Monday, March 23, 2009

Pengisytiharaan PERKASA


Datuk Ron sedang membaca Pengisytiharan PERKASA

Pengisytiharan
25 Rabiul Awal 1430H / 22hb Mac 2009
PERSIDANGAN KEMUNCAK PRIBUMI NEGARA
KUALA LUMPUR.

Dengan nama Allah Yang Pemurah dan Penyayang

BAHAWASANYA, Persidangan Kemuncak Pribumi Negara yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada - 25 Rabiul awal 1430H / 22hb Mac 2009 yang dianjurkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dengan disertai 1500 orang perwakilan dari 65 pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di peringkat Kebangsaan dengan ini telah bermuafakat untuk menyatakan pendirian bersama :

1. MENGULANGI dan memperkukuhkan pendirian bagi mempertahankan Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja Melayu ke 215 pada 16hb Oktober 2008 berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan,kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perlembagaan persekutuan.

2. MENYERU semua pemimpin kaum pribumi mengambil usaha bersungguh-sungguh bagi memperkukuhkan ikatan perpaduan dan ukhuwah kaum Melayu dan pribumi sebagai teras perpaduan dan keharmonian bangsa Malaysia serta berperanan mengekalkan kestabilan sebagai tanggungjawab bersama.

3. MENGESA semua pihak termasuk parti siasah dan badan bukan kerajaan agar mengakui dan menerima peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan hak-hak keistimewaan kaum Melayu dan pribumi serta kepentingan-kepentingan sah kaum lain dan menentang sebarang pindaan yang boleh melemahkan kedaulatan dan kedudukan kaum Melayu dan Pribumi dalam perundangan dan perlaksanaan.

4. MENGESYORKAN agar pihak berkuasa mengambil langkah memperkasakan peruntukan mengenai hal-hal Islam dalam perlembagaan serta menolak sebarang provokasi mana-mana pihak bagi maksud penyamarataan, pencerobohan tauhid dan gagasan pluralisme agama yang bercanggah dengan perlembagaan negara.

5. MENCADANGKAN agar kedudukan Tanah Simpanan Melayu (TSM) dimasukkan di bawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan kepada perkara 159 fasal 5 dan perkara 10 fasal 4. Ini bagi mempastikan agar tidak berlaku penghakisan dan penghapusan Tanah Simpanan Melayu secara berterusan tanpa sebarang gantian yang wajar.

6. MENGGESA semua pihak supaya menghormati semangat perlembagaan yang mendasari dan menjadi paksi kepada kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta tidak melakukan sesuatu tindakan yang secara langsung atau tidak langsung menjejas dan menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan dan media pengajaran dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

7. MENGGESA pihak kerajaan pusat dan negeri menggubal langkah-langkah strategi dan inovasi serta pengawalan dan pencegahan dalam memastikan Pribumi bukan sahaj mampu menghadapi situasi krisis ekonomi semasa, bahkan pencaapaiannya terus dipertingkatkan bagi mempastikan Pribumi mampu bersaing dalam perubahan lanskap ekonomi dunia yang semakin liberal dan global.

8. MENGGESA pihak yang bertanggungjawab agar merangkan pelan-pelan dan jangkamasa tindakan serta pengukuran kejayaan terhadap usaha-usaha memperkasakan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Pribumi serta Raja Melayu selaku penaung dan penasihat dan melaksanakan semua pelan-pelan tindakan ini sehingga berjaya.

9. MENYERU supaya digabungkan seluruh kekuatan antara pertubuhan-pertubuhan Melayu, Pribumi dan Islam dalam satu saf gerak kerja yang lebih tersusun dan berkesan untuk memperjuangkan suatu pembentukan pemikiran strategik dalam mengekalkan ketahanan dan kelangsungan Kedaulatan Melayu, Pribumi dan Islam dalam perlembagaan dan perlaksanaan.

10. MENGGESA kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif yang telah disepakati bagi tujuan kepentingan politik dan kumpulan. Adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak daripada gangguan-gangguan individu atau kumpulan yang bertindak di luar batas dan peruntukan peruntukan perlembagaan negara.

Bahawasanya perhimpunan ini berikrar akan mempertahankan dan memperjuangkan pengisytiharan di atas demi kepentingan dan kesinambungan generasi Melayu dan pribumi yang akan datang sebagai kaum majoriti asal yang sah menurut sejarah dan perlembagaan. Perpaduan kaum Melayu dan Pribumi adalah teras kepada kestabilan rakyat Malaysia seluruhnya.

Kita Mengusahakan, Semoga Allah menyempurnakan.

Sekian.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

2 comments:

PribumiPerkasaMedia said...

Terima kasih atas tulisan2 tuan mengenai Perkasa. Saya telah letak tuan dalam blogroll Blog Perkasa.

Blog Perkasa bukan laman rasmi tetapi ditubuhkan untuk memudahkan perhubungan dengan wara blogosphera dan mencepatkan hebahan.

Perkara2 rasmi peroleh di laman rasmi.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Terima kasih

Semoga PERKASA akan terus berjuang mempertahankan bangsa, agama dan negara berlandaskan undang-undang dan perlembagaan negara.