Thursday, September 3, 2009

Pejuang Yang Menang Dan Yang Kalah (Siri 2)



Imperialisme British terhadap Malaya, bukan sahaja telah merantai kebebasan dan memunggah kekayaan kita keluar demi melampias kuasa empayar yang berpusat di England, malah ia juga telah meragut banyak nyawa pejuang-pejuang kemerdekaan. Propaganda British bahawa pejuang-pejuang yang tidak sehaluan dengannya dikatakan penganas dan pengkhianat telah berjaya meracuni pemikiran rakyat. Nasib buruk ini diterima oleh Datuk Maharaja lela, Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau sebagai penganas dan pemberontak.

Sebelum perjuangan mendapat kemerdekaan ini dipelopori oleh UMNO dan rakan-rakan parti Perikatan kita juga tidak boleh menafikan sumbangan Kesatuan Melayu Muda(KMM)seawal tahun 1930an. Pengikut-pengikut KMM banyak terpengaruh dengan buku-buku daripada Indonesia serta pemimpin-pemimpin revolusioner Indonesia antaranya Pak Jenain (Sutan Jenain), Alimin, Musso dan Suparto.KMM juga yang mempelopori semboyan “Merdeka”. Tokoh-tokoh pemimpin KMM adalah seperti antaranya Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ibrahim Yaacob, Mustapha , Ishak Hj Mohamad(Pak Sako) , Ahmad Boestamam dan lain-lain.

Menurut Abdullah C.D bekas Pengerusi PKM, Keadaan masa itu sangat kemelut. Pokoknya ada dua perkembangan penting dari segi perjuangan rakyat. Pertama, PKM, yang ditubuhkan pada tahun 1930, telah menyusun sebahagian rakyat melancarkan perjuangan. PKM mempunyai pengaruh yang luas di kalangan orang Cina. Di kalangan orang Melayu dan India, tak ada kader, hanya pada penghujung perang, pengaruhnya mula meluas. Untuk melawan Jepun, PKM tubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM /MPAJA) dan melancarkan perang gerila. PKM juga bekerjasama dengan British dan mendapatkan sedikit senjata.

Kedua, semasa awal pendudukan Jepun, KMM dibenarkan bergerak secara terbuka. KMM mengambil sikap bekerjasama dengan Jepun untuk melawan British demi kemerdekaan Malaya. Ini sama seperti yang dilakukan Sukarno di Indonesia. Setelah KMM diharamkan pada tahun 1942, Ibrahim Yaacob dan beberapa tokoh lagi menubuhkan Malai Gyu Gun, atau PETA, iaitu sebuah pasukan tentera Melayu yang mengambil kesempatan daripada kemudahan yang diberikan Jepun dengan tujuan mencapai kemerdekaan. Sebelum Ibrahim berundur ke Indonesia, beliau cuba mengatur beberapa orang membawa PETA bergabung dengan pasukan TAJRM untuk sama-sama melawan British. Sayangnya, kerana keadaan berubah, rancangan itu gagal.

Bagaimana pun KMM diharamkan pada tahun 1942 kerana pada tahun 1942, Mustapha Hussein bagi pihak KMM mengajukan tuntutan untuk merdeka kepada pihak Jepun. Selepas diharamkan ramai pemimpin KMM menyertai gerilya MPAJA dengan melakukan kerja propaganda untuk melawan Jepun.

Gerakan kebangsaan di kalangan orang Melayu selepas perang lebih bergelora. Cita-cita kemerdekaan KMM diteruskan oleh PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya). Kebanyakan penaja PKMM ialah bekas pemimpin dan anggota KMM dulu. Dalam PKMM, terdapat anggota daripada pelbagai aliran – nasionalis, agama, sosialis, komunis. Tapi, tak kira apa alirannya, mereka telah mengenepikan perbezaan dan dapat bersatu dan bekerjasama. Ini kerana satu tujuan dan matlamat yang anti-imperialis, anti-kolonialis dan cintakan kemerdekaan serta kebebasan. PKMM ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 dalam kongres di Ipoh. Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako, Abdullah C.D ramai lagi bertanggungjawab mendirikan parti politik orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan. PKMM berkembang pesat dengan anggota kira-kira 100,000 orang.

Selepas itu, UMNO ditubuhkan bulan Mei 1946 oleh Dato'Onn Jaafar di Istana Besar Johor Bahru. Semboyannya waktu itu bukan “Merdeka”, tapi “Hidup Melayu”. Dalam kongres perpaduan bangsa Melayu pada awal 1946, PKMM turut serta bersama UMNO. Tetapi pada masa itu, sudah timbul perdebatan besar atas isu “Non” dan “Ko”. PKMM ambil sikap “Non”, yakni tidak bekerjasama dengan penjajah British, mesti terus berjuang untuk kemerdekaan.

Sebaliknya pemimpin UMNO mengambil sikap “Ko”, iaitu bekerjasama dengan British. PKMM mengambil keputusan keluar daripada UMNO, dan terus membentuk gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu, lebih 60 buah semuanya, dalam Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA. PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA. Gabungan PUTERA-AMCJA ini merupakan barisan bersatu anti-British berbilang kaum yang paling luas memperjuangkan kemerdekaan. Gabungan ini telah mengemukakan Perlembagaan Rakyat untuk menggantikan perlembagaan Melayu Union, tetapi di tolak mentah-mentah oleh British.

Peristiwa penting kepada penyatuan Melayu adalah gagasan menentang Malayan Union oleh keseluruhan orang Melayu. Di dalam catatan sejarah Malaysia, Satu kongres Melayu yang menyatukan semua pertubuhan Melayu di Tanah Melayu diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 atas cadangan Dato' Onn bin Jaafar. Dalam mesyuarat ketiga Kongres Melayu Se-Malaya itu, keputusan dicapai untuk menubuhkan sebuah parti politik iaitu UMNO. UMNO secara rasminya ditubuh pada 11 Mei 1946 dan melantik Dato' Onn bin Jaafar sebagai presiden pertama. Penentangan Malayan Union telah mencapai kejayaan dan Malayan Union ditukar kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Semboyan kata UMNO "Hidup Melayu" ditukar menjadi "Merdeka" selepas berjaya menentang Malayan Union.

Perlu juga ditulis bahawa "Malayan Union" ciptaan British, bertujuan merampas kuasa raja-raja dan langsung tidak menyentuh soal kemerdekaan Malaya. Oleh itu, PKMM menentangnya bersama-sama dengan UMNO dan lain-lain pertubuhan waktu itu. Disebabkan tentangan menyeluruh daripada seluruh umat Melayu inilah, rancangan Malayan Union British gagal.

Di Gunung Semanggol, terdapat tokoh-tokoh agama yang penting dan berpengaruh, seperti Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Mudir Maahad El-Ehya Assyarif. Tokoh-tokoh agama ini menubuhkan Parti Hizbul Muslimin yang bekerjasama dengan PKMM dan bergabung dalam PUTERA.
Gerakan PUTERA (pertubuhan orang Melayu)-AMCJA(persatuan bukan Melayu) mendapat sambutan begitu luas daripada sebahagian rakyat. Mogok dan hartal yang dilancarkan cukup berkesan. Semangat “Merdeka” berkobar-kobar. Keadaan ini menyebabkan British berasa gentar dengan gerakan golongan kiri ini.

Akibat tekanan pihak British sebahagian pemimpin dan pendokong PKMM telah menyertai gerakan gerila komunis. Parti Kuomintang dari China memainkan peranan yang penting untuk menyebarkan perfahaman komunis ke Tanah Melayu. Cawangan Kuomintang di Tanah Melayu diharamkan oleh British. Walau bagaimanapun, golongan komunis di Tanah Melayu menubuhkan Parti Komunis Nanyang tetapi diharamkan pada tahun 1930 kemudian menubuhkan pula Parti Komunis Malaya(PKM). Tujuan penubuhan PKM adalah untuk menghalau British keluar dari Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis.

Lawan kepada komunis adalah kapitalis yang memang menjadi anutan semua penjajah termasuk British. Sebab itu British sangat memusuh PKM dan mengistiharkan darurat daripada 1948-1960 bagi membenteras komunis sepenuhnya. Salah satu Rejimen PKM yang dianggotai oleh bekas-bekas pemimpin PKMM ialah Rejimen ke-10 yang ditubuhkan pada 21 Mei 1949. Antara pemimpinnya yang terkenal ada Abdullah CD, Rashid Maidin, Abu Samah Kassim, Syamsiah Fakeh, Musa Ahmad dan lain-lain. Mereka memilih kaedah untuk membebaskan negara ini melalui pertumpahan darah dan peperangan.

Di pihak UMNO pula, pemimpin-pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan yang berpendidikan barat atau dikenali sebagai golongan sekular berpendidikan Inggeris atau golongan kanan yang pro British. Pendekatan yang digunakan adalah perundingan dengan pihak British. Kaedah ini disenangi oleh pihak British tambahan lagi Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman sendiri sememangnya masak dan faham dengan perangai, budaya dan pemikiran British. Golongan ini boleh dikatakan sebagai golongan yang menang kerana melalui perundingan juga UMNO telah merealisasikan kemerdekaan kepada negara ini.

Bagi pihak golongan kiri yang mengambil pendekatan antiBritish dan menolak sebarang bentuk perundingan kecuali dengan mengangkat senjata seperti yang dilakukan oleh PKM tidak mendapat sokongan majoriti rakyat pada masa itu. Tambahan lagi,mereka berpendapat falsafah Marxis itu adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanah air dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Mereka juga berpendirian bahawa Marxisme itu bukan sebagai “dogma”, atau pegangan ketat dan kaku dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan keadaan di Malaya.

Mereka berpendapat dengan kurang sambutan dari kalangan orang Melayu kepada PKM adalah disebabkan anggapan bahawa Marxisme, tidak beragama atau menentang agama. Dan mereka juga mengatakan bahawa pandangan seumpama ini adalah racun dan hasutan penjajah supaya membenci kepada perjuangan PKM. Golongan kiri ini boleh dikategorikan sebagai golongan yang kalah. Kalah kerana tidak mendapat sokongan majoriti rakyat atas pendekatan dan ideologi yang mereka bawa. Mereka juga tidak boleh menafikan bahawa mereka walaupun 'berjuang' ke arah pembebasan negara ini pada hakikatnya mereka wajar akur bahawa akhirnya pendekatan yang dibawa oleh UMNO itu telah berjaya membawa satu angan-angan, cita-cita dan harapan itu menjadi kenyataan.

Soal tulen atau tidak perjuangan UMNO itu bukan sesuatu yang perlu dibahaskan. Namun UMNO tetap menerima hakikat bahawa perjuangan semua rakyat daripada pelbagai aliran dan fahaman sama ada nasionalis atau agama ke arah menyumbang kepada sentimen pembebasan dan kemerdekaan negara yang memuncak-muncak sehingga negara akhirnya merdeka pada tahun 1957. Suka atau tidak pihak yang menang itu mendapat kuasa yang turut diidam-idamkan oleh pihak yang kalah. Lebih zalim lagi jika mengatakan kerajaan yang telah terbentuk selama 52 tahun ini adalah warisan daripada penjajah kerana negara ini telah dibangunkan atas acuan kita sendiri.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

6 comments:

Che Leh Jangok said...

Lagi satu nak sarankan tambahan kepada rumusan tuan: Kalau nak kira ideal/murni ikut kehendak acuan kita sebenar mana ada yg boleh dicapai pun. Sepertilah beberapa pilihan yang ketara ada waktu peringkat awal perjuangan itu.

Senaraikan: Demokrasi,Komunisma, Sosialisma dan Marxisma (lain2 tak perlu senarai kot) Semuanya pun lahir daripada pemikiran Michaevelli (semak ejaan) Maksudnya lahir dari pemikiran yahudi belaka.

Dan pada masa itu tiada negara yang nak ditubuhkan boleh lari dari blok2 yang ada. Blok Islam pun dah pecah dan musnah lebih awal lagi dengan kejayaan kerja Kln Lawrance dan koncu koncunya.

Maka kena juga pilih salah satu dan murnikan mengikut cara kita. Bukan kah itu yang sedang diusahakan selama 52 tahun kebelakangan.

zedmagel said...

Salam Bro Amirhamzah,

Andaikan waktu itu, ramai rakyat yang inginkan kemerdekaan negara. Tetpai mereka yang berkepentingan dengan penjajah tidak ingin merdeka. Mereka tidak yakin anak watan boleh memerintah negara sendiri atau mereka akan kehilangan keistimewaan dari penjajah.

Bila dah merdeka, mereka mendakwa semua terlibat menuntut kemerdekaan. Kadang-kadang warga jenis merekalah yang seolah-olah memperjuangkan kemerdekaan sebenarnya. Warga yang jenis macam ni pun masa tu ramai bro.

Sendiri mau ingat urutan peristiwa lah...

Mat Amin said...

Amat menarik 2 posting yang disiarkan. Akan tetapi kenyataan yang berlaku bersebalikan. Contoh:

1. British masih diagung-agungkan. Lihat contoh papan tanda memperingati Henry Gurney. 2. Rejimen Ke-10 yang mengikut blog ini berjuang untuk kemerdekaan, tetapi masih dimusuhi. Bila saya buka blog untuk bercerita hal2 yang lampau, Rais Yatim berkata harus membincangkannya di parlimen.

3.Ketika Chen Ping membuat permohonan untuk pulang ke Malaysia, bukan saja tidak diluluskan, tetapi diperbesarkan lagi oleh media perdana, TV, radio, surat khabar dan kenyataan2 pak2 menteri yang menganggap beliau sebagai musuh nombor wahid negara.

4. Alat sebaram am kerajaan selalu menyiarkan apa yang dikatakan “keganasan komunis”.

Di mana letaknya contoh mengakui sumbangan pejuang kemerdekaan lain?

amirhamzah64 said...

Salam pak cik Che Leh Jangok,

Acuan kita sendiri yang saya maksudkan bukanlah ianya terkeluar daripada sistem demokrasi dan sistem kapitalisme barat. Kita dilihat masih lagi berada di dalam lingkungan itu khususnya sistem ekonomi yang kini telah diglobalisasikan.

Setelah kita merdeka, kita dapat menumpukan sepenuhnya kepada masalah rakyat pribumi yang beratus tahun tertindas di bawah penjajah. Bukan saja politik dan ekonomi malah tempat tinggal serta pemikiran juga.

Tun Razak sangat berjasa kepada orang-orang Melayu khususnya apabila Allahyarham mencadangkan dan melaksanakan DEB. DEB itulah yang saya maksudkan sebagai salah satu contoh acuan kita sendiri.

Salam bro zedmagel,
Saya faham bro, Ada juga sesetengah orang Melayu yang lebih suka duduk di bawah penjajah dan tidak yakin diri dengan keupayaan anak bangsa untuk memerintah. Inilah yang dinamakan penjajahan pemikiran.

Salam pak cik Mat Amin,
Secara peribadi saya terpaksa mengasingkan antara PKM dan juga Rejimen 10 PKM. Saya sempat berjumpa dengan Allahyarham Rashid Maidin pada tahun 1992 di Kg.Sg Itik, Gopeng, Perak. Masa itu, Megat Junid sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau tidak menceritakan tentang perjuangannya kecuali hanya perbualan hal-hal keluarga.

Namun saya banyak membaca kisah-kisah Rashid Maidin, Abdullah CD, Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh dll yang menganggotai Rejimen 10. Mereka ini saya terpaksa asingkan dengan perjuangan Chin Peng dan rakan-rakannya yang lain.

Disudut hati saya, saya masih boleh menerima anggota rejimen 10 PKM tetapi saya masih tidak dapat memaafkan tindakan Bintang Tiga membunuh, merebus, membakar hidup-hidup orang Melayu di Batu Pahat sehingga berlaku kebangkitan orang Melayu terhadap Bintang Tiga yang terdiri daripada orang-orang Cina.

Saya sering membaca kisah-kisah di dalam blog pakcik dan blog perkampungan Shukirin bagi saya memahami perjuangan sebenar orang-orang Melayu dalam Rejimen 10, PKM.

Saya yakin, Rejimen ke 10 tidak terlibat dengan pembunuhan orang-orang Melayu Batu Pahat kecuali Cina Bintang Tiga. Saya berharap pakcik dapat mengulas peristiwa Bintang Tiga dan Melayu bersama Kiyai Salleh di Batu Pahat di dalam blog pakcik.

Saya menyusun jari sepuluh memohon maaf jika ada ketelanjuran kata di dalam komen ini.

KUNTONG said...

apa yang diceritakan oleh org-org tua,banyak kejadian yg menyedihkan di kampung saya semasa zaman "bintang tiga " pada masa itu saya blum dewasa lagi. rumah dbakar, orang kampung ditangkap dan dibunuh dan dikelar-kelar macam ikan. ramai org kampung yg pergi ke bandar batu pahat yg hilang dan lenyap begitu saja. apa yg mereka telah lakukan amat sedih, dan parutbya tak akan hilang hingga kini.

amirhamzah64 said...

Salam pakcik KUNTONG,
Memang benar apa yang berlaku di Kangkar Senanga, Parit Sulong, Semerah dan lain-lain itu menjadi kenangan pahit untuk beberapa generasi. Selama 14 hari Bintang Tiga berkuasa mereka telah membalas dendam kepada orang-orang Melayu yang tidak melawan Jepun. Akhirnya ramai lah ketua-ketua kampung, penghulu dan rakyat kebanyakan yang dibunuh dengan kejam.