Friday, January 23, 2009

Muhyiddin atau Najib ?



Blogger awi.prt8 menulis dalam blognya Nasi Lemak Bungkus (nasilemakbungkus.blogspot.com) memperkatakan tentang siapa lebih layak menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin atau Najib? Antara tulisannya:

PERDANA MENTERI DATO` SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI DAN BARISANNYA TELAH DITOLAK OLEH MAJORITI RAKYAT PADA PRU12 YANG LALU.....DAN TERKINI SELEPAS BELIAU DAN (majoriti ??) AHLI UMNO MEMBERIKAN ENDORSEMENT KEPADA NAJIB TUN RAZAK UNTUK MENGEPALAI UMNO MARCH NANTI,MAJORITI RAKYAT MASIH BERTERUSAN MENOLAK UMNO SEPERTI YANG TERBUKTI DI PRK PP DAN SEMALAM PRK KT.

'Rakyat sudah bersuara bahawa Pak Lah dan Najib sudah tidak relevan lagi...BAGGAGE mereka terlalu berat untuk dikendong bersama oleh rakyat.MASIHKAH UMNO TAK PAHAM-PAHAM LAGI BAHAWA RAKYAT MAHUKAN Muhyiddin Yassin sebagai PM'

Ulasan Amir Hamzah64:

Muhyiddin sudah 61 tahun dan Najib baru 56 tahun. Kalau diikutkan usia, Najib berilah laluan kepada Muhyiddin. Namun begitu, Jikalau Muhyiddin tidak mengeluarkan kenyataan menyokong Najib sebagai Presiden sebelum Mesyuarat Bahagian-Bahagian UMNO seluruh negara, senario mungkin berbeza. Nampaknya Muhyiddin lebih selesa berketuakan Najib daripada bersedia membuka gelanggang untuk Bahagian-Bahagian UMNO mencalonkannya bertanding jawatan Presiden.

Najib mempunyai peminat yang ramai di kalangan ahli-ahli UMNO. Kementerian yang diterajuinya sejak dahulu adalah kementerian yang menghubungkan terus dirinya dengan akar umbi. Beliau membawa perubahan yang besar apabila menerajui sesuatu kementerian. Contohnya ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran dan Menteri Pertahanan, guru dan tentera mendapat faedah yang banyak dari segi kenaikan gaji dan pangkat serta kebajikan kakitangan kedua-dua kementerian ini sentiasa terbela. UMNO akar umbi sebahagian besar pemimpinnya adalah guru dan bekas-bekas tentera.

Bagi Muhyiddin, kementerian yang diterajuinya kebanyakannya tidak menghubungkan beliau kepada UMNO akar umbi dan golongan-golongan yang menjadi pemimpin sebagai ketua-ketua cawangan dan AJK Bahagian-Bahagian. Mungkin beliau kelihatan lebih bersih dari segi moral, karisma dan ketokohannya yang menjadi satu bonus kepada beliau. Pengalamannya semasa menjadi Menteri Besar Johor juga boleh diberikan kredit.

Perlu diingat juga Muhyiddin sendiri tidak mendapat sokongan 100% daripada Johor bagi pencalonan Jawatan Timbalan Presiden UMNO. Dua Bahagian UMNO di Johor telah mencalonkan Ali Rustam dan Mohamad Taib.

Walau bagaimana pun, rakyat terbanyak melihat Najib sebagai tokoh yang boleh meneruskan tradisi membela rakyat yang dicetuskan oleh ayahandanya. Kemungkinan Najib mampu melakukannya berdasarkan pengalamannya yang luas sebagai Menteri Besar, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Rakyat Malaysia sebenarnya masih 'kelabu' dan 'was-was' tentang isu pembunuhan Atantuya Sharibu yang dikatakan adanya penglibatan Najib dan Rosmah. Najib sendiri telah menafikan secara terbuka kepada rakyat serta dihadapan pemimpin-pemimpin UMNO dan ketua-ketua Bahagian UMNO dalam satu perjumpaan tidak lama dulu bahawa dia tidak terlibat malah tidak mengenali langsung Atantuya.

Penafian secara tidak bersungguh-sungguh, pembebasan Razak Baginda dan persoalan-persoalan yang tidak memuaskan hati rakyat menjadikan rakyat tidak menyakini Najib sebagai pemimpin yang bermoral.Pemikiran dan penentangan secara senyap ini semakin menebal di hati rakyat. Kemungkinan ianya diterjemahkan dalam dua Pilihanraya kecil yang terbaru di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu di mana Najib menjadi 'Jeneral' PRK tersebut.

Kes Atantuya masih berjalan dan tidak manis untuk kita membincangkannya sama ada Najib terlibat atau tidak. Sesungguhnya Najib mungkin mempunyai rekod silam berkaitan 'perempuan' membuatkan rakyat berfikir banyak kali.

Apa pun kita masih lagi berdiri di atas andaian. Kita tidak mempunyai fakta atau bukti yang kukuh untuk menuduh seseorang. Hanya mahkamah sivil yang boleh menentukannya. Jika Mahkamah sudah tidak dipercayai lagi, Mahkamah Rakyat akan membuat keputusan.

Walaupun di hati kecil menerima Muhyiddin selayaknya menjadi PM tetapi saya mengikut kehendak suara majoriti bagi mempastikan UMNO tidak berpecah lagi. Perpecahan 1988 dan 1998 meninggalkan kesan besar kepada parti yang telah berusia 62 tahun ini. Perpecahan kali ketiga jika berlaku lagi dalam tempoh 20 tahun ini pasti akan mentalqinkan UMNO.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: