Sunday, February 22, 2009

Sokong PPSMI Dengan Beberapa Cadangan.



Kementerian Pelajaran perlu mengambil tindakan cepat dan betul berhubung perkara Pengajaran Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar PPSMI ini telah pun dilaksanakan sejak 2003 dan murid-murid tahun 6 yang baru lepas mengambil UPSR 2008 adalah keluaran sulung daripada dasar ini. Murid-murid Tahun 6 ini adalah asas rujukan kepada kejayaan atau kegagalan dasar ini.

Laporan keputusan UPSR 2008 perlu segera dikeluarkan. Tun Mahathir tidak memerlukan masa yang panjang untuk menjadikan PPSMI ini satu realiti. Malah perlaksanaannya bermula dari Tahun 1, Tingkatan 1, Tingkatan 3 dan Tingkatan 6 Bawah pada tahun 2003 sedikit sebanyak telah memberi lembaran baru kepada pelajar dan mereka telah diberi peluang untuk belajar dan dimudahkan dengan menjawab secara dwibahasa ketika memberi jawapan kepada soalan sama ada dalam peperiksaan berasaskan sekolah atau dalam peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM atau STPM.

Tempoh percubaan selama 6 tahun ini mendapat gambaran pro dan kontra mengenai isu ini sehingga Kementerian Pelajaran agak sukar membuat keputusan dengan melihat dari pelbagai aspek. Disebabkan Menteri Pelajaran itu adalah orang politik maka pertimbangan politik juga perlu diambil kira. Dalam keadaan politik yang tidak menentu, PPSMI kemungkinan akan menjadi isu yang dipolitikkan dalam pilihanraya ke 13dan kemungkinan isu PPSMI akan menjadi seperti isu 'barang naik' dan isu 'harga minyak' dalam pilihanraya 12 yang lalu yang menyebabkan BN hilang 2/3 kerusi Parlimen dan 5 Negeri kepada Pakatan Rakyat.

Peliknya semasa Tun Mahathir hendak melaksanakan Dasar PPSMI 2003 yang lalu tidak ada pula pula suara-suara bantahan secara aggerasif, demontrasi atau penghantaran memorandom. Kalau ada pun bantahan 'ala kadar' daripada individu-individu atau beberapa pertubuhan. Mengapa selepas 6 tahun berlalu dengan wang telah dibelanjakan berbillion ringgit, kita hendak berpatah balik ke belakang. Kita perlu teruskan dasar ini tetapi saya ingin memberi beberapa cadangan bagi memurnikan lagi Dasar PPSMI ini.

1. Elaun 5% kepada guru-guru Sains Dan Matematik ditarik balik. Tujuannya adalah untuk digunakan oleh Kementerian Pelajaran bagi memberi kursus-kursus intensif Bahasa Inggeris kepada guru-guru sehingga guru-guru ini mahir berbahasa Inggeris. Kursus yang diberikan adalah menyamai seperti kursus-kursus Bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar yang hendak pergi belajar ke Seberang Laut. Kursus E-tem dan 'Buddy Support System' kurang berkesan dan tidak praktikal.Guru-guru yang telah mahir berbahasa Inggeris diteruskan dengan pemberian elaun 5% daripada gaji mereka.

2. Perbanyakkan bahan-bahan pengajaran sama ada berbentuk software atau hardware bagi membantu guru-guru mengajar. LCD dan Komputer riba yang dibekalkan ke sekolah-sekolah perlu digunakan sepenuhnya oleh guru-guru Sains dan Matematik sebagai alat bantuan mengajar yang berkesan.

3. Pelajar-pelajar yang lemah mengikut penilaian 'school based' perlu diberi pemulihan atau tiusyen percuma agar mereka tidak terus ketinggalan menguasai kemahiran-kemahiran dalam Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.

4. Kajian dari semasa ke semasa atau kajian setiap tahun perlu dilakukan bagi menambah baik dasar ini yang melibatkan guru, pelajar , kaedah-kaedah pengajaran dan alat-alat bantuan mengajar.

5. Kaedah Pengajaran Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan. Guru-guru Bahasa Inggeris perlu meningkatkan prestasi pelajar supaya penguasaan Bahasa Inggeris
dapat membantu pelajar meningkatkan prestasi mereka dalam Bahasa Inggeris. Makmal-makmal Bahasa perlu digunakan sepenuhnya di sekolah. Makmal-makmal komputer jangan dijadikan 'gajah putih' tersergam indah tetapi tidak digunakan secara maksima.

6. Kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan tambahan bagi membantu pelajar-pelajar luar bandar khususnya orang Melayu. Peruntukan kelas-kelas 'tiusyen kampung' percuma untuk matapelajaran Bahasa Inggeris supaya pelajar dapat menguasai dan bertutur Bahasa Inggeris dengan baik.

7. Walauapa pun ianya bergantung juga kepada badan-badan pelaksana seperti para pendidik, sokongan daripada ibu bapa dan komitmen para pelajar sendiri. Sekarang ini bukan lagi masa percubaan, 6 tahun sudah memadai, 10 tahun akan datang kita akan menuai hasilnya. Maksudnya 10 tahun lagi kita akan cukup tenaga mahir daripada pelbagai bidang untuk mengisi kepakaran di Cyberjaya dan koridor-koridor ekonomi seluruh negara.

Pelajar-pelajar yang lemah, diajar dalam bahasa apa pun ianya akan lemah. Pelajar yang tidak mahu belajar, diajar dalam bahasa apa pun dia akan 'burn out' untuk belajar. Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Orang Berjaya mencari Jalan, Orang Gagal mencari Alasan.

Amir Hamzah
Batu Pahat,
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

4 comments:

cekodokmasin said...

Salam tuan.
Isu menarik yang telah lama diperdebatkan.
Ada sedikit penambahan tentang jumlah bayaran elaun atau dinamakan bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP). Bayaran 5% dari gaji pokok hanya untuk pegawai pendidikan siswazah manakala bukan siswazah mendapat 10%. Bukan sahaja mereka yang mengajar Sains dan Matematik mendapat bayaran ini tetapai juga guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris kecuali mereka berjawatan GPK @ Pengetua/Guru Besar yang bukan opsyen ketiga2 subjek itu.
Sebenarnya bayaran elaun itu untuk dorongan guru-guru mendapatkan latihan di luar waktu bertugas seperti mengikuti kursus bahasa Inggeris di kelas2 malam atau swasta. sejauh mana guru-guru ini menggunakannya untuk tujuan menambahkan ilmu, masih lagi agak kurang.
Terdapat generasi veteran dalam pendidikan yang sememangnya mendapat pendidikan dalam Bahasa Inggeris dan mengambil peperiksaan MCE @ HSC. Mereka inilah menjadi tumpuan utama dalam mengajar subjek berkenaan. Walaupun begitu, golongan ini semakin mengecil kerana telah ramai yang bersara.
Kefasihan serta kefahaman dalam bahasa Inggeris memerlukan latihan berterusan. Malangnya, penggunaan bahasa Inggeris hanya berlaku di dalam subjek2 berkenaan dan tidak diteruskan di luar kelas berkenaan. Apatah lagi di rumah bila mana Bahasa Melayu menjadi bahasa kedua selepas Cina, Tamil, Jawa, Bugis dan sebagainya.
Pelbagai kursus serta ujian dilakukan dalam menambahkan pengetahuan serta keberanian guru-guru dalam menyampaikan subjek ini tepai masih tidak lagi mencapai matlamatnya. Walaupun begitu, kursus-kursus begini masih lagi dijalankan supaya guru-guru mendapat juga serba sedikit pengetahuan serta keberanian yang dimahukan. bak kata orang " sedikit2 lama2 jadi bukit" atau "alah bisa menang biasa".

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam cekodokmasin,

Sdr selalu membantu saya bagi menambah maklumat yang tidak lengkap.

Sdr mungkin seorang guru yang terlibat secara langsung dengan dasar PPSMI ini.

Saya ada persoalan daripada ibubapa yang mengatakan bahawa anak mereka tingkatan 5 dan 6 aliran sains yang akan belajar dalam Bahasa Inggeris bagi matapelajaran Matematik, Matematik tambahan, Fizik, Kimia, Biologi iaitu hampir 60% diajar di dalam Bahasa Inggeris.

Tentu saudara ada jawapan bagi mententeram ibubapa ini dari kerisauan tentang penguasaan B.Melayu anak mereka yang belajar BM, Sejarah dan Agama Islam dalam Bahasa Melayu.

Terima kasih

cekodokmasin said...

Salam tuan,
Beberapa langkah untuk meningkatkan penguasaan Inggeris di kalangan guru2 telah dijalankan. Terbaharu, sistem Rakan taulan (Buddy Support System) di mana guru2 bahasa Inggeris membantu guru2 PPSMI telah untuk membimbing guru2 PPSMI untuk lebih berkemahiran lagi dalam bertutur dalam Bahasa Inggeris. Isunya bukan guru berkenaan tidak tahu langsung bertutur, tetapi masih ragu2 takut anak murid lebih pandai "berInggeris" darinya.
Dalam PPSMI ini, bukan ketepatan nahu tatabahasa 100% dikira tetapi jawapan yang betul.
Kerja, latihan serta latih tubi kenalah diperbanyakkan. "Practice Make Perfect" kata orang Jawa.
p/s Saya juga pasti saudara seorang guru.Pasti kita pernah bertemu, lebih2 lagi jika saudara termasuk dalam kumpulan 342...

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam cekodokmasin,

Buddy support system memang sudah diperkenalkan sejak 2003 lagi. Biasanya guru-guru Panitia Bahasa Inggeris yang membantu. Dalam kesibukan guru-guru tersebut, masa untuk membantu agak terbatas.

Jika PPSMI diteruskan guru-guru wajar mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris bagi membantu guru menghurai sesuatu isi kandungan seperti mana ianya dihurai dalam Bahasa Melayu. Kemahiran menghurai sesuatu kemahiran atau topik bertujuan memberi lebih kefahaman dan boleh diapplikasikan dalam apa keadaan sekalipun.

Saya setuju elaun 5% atau 10% digunakan untuk guru-guru belajar di Pusat-Pusat Bahasa swasta.

Kalau saudara berada di dalam kumpulan 342, pastinya kita sering bertemu dan bersama.