Wednesday, January 28, 2009
Nazri Yang Gedebe Ganti Tajol Yang Lembik !
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Khamis malam sudah tentu menarik perhatian banyak pihak. Selain isu tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang bertindak keluar dari UMNO ada juga desas desus mengatakan ada lagi ADUN BN akan menuruti jejak langkah ADUN Bota itu.
Perkembangan politik di Perak itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu yang juga Ketua Pembangkang,Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.Beliau dikatakan tidak lagi ‘diterima’ oleh kalangan pimpinan UMNO Bahagian negeri Perak.
Tidak seperti Khir Toyo yang 'aggresif'di Selangor, Tajol Rosli kelihatan menyepi di Perak. Bukan di Perak tidak ada isu, tetapi 'karektor' Tajol Rosli di Perak sama dengan 'karektor' Pak Lah di Putrajaya. Rasa tidak puashati dengan kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri sekarang dikatakan menjadi salah satu faktor ‘suhu politik’ UMNO Perak panas membara.
Tajol Rosli boleh menjadi Menteri Besar tetapi tidak sesuai menjadi pembangkang yang 'ghairah'.Isu pemberian 999 tahun hak milik kekal tanah kepada Kampung-Kampung Baru tidak ditangani kemas oleh pembangkang, seolah-olah UMNO merestui. Sedangkan berpuluh tahun UMNO mempertahankan, sekelip mata PAS menghancurkan.
Kebisuan pemimpin-pemimpin UMNO Perak khususnya Tajol Rosli mengamit Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah mengeluarkan kenyataan. Baginda bertitah, raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.
Sehubungan itu, difahamkan, setelah pertemuan antara wakil rakyat BN seluruh Perak dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Isnin malam satu keputusan telah dicapai iaitu teraju Badan Perhubungan UMNO negeri itu akan bertukar tangan.
Tajol Rosli dikatakan akan melepaskan jawatan berkenaan dan Najib sendiri difahamkan telah diminta untuk menerajui Badan Perhubungan UMNO negeri berkenaan.Kalau benar ini berlaku ianya bukan sesuatu yang ganjil bagi negeri Perak kerana Tun Musa Hitam pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak di era Tun Mahathir.
Pada masa itu, Tun Musa adalah Timbalan Presiden UMNO bersama Presiden yang kuat. Najib adalah Timbalan Presiden UMNO bersama Presiden UMNO yang lemah. Tambahan pula Najib akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO selepas Mac 2009.
Adakah ini tidak membeban Najib yang terpaksa memikul tugas berat terhadap negara dan melayan kerenah UMNO sebagai pembangkang di Perak?
Mungkin TS Muhyiddin Yassin kelihatan diperlukan namun Muhyiddin belum lagi sah sebagai Timbalan Presiden UMNO. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak perlu diganti juga. Kalau tidak dapat pemimpin besar UMNO daripada luar Perak, bagaimana tidak dipilih di kalangan UMNO Perak sendiri. Kalau tidak Zahid Hamidi,tidak salah untuk saya mencadangkan Nazri Aziz yang nampak bengkeng di Parlimen.
Nazri Aziz pun tidak berminat untuk bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan Mac nanti. Tugas ini dilihat lebih mudah untuk dikendalikan oleh Nazri di Perak. Persoalannya Nazri yang 'gedebe' ini diterima atau tidak oleh bahagian-bahagian UMNO di Perak?
Sama ada Najib, Nazri atau Zahid, Perak memerlukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baru. Pak Lah yang akan bersara pada Mac nanti di Putrajaya sepatutnya diiringi oleh Tajol Rosli di Perak. Mereka berdua sememangnya telah berada di hujung kareer politik masing-masing. Jutaan terima kasih di atas segala sumbangan mereka berdua kepada UMNO,negeri dan negara dan mereka berdua tetap merupakan negarawan.
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment