Friday, March 27, 2009

Muhyiddin Ada Sejarah Satukan Melayu.

Kemenangan Muhyiddin menyandang Timbalan Presiden UMNO semalam adalah suatu anugerah kepada UMNO. Andaikata Muhyiddin kalah pula ianya dianggap satu malapetaka kepada parti keramat itu. Keadaan UMNO yang seperti telur di hujung tanduk ini memang memerlukan seseorang yang boleh membantu Presiden bagi melestarikan UMNO semula setidak-tidaknya membawa UMNO balik ke landasan yang betul.

Pada ketika ini Melayu yang jarang-jarang bersatu terbahagi kepada 3 kelompok utama iaitu Melayu di dalam UMNO, Melayu di dalam PAS dan Melayu di dalam PKR. Perpecahan terbesar Melayu dalam sejarah ini telah mengakibatkan Melayu UMNO hampir kehilangan kuasa politik di peringkat persekutuan. Perpecahan kuasa politik Melayu ini telah menyebabkan kemerosotan kuasa dan suara Melayu di Selangor dan Perak walaupun kedua-dua negeri itu bermenteri besarkan seorang Melayu.

Apabila menyebut penyatuan Melayu saya teringat kepada usaha Muhyiddin pada tahun 1988. Perhimpunan Melayu Johor (PMJ) yang diadakan di Kompleks Islam Johor Bahru adalah sebuah agenda perpaduan yang dicetuskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu adalah Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Salah satu resolusi PMJ ialah membenarkan kemasukan semula mereka yang sudah berada di luar UMNO akibat perpecahan 1987 yang berlaku di dalam UMNO apabila wujudnya Team A dan Team B. Tidak ada sebarang syarat dikenakan kecuali perlu mengisi borang. Tindakan ini telah membawa kemasukan beramai-ramai mereka yang pernah menganggotai UMNO, termasuk mereka yang tidak pernah menjadi ahli UMNO.

Agenda perpaduan yang diilhamkan oleh Tan Sri Muhyiddin telah mengubah minda dan persepsi orang Johor terhadap UMNO. Salah satu kejayaan besar PMJ ialah kepulangan Datuk Musa Hitam (Tun) ke pangkuan UMNO. Ini telah mendorong ramai pengikut beliau secara automatik menyertai semula UMNO.

Muhyiddin dengan optimis melihat peristiwa ini sebagai tanda positif terhadap masa depan UMNO. Ramai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional menganggap Perhimpunan Melayu Johor merupakan suatu agenda perpaduan yang amat berkesan dalam usaha memulihkan kembali imej dan kekuatan UMNO.

Tan Sri Muhyiddin menyifatkan orang-orang sudah belajar tentang betap sakitnya bila terjadi pepecahan dan betapa deritanya bila berlakunya pertelingkahan. Perhimpunan Melayu. Johor bagaikan penawar mengubati luka dan derita yang ada.

PMJ adalah satu kenangan paling manis dan bersejarah bagi Muhyiddin. Beliau telah berusaha mengumpul dan menghimpunkan orang Melayu Johor daripada pelbagai latar belakang dan lapisan seperti golongan ulama, cendekiawan, ahli ekonomi, budayawan, sasterawan, seniman, wartawan, penulis, tokoh pasukan keselamatan, usahawan, professional, anggota perkhidmatan awam dan swasta, pendidik, penghulu, ketua kampung, imam, petani, nelayan, pemandu teksi, penarik beca, penjaja kecil serta banyak lagi yang lain.

Mereka tanpa mengira fahaman politik berhimpun dan berkampung dengan satu hasrat dan matlamat untuk kembali ke pangkal jalan demi perpaduan Melayu. PMJ juga telah berjaya memikat hati anak Melayu Johor yang berada di perantauan turut pulang ke Johor bagi menyertai perhimpunan keramat yang bersejarah ini.
(www.malaysia-hariini.com)


Johor sebenarnya adalah tiang seri kepada UMNO bukan kerana ianya bermula di Istana Besar Johor Bahru tetapi kerana semangat dan roh perjuangan kebangsaan sebuah negara bangsa yang diasaskan oleh Dato'Onn itu sudah sebati dengan Melayu Johor.Apabila berlaku perpecahan 1987 ianya juga telah memberi tempias kepada UMNO di Johor. Dengan beberapa siri pilihanraya yang berturut-turut di Johor Bahru dan Parit Raja telah merobek persatuan dan perpaduan Melayu Johor yang utuh dan ampoh sebelum ini.

Insaf dan sedar dengan apa yang berlaku, Muhyiddin mencetuskan idea supaya satu usaha perlu dilakukan agar orang Melayu yang berpecah antara penyokong UMNO dan S46 perlu diadakan.

Sesudah mendapat sokongan daripada pemimpin dan tokoh veteran Melayu Johor, maka persetujuan diambil dengan mengadakan Perhimpunan Melayu Johor (PMJ) yang dipengerusikan oleh tokoh ulama Tan Sri Adul Jalil Hassan dan melantik bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn sebagai penasihatnya.(www.malaysia-hariini.com)

Berdasarkan kepada perpecahan Melayu pada pilihanraya ke 12 lalu, perpecahan Melayu pada hari ini lebih buruk daripada perpecahan Melayu pada tahun 1987 dan tahun 1999. Pada tahun 1988, Muhyiddin pernah merapatkan semula Melayu Johor bertaut dan bersatu semula. Apakah mustahil Muhyiddin tidak dapat mengulangi semula kejayaannya itu dalam konteks perpaduan Melayu yang lebih menyeluruh?

Pada ketika Melayu sedang berantakan sesama sendiri, lazimnya akan muncul tokoh yang menyatukan. Ketika Melayu diracik-racik oleh penjajah, muncul Dato'Onn menyatukan Melayu merentasi sempadan negeri dan suku-suku bangsa. Mampukah Muhyiddin mengulangi semula kejayaannya pada 1988? Bukankah Tan Sri Muhyiddin ada sejarah melakukannya?

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

8 comments:

TokMudim said...

Tahniah TS Muyiddin.

Uji Minda anda : Dimanakah maksud ayat dibawah ni biasa disebut-sebut??

Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku.

Pemuda IKS said...

Salam perjuangan,

Pemuda IKS menyokong penuh pemilihan Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO berbanding calon yang lain. Tahniah diucapkan kepada Tan Sri.

Tambahan pula, Dato' Seri Hishammudin dinobatkan sebagai Naib Presiden dan turut mendapat sokongan Pemuda IKS.

Tentang KJ, no komen. Pemuda IKS kecewa di atas kekalahan Datuk Mukhriz. Namun Pemuda IKS perlu menerima kekalahan ini dengan bermaruah dan profesional. Usaha perlu dilipatgandakan dan perjuangan harus diperkasakan.

"MEMPERKASA GENERASI BARU"

Pergerakan Pemuda
UMNO Cawangan Taman IKS
Bahagian Batu WP

http://pemudaiks.blogspot.com

amirhamzah64 said...

Salam TokMudim,

Tahniah kepada TS Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin saf baru yang terpilih

amirhamzah64 said...

Salam Pemuda IKS,

1. Tahniah kepada TS Muhyiddin dan Naib Presiden ,MKT ,ketua pemuda, ketua wanita dan ketua puteri yang menang dengan ucapan selamatkan Melayu.
2. Tahniah juga kepada Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Taman IKS
Bahagian Batu WP kerana mempunyai laman blog sendiri.
3. Tahniah juga kerana menyahut cabaran media baru.

zedmagel said...

Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, jentera, pelobi dan perayu undinya serta penyokong-penyokong setia beliau. begitulah ketentuan dan kehendak Allah SWT. Saya banyak melihat dan menerima pandangan rakyat bukan saja dari UMNO malah dari rakyat biasa malah dari suara pembangkang sendiri. Kehebatanya dalam memimpin beberapa kementerian yang dipegang oleh beliau telah diterjemahkan dalam pemilihanya sebagai Timbalan Presiden UMNO kali ini.

Apa lagi yang perlu dibuktikan oleh beliau? Pimpinanlah negara ke puncak kejayaan bersama barisan kepimpinan yang ada.

amirhamzah64 said...

salam zedmagel,

Tahniah pada TS Muhyiddin. Tapi Bro TS Muhyiddin tak sempat jadi PM. Apa pendapat bro?

zedmagel said...

Salam Bro,

Pandangan fizikal dan syariat berkemungkinan begitu, qada dan qadar Allah siapalah yang tahu.

Jika silap menenun kain, jarum jahitan meluka jari. Kalau berkoleh karam di kuala, papan pengalas jadi pautan jua.

Bro....faham tak kias fansuri hamba. Tak faham cari guru kiasan yang arif tentang ayat hamba ni.

amirhamzah64 said...

salam bro zedmagel,

Tinggi kiasan bro tu.
Cuma komen kawan semua yang berlaku adalah atas kehendak dan keizinan Allah jua.