Friday, December 5, 2008

Rasuah - ada agenda tersembunyi?

Kebobrokan rasuah hari ini bolehkah kita sandarkan kepada bahu Pak Lah seorang sahaja yang sehingga kini masih sebagai pemimpin dan Perdana Menteri Malaysia ke lima. Adilkah kita menyalahkan Pak Lah seorang tentang masalah gejala rasuah yang telah berakar umbi sekian lama dan tidak pasti bilakah ia bermula. Adakah ia bermula dalam sejarah singkat Malaysia atau sejak negara ini bernama Tanah Melayu atau sejak Kesultanan Melayu Melaka atau lebih awal dari itu kerajaan-kerajaan tua seperti kerajaan Gangga negara atau Genggayu.


Penglibatan orang Melayu dalam amalan rasuah atau 'pandai' memberi rasuah tidak juga dapat dikenalpasti tarikh yang tepat. Malah rasuah tidak mengenali bangsa, warna kulit, keturunan dan juga agama. Ianya satu amalan yang universal dan berlaku di seluruh dunia selagi ada yang memberi dan menerima dan melibatkan keuntungan di kedua-dua pihak.


Bagaimana amalan rasuah di zaman Almarhum Tunku, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein atau zaman Tun Mahathir. Apakah tindakan-tindakan kerajaan di zaman pemimpin-pemimpin tersebut. Siapakah di antara pemimpin-pemimpin yang terjebak dan terperangkap dalam isu rasuah ini. Adakah kerana benar-benar mereka terlibat dan bersalah atau memang ada agenda-agenda tersembunyi dan tersirat ke atas pemimpin-pemimpin berkenaan. Adakah penangkapan Allahyarham Datuk Harun Idris di zaman Allahyarham Tun Hussien itu ada muslihat tersembunyi, dendam atau sebaliknya?


Bagi saya amat sukar untuk membaca yang tersirat kerana hanya Allah dan tuan punya diri saja yang tahu. Kita hanya boleh membuat andaian dan persepsi yang kadang kala betul tetapi selalunya kita tersasar.

Usaha Pak Lah membenteras rasuah sejak beliau mengambil alih pemerintahan negara ini sehingga hari ini pun amat sukar untuk menentukan ianya ikhlas atau ada agenda-agenda yang tersembunyi. Ianya hanya satu andaian. seperti dalam tulisan Datuk ' Artikel ini seolah-olah membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan Abdullah mengenai rasuah bukannya benar-benar untuk membanteras rasuah secara ikhlas dan jujur. Tetapi, seolah-olah mempunyai sesuatu agenda yang tersembunyi dan tersendiri.


Bagi saya sebagai orang kampung yang selalunya lurus bendul, teringat kata-kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan dalam temuramah dengan wartawan TV3 baru-baru ini, ' Di zaman Pak Lah memang nampak kesungguhan dan komitmen tinggi kerajaan untuk membenteras rasuah berbanding di zaman pemerintahan perdana menteri terdahulu' Kenyataan ini boleh juga dilihat sebagai satu propaganda Pak lah seperti mana tulisan Datuk, ' Saya berpendapat begini kerana artikel berkenaan kelihatan berlebih-lebihan sangat dalam sanjungannya kepada Abdullah mengenai usaha membanteras rasuah. Ia juga seolah-olah mahu memberikan suatu mesej bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik usaha Abdullah memerangi rasuah.' Tambahan pula Ketua Pengarah BPR itu adalah orang Kepala Batas memungkin banyak kemungkinan yang tidak pasti.


Kalau kita sebagai rakyat hanya berfikir tentang persepsi, dan andaian sehingga yang fakta menjadi palsu dan sebaliknya maka amatlah sukar bagi mana-mana pemimpin atau kerajaan untuk membuat sesuatu dasar. Masalah rakyat Malaysia sekarang adalah terlalu banyak dimomokkan dengan persepsi-persepsi dan andaian-andaian. Rakyat Malaysia terlalu banyak 'berpolitik' sehingga kita kadang-kadang lupa untuk menyumbang. Terlupa untuk melibatkan diri atau tidak ambil pusing langsung malahan kita mengharapkan usaha-usaha itu akan gagal. Semuanya ini memang telah terserap di dalam hati dan minda lantaran kita benci dan tidak suka kepada Pak Lah.


Bagi saya Pak Lah juga gagal membenteras rasuah seperti mana pemimpin-pemimpin dan kabinetnya yang terdahulu. Malah semakin merisaukan seperti mana tulisan Ku Seman Ku Hussein dalam tulisannya bertajuk 'Analogi akar, pokok dan rasuah' dalam Utusan Malaysia 19/08/2007. Beliau menyatakan ' HASIL kaji selidik sebuah universiti tempatan tahun 2003 menunjukkan 30.5 peratus pelajar universiti sanggup menerima rasuah sekiranya ada peluang. Kita boleh saja tidak mempercayai hasil kaji selidik ini tetapi tidak boleh sama sekali memandang remeh tentang kecenderungan yang dicatatkan dalam kaji selidik tersebut.'

'Istilah rasuah dan perbuatan rasuah bukan perkara baru di negara ini. Tetapi yang barunya apabila generasi yang akan keluar sebagai penggerak dan pemimpin di sektor swasta dan awam mengaku sanggup menerima rasuah.'

Tulisan ini ditulis ketika Pak Lah baru saja menjadi Perdana Menteri. Namun tahun 2008 seperti mana tulisan Datuk dalam siri 2, ' Saya harap para pembaca akan ambil ingatan terhadap persoalan di atas kerana mutakhir ini (2008), salah satu masalah utama yang dikatakan menghantui kepimpinan Abdullah adalah masalah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme.' Jadi wajarkah kita meletakkan kelemahan membenteras rasuah ini ke atas batu jemala pak Lah seorang jika berdasarkan kajian yang disebutkan tadi.


Malaysia bukan seperti Thailand atau Singapura yang menggunakan penguatkuasaan undang-undang untuk melaksanakan sesuatu dasar. Prinsip dan kaedah negara kita adalah melalui pendidikan yang boleh menimbulkan kesedaran kepada rakyat disamping penguatkuasaan yang tidak serius. Kaedah ini lah yang diguna pakai oleh semua pemimpin kita dari zaman Tunku hinggalah ke zaman Pak Lah. Sebab itulah kita gagal. Kerajaan berusaha tetapi tidak serius.


Apabila rasuah dianggap sebagai upah, yang memberi atau menerima tidak berasa bersalah apa lagi perbuatan itu mendatangkan keuntungan. Pihak yang menolong sesuatu perkara menerima upah sementara pihak yang ditolong memberi upah.

Kita perlu serius memahami hasil kaji selidik di atas sebelum menjadi begitu defensif atau sinikal terhadap gejala rasuah yang meletakkan Malaysia tangga ke-40 dari 163 dalam indeks Transparency International (TI) tahun 2006. Golongan pelajar barangkali memahami rasuah dari persekitaran mereka bahawa perbuatan ini bukanlah suatu yang luar biasa.

Statistik 30.5 peratus yang sanggup menerima rasuah itu tidak sepatutnya membuatkan kita marah, kecewa dan hilang punca untuk melihat positifnya. Kajian itu dengan sendirinya memberikan satu isyarat bahawa memerangi rasuah bukan saja di sektor awam dan swasta tetapi kalangan yang bakal memenuhi keperluan dua sektor tersebut.


'Peperangan' terhadap rasuah akan diwariskan kepada bakal perdana menteri yang akan datang. Jika pemimpin berkenaan bercakap secara lantang dan bertindak secara aggeresif adakah kita masih lagi berfikir ianya sesuatu yang ikhlas atau ada agenda yang tersembunyi?

Amir Hamzah
Batu Pahat

No comments: