Wednesday, December 24, 2008

Jikalau Dato' Onn Perdana Menteri Pertama (Bhg 2)



Jikalau Dato' Onn Perdana Menteri Pertama (Bhg 2)

Dato' Onn dilahirkan dalam keluarga bangsawan dan sangat dihormati di negeri Johor. Ayahnya Dato' Jaafar bin Mohamad, seorang Menteri Besar yang terkenal dalam pemodenan negeri Johor dalam pemerintahan Sultan Abu Bakar.Seorang daripada keluarga bagsawan pada zaman feudal sebelum merdeka ketika itu mempunyai hak dan kelebihan untuk hidup dalam kelas atasan. Dato' Onn boleh hidup seperti kaum-kaum bangsawan lainnya yang mempunyai kelebihan untuk berada dalam taraf dihormati oleh setiap rakyat jelata. Namun dalam realitinya Dato' Onn hidup marhain, pernah tersingkir disebuah kampung nelayan yang terpinggir di Singapura, menjadi wartawan dalam akhbar dengan pendapatan tidak seberapa, menanggung keluarga yang besar sehingga ada kalanya rokok sebatang dibahagi dua supaya boleh dihisap dua kali.

Sebenarnya di dalam kemiskinan itu, Dato Onn banyak belajar tentang bangsanya. Tentang kemunduran mereka dan kesempitan hidup mereka. Dia seorang yang berprinsip. Dia mempunyai aura seorang pemimpin, sehingga hanya sebagai Pegawai Daerah dia boleh mempengaruhi dan merealisasikan sebuah perjuangan merintis jalan kemerdekaan seperti yang kita kecapi sekarang ini.

Bayangkan ketika menentang Malayan Union, Dato' Onn hanya seorang Pegawai Daerah yang dilantik oleh seorang raja yang akur dengan pemerintahan Inggeris. Bayangkan bagaimana Dato' Onn boleh meminta Sultan Ibrahim menarik balik tanda tangan menyokong Malayan Union sehingga menjadikan gagasan itu gagal. Bayangkan siapakah yang berani menentang seorang raja seperti baginda Sultan Ibrahim Johor itu, sedangkan Dato' Onn hanyalah seorang Pegawai Daerah.

1945, terjadi persengketaan kaum di Batu Pahat, akibat tindakan kejam pasukan Bintang Tiga terhadap orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu dengan tentera 'Selempang Merah' bertindak balas di bawah pimpinan Panglima Kiyai Salleh. Dato' Onn sebagai Pegawai Daerah ketika itu telah bertindak tegas meredakan permusuhan itu. Di sini kelihatan wibawa kepimpinannya. Dia bukan sahaja bertindak ke atas pelampau-pelampau Cina,malah dia juga bertindak ke atas pelampau Melayu. Apa yang ternyata tindakannya itu adalah untuk memberhentikan permusuhan dan pengorbanan nyawa. Dia telah berjaya meredakan keadaan di mana masyarakat Cina dan Melayu berjaya dibawa ke meja rundingan dan permusuhan itu tamat setakat itu. Bandingkan perjuangan politik Dato' Onn dengan tokoh-tokoh dunia yang lainnya, Soekarno, Ghandi maupun Hitler. Bayangkan berapa ramai korban nyawa berlaku sama ada mereka yang menyebelahi atau menentangnya.

Sebaliknya perjuangan Dato' Onn tidak mengorbankan satu nyawa pun, sebaliknya dia menyelamatkan ratusan nyawa daripada terkorban. Satu perkara yang perlu menjadi ingatan, seperti yang diceritakan oleh anaknya Gen(B)Dato' Jaafar Onn, ketika terjadi rusuhan di Batu Pahat, salah seorang daripada anak Dato' Onn bernama Abid sedang sakit tenat. Apabila keadaan memaksa, Dato' Onn telah meninggalkan anaknya yang tenat itu untuk meleraikan pergaduhan. Apabila Dato' Onn pulang, anaknya Abid telah pun meninggal dunia.

Menurut Gen(B) Datuk Jaafar lagi, ketika perang Dunia ke 2 sedang marak, ketika pihak Jepun hendak menyerang Singapura, di mana Inggeris bertahan, Johor Bahru telah dijadikan pengkalan perang mereka. Sudah tentu Johor Bahru menjadi sasaran tembakan meriam dan pengeboman Inggeris di Singapura. Dato' Onn telah berusaha menyelamatkan penduduk Johor Bahru meninggalkan bandar itu daripada terperangkap dalam pertempuran. Ketika melarikan diri, salah seorang anak saudaranya, Saleha Ali sedang sarang mengandung. Akhirnya Saleha bersalin dalam perlarian itu.

Demikianlah Dato'Onn. Sifat kemanusiaannya sangat tinggi. Hubungannya bukan sekadar dikalangan ahli politik dan mereka yang berkenaan sahaja, malah kepada setiap orang. Setiap rakyat jelata dalam segala peringkat. Sehingga sebelum dia dikurniakan pangkat Dato' orang sudah memanggilnya Dato'. Dengan keluarganya dia sangat akrab. Siapa sahaja dalam keluarganya yang memerlukan bantuannya akan dibantu dan diajak duduk bersama. Sehingga satu ketika keluarga Dato Onn menjadi begitu besar sehingga mencapai tiga puluh orang.

bersambung...............

Amir Hamzah
Batu Pahat.

No comments: