Wednesday, December 24, 2008
Jikalau Dato' Onn Perdana Menteri Pertama (Bhg.1)
Jikalau Dato'Onn Perdana Menteri Pertama (Bhg.1)
Melihat potretnya dengan wajah 'Pan Asian' yang serius dan keterampilan yang begitu eksklusif, kita tidak menyangka bahawa Dato' Onn adalah seorang yang peramah dan mudah didampingi. Peramah dalam ertikata dia tidak lah sombong dan sedia mendampingi sesiapa saja daripada segenap golongan dan berbilang kaum.Walaupun polisi perjuangannya adalah untuk menegakkan kedaulatan Melayu, namun Dato'Onn banyak rakan daripada kalangan bukan Melayu. Malah diantara rakan yang paling akrab ialah keluarga Kouk, seorang hartawan Cina Johor yang banyak membantunya ketika dalam kesusahan.
Dari mula perjuangannya Dato'Onn telah merasakan betapa perlunya penyatuan di kalangan berbilang kaum di negara ini. Dia mula melihat bagaimana kalau tidak ada penyatuan itu satu masa kita akan menghadapi masalah.
Dari kalangan Melayu sendiri terdapat perpecahan dan pemikiran kedaerahan yang sempit dan jumud. Oleh kerana itu bagi Dato'Onn orang Melayu harus disatukan dulu. Digemblengkan pemikiran dan halatuju kehidupan ini kepada satu matlamat yang jitu sebelum memikirkan soal kemerdekaan. Setelah penyatuan Melayu lengkap dan utuh barulah difikirkan penyatuan dikalangan keturunan lain di negara ini. Dato' Onn percaya kepada kerja berperingkat-peringkat dan teliti sebelum pergi ke arah matlamat. Kerana setelah sampai matlamat,kalau keadaan belum sempurna dan masih ada kekurangan di sana-sini, maka ketika itu sangat gawat untuk di atasi.
Pemikiran yang begitu sebenarnya diperoleh ketika beliau berada di England sepanjang zaman kanak-kanak hingga remajanya. Orang Inggeris terkenal dengan kerja berperancangan teliti dan kemas sehingga apabila mereka bertindak, tindakan mereka siap dengan berbagai muslihat yang dengan mudah dapat menguasai sasaran. Perhatikan bagaimana Inggeris menakluki negara ini. Bagaimana mereka merampas kuasa Raja-Raja Melayu dengan begitu mudah dan tidak disedari. Mereka tidak menggunakan bala tentera yang besar untuk menguasai negara ini. Tidak ada perang besar diantara mereka dengan rakyat tempatan. Kalau adapun sedikit-sedikit penentangan yang dengan mudah dapat di atasi. Seperti kata Tok Bahaman, seorang pejuang Melayu Pahang, Inggeris menakluki kita hanya dengan kertas dan kalam. Secarik tanda tangan terserah seluruh kedaulatan seorang raja.
Cara hidup dan ilmu yang diperolehi hasil daripada pergaulannya dengan bangsa yang licik dengan muslihat itu menjadikan Dato'Onn selicik mereka ketika berunding. Ternyata Inggeris tidak dapat menggunakan muslihat mereka untuk mengalahkan Dato' Onn dalam perundingan dan perdebatan. Ini diakui sendiri oleh Rees Williams dan LG Gammon ahli parlimen Inggeris ketika Malayan Union. Harold Mac Michael menyangka dia dapat memperbodohkan raja-raja Melayu dengan memaksa mereka secara halus menandatangani perjanjian Malayan Union. Namun apabila Dato'Onn campurtangan, raja-raja Melayu serta merta menarik balik tanda tangan mereka dan memulaukan majlis perlantikan Gabenor Malayan Union. Seterusnya orang Melayu keluar beramai-ramai mengadakan tunjuk perasaan menentang gagasan itu. Inggeris tidak menyangka Dato'Onn dapat mengembeling seluruh pemikiran bangsa Melayu bertindak menentang Inggeris.
Terdahulu daripada itu Inggeris dengan taktik 'devide and rule'nya telah berjaya memisah-misahkan pemikiran rakyat negara ini mengikut fahaman kedaerahan dan perkauman sebelum menguasai sepenuhnya. Hanya dengan perpecahan begitu Inggeris merasa cukup kuat untuk memerintah. Dengan adanya penyatuan pemikiran di kalangan orang Melayu, Inggeris merasa amat tergugat.
Ketika menjadi pemungut Hasil Tanah Negeri Johor, ternyata Dato' Onn tidak dapat dikuasai oleh pegawai-pegawai Inggeris atasannya. DJ Cambell dan Maxwell telah meramalkan bahawa Onn mempunyai potensi untuk memberontak menentang pemerintahan Inggeris. Tidak hairan kerana Dato'Onn telah belajar daripada Inggeris sendiri untuk menentang mereka.
bersambung...................
Amir Hamzah
Batu Pahat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment