Sunday, March 8, 2009

Keranda 152 Tahun 1967 dan 2009





Perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu bukannya mengambil masa yang singkat. Keranda 152 1967 adalah satu episod dari rantaian perjuangan meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya.

Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara tokoh terpenting ialah Usman Awang yang ketika itu menjadi editor Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya yang diterbitkan DBP. Perarakan ini merupakan simbolik kepada kematian Bahasa Melayu apabila kerajaan Malaysia tidak menepati janji untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

Semua orang Melayu di Malaysia dipelopori pejuang bahasa mahu mengangkat martabat Bahasa Melayu ke tempat yang wajar di negara ini bagi menggantikan Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti ketika itu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 jelas mencatatkan kedudukan Bahasa Melayu akan dinaikkan kedudukan secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 kepada tahap lebih baik 10 tahun kemudian iaitu pada 1967. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa termasuk Cina, India dan lain-lain. Ketika Malaysia baru merdeka pada 1957, parti pemerintah beranggapan bahawa Bahasa Melayu belum bersedia untuk mengambil alih tugas Bahasa Inggeris yang digunakan oleh pentadbiran penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Lebih 2,000 pejuang bahasa termasuk pengarah DBP, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail dan Allahyarham Usman Awang berhimpun dan berucap di Balai Budaya, DBP selepas sembahyang Jumaat pada 3 Mac 1967. Mereka mahu berarak membawa keranda putih bertulis Perkara 152 ke bangunan Parlimen yang terletak di Jalan Mahameru, kira-kira 3 km dari DBP. Namun kerajaan Perikatan tetap bertegas dengan Bahasa Inggeris.(sumber :wikipedia.org/wiki/Keranda_152)

Apakah kesan daripada protes keranda 1967 itu. Pada tahun 1971, murid-murid darjah 1 Sekolah Rendah Jenis kebangsaan (Inggeris)telah belajar semua matapelajaran dalam bahasa pengantar Bahasa Melayu. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi titik tolak, detik penting dan peluang terbaik untuk menukar status Bahasa Melayu kepada bahasa pengantar, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang sebenar-benarnya dalam semua majlis dan semua perkara. Menteri Pelajaran yang berani bertindak ketika itu ialah Abdul Rahman Yaakub dari Sarawak. Konvensyen Ekonomi Melayu yang diadakan juga setuju menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan seberapa segera sebagai alternatif Universiti Malaya di Singapura yang ditubuhkan oleh penjajah British.Ini adalah kejayaan terbesar yang dilakukan oleh kakitangan DBP sehingga ke hari ini.

Perarakan Keranda Mac 2009 merupakan perarakan aktivis bahasa dan rakyat Malaysia yang antara lain mahu polisi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan. Perarakan ini, yang disertai oleh lebih 8,000 orang, bermula pada pukul 2 petang pada 7 Mac 2009 menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Perarakan ini dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan disertai oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad serta barisan pemimpin politik seperti Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Perarakan ini dikatakan menyerupai matlamat perarakan Keranda 152 yang diadakan pada tahun 1967. Perarakan ini diadakan kerana mahu mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Kejayaan demi kejayaan yang dicapaikan oleh Bahasa Melayu kononnya telah dimusnahkan oleh dasar PPSMI yang dianjurkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002 dan dilaksanakan pada 2003.

Apakah perbezaannya perarakan Keranda 152 tahun 1967 dan tahun 2009 dari segi matlamat dan tujuannya? Apakah benar perarakan keranda 152 1967 mempunyai matlamat yang serupa dengan perarakan Mac 2009?

Kesan keranda 152 1967 telah menyaksikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa yang diakui sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan dan digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan universiti hatta kebidang kehakiman, apakah pula nasib Bahasa Melayu selepas 2009?

Adakah sepanjang 22 tahun pemerintahan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, tidak ada satupun sumbangan beliau kepada kemajuan dan pembangunan Bahasa Melayu?

Apakah kemajuan matapelajaran Bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar Melayu sejak 1971 hingga 2003 sehingga menyebabkan Tun melakukan perubahan drastik dengan memperkenalkan PPSMI di tahun 1, tingkatan 1, tingkatan 3 dan tingkatan 6 Bawah pada tahun 2003?

Mengapakah sejak 1971 hingga 2002,usaha-usaha meningkatkan matapelajaran Bahasa Inggeris tidak berjaya malah menyebabkan pelajar Melayu mempunyai masalah menguasai Bahasa Inggeris walaupun sudah berada di menara gading?

Apakah pencapaian sebenar pelajar-pelajar Melayu khususnya dalam bidang-bidang profesional dan kaitannya berhubung dengan penguasaan Bahasa Inggeris dalam sektor Industri dan pekerjaan mereka di peringkat dalam negara dan antarabangsa?

Dalam hal ini, Tun melihat kepentingan bangsa itu lebih utama. Penguasaan Bahasa Inggeris mengikut pendapat Tun akan meletakkan Bangsa Melayu di peringkat global. Melayu boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Harapan Tun ,Wawasan 2020 ke arah sebuah negara maju akan tercapai mengikut jadual. Pada masa itu generasi PPSMI ini akan memenuhi Cyberjaya dan lain-lain sektor profesional sebagai pekerja mahir bertaraf dunia.

Bangsa yang maju akan membawa sekali bahasanya. Bahasa Melayu akan menjadi megah dan hebat kerana Bangsa Melayu sendiri sudah boleh duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju di dunia.

Satu ketika dulu, masyarakat Melayu tidak membenarkan anak-anak mereka belajar di Sekolah Inggeris kerana takut anaknya masuk agama Kristian. Sejarah telah membuktikan anak-anak yang belajar di Sekolah Inggeris inilah yang menjadi pemimpin dan pelopor kemerdekaan negara. Anak-anak Melayu khususnya dari kalangan anak-anak Raja dan bangsawan ini adalah sebagai persediaan untuk mentadbir negara apabila negara mencapai kemerdekaan.

Dato'Onn Jaafar dibesarkan di England dan pada awal kepulangannya ke Johor, Allahyarham tidak fasih berbahasa Melayu. Adakah Dato'Onn kekurangan jatidiri Melayunya bahkan akhirnya Dato'Onn adalah antara pemidato Melayu yang terulung. Dato'Onn lah yang menyelamatkan Melayu daripada dijual kepada Malayan Union.

Bagaimana pula dengan ulama-ulama kita yang belajar agama di negara-negara Timur Tengah yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya. Adakah ulama-ulama kita tidak fasih berbahasa Melayu atau hilang jatidiri Melayunya. Adakah Dewan Ulama PAS bermesyuarat menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantaraannya?

Di negara kita ada beribu-ribu ibubapa Melayu sedang menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina seluruh negara. Mengapa agaknya mereka menghantar anak-anaknya ke sana? Kurang Melayukah ibubapa-ibubapa itu? Mereka menghantar anak-anaknya ke sana kerana bahasa Cina adalah bahasa yang pendek dan sangat sesuai dengan nombor seperti Matematik. Selain itu mereka mahukan anak-anaknya menguasai banyak bahasa seperti bahasa Jawa, Melayu, Cina dan Inggeris.

Kalau begitu mengapa Tun Mahathir tidak mahu menggunakan Bahasa Cina dalam Matematik dan Sains? Dalam Bahasa Inggeris pun sudah haru biru seluruh negara apatah lagi Bahasa Cina? Bahasa Cina bukan bahasa Dunia. Bahasa Dunia adalah Bahasa Inggeris dan ianya adalah Bahasa ke dua negara selepas Bahasa Kebangsaan.

Jikalau Bahasa Arab itu adalah bahasa ilmu yang menguasai dunia saya percaya Tun Mahathir akan memilih Bahasa Arab sebagai bahasa untuk mengajar matematik dan sains. Bukannya PPSMI tetapi PPSMA .Agak-agaknya Hadi Awang berarak atau tidak ke Istana Negara pada 7 Mac yang lalu?

Mana lebih dahulu perlu dimajukan bangsa Melayu kah atau bahasa Melayu kah?

Maafkan saya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad (orang Muor) yang saya hormati dan kasihi.Kali ini saya tidak sependapat dengan Datuk- Datuk berdua. Saya juga melawan arus Perhubungan UMNO Negeri Johor yang secara konsisten menentang PPSMI. Mungkin saya tersilap tapi saya terdidik separuh umur saya di bawah pemerintahan Tun Mahathir.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

6 comments:

anas afrohead said...

PPSMI harus diteruskan.
umat islam ketinggalan satu masa dulu kerana mengabaikan ilmu sains dan matematik.
dan yahudi pula terus menerus menguasai ilmu sains dan matematik.
maka lahirlah cerdik pandai yahudi yang menguasai dunia.
pada saya, kita harus berfikir ke depan.
ini bukan soal bahasa, tapi pendidikan.
bangsa kita sudah tiada apa, hanya ilmu sahajalah yang mampu memperkasakan kita,
risaukan perkara temeh kita takkan maju.

amirhamzah64 said...

Salam anas afrohead,

Begitulah yang kita harapkan. Tuan punyai idea pun dah jawab dalam laman blognya www.cetdet.com.

Kita tunggu apa pengumuman Menteri Pelajaran selepas PAU 28 Mac nanti

Sedingin Salju said...

Kalau PPSMI dimansuhkan, yang paling gembira ialah orang yang ingin melayu mundur dan mudah dikawal selia supaya dapat jadi boneka mereka.

amirhamzah64 said...

Salam Sedingin Salju,

Seronok melihat komen seorang Cina membela Melayu. Sangat Ajaib !

Sedingin Salju said...

Hanya orang yang memahami sejarah akan berani memberi komen seperti ini.

amirhamzah64 said...

Salam Sedingin Salju,

Saya menghormati pandangan saudara seperti saya menghormati Prof. Koh Kay Kim.