Friday, March 27, 2009

Zahid, Hisham Dan Shafie Buktikan Anda Lebih Baik

Keputusan pertandingan Naib Presiden yang diumumkan semalam telah memberikan keputusan yang sudah dijangkakan sejak awal di mana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memperolehi 1592 undi diikuti Datuk Seri Hishammuddin Hussein meraih 1515 undi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengekori dengan 1445 undi. Keputusan ini menunjukkan sokongan popular calon di kalangan perwakilan tetapi belum pasti memenuhi citarasa ahli UMNO keseluruhannya. Walau apa pun, ahli biasa menghormati keputusan yang telah dibuat.

Sungguhpun begitu, tidak menjadi kesalahan untuk ahli UMNO akar umbi memberi sedikit peringatan agar ke tiga-tiga Naib Presiden ini tidak terlalu lama dilambung rasa gembira kerana tanggung jawab besar sedia menanti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai di mana penamaan calon pada 29 Mac 2009 dan pengundian pada 7 April 2009.

Kekalahan 0-2 BN kepada PR di 2 pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu perlu ditebus semula dengan gandingan MKT UMNO yang baru menjadi taruhan. Ketiga-tiga Naib Presiden ini mempunyai tanggung jawab berat membantu TS Muhyiddin yang telah dipertanggung jawabkan merampas semula Bukit Gantang dan Bukit Selambau serta mempertahankan Batang Ai. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dikaitkan dengan kelemahan Pak Lah, apakah ada alasan lain jika BN kalah lagi dalam pilihanraya kecil mendatang ini.

Zahid Hamidi selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, dan terbaru memenangi undi tertinggi naib presiden jangan hanya menjadi jaguh di kandang UMNO tetapi terkulai di kaki Bukit Gantang. Datuk Zahid setakat ini masih gagal memberi jawapan yang jitu dan tepat kepada rakyat Perak berkenaan isu peralihan kuasa di Perak. Jawapannya adalah bersifat emosional dan retorik bukannya berasaskan undang-undang tubuh kerajaan Perak itu sendiri seperti mana jawapan yang sering diberikannya di media-media massa. Jawapan Datuk Rais Yatim lebih meyakinkan rakyat kerana sifatnya yang rajin membaca dan membuat kajian.

Hishamuddin yang masih lagi terbelenggu dengan isu PPSMI jangan terlalu gembira dengan kemenangan ini. Rakyat mahu melihat perkembangan PPSMI dan kedudukannya selepas Perhimpunan Agung UMNO. Rakyat melihat isu PPSMI ini adakah kerana kelembapan menteri atau kelemahan kerajaan. Rakyat Melayu juga melihat Hisham bukannya jaguh pemuda Melayu yang tegas dan berani kerana rakyat masih teringat dan terbayang-bayang peristiwa beliau meminta maaf di atas isu keris tidak lama dulu. Tidak kurang juga ada yang melihat Pemuda di bawah Hisham begitu lembik dan penakut. Hanya berani di gelanggang sendiri apabila di Perhimpunan Agung barulah hendak menunjukkan jaguh.

Shafie Abdal adalah pemimpin daripada Sabah yang diberi kepercayaan pada kali ini bersama 3 lagi pemimpin Sabah yang lain. Saya harap perwakilan memilih beliau bukanlah kerana hendak memberi peluang kepada orang Sabah tetapi sememangnya perwakilan percaya kepada kebolehannya memimpin. Disebabkan undi yang diperolehinya tidak jauh bezanya dengan undi yang diperolehi oleh Khaled Nordin, maka kita tidak merasakan perwakilan tidak silap memilih.

Kemenangan Zahid dan Hisham mungkin atas faktor pernah menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Shafie sendiri sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah. Sokongan yang diraih adalah membuktikan perwakilan sedang menyediakan pemimpin-pemimpin pelapis selain memenuhi 'dream team' yang sering diperkatakan orang. Perwakilan melihat UMNO perlu menyediakan pemimpin pelapis lebih awal dengan mengenepikan orang-orang lama dan berpengalaman seperti Rais Yatim, Isa Samad, Syed Hamid maupun Rahim Thamby Chik yang mendapat undi sekitar 400 undi sahaja. Jelas pertandingan Naib Presiden ini bukanlah satu pertandingan yang sengit.

Ada juga yang melihat pemilihan mereka bertiga adalah berdasarkan pemimpin mewakili daerah atau wilayah utara dan timur, selatan serta wilayah Malaysia Timur.Walau apapun analisa perwakilan ianya mungkin yang dirancang atau mungkin secara kebetulan. Kedudukan mereka sebagai Naib Presiden bukan lah satu jawatan yang kekal dan hakiki. Perwakilan dan ahli UMNO akan sentiasa membuat penilaian kerana buat kali ini perwakilan tidak mempunyai pilihan lain.

Sesungguhnya, pemilihan mereka bertiga adalah satu kepercayaan dan harapan orang Melayu dan Malaysia keseluruhannya. Pikul lah tanggung jawab ini dengan sungguh-sungguh. Jadilah pemimpin yang berilmu apabila berbicara dan berani apabila bertindak.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com.

2 comments:

zedmagel said...

Mereka calon harapan orang Melayu, cuma terkilan dengan kekalahan Datuk Sri Muhammad Khalid Nordin, Mutiara Dari Selatan saya yang terbias dengan kilauan intan permata di puncak singgahsana. Apapun terima kasih kepada perwakilan yang memberikan undi tempat ke empat kepada beliau. Mohon YAB Presiden menimbangkan kedudukan beliau dalam kabinet negara. Jika tidak rugilah UMNO.

amirhamzah64 said...

salam bro zedmagel,

Kawan terima hakikat kekalahan Khaled Nordin. Dia orang kata Khalid org Pak Lah. Dia jugak beri kritikan keras pada Tun Mahathir. Adakah itu mempengaruhi undinya bro?

Lagi satu, perwakilan nak bagi satu di utara, satu di selatan dan 1 di Malaysia Timur. Kalau begitu, yang selatan seramai 5 orang tu kenalah berkorban. Pilih satu yang popular bukan yang terbaik. Hehehe.

Harap Rais dan Khalid kekal dalam kabinet. Syed Hamid tengok ihsan Najib ngan Muhyiddin.