Tuesday, June 2, 2009

Jangan Derhaka Kepada Sultan Terengganu !!!


Rakyat Terengganu pada umumnya sukakan kepada MB yang ada sekarang , Ahmad Said berbanding dengan MB lepas , Idris Jusoh. Ahmad Said lebih disenangi oleh rakyat Terengganu dan direstui oleh Sultan Terengganu yang juga DYMM Yang DiPertuan Agong. Namun Ahmad Said kurang di senangi oleh kumpulan 10 atau kumpulan 18 yang katanya diketuai bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, YB Dato Rasol Wahid.

Saya teringat dengan Allahyarham Razali Ismail, Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang disenangi oleh rakyat Terengganu. Beliau adalah bekas guru sangat rapat dengan rakyat. Namun begitu, Razali tidak popular di kalangan ahli-ahli UMNO. Mungkin Allahyarham tidak terlibat dengan rasuah politik atau kedekut dari segi kewangan. Beliau akhirnya tewas dalam perebutan sebagai perwakilan G7 ke Perhimpunan Agung UMNO. Seorang ahli Parlimen tidak berjaya menjadi perwakilan ke pusat. Agak pelik tetapi itulah politik.

Adakah kumpulan 10/18 ini ada kaitan dengan Idris Jusoh tidak pula ditelah dengan tepat. Penulis pun baru dua hari berada di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Negeri Cantik Budaya Menarik' untuk bercuti. Dalam sehari dua ni dapatlah penulis berbual-bual dan sembang-sembang kosong dengan beberapa orang rakyat Terengganu. Rata-rata mereka kurang senang dengan tindakan mendesak Ahmad Said supaya meletak jawatan dan hasrat kumpulan ini untuk undi tidak percaya kepada MB Terengganu yang mendapat perkenan Sultan.

Penulis tidak mahu memihak kepada sesiapa tetapi dalam keadaan Terengganu yang semakin maju dan cemerlang ini harapan saya agar pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu menyahut hasrat PM iaitu 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.Tidak cukup dengan itu, mereka mula mengugut parti, kononnya untuk keluar dari UMNO dan menjadi ADUN Bebas.

Idris Jusoh memang mempunyai jasa besar dengan mengembalikan Terengganu kepada BN berikutan kemenangan cemerlang melalui 'Gelombang Biru' dalam pilihanraya 2004. Selepas kemenangan besar Pok Yeh dikatakan gemar membuat projek-projek mega yang tidak mempunyai kesan langsung kepada rakyat Terengganu kecuali Patrick Lim yang kaya raya. Tambahan pula hubungan Pok Yeh dengan sultan sering kali dingin sehingga sultan tidak berkenaan Pok Yeh menjadi MB selepas pilihanraya 12 lalu. Hanya Sultan Terengganu, Perlis dan Perak yang mempunyai kuasa mutlak di atas perlantikan MB.

Kekalutan di Perak perlu diambil iktibar. Berikutan krisis di Perak, kita separuh mati mempertahankan Sultan Perak di atas kebiadapan Nizar yang hilang jawatan MB dan Karpal Singh yang berhasrat menyaman Sultan Perak. Kumpulan 10/18 yang mendesak MB meletak jawatan, mengugut undi tidak percaya dan keluar parti adalah satu tindakan derhaka kepada Sultan kerana Ahmad Said adalah MB yang diperkenan Sultan.

Blogger-blogger pro kerajaan mungkin tidak mahu 'double standard' dalam kes-kes kebiadapan dan derhaka kepada Sultan. Adakah adil Nizar dan Karpal Singh disanggah secara bersungguh-sungguh tetapi memejamkan sebelah mata apabila segelintir pemimpin UMNO Terengganu yang cuba derhaka kepada Sultan Terengganu? Adil kah kita kepada Ahmad Said yang saya rasa turut disenangi oleh kebanyakkan rakyat Terengganu. Mengikut kata beberapa rakyat Terengganu, MB yang ada lebih bersifat 'kekampungan' dan mudah berjumpa berbanding Pok Yeh yang tidak mesra alam.

Kumpulan 10/18 ini tidak mengutamakan kepentingan parti dan negeri tetapi mementingkan tembolok sendiri. Mungkin mereka ini 'mewah' dan 'kenyang' semasa Pok Yeh jadi MB, sedangkan sejak Ahmad Said menjadi MB mereka banyak kehilangan 'duit tepi' selain gaji dan elaun. Ini yang dikatakan berkepentingan diri.

Agaknya mereka tidak mendapat apa-apa kepentingan kepada projek pendidikan e-Book yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah?. Ini merupakan satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Projek e-Book sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kilang pemasangan komputer riba itu yang bernilai RM8.5 juta di kawasan Perindustrian Gong Badak dekat sini dijangka siap Mac ini. Seramai 23,000 hingga 25,000 murid tahun lima akan mula menerima komputer mulai Mei secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan kepada murid darjah enam, empat, tiga, dua dan satu. Projek yang mendapat peruntukan RM30juta setahun daripada kerajaan negeri itu turut melonjakkan nama MB sendiri selaku negeri perintis melakukan program e-book di negara ini.

Projek e-book ini sebenarnya memberi terus hasil minyak Terengganu itu pulang kepangkuan rakyat Terengganu. Bukan seperti projek mega seperti Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man atau pun pertandingan berprestij Monsoon Cup yang tidak memberi pulangan terus kepada rakyat akar umbi. Bukankah ini membuktikan kesungguhan MB untuk terus berkhidmat kepada rakyat Terengganu.

Pada ketika penulis berada di Terengganu ini, satu kejadian memalukan telah berlaku apabila bahagian bumbung Stadium Sultan Mizan yang melengkung ranap dan menghempap tempat duduk. Stadium yang baru berusia setahun ini adalah sebahagian kompleks sukan termoden yang bernilai RM350 juta di bina di kawasan 150 hektar selain prasarana sukan termasuk bowling, skuasy dan badminton.

Projek di bawah bekas MB Pok Yeh ini perlu disiasat segera. SPRM perlu membuat siasatan terperinci termasuk jangkaan berlaku rasuah dan penyelewengan. Kontraktor, jurutera, pegawai yang meluluskan dan bekas exco sukan negeri perlu disiasat kerana keruntuhan struktur bangunan baru ini amat memalukan. Jangan salahkan cuaca dan tuhan tetapi buat siasatan kepada kerja-kerja tangan manusia.

Saya pun berasa hairan, mereka ini (kumpulan 10/18) ini beriya-iya sekali mempamerkan rasa benci serta meluat kepada kepimpinan Ahmad Said. Sepatutnya jawablah kes terbaru bumbung stadium roboh ini yang seolah-olah membuktikan pemerintahan Pok Yeh beserta puak-puaknya yang mengautkan keuntungan yang banyak daripada projek RM350 juta itu. Harganya yang mahal tetapi kualiti buatan dan penyelewengan bahan adalah satu kemungkinan berlaku.

Tuhan maha adil, dalam mereka mendesak MB letak jawatan,MB lancarkan e-book yang melonjakkan namanya dan dalam masa yang sama bumbung stadium pulak roboh. Pembinaan stadium itu adalah semasa pemerintahan boss mereka. Saya sebagai rakyat biasa akan mempertahankan Ahmad Said sebagai MB perkenan Sultan. Kita akan mempertahan Sultan Terengganu seperti mana kita mempertahankan Sultan Perak. Apatah lagi penderhaka itu pemimpin UMNO.

Amir Hamzah
Kuala Terengganu
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

14 comments:

amieiezam said...

tahun 2007-julai 2008 saya bertugas di terengganu. sedikit sebanyak Terengganu dekat di hati.

tidak perlu mengulas panjang lagi...

apapun yg berlaku mereka YB2 BN/UMNO harus menerima apa yang saya sifatkan sebagai ketentuan ilahi... percayalah, setiap yang berhak akan mendapat haknya...

100% setuju
rakyat didahulukan
PADUKA SERI dijunjung tinggi!
DAULAT TUANKU

rimajohor said...

ketika suasana politik UMNO yang tidak menentu,diharap kepada pemimpin dan bekas pemimpin Terengganu janganlah berbalah sesama sendiri.berilah peluang kpd yang ada sekarang untuk sama-sama memajukan negara atau negeri Trngganu.kita lupakan sengkita, sejarah Melaka menjadi contoh. ambil iktibar darinya.

PUTRA MERDEKA said...

dalam umno terengganu pun ada sivakumar dan nizar!

ikan emas said...

Tunggu komen PokYeh kes bumbung runtuh..

afrohead said...

pada saya tak kiralah UMNO, atau PAS. lebih-lebih lagi jika DAP..
penderhaka tetap penderhaka..
puak2 UMNO Terengganu sejak perlantikan Ahmad Said oleh Sulten Terengganu lagi telah memalukan UMNO dengan penderhakaan mereka.

dan ya, Pok Yeh kena jawab isu stadium runtuh ini.
kos berjuta tapi tak sampai setahun.
Allah itu maha besar, jika Dia mahu tunjukkan sesuatu, di dunia pun dia boleh tunjukkan..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam amieieda,

UMNO Terengganu jangan berkrisis dengan Sultan. Mengugut Mat Said akan mengundang kemurkaan Sultan. UMNO hentam Nizar derhaka. Jangan nanti ditempelak pembangkang, paku dulang paku serpih, mengata Nizar UMNO yang lebih.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam buah kelapa turkey,

sokong pendapat saudara. Pilihanraya 1999, Rakyat Terengganu meluat dengan Wan Mokhtar yang degil. 1999 UMNO kalah. Jadi Pemimpin UMNO yang ada jangan degil nanti rakyat Terengganu beralih arah lagi.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam PUTRA MERDEKA,

macam-macam ada!. Jangan ada macam Chin Peng udah le

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam ikan emas,

Hendak ke dia beri komen? Mungkin tidak........

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam afrohead,

setuju dengan pendapat bro. Nanti UMNO kena tempelak semula. Kita konsisten mempertahankan Sultan Perak. Tak mungkin kita double standard di Terengganu. Pendek kata 9 Raja melayu akan dipertahankan selagi baginda tidak melanggar hukum syarak dan undang-undang negara.

KUNTONG said...

apalah diaorang ni, asyik berbalah.tak malu ke ?nnti kalo org Trngnu menyampah,,,baru padan muka. berilah peluang kpd pemimpin yg baru. kita org bawah ni pun ada otak juga.ada mata lihat,ada telinga DENGAR, ADA TANGAN BESOK ..PANGKAH MANA YANG TAK MENYAMPAH...BARU PADAN MUKA....

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam pakcik kuntong,

Betul tu pakcik.Rakyat Terengganu kalau dah menyampah dia tukar seperti tahun 1999. Wan Mokhtar dari jadi Menteri Besar pergi jadi Duta Malaysia di Mesir. Kan haru tu.........Saya sokong Mad Said jadi MB. Dia diperkenan Sultan dan belum ada 'buat taik' lagi....hehehe

Sesekali pak cik komen hal politik, berbisa juga....hehehe

zedmagel said...

Salam Bro Amir,

DYMM Sultan ibarat pohon yang rendang buat teduhan rakyat. Pemimpin melindungi paduka tuanku, rakyat jelata adalah rakyat yang sentiasa setia selagi tuanku menjadi naungan semua.

Daulat Tuanku, hidup rakyat Terengganu dengan bersatu...

Mementang baru balik dari mencandat sotong di Pulau Kapas....

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam bro zedmagel,

Raja adil raja disembah raja zalim raja disanggah.
Semoga 9 raja-raja melayu di dalam pilihanraan Allah
Rakyat Terengganu jangan derhaka nanti tulah, habis Terengganu dilanggar todak......hehehe