Wednesday, April 22, 2009

Kenapa Orang Muda Sokong Anwar ?


Ramai yang membuat pelbagai kesimpulan tentang kekalahan 5 negeri disamping kegagalan memperolehi undi majoriti kali ke 2 BN di Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum ke 12. Disamping itu diikuti dengan kegagalan BN dalam siri-siri pilihanraya kecil bermula dengan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Jarang penganalisis tidak mengaitkan faktor golongan muda iaitu dari saluran 4 dan 5 yang lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada perjuangan Anwar Ibrahim.

Kalau UMNO bergantung kepada saluran 1,2 dan 3 iaitu golongan atau kumpulan yang sudah sampai kematangannya maka kumpulan Pakatan Rakyat akan mempengaruhi minda kumpulan golongan muda yang aggresif. Usaha Pakatan Rakyat ini sangat berhasil kerana gerakannya telah bermula pada tahun 1998 iaitu kira-kira 11 tahun yang lalu. Tahun 1998 adalah tahun-tahun demontrasi jalanan atau zaman laungan reformasi yang berjaya menarik ratusan ribu golongan muda berumur 21-35 tahun pada ketika itu.

Saya suka merujuk tahun 1993 hingga tahun 1998 kerana dalam tempoh itu terkandung zaman kegemilangan Anwar di dalam UMNO dan zaman kejatuhannya. Pada tahun 1993, ketika pemilihan UMNO ,bilamana Allahyarham Tun Ghafar Baba ‘secara mengejut’ dikalah oleh Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden. Pada ketika itu gejala politik wang dalam UMNO dikira paling memuncak dalam sejarah pemilihan parti pada tahun tersebut.

Tahun 1998 adalah bencana kepada Anwar kerana pada tahun itu Anwar dipecat bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden UMNO dan juga sebagai ahli UMNO. Malah lanjutan itu Anwar disumbatkan ke penjara Sg.Buluh selama 6 tahun sehingga dibebaskan di era Pak Lah.

Bagi generasi muda yang masih kanak-kanak atau remaja pada tahun-tahun 1993-1998 mungkin tidak tahu sejarah politik Malaysia atau pun belum mengertai apa-apa tentang politik. Mereka belum atau tidak 'hidup' ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Pada waktu itu ramai ‘ orang-orang Anwar’ yang tidak tahu berniaga tiba-tiba menjadi pengerusi syarikat. Bukan satu atau dua malah ada yang beratus-ratus. Saya masih ingat ucapan Zahid Hamidi yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO telah mengkritik kerajaan berkenaan isu-isu kronisme dan nepotisme. Pada keesokkan harinya kerajaan telah menampal di PWTC senarai 366 pengerusi syarikat yang dipegang oleh Zahid. Zahid pada masa itu adalah kroni Anwar Ibrahim.

Bagi generasi muda mungkin tidak tahu tentang ramai yang terhutang budi kepada Anwar gara-gara mendapat durian runtuh melalui pink form . Kementerian mana agaknya yang boleh mengeluarkan pink form saham tu dan siapa pula menterinya kalau tidak Kementerian Kewangan dan Anwar sebagai menterinya. Editor-editor suratkhabar pun cukup sedia maklum tentang tangan-tangan ghaib yang mendominasi kekayaan negara.

Pada hari ini Anwar buat-buat lupa sejarahnya ketika berjawatan dalam kerajaan. Beliau sedar generasi muda tidak tahu sejarahnya dan pengikut setianya sudah lama membutakan mata dan memekakkan telinga. Bagi saya yang hidup di zaman itu hanya tersenyum sumbing apabila Anwar berucap di ceramah-ceramah mengata UMNO parti yang sudah reput,politik wang dan bergemulang dengan kronisme dan nepotisme dan segala macam kebobrokan. Generasi muda terpukau dengan ucapan Anwar sedangkan rasuah politik, kronisme dan nepotisme sangat berleluasa ketika Anwar di dalam UMNO.

Saya rasa saya tidak keseorangan tersenyum. Kemungkinan mereka yang 'kenyang' sewaktu kegemilangan Anwar juga turut tersenyum simpul dengan skrip drama yang dilakonkan Anwar sekarang. Seperkara lagi, generasi muda rasanya tidak sedar hanya beberapa kerat saja pejuang asal reformasi dan Parti Keadilan yang kekal. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Dr Chandra Muzaffar, Ezam Mohd.Nor, Roslan Kassim, Lokman Adam semuanya sudah meninggalkan Anwar. Kalau benar dan jujur perjuangan yang dibawa oleh Anwar mengapakah orang-orang kanan yang mempertahankan Anwar sehingga di tahan ISA sanggup meninggalkan Anwar? Generasi muda hanya tahu pemimpin yang ada sekarang ini tetapi tidak sedar ramai yang telah lari membuat hal masing-masing.

Dr.Chandra Muzaffar dalam satu wawancara di sebuah TV swasta menyatakan bahawa persaraannya daripada politik adalah disebabkan jurang yang jauh diantara prinsip dan kuasa. Apabila belum berkuasa, prinsip ditegakkan dengan begitu ideal tetapi apabila sudah mendapat kuasa, persetankan dengan prinsip. Beliau kini menjadi pensyarah semula sebagai pensyarah sains politik di sebuah universiti tempatan. Generasi muda tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir Parti Keadilan Rakyat.

Siapakah golongan muda yang menjadi pendokong hebat Anwar? Saya merujuk tahun 1993-1998 iaitu tempoh Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Pada masa yang sama kita perhatikan kematangan dan pemahaman golongan muda hari ini ketika tahun 1993-1998.

Jika seseorang itu berumur 35 tahun sekarang, pada tahun 1993 baru berumur 19 tahun dan tahun 1998 berumur 24 tahun. Jikalau berumur 30 tahun hari ini, tahun 1993 baru berumur 14 tahun dan 1998 baru mencecah 19 tahun. Jika generasi muda itu berumur 25 tahun sekarang, tahun 1993 baru tahun 3 sekolah rendah dan tahun 1998 baru menjangkau 14 tahun. Jika tahun ini orang muda ini baru mencecah 21 tahun, tahun 1993baru berumur 5 tahun dan tahun 1998 baru berumur 10 tahun.

Oleh itu saya tidak merasa hairan jika remaja atau golongan muda ini membesar dalam suasana simpati terhadap Anwar. Mereka telah meletakkan Anwar sebagai idola melalui harapan-harapan baru yang mereka fikirkan realistik dan mengikuti peredaran zaman. Mereka juga membesar melalui proses kematangan dengan persepsi buruk terhadap BN yang dipasak setiap masa. Akhirnya dalam masa yang sama, mereka tidak mengizinkan fikiran dan minda mereka untuk mengkaji siapa Anwar sebenarnya.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

10 comments:

Geng Samudera said...

Pak Amir,

Setiap manusia sepanjang hidupnya ada sejarah tersendiri.Dan perkembangan sekeliling kadang kala mempengaruhi watak dan keperibadian seseorang itu.Baik saya,Pak Amir dan rakan yang lain pun begitu.

Cuba kita 'rewind' skit zaman-zaman sebelum tercetusnya era Anwar nih,di mana zaman itu saya mungkin seorang budak mentah dan Pak Amir adalah seseorang yang sedang meningkat remaja di universiti atau di maktab.Jika bukan era Anwar sekalipun,mungkin era itu lain bunyinya dan rentaknya....mungkin zaman itu adalah era di mana masyarakat kita mengalami perubahan dari segi mencari identiti.Dari kelab-kelab malam dan cara berfesyen tinggalan para penjajah.Saya membuat observation secara rambang berdasarkan pada filem-filem lama (betulkan saya jika saya salah) dan melihat ianya juga salah satu perkembangan sekeliling yang mempengaruhi seseorang.Zaman itu mungkin perempuan melayu islam tidak kisah utk bertudung,mungkin banyaknya kaki-kaki botol,tahik judi,kemiskinan dan sebagainya.Mungkin sesetengah tiada lagi kesedaran untuk meningkatkan taraf hidup,cara berfikir dan juga lelainnya.

Melihat senario tersebut yang ditinggalkan oleh penjajah,maka sebab itu pemimpin zaman itu cuba membawa keluar dari kepompong tersebut dan menyedarkan yang tak sedar-sedar betapa pentingnya bersatu dan memartabatkan bangsa dan agama.

Tempoh itu berjalan selari dengan peredaran semasa.Rakyat mula menunjukkan minat untuk mengembalikan kegemilangan bangsa Melayu di tanah sendiri selepas merdeka.Cintakan tanahair dan bersemangat waja serta berganding bahu membantu sesama sendiri.Saya rasa itu semua adalah di waktu zaman Pak Amir dan ayah saya.

Apabila sudah mempunyai "sedikit" hasil dan kuasa yang penuh,di sini mungkin pemimpin "terlelap sekejap".Leka dengan apa yang ada dan sedikit sebanyak memberikan suatu aliran pihak bertentangan yang tidak berpuas hati.Itu lah yang terjadi semasa zaman era Anwar....
Beliau mempunyai pengaruh dikalangan muda mudi yang mulai merasakan ada yang tak kena dengan pemerintahan....secara umumnya,mereka mulai memerontak.

Zaman pun berjalan seperti biasa.Dan sekarang,apabila bercambahnya para celik ilmu,mereka mulai menilai tahap prestasi pemerintah.Dicampur dgn perangai dan kerenah pemimpin,mereka mulai bosan.Maka,keluarlah istilah "politik itu kotor",padahal politik itu sebenarnya tidak kotor kalau kita ambil yang positif.
Ditambah dengan medium-medium yang mudah untuk meluahkan ketidakpuasan pada pemimpin,maka inilah hasilnya sampai sekarang....

Jadi,saya rasa adalah tidak adil bagi Pak Amir menilai tahap kematangan sesorang itu berdasarkan apa yang dia lalui.Mereka pun tak minta begitu,tapi desakan dan sifat ingin tahu yang amat membuatkan mereka tutup mata pekakkan telinga memilih Anwar sebagai idola mereka.
Pahadal,tiada yg istimewa pun Anwar tuh...

Kekadang saya fikir,ada bagusnya jugak Anwar nih dari sudut lain.Dia tegas dan berani katak ke hadapan.Sekurang-kurangnya,walaupun apa yang dia cakap,saya pun kurang percaya,tapi dia boleh membuatkan BN/pemerintah sentiasa alert dan tidak hanya menjalankan tugas seperti melepaskan batuk di tangga.
Saya ingat lagi lepas debate dia live ngan Shaberry,time tuh baru perwira-perwira UMNO pung pang pung menonjolkan diri.
Mungkin kalau tiada manusia cam dia yang berani katak,agaknya apa responsif pemerintah sekarang yeee?...

Cuma,sedehnya kekadang sampai keterlaluan...itu yang tak mahu tuhh...

Akhir kata,saya pun tak heran jika zaman pop yeh yeh masih dikenang sebagai klasik oleh sesetengah warga.Begitu juga saya,20 tahun lagi,anak saya mungkin tak heran zaman rock bapa dia pasal dia akan melalui zamannya nanti ...hehehee

Tak tahu lah,related atau idak (hadis kot nih),"Ajarlah anak kamu di dalam zamannya,bukannya zaman kamu"....(ajar yang baik,bukan yg tak baik..hehe)
Wallahualam..

Any komen dialu-alukan..



Sang Pangeran.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Geng Samudera,

Ada banyak perkara saya setuju dengan pendapat saudara.

Namun, saya pun pernah melalui usia remaja dan zaman muda. Memang tidak dinafikan usia muda agak aggresif dan kadang kala kita hilang pertimbangan. Pengalaman dan ilmu juga sering menjadi pertimbangan waras apabila umur kita semakin meningkat.

memang sering berlaku di dalam kehidupan apa yang kita hendak selalunya sukar dikecapi. Negara kita mempunyai sejarah yang agak panjang dan di dalam membina negara kita yang unik ini bukan sesuatu yang mudah.

Saya berpendapat, tidak ada satu isu yang mendesak untuk kita menukar kerajaan yang stabil dan berjaya. Kesilapan yang berlaku di sana-sini masih boleh diperbaiki. Kerajaan yang ada ini pun bukan satu kerajaan yang zalim dan tidak mahu mendengar masalah rakyat.

Kita melihat kerajaan yang ada begitu peka dan mempunyai iltizam dan komitment tinggi untuk melakukan pembaikkan. Usaha untuk berubah itu adalah satu langkah positif yang diambil oleh kerajaan.

Saya masih menaruh keyakinan jika rakyat memberi kerjasama kita akan kembali ke landasan yang betul. Kalau mahu mengubah kerajaan adakah kita pasti ianya akan menjadi lebih baik dari sekarang? Kalau tidak yakin, mari kita memberi peluang kepada mereka yang masih sayangkan negara ini untuk memperbaiki kelemahannya dan sebagai rakyat kita harus menyokongnya.

Geng Samudera said...

Pak Amir,

Insya Allah pak amir,saya pun mengharapkan agar kerajaan yang memerintah akan lebih peka dan kondusif dgn persekitaran masyarakat setempat.

Cuma juga berharap agar ketirisan di dalam pemerintahan diperbaiki secara intensif kerana selagi ianya lembab diperbetulkan,masayarakat akan terus mendesak yang merepek-repek...

Jadi,sebelum jadi kerepek,baik diperbetulkan mana yg penting diperbetulkan.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam Geng Samudera,

Dalam banyak perkara kita perlu bersederhana. Nanti yang dikejor tak dapat yang dikendong berciciran.

zedmagel said...

Bro Amir,

Jiwa muda paling mudah untuk dipengaruhi,suka benda-benda yang mengujakan apalagi jika idea dan perkara yang kontra. Saya pernah muda remaja, memberontaklah satu perkara yang paling saya sukai. Tak kira betul ke tidak, saya merasa seronok.

Mengimbas kembali zaman muda saya, saya lihat banyak perkara yang tidak elok yang telah saya lakukan. Tapi dipenghujung usia begini, hanya seribu ralat bersarang dihati.

Tapi yang peliknya ramai yang seusia seperti saya, saya lihat kekal dengan jiwa pemberontak mereka dari muda hinggalah sekarang. Orang kata pembawakan watak. Tak tahu le pulak saya. Pesan saya kepada mereka yang berpangkat abang-abang tu, tinggalkan jiwa remaja, kita bukannya gagah untuk selamanya, diusia sebegini vigra sentiasa dikotak ubat di bilik tidur. Itu pun tak sedar-sedar lagi.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam bro zedmagel,

Betul bro, zaman muda kita sibuk mencari identiti sendiri.Ramai yang mencuba mencari idola. Idola kawan masa itu tak lain tak bukan DS Anwar Ibrahim. Tak tau lah kawan nak kategorikan apa Anwar ni. Pemberontak ke pejuang ke. hanya sejarah akan menentukan.

Nak kata bersalah, sampai sekarang bebas dan bermaharajalela. Nak kata pejuang, tindakannya sekarang macam memecahbelahkan. Buat salah tak buat salah, akhirnya serba salah.

Betul la bro, usia kita begini pun dah letih bro. Tapi Tun Mahathir 82tahun masih gagah perkasa. Banyak makan vitamin bukan banyak makan viagra. Kalau masa boleh berputar kembali dan mengembalikan tenaga masa muda alangkah bestnya bro.....

Hahaha, tapi ada juga yang seusia seperti kita tak habis-habis dengan jiwa pemberontak ,tak habis-habis dari muda hinggalah ke tua. Bukan salah ibu mengandung, salah bapak tak pakai sarung.

Geng Samudera said...

Pak Zedmagel & Pak Amir,

Aisehhmennn...lain macam jerk intonasinya...heheeehehe..
Tangkap "flashback" lar pulak..huhu

Okeylah,itulah yg seperti saya katakan,setiap orang ade perjalanan sejarah hidupnya.Mmg sedikit sebyk mempengaruhi perwatakan seseorang.

Dan pasti semua orang akan laluinya.
Saya takmo komen byk pasal Anwar.Spt Pak Amir cakap,tah pejuang atau pesalah..wallahualam.
Cuba,sy secara peribadi nampak lah yg dia nih berani katak...hehe
Betul ke,tak betul ke..dia langgar jer,bukan dia kira pun kesannya..

Uikss..layan viagra,biar betikk...heheee..
Umur cam saya yang awal 30-an nih boleh layan ke Pak Amir?..(tersengeh).
Apa-apa pun yang asli jugak bagus,tul tak?

Salam....

Pangeran

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Geng Samudera,

Kita bukan tua. Kita cuma orang lama. Ada lah sedikit pengalaman di sana sinun. Kalau balik Malaysia boleh ngeteh kat bandar penggaram.

Batu Pahat Bandar Penggaram,
Tanam Keledek Atas Batu,
Melihat Puan Hati Ku Geram,
Melihat Tetek Menongkat Baju.

Itu pantun org Batu Pahat. Bukan apa-apa saja nak menguji iman saudara di perantauan.hehehe

Tak gitu bro zedmagel?

Geng Samudera said...

Pak Amir,

Perghhh....mantoppp!!..
Saya nih tak pandai nak berpantun.
Pantun satu kerat jerk boleh....

Hehee..no hal Pak Amir boleh mengeteh di Bandar Penggaram.Saya mmg akan ke sana pun tgk "anak-anak" kat kandang.

Sang Pangeran

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Geng Samudera,

Bandar Penggaram Bandar Maharani,
Antara keduanya Parit Jawa
Di sana menunggu Di sini Menanti,
Kita Pekena Nasi Beriani Power,

Saya buat orang di sana terliur...hehehe