Sunday, February 1, 2009

Strategi Najib Atau Strategi Anwar Yang Mengena.



Speaker DUN Perak umum dua Exco PKR yang 'hilang' telah meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta. Beliau akan memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perletakan jawatan berkenaan bagi membolehkan pilihan raya kecil bagi kawasan DUN Behrang dan Changkat Jering diadakan dalam tempoh dua bulan- Agenda Daily.com. 1 Feb.2009

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata hari ini bahawa ada ADUN pembangkang akan sertai UMNO atau BN di Perak. Keadaan ini boleh dikatakan 'Lain Yang DiTembak Lain Yang Kena'. Sebelum ini Pakatan Rakyat yang mendakwa ada tiga lagi DUN UMNO akan melompat parti.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengesahkan dua ADUN yang juga Ahli Exco negeri menghilangkan diri sejak 26 Januari lalu.Beliau mendakwa kehilangan mereka disembunyikan Barisan Nasional (BN) yang dikaitkan dengan usaha melompat parti.

Begitulah alasan mudah yang dibuat oleh MB Perak berikutan kehilangan DUN Pakatan Rakyat tersebut. Masih terbayang lagi senyuman MB yang sampai ke telinga semasa DUN Bota Datuk Nasharuddin Hashim keluar UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bukan sahaja mengalu-alukan Nasharuddin tetapi menganggapnya tindakan bijak dan kemasukkan Nasharuddin membuktikan UMNO semakin tenat.

Bukan itu saja MB Perak itu yang lebih dikenali sebagai Menteri Besar 999 melancarkan perang saraf kepada UMNO dengan mendakwa tiga lagi ADUN BN di negeri itu akan melompat parti bagi menyertai pakatan pembangkang. 'Perbincangan mengenainya sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak di Ipoh baru-baru ini.

Kes terbaru ini membuat janggut Nizar semakin luruh.Menteri Besar mula mencongak kemungkinan Jamaluddin Mat Radzi (ADUN Behrang) dan Mohd Osman Jailu (ADUN Changkat Jering)mungkin 'dibeli' oleh BN memandangkan Jamaluddin dan Osman menghadapi kes rasuah dan kes mereka akan dibicarakan di mahkamah mulai 10 Februari ini. BN kemungkinan sedang memujuk kedua-dua DUN berkenaan dan jika mereka menyertai BN, kes mereka kemungkinan boleh 'diselamatkan'. Begitulah andaian MB dan sebahagian besar penganut parti pembangkang itu.

Bagaimana pula jika perkembangan terbaru politik Perak ini ada kaitan dengan strategi Anwar. Pilihanraya P036 Kuala Terengganu baru-baru ini, menurut seorang sahabat Anwar ada menyatakan bahawa beliau akan memecat serta merta kedua-dua DUN berkenaan jika mereka didapati bersalah dalam kes rasuah.

Bagi menjaga nama baik Anwar dan Pakatan Rakyat, mereka telah diarah meletakkan jawatan sebelum dibicarakan. Kemungkinan pilihanraya kecil akan berlaku di Behrang dan Changkat Jering. Berdasarkan reputasi UMNO yang buruk dan prestasi Pakatan Rakyat yang memuncak selepas pilihanraya 2008, PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu, Anwar nampak PKR boleh menang sekali lagi dengan calon-calon lebih bersih.

Kemungkinan PKR akan meletakkan calon yang berpendidikan tinggi dan jika menang kemungkinan ayam sabung baru PKR ini akan menggantikan Nizar 999 yang kontroversi.Mungkin ini pilihan lain selain Nasharuddin Hashim.

Bagaimana pula dengan Nasharuddin yang buat pekak saja apabila ramai ahli UMNO meminta beliau juga perlu meletakkan jawatan kerana kemenangannya Mac 2008 adalah atas tiket BN. Beliau juga perlu membuktikan bahawa kemasukan beliau ke PKR 'direstui' oleh pengundi-pengundi DUN Bota.

Kalau tidak ada aral melintang kita akan saksikan pilihanraya kecil meliputi tiga Dewan Undangan Negeri Perak yang kemungkinan boleh merubah landskap politik Perak di awal tahun 2009.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

4 comments:

Mr. Right said...

Najib dan Anwar 'main poker' nasib rakyat yang diperjudikan. Sial tul!

Ini lah padahnya kalau pengundi berpandukan parti semasa mengundi. Kita sepatutnya memilih calon. Lupakan parti yang dia wakili. Kalau kita kurang yakin dengan peribadi semua calon, lebih baik jangan mengundi.

Short Talk

AhmadRazinHjYob said...

Permainan ini sangat bahaya jika ia adalah permainan peribadi antara pemimpin pemimpin utama sesebuah parti politik. Sewajarnya rakyat jangan diperalatkan sampai ke tahap yang berlebih lebihan. Kesan dan risiko akan tentunya bakal di tanggung oleh rakyat jelata jua. Oleh itu para pemimpin wajar memperlihatkan kematangan dalam mengendalikan sesuatu isu yang timbul . Rakyat akan menilai samada perkara itu benar atau sekadar mainan politik murahan. Jagalah maruah anda sebagai pemimpin dan jangan jadi 'paria' semata mata kerana berebut kuasa.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Mr.Right,

Pendapat saudara agak subjektif. Mungkin ada orang bersetuju berdasarkan calon tetapi ada juga yang memilih parti.

Sejak 1955 iaitu pilihanraya pertama pola memilih pengundi-pengundi adalah berdasarkan Parti iaitu Parti Perikatan yang kemudiannya Barisan Nasional.

Sejak pilihanraya pertama hingga pilihanraya ke 12, pola pengundian masih lagi berdasarkan parti sama ada dia berpihak kepada kerajaan atau pembangkang.

Tidak begitu ramai pengundi yang meletakkan kelebihan calon sebagai pertimbangan terakhir mereka.

Kalau melihat kepada calon, Hadi Awang menang pilihanraya 1999 dan merampas Terengganu tetapi kalah dalam pilihanraya 2004 dan gagal lagi 2008. Adakah Hadi Awang tidak cukup baik bagi pengundi berpihak kepada rakan-rakan Hadi Awang yang lain untuk memenangkan Parti PAS di Terengganu. Jelas sekali keseluruhan pengundi Terengganu mahukan parti BN memerintah Terengganu. Ini tidak mengambil kira PRK P036 Kuala Terengganu baru-baru ini.

Contoh yang baik untuk melihat pola pengundian berdasarkan calon adalah bagi Parlimen Gua Musang dan Parlimen Permatang Pauh.

Kekuatan Tengku Razaleigh dan DS Anwar Ibrahim terbukti walaupun Ku Li bertanding atas tiket Parti Semangat 46 dan Anwar Ibrahim mewakili Parti Keadilan. Kedua-duanya tetap menang walaupun bertanding atas tiket pembangkang dan kerajaan.

Sekian terima kasih.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam AhmadRazin,

Tulisan saya ini hanyalah andaian saya semata-mata. Tidak semestinya tepat cuma saya berdasarkan pembacaan dan pengalaman.

Walaubagaimana pun saya setuju dengan saudara bahawa rakyat jangan diperalatkan. Sesungguhnya demokrasi itu adalah dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat.

Terima kasih.