Tuesday, September 1, 2009
Pejuang Yang Menang Dan Yang Kalah (Siri 1)
Setelah negara mencapai kemerdekaan selama 52 tahun masih ada lagi pertikaian, siapakah pejuang sebenar yang membawa negara ini mencapai kemerdekaan. Bagi generasi muda yang lahir selepas merdeka tentunya akan timbul kekeliruan tentang sejarah kemerdekaan negara apabila masih ada yang mengatakan bahawa Umno Bukan Pejuang Kemerdekaan Sebenarnya . Setahu saya UMNO tidak pernah pun mengaku yang parti UMNO sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Malah Tunku Abdul Rahman pernah mengucapkan terima kasih kepada PKM semasa Rundingan Baling 1955 yang menyatakan penentangan bersenjata PKM boleh membantu mempercepatkan kemerdekaan di mana kesungguhan rakyat daripada pelbagai haluan dan ideologi telah memberi tekanan kepada pihak British.
Malah sehingga kini buku teks matapelajaran sejarah daripada tingkatan 2 hingga 6 bagi tajuk sejarah Malaysia sememangnya tidak menggenepikan, meminggirkan atau memadam fakta sejarah yang melibatkan perjuangan dan pencetus semangat nasionalisme di Tanah Melayu. Cuma sejarah itu ditulis oleh pihak yang menang dan tidak dapat dinafikan memang terdapat peristiwa-peristiwa penting yang dicerita lebih memihak kepada kerajaan yang merealisasikan kemerdekaan itu. Tentulah sukar untuk mencari penulisan yang ideal dan adil untuk semua pejuang tetapi ianya jauh lebih baik jika ia ditulis oleh bekas penjajah yang langsung tidak mengiktiraf mereka sebagai pejuang malah dilabelkan sebagai penderhaka, pengkhianat dan pengganas.
Pihak kerajaan yang ada masih lagi membuka ruang dan peluang untuk rakyat mencungkil dan menyelongkar peristiwa-peristiwa atau tokoh-tokoh yang terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Buku-buku masih banyak ditulis tentang sejarah negara malah bekas-bekas ahli PKM masih boleh membina blog masing-masing yang masih jelas penulisnya teguh dengan prinsip perjuangan mereka. Baca di sini dan di sini. Walaupun PKM sudah meletakkan senjata dalam Perjanjian Damai di Hadyaai pada tahun 1989 tetapi ideologi komunisme dan sosialisme masih hidup subur di kalangan pendokong-pendokongnya. Masih banyak ruang bacaan untuk rakyat membuat penilaian dan hipotisis sendiri tentang latar belakang sejarah perjuangan kemerdekaan dan kebangkitan semangat nasionalisme di Tanah Melayu.
Sejak saya di alam persekolahan lagi, semangat saya tidak pernah padam untuk mengiktiraf pejuang-pejuang dan pencetus semangat nasionalisme khususnya kebangkitan penentangan berdarah oleh Datuk Maharaja Lela dan Tok Sagor di Perak, Tok Janggut di Pasir Puteh, Mat Kilau dan Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Naning, Abd.Rahman Limbong di Telemong, Rosli Dhobi di Sarawak dan lain-lain. Kesemua mereka adalah pencetus kepada kebangkitan semangat kebangsaan untuk membebaskan negara ini daripada penjajah. Hampir kesemuanya berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Kesemua tokoh-tokoh ini dicap sebagai pengganas dan penderhaka oleh British tetapi apabila sejarah negara di tulis semula kesemua mereka adalah pejuang-pejuang.
Walaupun penentangan yang dilakukan tidak memperoleh apa-apa kemenangan tetapi perjuangan inilah yang telah menyubur dan memercikkan api nasionalisme. Gerakan nasionalisme seperti ini bertunjangkan misi pembentukan negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan mentadbir sistem pemerintahan negara sendiri dengan acuan kepimpinan sendiri.
Langkah paling berkesan dalam menyemarakkan idea nasionalisme kemerdekaan diperhebatkan melalui sebaran media massa. Pada masa itu, mata pena amat tajam daripada muncung senapang. Justeru itu, kita tidak boleh mengkesampingkan peranan Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Abdul Kadir Adabi, dan Abdul Rahim Kajai serta ramai tokoh lagi. Terdapat tiga golongan yang menjadikan mata pena sebagai senjata menyemarakkan nasionalisme.
Pertama, golongan agama lepasa Al Azhar, Mesir dan Timur Tengah yang lebih dikenali sebagai Gerakan Islah.
Kedua, golongan sekular berpendidikan Inggeris.
Ketiga, golongan sekular berpendidikan Melayu.
Mereka mengeksploitasi keilmuan melalui penerbitan akhbar menentang British secara kreatif tanpa dihidu oleh British pada peringkat awalnya. Akhbar seperti al-Imam, Utusan Melayu (satu-satunya akhbar yang masih kekal sehingga kini), Seruan al-Azhar, Lembaga Melayu, Neracha, al-Ikhwan dan Lidah Benar (sekadar menyebut beberapa nama) adalah tempat para penulis berkarya menanamkan idea nasionalisme.Baca di sini untuk bacaan selanjutnya.
Saya tidak berasa tertipu dengan sejarah negara ini kerana saya mengenali semua nama-nama pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh yang memberi sumbangan kepada kemerdekaan negara. Tidak ada yang tersorok dan tersembunyi kecuali jika saya ingat mendapat maklumat tambahan maka saya akan mencari buku-buku yang berkaitan dan melayari internet untuk menambah pengetahuan peribadi. Sebagai seorang pembaca, maka sewajarnya kita meletakkan diri kita di zaman tersebut sekurang-kurangnya kita berlaku adil untuk kita memahamkan sesuatu peristiwa serta kesan-kesannya.
bersambung...........
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.segalanyamungkin.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
SLM BRO...TIADA SEJARAH, TIADA NEGARA..TANPA PEJUANG, TIADA NEGARA
Salam,
Ada byk lagi pejuang yang tak didendangkan..knp tak tertulis pun nama kaum ibu??
Kpd En.Jefrry kat atas ni,'kalau dah gitu KITAlah yang kena meneruskan PERJUANGAN ini utk mengekalkan sebuah NEGARA bernama MALAYSIA!!
tahniah keatas tulisan saudara, maaf kalau tersasar.. kadang kala dalam perjuangan tu ada yang berselindung di sebalik kebendaan... alam melayu caca merba.. feudalism melayu hanya pada gambaran dan fikiran. maka ianya boleh berlari kesana kemari. aristokrat melayu ada yang berdiri melawan arus ada yang lemas mengikut arus ... maafye ..
akibat kurangnya pendedahan tentang pejuang-pejuang yang anda nyatakan, menyebabkan sebahagian besar jenerasi sekarang kurang arif tentang tokoh-tokoh yang membina asas dan seterusnya disambung oleh tokoh-tokoh lain dalam arus yang membawa negara kepada keadaan yang ada sekarang.maka apakah bentuk perjuangan yang ingin dibawa oleh tokoh tokoh sekarang...demonstrasi ? menyanggah keputusan mahkamah, durhaka kepada institusi raja ? inikah pejuang untuk bangsa atau pejuang untuk memuaskan nafsu sarakah yang bersarang di benak masing-masing ? amat sedih dan pilu sekali. Semuanya sudah hilang pertimbangan akibat dari segumpal hati yang BUSUK dan hanyir.
Salam bro Jeffry,
Semua orang akan mengaku pejuang. Tetapi ada pejuang yang menang dan tidak kurang juga yang kalah dalam perjuangan. Itulah perbezaannya.
salam ikan emas,
Masih banyak terutama kaum ibu dan wanita sama ada yang berhaluan kiri dan pro British.
salam dino,
Perjuangan yang berselindung dan mempunyai kepentingan tidak akan kekal lama. Yang benar kan tegak berdiri yang bathil lambat laun akan tersungkur jua. Perjuangan yang berselindung disebalik kepentingan adalah perjuangan plastik dan palsu.
Salam BinaAnuar,
perjuangan menuntut kemerdekaan adalah perjuangan membebaskan diri daripada penjajah. Selepas menghalau penjajah, tentu kuasa yang ditinggalkan penjajah itu menjadi rebutan. Bagi setengah pihak perjuangan diteruskan bagi mengisi kemerdekaan itu, namun masih ada pertembungan antara kapitalis dengan sosialis dan komunis. Di sinilah terpisahnya antara pejuang yang menang dan yang kalah.
SEMUGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT DAN MELETAKKAN PEJUANG INI DITEMPAT YANG TERBAIK DISYURGA. AMIN.
Salam bro Arif Omar,
Ya, Semoga mereka-mereka ini akan sentiasa berada di hati rakyat dan menghargai pengorbanan mereka.
Salam Bro Amir,
Semua berpadu untuk merdeka, tetapi yang main belakang dengan penjajah pun masa tu ramai. Dah merdeka baru ngaku macam-macam, berjuang lah dan apa-apa lagi.
salam bro zedmagel,
Antara orang yang tidak menyokong merdeka adalah orang yang berasa selesa di bawah penjajah. Siapa mereka? Orang yang mendapat pendidikan Inggeris dan hidupnya lebih Inggeris daripada Inggeris walaupun kulitnya hitam berkarat. hehehe
Post a Comment