Saturday, December 20, 2008

Bintang yang bersinar atau Bulan Gerhana

































Pak Lah dikhabarkan mungkin akan membuat rombakan kabinet dalam waktu terdekat , mengikut kata orang-orang politik. Namun telah dinafikan oleh Pak Lah ketika menjawab soalan wartawan dalam slot berita perdana TV3 semalam.
Sama ada benar atau tidak desas desus tentang rombakan ini tidak pasti. Selalunya kalau pokok dah bergoyang rasanya adalah angin yang bertiup.

Kalau benar, apakah rasionalnya Pak Lah hendak membuat rombakan? Apa keperluannya dalam jangka masa pendek sehingga Mac 2009 iaitu tarikh peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib. Kalau benar pun tunggu lah selepas habis Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Bukankah ada kekosongan bagi jawatan Timbalan Menteri Pelajaran?


Ada juga berkata, Kalau hendak mengisi satu sahaja jawatan yang kosong mengapa hendak buat rombakan. Memadai dengan membuat pengumuman sipolan atau sipolan akan mengisi jawatan berkenaan. Tunggu lah apabila Najib jadi Perdana Menteri barulah ada logiknya diadakan rombakan kabinet. Lebih-lebih lagi melihat kepada siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam Pemilihan UMNO Pusat Mac nanti. Keputusan pemilihan UMNO ini pun hendak diambil kira.

Kalau ada pun mungkin usikan-usikan nakal dari blogger-blogger seperti yang ditulis dalam http://politica-net.blogspot.com/. Ada logiknya tulisan POLITICA yang mengatakan tentang kemarahan Pak Lah, anak dan menantunya kepada Muhyiddin sehingga ada usaha-usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin atau dalam bahasa politiknya ' pancung' atau orang Pantai Timur kata ' Cah keting'.
Rambut sama hitam, tapi hati manusia siapalah yang tahu.

Jika Pak Lah hendak menyingkir Muhyiddin sekarang ini apakah kesannya kepada sokongan perwakilan kepada Muhyiddin yang kini mendapat pencalonan daripada 91 Bahagian UMNO bagi jawatan Timbalan Presiden. Kalau Muhyiddin disingkirkan atau diturunkan pangkat mungkin akan menambah satu lagi kelebihan kepada Muhyiddin. Selain tidak mengamalkan politik wang pada masa ini, Muhyiddin akan mendapat undi simpati perwakilan.

Semua orang tahu kenapa Pak Lah lebih-lebih lagi anak menantunya marah kepada Mahyuddin. Ianya bertitik tolak daripada saranan Muhyiddin memendekkan tempoh peralihan kuasa daripada Jun kepada Mac 2009. Bagi mengetahui lebih lanjut sila baca http://politica-net.blogspot.com/. Muhyiddin membawa suara akar umbi ahli UMNO dan keluhan majoriti rakyat Malaysia.

Rakyat bukan tidak suka atau benci tetapi takut dengan keadaan politik yang tidak stabil dan sukar diramal. Rakyat mahu sebuah kerajaan yang tegas dan mantap. Khususnya orang Melayu semakin bingung dengan serangan pembangkang Melayu, Cina dan India. Malah rakan-rakan daripada komponan BN pun semakin celupar dan biadap.

Semua orang tahu, selain daripada sokongan dan kehendak akar umbi, Muhyiddin juga mendapat sokongan daripada Dr Mahathir. Pak Lah memang tidak senang dengan kritikan-kritikan Dr Mahathir terhadap pemerintahannya terutama selepas pembatalan Jambatan Bengkok bagi menggantikan Tambak Johor hinggalah ke hari ini. Keputusan kepada peralihan kuasa dan kekalahan BN untuk mendapat majoriti 2/3 dalam pilihanraya ke 12 adalah bahana dan bahang suara-suara tentangan Dr. Mahathir.

Suara-suara Dr Mahathir ini dibawa ke dalam kabinet oleh Muhyiddin. Keadaan ini tidak disenangi Pak Lah. Seperti kata POLITICA Mahyuddin tidak perlu risau dalam situasi semasa sekarang. Walaupun mendapat tempat ke tiga dalam jawatan Naib Presiden bagi pemilihan yang lepas tidak bermakna beliau akan kalah kepada orang yang mendapat tempat ke dua. Tun Dr Mahathir akhirnya menjadi Presiden UMNO walau pun berada di belakang Tengku Razaleigh dan Tun Ghaffar semasa menjadi Naib Presiden di zaman Tun Razak dahulu.

Namun nasib Muhyiddin hanya lebih jelas selepas pemilihan Mac nanti. Walaupun beliau menjadi pilihan utama rakyat tetapi nasibnya ditentukan oleh Allah s.w.t dan perwakilan-perwakilan. Sama ada bintangnya terus bersinar atau pun mengalami bulan gerhana sama-sama lah kita tunggu.

Muhyiddin dikatakan bukan regu Najib malah beliau dikatakan tidak mendapat sokongan 100% daripada bahagian-bahagian di negeri kelahirannya. Harapan rakyat terbanyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kecerdikan para perwakilan nanti.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

No comments: