مرديك! مرديك! مرديك!


Setiap kali menyambut kemerdekaan negara, kita akan diulang-ulang untuk mengingati tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan negara. Setelah 52 tahun merdeka , tidak ada siapa yang boleh menafikan nikmat yang diperolehi rakyat daripada kemerdekaan itu. Sebab itu kita wajar bersyukur dan berterima kasih kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah dimulakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu seperti Mat Kilau, Datuk Maharaja Lela, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Rosli Dhobi dan lain-lain yang tercatat dalam buku-buku sejarah.
Kita juga wajar berterima kasih kepada perintis yang membakar api semangat merdeka yang lebih awal seperti Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestaman, Pak Sako dan lain-lain yang bergerak di bawah panji PKMM atau golongan berhaluan kiri. Walaupun pihak golongan kiri ini tidak mendapat sokongan British malah menjadi musuh kepada British maka sebagai rakyat Malaysia kita wajar berlaku adil untuk mencatat nama-nama mereka dengan tinta emas atas kepayahan, kesusahan dan keperitan mereka menyedar dan menanam benih untuk merdeka di sanubari rakyat.
Dengan tidak menafikan sumbangan mereka ,kita juga akur dengan kebijaksanaan dan kecerdikkan pemimpin-pemimpin Melayu lain seperti Dato'Onn, Tunku Abdul Rahman, Datuk Ahmad Kamil, Datuk Panglima Bukit Gantang, Tun Abd.Razak, Tun Dr Ismail dan lain-lain sebagai orang yang bertanggung jawab membawa dan merealisikan kemerdekaan itu dengan secara rundingan tanpa menumpahkan darah dan jiwa di kalangan rakyat.
Begitu banyak nama-nama besar yang mewarnai politik negara selepas itu. Selepas mencapai kemerdekaan tentulah menjadi tanggung jawab pemimpin dan rakyat sebuah negara merdeka untuk mengisi kemerdekaan itu. Pengisian kemerdekaan ini telah diteruskan oleh perdana menteri-perdana menteri Malaysia selepas Tunku Abdul Rahman. Pembangunan tanpa jaminan keselamatan sebuah negara daripada ancaman musuh tidak memberi erti kepada kemerdekaan mutlak sebuah negara. Walaupun setelah merdeka, negara masih lagi dibayangi dengan ancaman komunis yang juga berhasrat untuk menguasai negara ini.
Sebahagian daripada kita mungkin masih segar dalam ingatan tentang perjanjian damai antara PKM dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand yang ditandatangani di Hotel Gardens Haadyai pada 2 Disember 1989. Hasil daripada perjanjian damai itu maka berakhirlah peperangan bersenjata antara kedua-dua negara dengan PKM. Begitu besar jasa orang yang berjaya mencetuskan idea perdamaian ini. Nama-nama besar seperti Rahim Noor , Hanif Omar , Norian Mai dan Hashim Mohamad Ali serta rakan-rakan SBnya tentunya menghiasi dada-dada akhbar sebagai hero dan watak utama.
Tanpa menafikan juga sumbangan tokoh-tokoh itu, kita wajar juga mengkalongkan jambangan bunga kepada Haji Mokhtar Mahmud Baginda yang menjadi pencetus awal dalam melakukan rundingan di peringkat rendah yang membuka laluan kepada perundingan di peringkat tinggi sehingga terciptalah sejarah yang sangat penting kepada usaha mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. Beliau adalah HERO dan WIRA. Bukan saja jasanya tidak didendangkan malah dipinggir dan dilupakan terus lantaran adanya nama-mana besar yang menutupi nama-nama kecil.
Menjelang sambutan hari merdeka ke 52, wajar kita mengetengahkan hero-hero yang tersorok di bawah karpet ini tentang sumbangan yang tidak ternilai kepada negara tercinta ini. Mereka adalah kalangan rakyat biasa tetapi memberi sumbangan luar biasa kepada keselamatan negara. Bagi mengenali dan menghayati sumbangan tokoh ini elok saya paparkan dua artikal yang berkaitan. Artikel yang bertajuk MOKHTAR BAGINDA HERO TIDAK DIDENDANG LAGI TERPINGGIR dan DARI JEJAK KASIH KEPADA MEMBELA NEGARA jika kita menghayatinya sudah tentu kita tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih kepada insan istimewa ini.
Selamat menyambut hari kemerdekaan ke 52.
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com