Wednesday, January 21, 2009

Melayu sudah mula curiga kepada MCA dan Gerakan.





Selepas Pilihanraya umum ke 12, Mac 2008 di mana Barisan Nasional(BN) gagal menguasai 2/3 parlimen di samping kecundang di 5 negeri, terlalu banyak saranan dan pandangan berhubung dengan masa depan BN. Lebih gawat lagi apabila BN kalah di dua pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Kerisauan tentang masa depan BN ini mencetuskan pelbagai luahan perasaan tentang permasalahan dalaman BN khususnya di mana UMNO sebagai tulang belakangnya. Ada berpendapat mengatakan bahawa BN itu adalah satu bebanan kepada UMNO berdasarkan kepada kekalahan calon-calon MCA, MIC dan Gerakan kepada DAP dan PKR.

Selepas tsunami politik 2008, memperlihatkan kelonggaran ikatan antara parti-parti utama dalam BN. MCA dan Gerakan seolah-olah masih tidak dapat menerima kekalahan besar mereka apabila pengundi-pengundi Cina beramai-ramai beralih angin kepada DAP dan PKR. Krisis dalaman parti tersebut terutama MCA dengan isu skandal seks pemimpin mereka dan isu-isu kroni dan nepotisme juga telah membuatkan pengundi Cina tidak lagi mengiktiraf MCA sebagai parti yang mewakili orang Cina.

Kekalahan besar MCA dan Gerakan bukanlah disebabkan oleh UMNO. Ia disebabkan oleh kelemahan parti tersebut dan juga dakyah-dakyah yang menyakinkan masyarakat Cina bahawa pentadbiran baru Pakatan Rakyat dilihat lebih adil, lebih berwibawa dan mereka akan mendapat layanan sama rata sebagai rakyat Malaysia. PKR berjaya memainkan isu ini sehingga pengundi Cina yang dikatakan bijak pun boleh 'termakan' kelentong Anwar Ibrahim.

Dakyah PKR ini juga berjaya memperdayakan MCA dan Gerakan yang percaya bahawa UMNO lah yang menyebabkan Gerakan tewas di Pulau Pinang.MCA pula kehilangan banyak kerusi Parlimen dan DUN di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan khususnya.PKR bukan sahaja berjaya menanam rasa benci kepada BN tetapi berjaya juga menghasut parti-parti kompenon BN berkonflik dengan UMNO.

Kenyataan pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan berkenaan isu hak-hak istimewa Melayu, isu pendatang, isu pemberian hak milik tanah di kampung-kampung baru di Perak dan ketuanan Melayu seolah-olah mereka sudah tidak selari lagi dengan kepimpinan UMNO dan rakan-rakan lain dalam Barisan Nasional.

Agaknya mereka inikah yang disebut-sebut dan didakwa akan melompat ke Pakatan Rakyat oleh Anwar Ibrahim?. Adakah mereka ini akan menunggu masa yang sesuai untuk melompat setelah mereka yakin dan pasti bahawa UMNO benar-benar berada di ambang kehancuran? MCA dan Gerakan agaknya sudah terlupa bahawa walaupun mereka 'knock out' dalam pilihanraya lepas, di kalangan mereka masih lagi ada yang diangkat sebagai menteri, timbalan menteri dan senator.

Walaupun mereka dikatakan menguasai segenap segi ekonomi negara, tetapi dalam politik MCA dan Gerakan masih bergantung harap dengan kekuatan politik Melayu. Begitu juga MIC, kalau diikut kawasan majoriti India, tidak ada satu kerusi pun yang boleh ditandingi oleh MIC. MIC banyak bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Begitu juga calon-calon India dalam PKR. MCA dan Gerakan juga ada sesetengahnya bertanding di kawasan majoriti Melayu tetapi dalam sejarah politik Melayu tidak pernah mengkianati BN terutama di kawasan-kawasan Pantai Barat.

Disebabkan kepimpinan UMNO masa kini layu dan lembik. MCA dan Gerakan mengambil kesempatan sedangkan di zaman pemerintahan Tun Dr.Mahathir mereka hanya menikus. Mereka ketika itu hanya menggunakan persatuan-persatuan Cina untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

DS Najib tidak ada pilihan lain. Najib dengan apa cara sekali pun wajib membersihkan UMNO yang korup dan lemah. Berani bertindak ke atas ikan-ikan jerung di dalam UMNO jika benar mereka terlibat dalam politik wang. SPRM sudah bersedia untuk berperang habis-habisan membasmi politik wang. UMNO perlu kuat semula. Ahli-ahli UMNO tidak ada sebab lagi untuk bercakaran.Mereka yang berada di dalam UMNO yang hanya berniat untuk mengumpul kekayaan dan memecah belahkan Melayu, silalah berundur.

Di dalam keadaan politik Melayu yang lemah, pemimpin-pemimpin Melayu wajar memberi ingatan kepada MCA dan Gerakan supaya tidak menjadi talam dua muka, menjadi gunting dalam lipatan dan telunjuk lurus kelingkeng berkait. Kalau hendak berkawan, berkawanlah di kala susah dan senang. Jangan menikam UMNO dari belakang, UMNO masih relevan bagi majoriti Melayu khususnya di pantai Barat. Setidak-tidaknya kenanglah UMNO sebagai parti' abang tua' dalam politik Malaysia.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: