gossip terbaru. Nak percaya susah. Tak percaya pun susah. Kata pihak yang bawak cerita, Abdullah Badawi tengah mencongak nak buat rombakan kabinet sebelum bersara. Salah seorang yang mungkin diberi tempat ialah Tengku Razaleigh Hamzah @ Ku Li. Konon ceritanya, Ku Li akan jadi Menteri Ekonomi dan Kewangan'

Ulasan amirhamzah64:

Ku Li ialah antara orang kepercayaan Allahyarham Tun Razak dan Allahyarham mengharapkan Ku Li akan menjadi PM selepas Allahyarham Tun Hussein. Beliau juga adalah bekas Menteri Kewangan Malaysia 1976-1984. Namun dalam politik, segalanya mungkin.

Tun Hussein melantik Tun Mahathir menjadi Timbalan Perdana Menteri walaupun Tun Mahathir hanya Naib Presiden UMNO ke 3 selepas Tun Ghaffar dan Ku Li.

Nasib malang Ku Li berterusan apabila Tun Mahathir melantik Tun Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri.Ku Li berasa kecewa kerana sering diketepikan. Tentu ada sebab mengapa Ku Li disisih oleh Tun Hussein dan Tun Mahathir.

Krisis UMNO bermula apabila Ku Li mencabar Tun Musa pada 1981 dan 1984 bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tun Mahathir secara terbuka menyokong Tun Musa. Ku Li gagal dalam pertandingan tersebut.

1988 Ku Li serta Team B melawan arus sekali lagi sehingga UMNO diharamkan dan Ku Li menubuhkan Semangat 46. Semangat 46 dan PAS telah bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan APU telah berjaya menawan Kelantan pada Pilihanraya umum 1990 dan sehingga ke hari ini Kelantan terus bersama PAS.

Walaupun telah kembali ke pangkuan UMNO dan Semangat 46 dibubarkan pada 1996, Ku Li terus mencabar Pak Lah bagi jawatan Presiden UMNO pada 2005 dan Najib bagi jawatan yang sama pada 2008 namun hanya bahagiannya sendiri Gua Musang sahaja yang mencalonkannya.

Berdasarkan rentetan sejarah ringkas ini Ku Li bukannya hendak menjadi Menteri Ekonomi dan Kewangan yang digossipkan. Memberi jawatan itu kepadanya ada satu penghinaan kepada Ku Li. Ku Li mahukan jawatan Perdana Menteri.

Ku Li sebenarnya telah mempunyai segala-galanya. Hanya KUASA sahaja yang selalu memberi nasib malang kepada dirinya. Ku Li sebenarnya dibayangi oleh ketokohan dan pengaruh Nik Aziz di Kelantan. Ku Li sendiri tidak disokong oleh UMNO Kelantan. Sokongan di 'kandang sendiri' pun tidak ada, bagaimana hendak mendapat sokongan daripada 'kandang-kandang yang lain'.

Ku Li sezaman dengan Tun Mahathir dan Tun Ghafar. Tun Ghafar telah pun meninggal dunia, sementara Tun Mahathir telah pun bersara. Nasihat paling baik untuk Ku Li adalah 'BERISTIREHAT' kerana zaman Ku Li telah pun berlalu.

Amir hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: