Tuesday, February 24, 2009
Anwar dan Najib di Pentas Hujah TV9 !
Bagi peminat-peminat politik tanah air atau mereka yang mengikuti perkembangan politik semasa, Malam Selasa Jam 9.30 di TV9 pasti akan dinanti-nantikan. Rancangan Hujah semakin diminati ramai kerana ianya lain dari yang lain jika dibandingkan dengan rancangan yang sama oleh saluran-saluran tv utama di negara ini.
Penghujahan calon-calon ketua pemuda UMNO minggu lepas dan diikuti oleh calon-calon Naib Presiden UMNO minggu ini sudah cukup membuatkan penonton teruja dengan hujah-hujah dan soalan-soalan yang panas. Bagi peminat dan penyokong kerajaan rancangan ini menjadi pentas rakyat membuat penilaian tentang ketokohan, idea, ketrampilan, visi dan misi calon apabila sudah memenangi jawatan masing-masing. Ianya sesuatu yang menyeronokkan.
Bagi penyokong Pakatan Rakyat jika mereka boleh bersikap terbuka minda, hujah-hujah daripada pihak UMNO ini boleh dijadikan bahan atau bilasan apabila mereka keluar berceramah nanti.Dalam keadaan politik yang semakin terbuka ini, sesiapa sahaja boleh menonton kerana soalan-soalan walaupun disediakan lebih awal tetapi tidak bocor. Ada juga soalan-soalan secara spontan dan jawapan-jawapannya juga adalah spontan.
Tahniah kepada NTV9 selaku penerbit program Hujah dan syabas kepada Prof. Madya Agus Yusof selaku moderatornya yang dilihat tidak berpihak. Prof.Madya Agus telah menghidupkan rancangan ini dengan soalan-soalan yang memang sealiran dengan pemikiran rakyat. Beliau berjaya menyelami perasaan rakyat kerana soalan-soalan itulah yang dikehendaki oleh rakyat.
Rancangan ini kelihatan tidak memihak kepada sesiapa, bebas, kawalan yang minima, beradap dan sopan , mengalakkan berlakunya percambahan fikiran dan mengajak semua penonton berfikir dan menilai. Inilah rancangan secara langsung bercorak wawancara yang realistik dan dinanti-nantikan oleh rakyat.
Jika rancangan ini tidak terkongkong seperti lazimnya, pasti akan menarik ramai orang untuk 'berselera' menontonnya. Ini lah platform terbaik kerajaan untuk menangkis persepsi buruk terhadap kerajaan seperti yang didakwa. Syaratnya segala hujah mestilah ikhlas, jujur dan mempunyai fakta bukan retorik yang boleh membuatkan rakyat meluat.
Sekarang ini Hujah memberi peluang kepada calon-calon UMNO yang akan bertanding dengan pelbagai jawatan Mac nanti, dengan melihat calon-calon berhujah dari pelbagai aspek seperti politik dan ekonomi. Saya berpendapat hujah-hujah itu dapat membantu memahamkan rakyat dengan isu-isu terkini dengan cara telus dan jujur. Secara tidak langsung ianya membantu kerajaan membetulkan persepsi buruk rakyat kepada kerajaan.
Sebelum ini, hujah berani menjemput panelnya daripada pihak pembangkang supaya ianya dilihat lebih adil dan memberi peluang kepada pihak pembangkang berhujah dalam beberapa isu terpilih. Ada baiknya juga jika Hujah memperbanyakkan pertemuan beberapa tokoh daripada pihak pembangkang dan kerajaan.
Jika benar ianya akan berlaku, saya pasti ramai orang akan menantikan pertemuah DS Anwar Ibrahim dan DS Najib Tun Razak dipentas Hujah. Masa terbaik adalah sebelum Mac 2009 ketika Najib di ambang kuasa Perdana menteri dan Presiden UMNO yang baru. Pertemuan dua orang sahabat lama ini di pentas Hujah pasti akan memberi 'rating ' jumlah penonton tertinggi.
Prof. Madya Agus tentu ada banyak soalan-soalan panas yang boleh menghangatkan Dewan Tun Syed Nasir yang dingin di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amir Hamzah
Batu Pahat,
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment