Wednesday, March 18, 2009

Hujah NTV9 : Semukakan Tun M , Gapena Dan GMP




Isu PPSMI semakin hangat diperkatakan oleh orang-orang politik, orang-orang akademik malah dikalangan rakyat biasa. Isu ini juga akan dibahaskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO 24-28 Mac 2009.

Sebelum Perhimpunan Agung UMNO berlangsung minggu hadapan ada baiknya Rancangan Hujah kelolaan NTV9 menjemput Tun Mahathir, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)Datuk Dr Hassan Ahmad berhujah dihadapan rakyat tentang PPSMI. Seperti biasa moderatornya adalah Prof. Dr Agus daripada UKM.

Sebelum para perwakilan-perwakilan berhujah di Perhimpunan Agung nanti ada baiknya pandangan daripada Tun Mahahtir yang bertanggung jawab dengan dasar PPSMI ini diberi peluang untuk memberi buah fikiran setelah 6 tahun perlaksanaannya. Saya rasa Prof Dr Agus berupaya mencungkil sejarah, latarbelakang serta kepentingan dan keperluan Tun tentang idea PPSMI ini.

Kita juga ingin melihat hujah-hujah daripada Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)Datuk Dr Hassan Ahmad yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kalau boleh jemput sekali wakil daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang konsisten menentang PPSMI sejak PAU 2004. Ada lebih molek dijemput juga Tun Abdul Rahman Yaakob Bekas Menteri Pelajaran dan bekas Ketua Menteri Sarawak yang sering mengatakan PPSMI ini adalah langkah mengundur ke belakang bukannya melangkah ke hadapan.

Akhir sekali jemput juga,Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng yang mungkin sesuai mewakili guru-guru PPSMI. NUTP mungkin sudah cukup maklumat berdasarkan sokongan dan bantahan daripada guru-guru khususnya guru-guru Sains dan Matematik.

Seingat ingatan saya, kesemua mereka ini tidak pernah membuat bantahan secara terbuka di hadapan Tun Mahathir. Kemungkinan pada masa itu, ramai yang takut bersuara kerana ketegasan Tun melaksanakannya. Sekarang Tun bukan lagi Perdana Menteri dan tidak mempunyai kuasa lagi. Saya rasa perbincangan ini tidak memberi tekanan kepada para penentang PPSMI.

Mungkin tidak adil membiarkan Tun Mahathir keseorangan tetapi adalah bijak membiarkan Tun bersendirian kerana segala rahsianya ada di dalam batu jemala Tun dan hanya beliau sahaja yang dapat memberikan jawapan yang terbaik.

Para perwakilan UMNO yang akan bersidang adalah diharapkan sangat mengikuti program siaran langsung ini kerana di dalam program ini akan lahir banyak idea-idea dan mudah untuk mereka berbahas sama ada menyokong atau sebaliknya di dalam PAU nanti.

Perbincangan secara sihat , berhemah dan mempunyai nilai-nilai intelektual ini bukan sahaja ditonton oleh orang Melayu malah semua rakyat Malaysia. Bukan sahaja untuk ahli UMNO tetapi ahli semua parti politik dan orang-orang yang tidak berparti.

Saya rasa ianya akan menjadi panduan kepada perwakilan-perwakilan yang hendak berhujah dalam isu PPSMI ini di PAU nanti. Paling penting ianya akan memberi kepuasan yang tidak terperi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

10 comments:

KINAS said...

segalanya mungkin..ttp ianya merupakan harapan yang sangat tinggi

~MataHatiJohor~ said...

Saya cadangkan rancangan hujah ditambah masa jadi 24 jam (sehari) sebab panelnya terlalu ramai... takut tak cukup masa.....

bungaraya said...

Saya sangat-sangat-sangat setuju.
Masa juga harus ditambah kepada dua jam atau lebih kerana bila tokoh-tokoh tersebut didebat dan berhujah tentunya dan sepatutnya semua kerisauan dan kebodohan kami akan terlerai ones and for all.

afrohead said...

saya rindukan Malaysia di bawah kemudi Tun Dr. Mahathir..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam JASA,

Satu cara untuk mengurangkan andaian dan persepsi dalam PPSMI.

Salam ~MataHatiJohor~ ,

Janganlah serius sangat. Perjumpaan ini tidak akan terjadi. Jadi tak perlulah nak cadang tambah masa. Ianya adalah perjumpaan 'imajinasi' saya saja.

Salam bungaraya,

1 jam pun cukup. Giliran pertama jemput GAPENA dan GMP. Giliran ke dua jemput NUTP dan UMNO Johor serta Tun Abd.Rahman Yaakob.

Salam anasafrohead,

Tun tak akan menjadi PM semula tetapi patah tumbuh hilang berganti. Pemimpin datang dan pergi. Satu hari nanti pasti akan muncul pemimpin-pemimpin Malaysia yang sehebat Tun kalau tidak lebih baik dari nya.

afrohead said...

setakat ini saya belum nampak lagi mana2 pemimpin yang mampu menandingi Tun.. pada saya Tun patah tak tumbuh, hilang tak berganti..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam anasafrohead,

Pada tahun 1975,saya berumur 11 tahun. Tahun itu juga Tun Abd.Razak meninggal dunia. Saya tahu Tun adalah pemimpin kesayangan orang Melayu kerana sumbangan besarnya kepada orang Melayu luar bandar.

Datuk dan nenek saya menangis sedih di atas pemergian negarawan yang disayanginya. Dalam sendu mereka berkata tidak mungkin Tun akan ada penggantinya..... saya masih ingat kata-katanya itu.

Namun tidak lama selepas itu, hanya ketika umur saya 17 tahun, Malaysia sudah melahirkan pemimpin bertaraf dunia spt.Tun M.

Tun M tidak popular dalam pandangan mata Tun Razak berbanding KuLi. Tapi Tun M menjadi pilihan Tun Hussein.

Mungkin pemimpin yang kita cari belum muncul lagi. Ada sesetengahnya belum diberi peluang. Terima kasih.

zedmagel said...

Salam Bro Amir,

Betullah kata saudara, patah tumbuh hilang berganti. Biasa yang patah dah ada reputnya, tetapi yang tumbuh baru akan ada benahnya. Namun dalam arena politik begitulah - Yang patah di kenang, yang tumbuh dibajai, jangan dipuntil tunasnya pulak...

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam bro zedmagel,

Tajam maksudnya tu. 'Yang patah di kenang, yang tumbuh dibajai, jangan dipuntil tunasnya pulak...'

Mana dapat pepatah ni. dari Karam Singh Walia ke?

Harap tunas-tunas dalam UMNO ni dibajai dan disirami bukan dengan duit tapi dengan baja-baja semangat dan titis-titis ilmu yang berpanjangan.

Tai said...

Sekarang TDM dah masuk Umno. Jadi dia harus bergerak untuk menerangkan PPSMI.