Thursday, December 25, 2008
Jikalau Dato' Onn Perdana Menteri Pertama (Bhg Akhir)
Ketika Dato'Onn memilih berhenti daripada menjadi Menteri Besar untuk berkhidmat kepada UMNO, beliau terpaksa keluar dari rumah rasminya dan tinggal disebuah rumah kecil di sebuah kampung di Johor Bahru. Dia pernah mendirikan bangsal, berlantaikan tanah beralas tikar mengkuang untuk menampung tempat tidur keluarganya yang ramai itu. Setiap tengahari anaknya yang bernama Tahir akan pergi ke rumah UMNO di Jalan Ibrahim Johor Bahru untuk makan di sana. Dia dan keluarganya tidak makan di rumah tetapi makan daripada makanan yang dimasak untuk dijual di rumah UMNO itu yang bukan saja untuk menampung hidup keluarga tetapi untuk menampung perjalanan UMNO pada zaman permulaannya. Syed Naquib dan Syed Hussein Al Attas adalah dua tokoh, sewaktu bersekolah dahulu ditanggung oleh Dato' Onn dan tinggal bersama-sama keluarganya yang besar itu.
Meskipun ketika Dato'Onn menjadi Menteri Besar Johor, anak-anaknya tidak menunjukkan rasa angkuh di kalangan rakan-rakannya. Dato' Onn sangat akrab dengan anak-anaknya dan rakan-rakan anaknya. Dia sentiasa menekankan betapa pentingnya pelajaran kepada orang Melayu. Orang Melayu harus menjadi teras pemerintahan sebuah negara merdeka bukan sebagai kulit. Dato'Onn jugalah yang menyarankan agar Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara yang merdeka. Sehingga wujudnya Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengusahakan penubuhan Universiti Malaya dalam usaha meninggikan taraf pelajaran orang Melayu.Di Johor, Dato'Onn mula mengutip dana untuk mendirikan Universiti Malaya itu.
Berhubung dengan kemerdekaan, sebenarnya Dato' Onn telah berselisih pendapat dengan rakan politiknya Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob dan lain-lain. Mereka memilih jalan mudah bersatu dengan Indonesia dalam memperjuangkan kemerdekaan. Dato' Onn telah berikir lebih jauh dalam memperjuangkan kemerdekaan dan kewujudan bangsa Melayu. Dia tidak setuju Malaya menyertai Persekutuan Melayu Raya yang dipelopori Indonesia. Dengan itu Tanah Melayu akan lenyap di bawah pengaruh Indonesia. Dato'Onn mahu sebuah negara Melayu yang merdeka. Raja-raja Melayu yang berdaulat bukan sekadar menjadi sebahagian daripada sebuah Persekutuan Melayu Raya.
Tambahan lagi, tokoh-tokoh tersebut dengan pergerakan mereka PKMM telah menyokong gagasan Malayan Union bersama bukan Melayu yang melenyapkan segala hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Bayangkan bagaimana keadaan orang Melayu andainya kita merdeka mengikut acuan mereka itu dan menjadi sebahagian daripada Indonesia?
Masalah perpaduan kaum menjadi sasarannya setelah dia dapat menyatukan orang-orang Melayu dalam UMNO. Dato' Onn berpendapat dengan memasukkan bukan Melayu ke dalam UMNO, kita dapat mengasimilasikan mereka ke dalam satu bangsa Malaya ketika itu, seperti di Indonesia. Ketika itu bukan Melayu belum ramai dan mereka begitu tertakluk kepada Pertuanan Raja-Raja Melayu. Perhubungan lebih akrab di dalam satu parti. Namun begitu orang Melayu ketika itu telah fobia oleh apa yang telah berlaku sebelum itu terutama yang berkaitan dengan keganasan Bintang Tiga terutama yang berlaku di Batu Pahat telah menolak cadangan Dato' Onn itu. Banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan penolakkan itu.
Meskipun telah keluar daripada UMNO, Dato' Onn masih tetap memperjuangkan kesejahteraan hidup orang Melayu. Dia telah mendesak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu supaya mengwujudkan RIDA (Rural Industrial Development Authority)khas untuk mengaktifkan kegiatan ekonomi orang Melayu di mana dia sendiri menjadi pengerusinya. Ekonomi Melayu sangat daif. Baginya tidak ada gunanya kemerdekaan jika orang Melayu menjadi pengemis di negara sendiri. Allahyarham Tun Razak pernah bekerja di bawah Dato' Onn dalam RIDA, pengalaman bersamanya menjadikan Tun Razak seorang yang peka dengan masalah ekonomi orang Melayu ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Dato'Onn selalu berkata ' Melayu harus kuat dan segar, bukan layu. Melayu harus besar dan gagah. Kalau kita tidak besar bagaimana kita hendak bertanding dengan bangsa lain yang semakin ramai tinggal di negara ini'
nota : Penulis adalah peserta Seminar Pemikiran Dato'Onn Jaafar yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, KUITTHO Batu Pahat pada 18 Mac 2006 (Sabtu).Catatan di atas adalah berdasarkan pengisahan Dato'Onn yang disampaikan oleh Othman Hj Zainudin. Beliau membesar dalam lingkungan keluarga Dato'Onn iaitu mengenali Dato' Onn sejak kecil dan bersekolah dengan anak-anak Dato' Onn. Beliau berkawan baik dengan anak bongsu Dato' Onn bernama Tahir. Pengalaman beliau adalah pengalaman yang dialami sendiri oleh beliau semasa kecil dan awal remaja yang masih kekal dalam ingatannya.
Al-Fatihah untuk Dato' Onn bin Jaafar.
Amir Hamzah
Batu Pahat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment