Tuesday, January 27, 2009

Cadangan Membina Atau Membunuh UMNO?





Saranan Datuk Seri Idris Jusoh, Mantan Menteri Besar Terengganu, yang dipetik oleh Utusan Malaysia hari ini 28/01/2009, adalah seperti berikut:

'Seluruh calon Timbalan dan Naib Presiden UMNO wajar berkompromi untuk berikan keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan keperkasaan parti. Cara dan kaedah kompromi ini terserah kepada kebijaksanaan Majlis Tertingi (MT) UMNO untuk menentukannya. Dalam suasana politik mutakhir ini, setiap calon perlu buat pengorbanan demi UMNO dan berikan tumpuan terhadap usaha memperkasakannya. Tanpa pertandingan, UMNO mampu bendung gejala politik wang, elak perpecahan dan membolehkan ahli-ahlinya lebih fokus kepada usaha membina imej dan masa depan parti. Inilah masanya ahli UMNO dan pemimpin tertingginya bersatu hati dan eratkan perpaduan di semua peringkat bagi memperkukuh dan memperbaiki imej UMNO. Keputusan ini diambil oleh UMNO Bahagian Besut dalam mesyuaratnya kelmarin dan akan disampaikan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam tempoh terdekat'- dipetik daripada www.kudakepang.com

Ulasan amirhamzah64:

1. Pertandingan bagi semua jawatan dalam UMNO mesti diteruskan dan hidupkan demokrasi tulen. Sebelum Mac 2009, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Disiplin UMNO dan BPR sila bersihkan UMNO dengan Politik Wang atau Sogokan Wang. Rakyat mahu melihat hanya pemimpin-pemimpin yang bersih sahaja yang boleh masuk ke gelanggang.

2. Perwakilan seramai lebih 2000 orang boleh menentu dan memilih pemimpin - pemimpin mengikut pengalaman, pemerhatian, fikiran dan pertimbangan yang paling munasabah, wajar, bersih dan suci bebas daripada penjajahan wang dan sogokan. Pertimbangan paling tepat diperlukan untuk jawatan Timbalan Presiden dan 3 Naib Presiden.

3. Jadikan Perhimpunan dan Pemilihan UMNO 2009 yang paling sihat, paling bersih, paling beretika , paling waras serta paling bertamadun dalam sejarah UMNO kerana UMNO kini menjadi perhatian seluruh negara dan seluruh dunia. Perhimpunan dan pemilihan kali ini adalah jelas menunjukkan halatuju kehidupan dan kematian UMNO.

4. Perhimpunan dan Pemilihan UMNO 2009 mestilah menjadi batu asas UMNO mengorak perubahan dengan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Najib selepas Najib dinobatkan sebagai Presiden UMNO yang baru. Jika peralihan kuasa tidak berlaku maka UMNO sekali lagi sedang dan benar-benar memilih untuk hancur dan musnah.

Cadangan dan pandangan Pok Yeh itu mungkin baik untuk pertimbangan sebagai mantan MB Terengganu yang berpengalaman. Cadangan itu juga boleh mengundang kemarahan banyak pihak dan ada juga yang mungkin berkecil hati. Bukankah sekarang terlalu ramai manusia UMNO yang kecewa, maka elok kita serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

Cadangan ini mungkin relevan jika Pok Yeh menyatakan sebelum mesyuarat bahagian-bahagian UMNO tempohari atau cadangan ini telah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi lebih awal. Kemungkinan cadangan ini akan dipertimbangkan oleh para pemimpin UMNO. Tetapi sekarang sudah terlambat dan tidak praktikal.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: