Monday, January 19, 2009

Daripada Sultan Ke Ketua Kampung Adalah Melayu, Tapi Melayu Tetap Miskin


Daripada Sultan hinggalah kepada Ketua Kampung adalah Melayu, Perdana Menteri adalah Melayu, Timbalan Perdana Menteri juga Melayu, Menteri Besar dan Ketua Menteri hampir semua Melayu, Menteri-menteri ramai yang Melayu.

Ketua-ketua Jabatan dan Pengarah-pengarah Kementerian kebanyakannya Melayu, Pegawai Daerah-Pegawai Daerah semestinya Melayu, kakitangan kerajaan 90% adalah Melayu, Tok Penghulu dan Tok Pengawa wajib Melayu, Ketua Kampung dan Tok Sidang pun Melayu. Namun selepas 51 tahun Merdeka ,Melayu masih di kalangan golongan termiskin di Tanah Melayu. Selepas 63 tahun UMNO dilahirkan Negeri-negeri Melayu khususnya tidak maju-maju.

Kadang-kadang pelik juga tetapi di dalam dunia ini banyak benda yang pelik-pelik berlaku. Satistik ini diambil dari ucapan Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat ketika perbahasan Rang Undang-Undang 2008 di Parlimen pada 30 Oktober 2007 berkenaan masalah kemiskinan mengikut kaum. Beliau mendapat sumber daripada Jabatan Perdana Menteri berdasarkan bancian 2004.

Agihan isi rumah termiskin mengikut kumpulan etnik utama menunjukkan kumpulan etnik bumiputera adalah tertinggi iaitu 65100 isi rumah atau 96.7%. Pada tahun 2009 ini index ini pastinya akan meningkat tambahan pula dalam kegawatan ekonomi global. Utusan Malaysia melaporkan 45 000 pekerja kilang diberhentikan kerja apabila pengurusan kilang menutup operasi selama dua atau tiga minggu dan pekerja diminta mengambil cuti sama ada diberi cuti bergaji atau tanpa gaji. Sebahagian besar pastinya Melayu.

Tidak menghairankan jika fenomena ini berlaku pada masyarakat India kerana Menteri Kerja raya pun sudah tidak dimiliki oleh koata MIC, tetapi ianya berlaku pada bangsa Melayu yang menguasai hampir keseluruhan pengurusan dan pentadbiran negara.Sejak daripada zaman Tunku Abd.Rahman hingga ke zaman Pak Lah tidak putus-putus projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan di rancang dan dilaksanakan khususnya untuk orang Melayu tetapi Melayu tetap di tangga teratas mempertahankan kejuaraan rakyat termiskin di negara ini.

Kemiskinan memang sukar dihapuskan tetapi ianya boleh dikurangkan. Di mana silapnya dasar-dasar kerajaan yang murni,pengurusannya kah atau perlaksanaannya kah? Kenapa DEB tidak mencapai targetnya pada tahun 1990 setelah 20 tahun perlaksanaannya.Melayu dan Bumiputera hanya menguasai 18% kekayaan negara.Itu pun dibantu oleh pemilikan kerajaan dan penswastaan berkepentingan kerajaan.

Siapakah yang kaya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB)? Pertama Cina yang memang terlibat dengan perniagaan dan perdagangan. Kedua ahli-ahli politik Melayu yang tidak berniaga tetapi mendapat laba melalui projek-projek kerajaan secara runding terus. Golongan ini lah yang cepat kaya berbanding dengan Melayu yang betul-betul berniaga tetapi jarang mendapat peluang. Melayu yang tidak ada hubungan politik sukar untuk berjaya dan berdaya saing.

Melayu di Jabatan-jabatan Kerajaan lebih mesra dengan rakyat bukan Melayu apabila berurusan sama ada di Pejabat Daerah, Pejabat Tanah atau Majlis-Majlis Perbandaran. Kebanyakan Melayu tidak berduit untuk berurusan. Permohonan pastinya lambat mendapat kelulusan dan projek-projek terlepas begitu sahaja. Budaya 'duit' ini hidup subur di Jabatan-Jabatan Kerajaan tertentu. Siapa yang berani menafikan? Tanyalah kepada ahli-ahli Perniagaan Melayu atau pun ahli-ahli perniagaan Cina yang berurusan di Jabatan-Jabatan kerajaan.

Saya tidak ada bukti bertulis, tetapi saya selalu berbual-bual dengan ahli-ahli perniagaan ini. Rasuah di Malaysia walaupun tidak seteruk Indonesia ianya menjadi faktor penting mengapa DEB tidak menjadi kenyataan. Impian Tun Razak mati bersama-sama dengan kematiannya.

Bukan semua pemimpin-pemimpin Melayu yang rajin. Kebanyakannya tidak kreatif dan pemalas. Pemimpin Melayu mendahului dirinya dahulu berbanding kepentingan rakyat. Pemimpin Islam semestinya lebih miskin daripada rakyat bukannya istananya lebih cantik daripada masjid.Bukan semua tetapi semua wakil rakyat Melayu sama ada dari kerajaan atau pembangkang semuanya 'berada'. Bagi tahu saya seorang wakil rakyat yang miskin.Duitnya habis untuk rakyat dan membantu orang miskin, janda-janda dan anak-anak yatim.

Malah yang lebih bahaya apabila ada yang berkata , 'Kalau hendak kaya, masuk politik' Jadi kalau begitu pemimpin-pemimpin kaya melalui politik .Apa maksud nya begitu? Pemimpin-pemimpin UMNO ke, PAS ke, Keadilan ke semuanya ada niat untuk mencari projek apabila menjadi ahli parlimen atau wakil rakyat DUN.Jika ada peluang jarang mereka lepaskan. Bagi tahu saya wakil rakyat kawasan mana yang hanya ada satu-satunya kereta proton saga? Jadi dalam pemikiran mereka kaya diri sendiri dahulu barulah sakibakinya bagi kepada orang miskin.

Sebenarnya inilah pemikiran yang sedang bermain-main di dalam seluruh pemikiran rakyat Melayu dan Malaysia. Pemimpin-pemimpin terlalu menjaga kuasa,harta dan pengaruh. Dalam mereka tidak sungguh-sungguh dan main-main pun, Malaysia sudah semaju begini. Kalau mereka betul-betul,sungguh-sungguh dan ikhlas kemungkinan kemiskinan akan dapat dikurangkan walaupun mustahil untuk dihapuskan.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

No comments: