Wednesday, March 18, 2009

Ali Ada Peluang Tiga Tahun Lagi.



Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Ketua menteri Melaka walaupun didesak berbuat demikian oleh pelbagai pihak. Sungguhpun beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana melanggar etika kempen ,Lembaga Disiplin hanya memutuskan Ali tidak boleh bertanding atau dipilih bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO Malaysia pada pemilihan parti itu 26 Mac depan.

Ianya juga selaras dengan kehendak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berkata, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan kekal sebagai Ketua Menteri Melaka walaupun telah dikenakan tindakan Lembaga Disiplin UMNO.

Lembaga Disiplin tidak menjatuhkan hukuman gantung 3 tahun seperti mana yang dialami oleh Isa Samad sehingga memaksa Isa meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail berkata, kesalahan Ali berkaitan Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO (anggapan kebersalahan pihak ke tiga).

Setelah mendapat jaminan daripada Timbalan Perdana Menteri berkenaan jawatan Ketua Menteri Melaka, TPM juga menaruh keyakinan Ali akan menerima keputusan yang dibuat oleh lembaga tersebut dengan hati yang terbuka. Najib turut meminta semua ahli UMNO menghormati keputusan yang telah dibuat oleh lembaga berkenaan.

Rais Yatim dalam temuramah dengan TV3 juga meminta supaya ahli UMNO menghormati keputusan yang telah dibuat. Apa maknanya kita menubuhkan satu badan untuk mengawal tingkah laku ahli-ahli UMNO tetapi kita sendiri yang tidak menghormati keputusan yang telah dibuat.

Setelah kekal sebagai Ketua Menteri Melaka, adalah lebih molek agar Ali tidak membuat rayuan. Tindakan ini akan menyukarkan Lembaga Disiplin sedangkan masa sudah begitu suntuk. Kemungkinan Lembaga Disiplin akan menolaknya kerana apakah pandangan rakyat jika Lembaga Disiplin membenarkan Ali bertanding semula. Ianya adalah satu tindakan yang membuang masa.

Sebaik-baiknya Ali tidak terikut-ikut dengan kehendak penyokong-penokongnya. Terima saje lah keputusan itu kerana memang telah diakui umum. Belajarlah daripada Isa Samad yang menjalani penggantungan 3 tahun dan kembali semula dengan imej baru. Isa adalah calon popular kali ini dan tidak mustahil beliau mendapat tempat sekali lagi bagi jawatan Naib Presiden.

Saya yakin Ali Rustam boleh menerima dengan hati terbuka seperti mana Isa Samad dahulu. Penyokong-penyokong Ali Rustam mungkin ramai yang tidak puas hati. Ianya adalah perkara biasa asalkan tidak mengambil tindakan yang boleh merosakkan parti dan negara. Kita masih ada 2 calon untuk Jawatan Timbalan Presiden. Pilihlah salah satu daripadanya.

Yang hendak kita pilih ini bukan peringkat negeri tetapi negara. Pemimpin yang menang Timbalan Presiden UMNO akan membantu Presiden menggalas tanggungjawab besar iaitu mengembalikan kestabilan politik negara, mempertahankan ekonomi negara yang gawat, mengembalikan UMNO di hati rakyat, mengumpul semula kekuatan BN yang terburai selepas PRU ke 12 yang lalu serta berkarisma, berwawasan, bersih, amanah dan mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat bila-bila masa.

Saya mengambil kesempatan untuk melahirkan rasa simpati kepada Datuk Ali Rustam. Selagi Datuk di dalam UMNO selagi itulah Datuk adalah salah seorang pemimpin saya. Bagi penyokong-penyokong Ali walaupun kecewa tetapi jangan sampai memfitnah orang lain dan membuat pelbagai spekulasi kerana UMNO bukan parti 'Pasaran Saham'.

TERBARU!:

Jawapan Datuk Ali melegakan ahli parti yang bimbang akan berlaku perpecahan parti berikutan keputusan Lembaga Disiplin Selasa melarang beliau daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Kehadiran beliau dalam majlis memperkenalkan calon Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada para perwakilan Negeri Sembilan di Seremban Khamis malam melakarkan suasana yang cukup menarik. Sekali gus memperlihatkan kematangan beliau sebagai pemimpin UMNO.

Ini adalah komen beliau tentang hukuman yang dihadapinya:
“Lembaga Disiplin…dia jalankan tugas atas arahan UMNO…jadi mereka jalankan tugas sebagaimana diarah…jadi apa yang diputuskan kita kena terima secara terbuka dan berlapang dada.

“Saya terima dengan hati terbuka dan tak perlulah tuduh sesiapa dalam soal ini,” katanya dengan harapan isu tuduhan dan tohmahan tidak akan dijadikan cakap-cakap politik yang boleh menjejaskan keutuhan dan perpaduan parti.

Kematangan beliau berpolitik adalah keuntungan jangkapanjang. Beliau bukan pemimpin yang cepat melatah. “Saya datang nak bagi sokongan kepada rakan-rakan yang bertanding. UMNO masih kuat dan bersatu. Habis pertandingan kita akan rapatkan semula barisan.

“Walaupun saya terkeluar awal sedikit, saya tak rasa kecewa…biasa saja. Saya datang nak bagi sokongan dan semangat kepada kawan-kawan…takkan lepas terkeluar (daripada bertanding) saya nak ambil cuti pula,” ujar beliau.

“Apa yang penting jika menang jadilah pemimpin yang baik dan jika tak berjaya jadilah pengikut yang baik, InsyaAllah parti selamat,” katanya


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

2 comments:

zedmagel said...

Bro....

Hormatilah keputusan Lembaga Displin UMNO, YAB Datuk Seri Ali Rustam sendiri saya lihat menerima dengan hati terbuka, saya sangat menyanjungi kertebukaan yang ditunjukan oleh YAB Datuk Seri Ali Rustam. Ada ubi, ada batas, ada masa boleh bertanding lagi.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam bro zedmagel,

Kalau semua ahli UMNO berfikir seperti YAB Datuk Seri Ali Rustam, saya rasa UMNO akan lebih terjamin masa depannya.

Saya juga, terpaksa menelan keputusan Lembaga Disiplin UMNO walaupun kelat.

Selalunya yang kelat dan pahit itulah menjadi ubat yang paling mujarab.