Saturday, February 14, 2009
UMNO : Buat Salah ,Tak Buat Pun Salah!
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, UMNO akan terus memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai situasi sebenar politik negara terutama di Perak bagi membolehkan rakyat mengetahui sikap sebenar pembangkang.
Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga meminta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi supaya mengambil tindakan segera ke atas penulis blog yang menghina institusi raja di negara ini.
Ada dua perkara yang dibangkitkan iaitu memberi penjelasan kepada rakyat dan tindakan kepada penulis-penulis blog yang menghina sultan.
Rakyat Malaysia kebanyakannya telah mendapat pendidikan yang sepatutnya mereka dapat. Mereka telah dapat memikirkan mana satu tindakan yang baik atau tidak. Mereka tidak terdedah banyak tentang 'politiking' ahli-ahli politik. Rakyat sekarang lebih terdedah dengan ceramah-ceramah Pakatan Rakyat yang tidak putus-putus sejak 1998 lagi.
PAS misalnya telah menjadikan medium ceramah bergerak ini lebih awal dari itu. Setiap ceramah politik mereka semakin bertambah peminatnya dari sehari ke sehari. Bukan sedikit yang terpengaruh dengan ceramah-ceramah begini. UMNO memang memandang enteng cara pembangkang berceramah kerana UMNO menggunakan medium media massa elektronik dan bercetak yang mereka kuasai.
Ceramah secara terus kepada khalayak ramai sangat berkesan meresap sanubari pendengarnya. Syaratnya seseorang itu perlu hadir ke tempat ceramah, memberi fokus dan akhirnya jika berkali-kali mereka hadir lambat laun yang totok UMNO pun boleh cair dan terpengaruh.
Dahulu, memang pembangkang merasa tidak puashati dengan laporan, liputan dan layanan berat sebelah tentang media-media di negara ini. Kini mereka sudah ada surat khabar sendiri, tv sendiri, laman web sendiri dan ceramah-ceramah yang tidak putus-putus hingga ke hari ini.
Perkembangan dan kemajuan pembangkang tidak pernah diambil tahu oleh BN dan UMNO sendiri.'Think Tank' UMNO sudah khayal dengan kemewahan dan SB Polis laporannya sudah tidak didengari lagi oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Inilah akibatnya.
Hari ini pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Ketua Penerangan UMNO Malaysia mahu memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai situasi sebenar politik negara. Siapakah yang mahu hadir dan siapakah yang sudi mendengarnya? Kalau ada yang hadir tetapi ianya bukan sasaran golongan yang diinginkan. Apakah kerja Ketua Penerangan UMNO pusat, UMNO Negeri dan UMNO Bahagian-Bahagian sebelum ini?
Mengambil tindakan kepada blog-blog yang memutarbelitkan dasar-dasar kerajaan atau yang menghina sultan bukanlah satu tindakan yang bijak. UMNO boleh gunakan blog-blog pemimpin UMNO untuk menerangkan dan jangan mengharapkan ianya dipercayai. Penerangan melalui blog wajib dilakukan hasilnya belum pasti. Itu pun kalau ada yang sudi melayarinya.
Blog UMNO Negeri-negeri adalah saluran lain yang boleh digunakan. Disamping itu ada beribu-ribu lagi blog peribadi yang pro kerajaan. BN dan UMNO perlu bijak menangkis serangan dan waktu yang sama UMNO perlu mempertahankan dirinya. Tan Sri Mohamad jangan mengelabah dan marah-marah. Ketika nafsu marah menguasai diri, kecewa yang teramat sangat boleh membuatkan akal kita menjadi pendek.
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment