Wednesday, June 10, 2009

Kerajaan Perpaduan Yang ' SAMPAH'.


'Unity government'atau 'Kerajaan Perpaduan' adalah istilah popular sejak akhir-akhir ini khususnya di dalam Muktamar PAS kali ke 55 di Stadium Malawati, Shah Alam. Malah kegagalan Nasharudin mendapat undi di bawah 50% pun dikaitkan dengan penglibatannya dalam usaha perbincangan 'kerajaan perpaduan' dengan UMNO. Walaupun beliau menang dengan 480 undi tetapi 542 undi tidak memberi undi kepadanya.

Hadi Awang menerangkan bahawa, "'Unity government' ini adalah kerajaan Perpaduan melibatkan semua parti politik dan tidak ada pembangkang langsung. Semua parti duduk dalam kerajaan dan semua parti ini ada identiti, ada syaksiyyah, ada kepelbagaian dan dia mana-mana parti berhak untuk membangkang."

Mantan Tun Dr Mahathir pula berkata ,pembangkang perlu ada bagi memainkan peranannya sebagai "cermin" kepada kerajaan dan "tidak sihat" mewujudkan negara satu parti. Beliau juga berkata idea kerajaan perpaduan yang dimaksudkan Abdul Hadi juga "tidak jelas", sama ada ia dilakukan di antara PAS dan UMNO atau BN dengan pakatan pembangkang.

Sebagai orang lama yang berkecimpung dalam politik dan faham sangat dengan sepak terajang politik PAS menyatakan, "Dulu masa kita tubuhkan BN, kita jemput semua orang (parti) untuk menyertai dan yang tolak hanya DAP.PAS pun masuk jugak BN tapi kemudian kita terpaksa berpisah dengan PAS sebab dia guna kuasa dia dalam kerajaan untuk perkukuhkan parti dia bukan BN,"


Saya pun malas nak cari apakah definasi sebenar 'kerajaan perpaduan'ini. Bagi saya yang bersungguh-sungguh untuk merealisasi kerajaan perpaduan ini adalah Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa. Mereka berdua sahaja yang sering mengeluarkan kenyataan. Sekejap kerajaan perpaduan, sekejap kerajaan permuafakatan, entah mana satu yang betul.

Orang PAS sebahagian besarnya menolak kerajaan perpaduan terutama kumpulan Erdogan di dalam PAS. PKR dan DAP sudah tentu menentang keras. PAS sekarang nampaknya semakin tersepit. Kenyataan paling keras datangnya daripada pengerusi DAP Karpal Singh yang memberikan amaran keras kepada Hj Hadi dan PAS atas isu Kerajaan Perpaduan. Beliau menganggap kerajaan perpaduan yang digembar gemburkan oleh PAS adalah penipuan kepada rakyat / penyokong PR.

Sebagai ahli UMNO, saya suka dan gembira kepada perpaduan dan penyatuan Melayu agar Melayu kembali kuat dan mengepalai politik negara ini. Kalau 'perpaduan' jenis ini yang hendak dicapai, saya berpendapat lebih baik lupakan saja. Ini adalah kerana:

1. 'Kerajaan Perpaduan 'yang hendak dicapai adalah kabur, binggung dan banyak kerenah.

2. 'Kerajaan perpaduan' yang dicadangkan semestinya mengandungi syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Pastinya ada kepentingan. Setiap pihak akan ada tawar menawar berdasarkan kepentingan khususnya jawatan dan sebagainya.

3. Ideologi PAS dan UMNO berbeza walaupun sebangsa dan seagama. Pada saya PKR banyak persamaan tetapi PAS jauh lebih Islam daripada UMNO. PAS boleh berkokok berderai-derai dengan PKR dan DAP tetapi dengan UMNO, kawinnya tidak lama. Bercerai juga akhirnya.

4. Sebahagian besar ahli PAS menolaknya, sebagai ahli UMNO perlu apa kita nak terhegeh-hegeh? Pakatan rakyat pun menolak.

5. Sanggupkah PAS 'bercerai' dengan PKR serta DAP dan 'berkahwin' dengan UMNO di mana masa depannya belum pasti, kabur dan berbalam-balam.

Siapakah sebenarnya yang perlu bersatu ? Parti UMNO dan PAS kah atau orang-orang Melayu?

Orang Melayu mempunyai tugas besar sekarang untuk memilih parti mana yang terbaik untuk mereka. Berapa ramai ahli UMNO? berapa ramai ahli PAS? dan berapa ramai ahli PKR? dan jangan lupa berapa ramai Melayu yang tidak berparti. Adakah keahlian 3 juta ahli UMNO itu dikemaskini dengan membuang orang yang sudah meninggal dunia atau pun yang tidak dapat dikesan? Kekuatan Melayu terutamanya semasa pilihanraya adalah kepada Melayu yang tidak berparti. Melayu yang berparti inilah yang menarik dan mempengaruhi untuk mengundi parti masing-masing. Adakah 3 juta ahli UMNO itu semuanya mengundi UMNO dan BN? Belum tentu.......

Kalau begitu dalam 12 kali pilihanraya, hanya 2 kali BN hilang majoriti 2/3 di Dewan Rakyat iaitu pilihanraya tahun 1969 dan 2008. Kedua-duanya adalah kerana kelemahan parti-parti kompenan BN seperti MCA, Gerakan dan MIC. Siapakah yang membantu UMNO selama ini? Mereka itu sebahagiannya ahli UMNO, peminat, penyokong dan mereka-mereka yang faham, sedar dan insaf di atas pengorbanan dan jasa-jasa UMNO kepada mereka.

Kumpulan Melayu inilah yang telah beralih arah dari menyokong UMNO kepada PAS dan PKR dan ada yang tanpa segan silu mengundi DAP atas nama Pakatan Rakyat. Dahulunya mereka ada penyokong, peminat dan pemuja tegar kepada parti UMNO. Ahli UMNO yang tegar berapa kerat sahaja berbanding dengan jumlah umat Melayu di Malaysia. Rakyat tidak berpecah. Pemimpin Melayu yang berpecah. Pemimpin Melayu yang bercakaran, Pemimpin Melayu yang berkepentingan.

UMNO perlu menarik golongan muda, peminat, penyokong dan pemuja UMNO ini kembali kepada UMNO. Ianya adalah lebih baik menarik parti PAS yang banyak kerenah, banyak syarat dan banyak muslihat.


PKR umpamanya, adakah ianya bergantung kepada kekuatan ahlinya? Berapa cawangan PKR dan berapa bahagian PKR diseluruh negara?. Belum lagi ditanya berapa yang aktif dan berapa yang hidup segan mati tak mahu. Dengan kekuatan begitu pun berjaya meraih kemenangan 31 kerusi di Dewan Rakyat. Kekuatan PKR adalah kepada Anwar Ibrahim dan peminat, pemuja, penyokong walaupun mereka tidak menjadi ahli PKR.

Oleh itu kerajaan perpaduan yang dicadangkan adalah perpaduan 'sampah'. Tidak ikhlas seperti mana ikhlasnya KuLi membubarkan parti Semangat 46. Kabur ,penuh rahsia dan muslihat. Bersyarat dan berkepentingan.

p/s :Maaf kepada yang tidak bersetuju kerana ini adalah pandangan peribadi saya yang ikhlas.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

8 comments:

KUNTONG said...

betul tu, bo....pelik bin hairan...
mereka kekadang memeningkan dan membingungkan akar umbi...yang paling teruk orang bawahan.

Tok Uban said...

Maasalah besar ahli umno ialah tidak lagi mempercayai kepimpinan umno yang ada sekarang ini...Ahli umno sekarang ni berpelajaran...mereka berfikir...bukannya macam tahun 60an atau 70an...mereka menerima aje apa yang diberi...apa yang ahli umno hendak ialah UMNO BERSIH...dengan lain perkataan...selagi tidak ada pemimpin yang bersih...selagi itulah umno akan dipandang serong, bukan hanya oleh ahli umno aja tetapi seluruh rakyat malaysia.

Saya Rakyat Malaysia said...

atas nama liberal, demokrasi dan globalisasi, anak muda hari ini tidak percaya lagi akan perjuangan bangsa.

saya percaya UMNO kuat di Johor kerana orang Johor dekat dengan Singapura. orang Johor tahu kerenah orang Cina di Singapura. Orang Johor tahu bagaimana orang Melayu ditindas di Singapura.

anak muda hari ini tidak percaya kononnya jika Cina menguasai negara, kita tidak akan ditindas. kita akan hidup aman damai.

saya percaya memang sukar untuk membetulkan akidah orang-orang PAS dengan tanggapan UMNO kafir dan undi PAS masuk syurga.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam pakcik KUNTONG,

Kita kat bawah ni macam mentimun dengan durian. Melenyek pun kena. Dilenyek lagi la teruk.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam Tok Uban,

Rakyat mendapat maklumat dari sumber musuh-musuh UMNO. Ini yang dikata pembangkang hidup atas persepsi buruk yang telah dijaja kehulu ke hilir. Taktik ni berjaya bersama janji-janji manis abang Nuar.

UMNO kena ambik masa sikit. Hanya masa yang menentukan Teruskan Najib dan Muhyiddin lakukan perubahan dan pembaharuan.

Ahli UMNO yang setia faham kalau ada yang buat tak faham, mereka tu adalah pelesit dalam parti.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam Saya Rakyat Malaysia,

Saya masih menunggu latihan perkaderan UMNO seperti yang dijanjikan Najib semasa PAU yang lepas. Latihan Perkaderan ini sangat sesuai untuk golongan muda supaya mereka faham, tahu tentang sejarah, jasa, visi dan misi kerajaan.

Saya setuju pandangan saudara tentang UMNO Johor. Selain itu Melayu Johor tidak boleh berpecah. Melayu Johor wajib bersatu. Jika tidak 'tiang seri' UMNO ini akan roboh seperti mana yang berlaku di Perak. Komposisi pengundi di Perak tidak jauh bezanya dengan komposisi pengundi di Johor.

UMNO Johor adalah tiang seri UMNO Malaysia seperti BN Johor adalah jantung hati BN seluruhnya. Isyarat undi rosak tertinggi di Johor dalam pilihanraya ke 12 membuktikan ada rasa tidak puas hati rakyat Johor tetapi dalam masa yang sama mereka tidak tergamak memberi undi kepada pembangkang.

Tambak johor perlu dirobohkan dan diganti dengan jambatan.

Jambatan ke tiga bukan untuk sekarang. Sekarang adalah untuk jambatan bengkok.

PAS di Johor tidak sekuat mana tetapi mereka ini macam tikus, merosakkan perpaduan orang Melayu. PRU ke 12 mereka akhirnya mendapat kerusi di Maharani dan Sg.Abong atas pertolongan pengundi Cina.

Geng Samudera said...

Salam semua,

Kita try balik flashback sejarah Johor di mana sudah pun bermula pada tahun 800 sebagai suatu petempat perdagangan yang penting.
Dikuasai oleh Empayar Majapahit sehingga Kesultanan Melaka.

Peperangan dgn pelbagai pihak spt Portugis,pihak Jambi,Kesultanan Sultan Melaka,Aceh,bersekutu dgn Belanda menewaskan Portugis,British oleh Stamford Raffles dan zaman Jepun.

Jadi,perpaduan Melayu Johor amat penting dan mmg jadi tonggak dan tiang seri bagi BN.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam Geng Samudera,

UMNO Johor - Tiang Seri UMNO Malaysia
Rakyat Johor - Jantung Hati BN selain Serawak dan Sabah.

Undi rosak tertinggi di Johor PRU ke 12 apa maknanya? Adakah UMNO Johor kekal sebagai tiang seri dan rakyat Johor kekal sebagai si jantung hati?