Monday, March 2, 2009

Allah BUKAN Kepunyaan Kristian !




Saya bukan ulama tetapi saya adalah penganut Islam yang yakin dan percaya kewujudan Allah, Muhammad s.a.w dan Al-Quran. Saya tidak perlu untuk membaca jauh sekali untuk mengkaji kitab Injil Kristian kerana saya sudah yakin benar dengan Islam kecuali saya masih ragu-ragu dengan Islam.

Dalam pada itu, gugur iman saya jika saya tidak percaya kepada 4 kitab Allah iaitu Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran. Namun setelah turunnya Al-Quran, maka terhapuslah kitab-kitab yang terdahulu kerana Al-Quran itu adalah pelengkap beragama kepada umat manusia. Maka sesiapa yang ingkar dengan perintah-perintah ini apatah lagi tidak percaya kepada Al-Quran, maka manusia itu dianggap derhaka kepada perintah Allah.

Islam adalah tuntutan beragama kepada manusia yang Allah jadikan. Manusia yang mengikut Islam adalah yang benar. Manusia yang masih di luar Islam tetap dianggap derhaka akan perintah Allah. Mengikut Islam, mereka akan menanggung dosa setiap saat dan detik selagi mereka tidak mengesakan Allah, menerima Muhammad s.a.w sebagai pesuruh Allah dan Al-Quran sebagai petunjuk dan mukjizat kepada umat manusia.

Nabi Isa a.s adalah tetap nabi dan rasul umat Islam. Percaya kepada Rasul-Rasul adalah satu daripada rukun Iman. Nabi Isa menurut Islam berbeza dengan Nabi Isa tafsiran Kristian. Antara contoh perbezaannya adalah seperti berikut:

Isa mengikut versi Islam merupakan seorang manusia 100%. Baginda hanya merupakan seorang nabi. Baginda tidak dibunuh dan disalib. Al-Quran telah menjelaskan hal ini dengan nyata:

“Dan kerana ucapan mereka : ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, ‘Isa anak Maryam, Rasul Allah’, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya…” ( Surah An-Nissa: 157)

Isa mengikut versi Kristian adalah manusia/tuhan Yesus yang telah mati dibunuh oleh orang-orang Yahudi. Kitab Injil ada memberitakan hal ini:

“Tetapi ketika mereka sampai kepada Yesus dan melihat bahwa ia telah mati….” (Yohanes 19:33)

“Ia pergi menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus. Pilatus memerintahkan untuk menyerahkannya kepadanya. Dan Yusuf pun mengambil mayat itu….”(Matius 27:58-59)

Mengikut Kristian, Yesus Kristus (8–2 SM hingga 29–36 Masihi), [1] juga dikenali sebagai Yesus dari Nazareth, ialah tokoh utama agama Kristian. Beliau biasanya dirujuk sebagai Yesus Kristus, dengan ungkapan "Kristus" yang berasal daripada gelaran Yunani yang bermaksud "Yang Dilumaskan Minyak" (bahasa Yunani: Χριστός Christos) yang sepadan dengan perkataan terbitan Ibrani, "Al-Masih" (bahasa Ibrani: יהושע Yĕhošūa'). Dalam Bahasa Indonesia, beliau juga digelar sebagai Yesus Kristus.
(sumber : Dari Wikipedia Bahasa Melayu)

Kita tidak perlu khuatir dan menyusahkan fikiran kita dengan memikirkan hujah-hujah dari kitab Injil kerana kitab Injil telah dibuktikan korup, menyeleweng, hilang keaslian dan bercampur antara ayat yang haq dan ayat yang batil. Buktinya kaum Kristian tidak berpuas hati dengan hanya menyelewengkan kitab Injil dan cuba pula hendak menyelewengkan kitab suci Al-Quran.

Al-Quran, Al-Hadis dan ijma’ ulama Islam tidak pernah bersetuju bahawa Nabi Isa yang diceritakan dalam al-Quran merupakan Yesus Kristus, tuhan orang Kristian. Perlakuan orang Kristian memalsukan ayat Al-Quran yang tersebut di atas untuk tujuan menghalalkan ajaran agama mereka.

Firman Allah :

“Segolongan di antara orang-orang Ahli Kitab bercita-cita hendak menyesatkan kamu, dan tiadalah mereka menyesatkan (orang lain), hanya diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak menyedarinya.” (Surah Ali-Imran: 69.

Saya tidak mahu mengutuk ulama politik berlebih-lebih kerana memang begitulah perangai mereka. Namun begitu biarlah rakyat yang tidak berparti dapat menilai pendirian ulama-ulama kalau sudah berpolitik mereka juga tidak terlepas daripada berbohong, hipokrit dan bermuka-muka demi mendapat keuntungan politik parti yang diwakilinya.

Akhir kalam, disebabkan Kristian menolak Muhammad s.a.w sebagai Nabi terakhir dan penutup segala nabi dan tidak ada lagi nabi selepas Muhammad, menolak Al-Quran sebagai sumber rujukan dan panduan manusia maka Allah yang benar itu adalah hanya untuk manusia yang menjadikan Islam itu agama anutannya.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

TERKINI 5/3/2009 SUMBER : agendadaily.com

Datuk Taib Azamudden Mat Taib memberikan pandangan untuk memperjelaskan penggunaan nama Allah oleh agama lain dalam sidang Dewan Rakyat hari Khamis. Antara kupasan dan pandangan beliau:

Saya ini lebih fokus pada pensucian Islam itu sendiri dari kepartian. Terpulang kepada tafsiran orang nak letak kedudukannya di mana,” Taib memulakan penjelasannya.

Bagi beliau kalimah Allah berasaskan Tauhid ia tidak boleh digunakan oleh agama lain dan berpendapat Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

“Sebab itu kalau kita nak bahaskan masalah Allah yang disebut dalam Al-Quran, kita kena lihat Asbabbul Nuzul (sebab sesuatu ayat itu diturunkan) dan kalau kita nak buka erti Allah kepada yang lain-lain, Al Quran juga pernah mendedahkan dalam surah At Taubah (sambil beliau membacakan ayat berkenaan)

“Yang bermaksud, orang Yahudi kata Uzzir anak Allah, orang Kristian kata Al Maseh, anak Allah. Daripada penjelasan ringkas ini, kita nampak Allah yang dimaksudkan oleh Yahudi lain daripada Allah Tauhid kita.

“Allah yang dimaksudkan orang-orang Masihi adalah dan orang lain adalah lain daripada Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

“Sebab ketauhidan makna Al Ahadiyah dan As Samadyiah itu tidak jadi satu tunggak kepercayaan yang lain daripada Islam sebab itu yang didakwa orang agama lain sedangkan bagi kita, kita tahu Allah tidak ada anak, tidak diperanakkan dan tidak beranak,” jelasnya panjang lebar.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan memberikan penegasan mengenai perkara berkenaan agar ia dapat mengelakkan kekeliruan dan pertelingkahan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Beliau turut memberikan memberikan pandangan betapa jika kekeliruan mengenai penggunaan kalimah Allah tidak dijelaskan, dikhuatiri pertembungan yang sengit akan berlaku.

“Misal saya katakan, maaf saya pada sahabat-sahabat yang beragama Buddha, Hindu atau agama Kristian. Andai saya bertanya kepada yang agama Hindu, sahabat hendak pergi mana, mereka kata nak pergi sembah Allah, Tanya pula sahabat dari Batu Pahat (Dr Puad Zarkashi) atau Sri Gading (Mohamad Aziz), sahabat hendak pergi ke mana, mereka juga jawab, saya nak pergi sembah Allah.

“Ini Allah yang mana? Sebab itu saya lebih suka dalam isu ini, saya menasihati temrasuk diri saya, kalau masalah menyentuh aqidah dan sentuh agama kita tak payah sibuk-sibuk,” ujar beliau.

Pandangan Datuk Taib itu adalah sama dengan pendirian Majlis Faktwa Kebangsaan.

7 comments:

Ilham_sahih said...

Salam tuan amirhamzah64,

Pengkajian yang sangat berilmiah.

Saya merasakan I'tiqad umat Islam kini jelas dalam membedakan antara Isa A.S dan Jesus. Persoalan yang lebih utama berbangkit dalam isu panas tuntutan penggunaan nama Allah dalam Bible Melayu adalah kononnya untuk membedakan 'Allah' iaitu 'Tuhan Bapa' daripada 'Lord' iaitu 'Tuhan'.

Persoalan kedua soalan pemilikan ini adalah hujah berkenaan nama bapa Nabi SAW iaitu Abdullah ibn Abdul Mutalib di mana Abdullah membawa maksud 'Hamba Allah'. Justeru, 'Allah' sudah wujud dalam kehidupan masyarakat musyrikin Mekah ketika itu kerana kelahiran bapa Nabi SAW sudah pastinya dicatat dalam lipatan sejarah di waktu zaman Jahiliyyah.

Sudi kiranya tuan merungkai persoalan ini. Maaf kerana mengambil jalan mudah meminta orang lain mengkaji persoalan sebegini. Saya lebih faham bila berbincang dan berbeda pendapat dari membaca senaskhah penulisan tanpa bimbingan.

~salam~

amirhamzah64 said...

Salam Ilham_sahih,

Saya bukan pakar dan jawapan saya adalah bersifat peribadi.

Nabi Isa a.s. diutus Allah Swt. sebagai nabi dan rasul. Ia lahir tanpa ayah, tetapi bukan karena zina. Sejak masih bayi, ia berperilaku lain dari teman sebayanya. Pada usia 12 tahun, ia menuntut ilmu dengan menghadiri diskusi para ulama di Baitulmakdis. Pada usia 30 tahun, ia menerima tugas kenabian di Bukit Zaitun. Ketika itu ia sedang beribadah bersama ibunya dan dikelilingi oleh malaikat. Maryam sudah tahu bahwa putranya akan mendapat tugas kenabian ketika hal itu diberitahukan kepadanya. Setelah menerima wahyu berupa Injil

ia memaklumkan kerasulannya kepada Bani Israil. Namun, para pemuka agama marah, lalu menuntut agar Nabi Isa membuktikan kerasulannya. Ia menunjukkan sejumlah mukjizat yang memperkuat dakwahnya. Al-Qur'an menegaskan bahwa Isa sama sekali tidak memiliki sifat ketuhanan, dan bukan "putra Tuhan." Islam menolak gagasan trinitas, yang menganggap Isa sebagai Tuhan

Nabi Isa hanya mengaku diri sebagai nabi dan rasul, dan tidak pernah sebagai Tuhan. Ia malah percaya kepada Allah Swt., pencipta alam semesta, termasuk pencipta dirinya.

Isa memiliki beberapa keajaiban atas kekuasaan Tuhan. Di samping kelahirannya, baginda mampu bercakap-cakap sewaktu berusia hanya beberapa hari, Isa bercakap dan membela Ibunya dari tuduhan penzinaan. Dalam Qur'an juga menceritakan kisah baginda menghidupkan orang yang sudah mati, menyembuhkan buta dan sopak.

Disebabkan keupayaan Isa menghidupkan orang yang telah mati maka mereka menganggap Isa sebagai tuhan kerana hanya Tuhan sahaja yang menghidup dan mematikan.

Saya tidak melihat penggunaan nama Allah dalam Bible Melayu adalah kononnya untuk membedakan 'Allah' iaitu 'Tuhan Bapa' daripada 'Lord' iaitu 'Tuhan'. Tetapi sebagai satu cara untuk mengelirukan umat Islam semata-mata.

Mengenai nama Abdullah yang maksud 'hamba Allah' bukan lah perkara pelik kerana semua nabi yang diutuskan termasuk 25 Rasul itu membawa agama Allah dan telah wujud sejak Nabi Adam lagi.

Nabi Daud, Nabi Musa, Nabi Isa masing-masing membawa agama Allah beserta dengan kitab Zabur, taurat, dan Injil. Sehingga lah kepada Muhammad s.a.w yang diturunkan membawa agama Islam dan Al-Quran. Tuhan tetap satu tetapi nabi seramai 124ribu orang dan 314 rasul dan wajib percaya 25 rasul.

Petunjuk yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah rasul-rasul dan nabi-nabi. Ertinya setiap zaman, Allah pasti akan mendatangkan orang-Nya yang menjadi petunjuk kepada manusia.

Di zaman ada rasul maka rasul membawa syariat baru dari Allah. Di zaman tiada rasul, nabi-nabi didatangkan untuk menyampaikan syariat rasul yang sebelumnya. Manakala disegi aqidahnya tetap sama, yakni setiap rasul datang untuk mengenalkan Allah sebagai Tuhan kepada manusia. Cuma syariat yang berbeza.

Sepanjang umur dunia, Allah sudah mengutuskan 313 orang rasul. Ada juga yang mengatakan 314 atau 315 orang rasul semuanya. Bilangan nabi pula seramai 124 ribu orang. Nabi-nabi ini datang di antara atau di celah-celah kedatangan rasul. Ada juga yang datang bersama-sama dengan kedatangan rasul.

Nabi Muhammad SAW adalah nabi yang terakhir. Selepasnya tiada lagi nabi atau rasul sebab baginda ialah Nabi akhir zaman. Selepas kewafatan baginda SAW, dunia bersambung untuk 15 kurun lagi sebelum Kiamat. Ertinya selama 1500tahun, manusia mempunyai nabi yang telah wafat.

Terima kasih.

Ilham_sahih said...

Salam tuan amirhamzah64,

Seperti biasa, jawapan tuan dengan fakta dan penghujahan yang berlandaskan akal serta pengemukaan sejarah.

Saya membangkitkan persoalan 'Tuhan Bapa' atau 'Tuhan' bukan kerana saya meragui keEsaan yang Maha Esa. Cuma alasan tersebut adalah yang paling terhormat (atau licik) yang digunakan bagi menghalalkan penggunaan kalimah suci Allah di dalam kitab karangan manusia, Bible. Penjelasan tuan harap didengar oleh kelompok manusia berkenaan.

Saya mempercayai bahawa Islam sentiasa hidup dalam semua zaman kerana turunnya Adam A.S ke bumi bersama agama syumul ini. Namun, seperkara yang menekan benak hati saya apabila 'Allah' juga meniti di bibir kaum musyrikin Mekah ketika itu. Saya juga cukup yakin bahawa pengetahuan kaum musyrikin mengenai Allah adalah jauh menyimpang dari konsep Ma'rifatullah yang dibawa oleh Nabi SAW yang menekankan konsep Esa dan tunggal. Justeru, Allah mana yang disembah oleh kaum musyrikin sedangkan musyrikin itu sendiri membawa maksud orang yang syirik (menyengutukan) Allah?

maaf sekiranya membangkitkan persoalan-persoalan sebegini. saya harap saya lebih memahami punca utama perbalahan ini. jawapan mantiqnya ada. lebih teguh kalau disokong dengan fakta yang mampu merungkai segenap persoalan. kelemahan saya tidak tahu merujuk ke mana. di "Segalanya Mungkin" saya berharap ketemu jawapan.

terima kasih tuan.

amirhamzah64 said...

Salam Ilham_sahih,

Saya hanyalah orang biasa dan kurang arif untuk membincangkan perkara yang saudara utarakan. Kalau boleh saudara perlu merujuk alim ulamak yang berdekatan dengan tempat saudara, mungkin jawapannya lebih tepat dan memberi kepuasan kepada saudara.

1. kita perlu memahami pengakuan Nabi Isa di dalam Al-Qur’an bahawa baginda bukanlah Tuhan Allah:

“Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: Hai ‘Isa putera Maryam, adakah kam mengatakan kepada manusia: ‘Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?’. ‘Isa menjawab: ‘Maha Suci Engkau (ya Allah), tidaklah patut bagiku mengatakan sesuatu yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku katakan demikian, maka tentu Engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada dalam diriku dan aku tiada mengetahui apa yang ada pada diri (Zat) Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib.’” (Surah Al-Maidah: 116)

“Aku ['Isa Al-Masih] tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku, iaitu: Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu dan aku menjadi saksi atas mereka, selama aku hidup bersama mereka, Tatkala Engkau mewafatkanku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau menjadi saksi atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Maidah: 117)

2. Nabi Isa mempunyai beberapa keistimewaan yang tidak ada pada manusia-manusia yang lain antaranya Nabi Isa boleh menghidupkan orang yang mati. Menghidup dan mematikan adalah kerja tuhan, maka dengan keajaiban itu Isa diangkat sebagai tuhan.

3. Nabi Isa lahir dalam keadaan yang ajaib, tanpa ayah kandung,sedangkan ibunya (Maryam) adalah dari golongan mereka yang suci serta masih perawan.Dengan itu Nabi Isa dikatakan sebagai anak tuhan. Di dalam Islam Allah itu sifatnya tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.

4.Seperkara yang menekan benak hati saudara apabila 'Allah' juga meniti di bibir kaum musyrikin Mekah ketika itu. Benar, Sejak Nabi Adam a.s hanya Allah sahaja tuhan yang esa cuma syariat sahaja yang berbeza-beza yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul. Allah bukan lah asing bagi kaum musyrikin, ianya cuma 'meniti'dibibir tetapi hati mereka tidak mentauhidkan Allah, malah mereka telah mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala-berhala seperti di zaman Jahiliah. Sebelum Muhammad menjadi Nabi, suruhan agama Allah telah disampaikan oleh nabi-nabi sebelumnya mengikut syariat-syariat nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Daud dan Nabi Isa sendiri.

5. Allah yang disebut di dalam Injil yang asal adalah Allah yang sama di dalam Al-Quran seperti juga Allah di dalam Zabur dan Taurat. Adakah Injil hari ini adalah Injil yang mengandungi 'kata-kata' Allah seperti mana Al-Quran yang bukan ciptaan Muhammad. Keempat-empat kitab ini yang mengandungi ajaran-ajaran agama Allah bukan ciptaan manusia tetapi agama daripada langit.

Dengan kata lain, Injil yang ada pada hari ini adalah Injil yang telah dirosakkan oleh tangan-tangan kotor manusia dengan memesongkan ajaran Nabi Isa yang sebenar. Maka Allah yang ingin digunakan bukanlah untuk membuktikan Allah Islam dan Allah Kristian adalah sama tetapi ada niat tersirat untuk memesongkan aqidah umat Islam yang lemah.

Maafkan saya jika jawapan saya tidak menepati soalan saudara. Saya rasa eloklah saudara berjumpa dengan orang yang lebih arif dan ahli dalam hal ini. Oleh itu saya memberhentikan perbincangan saya dalam hal ini atas kedangkalan saya dan ilmu saya yang terhad.

Terima kasih saudara.

Ilham_sahih said...

Salam tuan amirhamzah64,

Terima kasih saudara atas penjelasan tersebut.

~salam~

Taminsari said...

Salam saudara..Ini adalah pandangan dari mantan mufti besar Perlis :

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah.

Isu dalam artikel ini telah ditulis oleh Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin setahun yang lalu. Dicadangkan untuk pembacaan.

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.

Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.


Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.

Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.

Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).

Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.

Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?

Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

Sumber : Dr Maza

Konklusi : Yang menyokong kalimah Allah digunakan oleh pihak gereja!

Dewan Ulama Pas - Sokong
Anwar Ibrahim - Sokong
Tok Guru Nik Aziz - Sokong
Khalid Samad( Shah Alam )- sokong
Dr.Zulkifli(Kuala Selangor)- sokong

Yang Tak Sokong :

Mufti Perak - Tak sokong
KDN - Tak sokong
Datuk Taib Azamudden Mat Taib(PAS)- Tak sokong
Hampir seluruh umat Islam di Malaysia kecuali Pas & PKR - Tak sokong.

Keliru & mengelirukan? Wallahuallam.

Salam perjuangan

amirhamzah64 said...

Salam Taminsari,

Benar keliru dan mengelirukan.

Saya rasa perlu juga dibaca artikel Faizal Tehrani berhubung perkara yang sama. Saya akan ulas dalam penulisan saya akan datang.