Tuesday, May 26, 2009

Biarlah Chin Peng Mati di Thailand.



Saya pernah berjumpa dengan Allahyarham Rashid Maidin di Kampung Sungai Itik, Gopeng dalam tahun 1990an. Anak saudara Allahyarham Rashid Maidin adalah bapa saudara saya yang berkahwin dengan emak saudara saya sebelah bapa. Pada masa itu, bapa saudara saya itu bertugas di Johor dan saya menetap di kampung Rapat Setia Ipoh. Pada suatu hari, satu kereta daripada Johor iaitu bapa saudara saya dan mak saudara saya serta ayah dan ibu saya telah datang ke rumah saya di Ipoh.

Selepas makan malam katanya nak ajak saya ke Kampung Sungai Itik. Saya masih tidak tahu lagi apakah tujuan mereka ke Sungai Itik, Gopeng malam nanti. Memang tidak menimbulkan tanda tanya kepada saya kerana Kg. Sungai Itik adalah kampung asal bapa saudara saya dan masih ramai saudara maranya di sana. Selepas makan dan berbual-bual sebentar, kami bersiap-siap ke Kg Sg.Itik. Sebuah kereta daripada Johor dan sebuah kereta lagi saya dan isteri.

Kampung Sungai Itik seperti biasa saja dan tidak ada peristiwa ganjil yang berlaku. Cuma kelihatan beberapa gerombolan yang membawa andang berjalan di dalam kampung. Kami menuju ke sebuah rumah salah seorang saudara terdekat bapa saudara saya. Setibanya di rumah makanan sudah siap terhidang di atas meja. Kebanyakkannya makanan tradisional Perak seperti ikan talapia masak lemak dan ada juga ulam-ulaman dan tempoyak.

Sebelum itu, kami berbual-bual dengan tuan rumah dan beberapa orang kampung. Sedang berbual keluar seorang lelaki yang cerah kulitnya dan tinggi lebih kurang 5' 5" keluar daripada bilik dan tersenyum sambil bersalam dengan semua tetamu. Ada yang bangun memeluk , ada yang bersalam mencium tangannya dengan penuh hormat. Orang ini pernah saya lihat ketika siaran langsung di TV satu ketika dulu dan di dada-dada akhbar ketika tahun 1989, Perjanjian Haadyai yang telah ditandatangani di Thailand . Seingat saya Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah Allahyarham TS Megat Junid dan Ketua Polis Negara adalah Tun Hanif Omar. Dalam perjanjian itu, Chin Peng, Rashid Maidin dan lain-lain telah bersetuju meletakkan senjata.

Malam itu, Rashid Maidin yang saya lihat di TV dan cerita-cerita dalam buku-buku sejarah sudah berada di hadapan mata saya. Masih tegap tubuhnya yang agak berisi dan giginya yang tersusun rapi tetapi kekuning-kuningan. Mungkin memakan banyak daun-daun hutan ketika berjuang dengan PKM dulu, bisik hati saya. Saya telah diingatkan oleh saudara maranya supaya tidak bertanyakan soalan-soalan berkaitan kegiatan silamnya di dalam PKM.

Saya mendapat tahu daripada saudara maranya kepulangan Rashid Maidin ke kampung Sg.Itik selama lebih kurang 2 minggu adalah atas ehsan Allahyarham TS Megat Junid yang ketika itu adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri. Khabarnya adik Allahyarham Rashid Maidin ada menjadi senator di Teluk Intan pada masa itu. Sudah lupa saya namanya. Malam itu seperti biasa, kami berborak hal-hal biasa tetapi kami banyak memberi peluang kepada saudara mara Allahyarham untuk berbual bertanya khabar, maklumlah saya diberitahu Allahyarham telah meninggalkan kampung sejak 1941.

Ada beberapa perkara yang ingin saya tanyakan tetapi berat mulut saya untuk bercakap. Memang saya pernah dengar daripada bapa-bapa saudara saya yang bertugas sebagai Askar dan polis hutan berkenaan dengan Allahyarham. Paling menarik adalah ceritanya semasa dalam PKM, Allahyarham sering balik ke Gopeng tetapi apabila polis cuba menangkapnya Allahyarham akan ghaib. Ini termasuklah cerita Allahyarham telah balik ke Gopeng untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah ibunya tetapi selepas itu orang ramai mendapati Allahyarham telah ghaib secara tiba-tiba.

Malam itu, saya memberanikan diri bertanya. 'pak cik, sejak pak cik meninggalkan kampung dari tahun 1941, berapa kali pak cik balik ke Gopeng ni?' tanya saya dengan suara yang tersekat-sekat. Umur saya ketika itu dalam lingkungan 26 tahun. Serius mata Allahyarham memandang saya sehingga membuatkan jantung saya bergerak pantas.' Tak pernah! Tak pernah! walau sekalipun. Inilah kali pertama saya balik ke Gopeng selepas saya keluar kampung dahulu. Itu semua fitnah. semua itu nak menyusahkan keluarga saya di sini' perlahan saja suaranya tetapi tegas menafikan cerita-cerita yang tidak betul terhadap dirinya.

Saya puas mendengar jawapan itu walaupun ringkas. Sebelum balik saya sempat bergambar berdua dengannya dan bersama-sama dengan keluarga yang lain. Saya pegang erat tangannya, tangan seorang pejuang bagi pendokong fahaman yang diikutinya. Mungkin juga tangan seorang penderhaka seperti mana yang saya baca dalam buku-buku sejarah.

Selepas 6 tahun saya pulang ke Johor iaitu pada 1 September 2006 berita di TV memberi tahu bahawa Tuan Haji Rashid Maidin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Sisakoin, Narathiwat, selatan Thailand (dirumah anak perempuannya).Tuan Haji Rashid Maidin meninggal dunia kerana sakit tua pada umur 89 tahun. Solat jenazah dan pengkebumian telah dilakukan selepas solat Jumaat.

Sepatutnya Allahyarham Rashid Maidin bekas pemimpin Regimen ke-10 PKM yang dibawa balik dahulu. Selain Rashid, rakan-rakannya yang lain seperti Abdullah CD, Suriani Abdullah dan Shamsiah Fakeh semuanya meninggal dunia di luar Malaysia. Jadi apa hebat dan istimewanya Chin Peng? Semua rakan-rakannya tidak dapat balik ke Malaysia. Walhal Rashid Maidin sangat rindu kampung halamannya. Biarlah Chin Peng menghabiskan masa tua dan sisa-sisa hidupnya di Thailand malah biarlah dia mati di "Perkampungan Malaysia" di sempadan Selatan Thailand.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Rashid Maidin.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.com

14 comments:

Geng Samudera said...

Salam Pak Amir,

Saya membantah 110% kepulangan Chin Peng ke Malaysia walau apa jua alasan sekalipun.
Sebagai generasi pertengahan dan akan datang,saya tak mahu Chin Peng dikenang sebagai pejuang sebagaimana juga dgn Lee Kuan Yew.!!! (walaupun tiada kaitan).Go hell....

Dia bakal memberikan motivasi secara tak langsung kepada kaumnya untuk terus berjuang mendirikan prinsip komunisme era moden....
Jadi sekali lagi saya bantah!!..Berikan saya 1 sebab yg paling konkrit kenapa dia patut dibenarkan masuk...(kpd yg nak dia masuk)

Samudera

ikan emas said...

Belum dpt dibawa balik pun dah macam-macam rancangan,syor dan tindakan-tindkan dari golongan tertentu..semuanya menjurus ke arah gangguan keamanan dan keselamatan negara.

Tiada tempat bagi mereka di negara ini!Dah dibagi tempat kat sempadan tu pun kira baik, nasib tak mati dalam hutan lagi.

WARIS PAHANG said...

Saya baru sahaja sedekahkan Alfatihah kepada Allahyarham.

Bukan makna simpati tetapi sebagai orang Islam kita diminta mendoakan orang Islam yang telah pergi kerahmatullah supaya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Kita tidak dapat memaafkan beliau kerana bersubahat dengan Komunis membunuh orang Melayu.

Anonymous said...

SALAM ZIARAH TUAN RUMAH
BYK PIHAK X STUJU JIKA CHIN PENG DIBENARKAN BALIK. SAYA SENDIRI AKAN BANTAH SEKERAS2NYA!!!. SEJARAH HITAM DAH TERPAHAT DI SETIAP SANUBARI RAKYAT PASCA PEMERINTAHAN BRITISH. JADI JGN PULAK MEREKA NAK CUBA2 NAK BERMAIN API

zedmagel said...

Bro Amir,

Biar lah Chin Peng mati di Siam sahaja. Tak payah nak balik-balik ke Malaysia. Dulu dia yang lari masuk hutan bukan orang suruh pun. Itu pun dah beruntung kerajaan BN dah bagi tanah pada kominis semua. Kalau ikutkan hati anak buah dia yang dah banyak membunh rakyat termasuk anggota polis Bukit Kepong memang tak akan diampunkan pun dosanya oleh kami semua.

keris panjang said...

Salam,

Saya sokong 100% chin peng "dibawa" balik ke malaysia TETAPI untuk menjalani HUKUMAN MANDATORI GANTUNG SEHINGGA MATI kerana jenayah2 yang telah dia lakukan..jika dia nak jadi hero sangat, dia kerana berani menghadapi hukum karma ini..

sangguna said...

keris panjang,
aku tak sokong kau, bg aku mampos pun dia tak blh blk sini.
klu ikut sejarah ramai melayu terperangkap dgn komunis waktu awal kewujudan gerakan ni, yg dikenali sebagai
mpaja, malayan people anti japanese army, tapi bila jepun kalah gerakan ni yg majority di pelopori oleh org cina telah mewujudkan pkm, itu le sebab ada melayu dlm pkm ni.
tapi apa2 pun chin peng ni takpayah le bwk blk.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Geng Samudera,

Terima kasih kerana masih ada orang muda yang lahir selepas merdeka turut merasai keperitan yang dihadapi oleh generasi terdahulu. Inilah yang dinamakan 'penghayatan' yang mendalam walaupun pengalaman ngeri dan pahit getir itu tidak dirasai sendiri.

Walauapa pun terima kasih kerana sudi berjumpa saya dan zedmagel di Pelican Hotel Batu Pahat petang tadi. Perbincangan kita sangat memberi manafaat dan saya dapat merasai apa yang difikirkan oleh generasi muda. Jarak umur antara kita bukan penghalang untuk kita meluahkan pendapat dan pandangan masing-masing.

Tapi saya terkilan kerana tidak dapat belanja Geng Samudera sebagai tetamu saya petang tadi. Insyaallah di lain masa giliran saya untuk 'sponsor'. hehehe.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam ikan emas.

Sepanjang zaman darurat…

Sejumlah 2,473 orang awam dibunuh oleh komunis dan 1,385 orang dicederakan.

Sejumlah 1,865 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 orang dicederakan.

Atas alasan inilah Kerajaan Malaysia tidak membenarkan Chin Peng kembali kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puashati mangsa dan keluarga mangsa yang terkorban masa zaman darurat dulu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Waris Pahang.

Terima kasih kerana sedekahkan Alfatihah kepada Allahyarham.

Kemarahan saudara mungkin bersandarkan beberapa sebab dan ianya adalah hak peribadi saudara.

Hanya orang yang merasai dan menyelami serta empati yang tinggi terhadap keperitan dan kesengsaraan akan berasa cukup terasa dan sensitif apabila membicarakan isu ini.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Jeffry.

Terima kasih atas bantahan. Hati Melayu sekali lagi dicalar dan dihiris bak sembilu apabila mereka menuntut Chin Peng dibenarkan tinggal di Malaysia.
Tuntutan mereka sekali lagi menguji kesabaran Melayu. Bahkan ianya satu penghinaan malah orang Melayu dan Islam yang menyokong adalah pengkhianat kepada bangsa sendiri semata-mata mahukan populariti dan menagih undi bukan Melayu dalam pilihanraya akan datang.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam bro zedmagel.

Betul bro. Mereka kan ambil semua kesempatan kerana politik Melayu sedang berada di tahap paling lemah.
Hari ini mereka menuntut Chin Peng dibenarkan tinggal di Malaysia, satu hari nanti mereka akan menuntut sebuah negara Republik dan membuang raja-raja kerana dalam banyak perkara raja-raja telah menjadi penghalang besar untuk mereka berkuasa.
Malang bagi kita bro, kerana masih wujud lagi Si Kitul dan Raja Mandeliar dalam masyarakat Melayu. Masih ada ramai lagi Sang Rajuna Tapa yang membuka pintu kota bagi membolehkan musuh masuk ke dalam kota dengan dendam kesumat yang membara kepada Raja sehingga Singapura jatuh ke tangan Majapahit.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

salam keris panjang

Pelaksanaan Perjanjian Haadyai
Selepas perjanjian tersebut dimeterai :

* Kira-kira 1188 anggota pasukan keselamatan bersenjata PKM yang berada di hutan sempadan Malaysia - Thailand akan keluar dari hutan dan memulakan hidup baru.

* Di hutan Malaysia - Thailand terdapat 694 rakyat Malaysia, Indonesia, Singaputa dan 2 bekas anggota tentera Jepun.

* terdapat 330 ahli PKM pulang ke tanahair

* Kerajaan Malaysia berjanji untuk membayar subsidi kehidupan sebanyak RM8,000 sekembali ke Malaysia dan wang saranan hidup sebanyak RM300 untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di tanahair

Memadailah apa yang telah kita bagi. Dah bagi betis nak peha pulak

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam sangguna.

Mungkin kerana perkara-perkara di bawah ini yang menyebabkan saudara tidak mahu melihat Chin Peng malah memandang kuburnya pun saudara tak sudi.

Serangan komunis ke atas orang awam

- 1 September 1948, 12 orang Melayu yang sedang membersihkan rumput di Estet Chan Kang Svee, Segamat, Johor, ditembak oleh komunis.

- 29 September 1948, seorang gembala lembu India ditembak oleh komunis di Tapah, Perak.

- Julai 1949, di Cameron Highlands, Pahang, komunis membunuh Orang Asli yang sedang bekerja di kebun getah

- 8 Jun 1950, komunis melemparkan bom tangan ke dalam sebuah kedai runcit di Nibong Tebal, Seberang Prai

- 27 Februari 1951, serangan bom tangan di Panggung Wayang Wah Lok, Sungai Siput, mengakibatkan 3 orang mati dan 13 cedera

- November 1952, enam orang komunis menyerbu sebuah kampung Melayu di Negeri Sembilan

- 25 Ogos 1954, dua mandur Estet Dovenby, Sungai Siput berbangsa India dibunuh komunis

- 9 Mac 1955, 12 orang komunis membunuh 4 orang Asli di Sungai Landor, Ipoh

- 26 Julai 1948, Kampung Pantai Remis, Sitiawan musnah dibakar komunis. 500 penduduk kehilangan tempat tinggal

- 4 Februari 1950, Kampung Simpang Tiga, Perak musnah dibakar komunis. 2 nyawa terkorban. 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal

- 22 November 1950, Kampung Bukit Selambu, Sungai Petani musnah dibakar komunis. 1 nyawa terkorban. 200 penduduk kehilangan tempat tinggal

- 2 Mac 1951, komunis membakar sebuah kampung, sekolah dan 31 buah rumah kedai di Kulim, Kedah

Serangan komunis ke atas anggota pertahanan

- 8 Mac 1949, komunis menyerang sebuah jip tentera di selatan Kajang, Selangor

- 22 Februari 1950, komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong. 23 anggota polis dan keluarga mereka terkorban

- 21 Februari 1952, sebuah kenderaan polis diserang hendap oleh komunis di kawasan Taiping, Perak. 5 anggota polis cedera parah.

- 18 Oktober 1954, Balai Polis Chuan Seng di Pontian, Johor musnah dibakar oleh komunis. 4 anggota polis terkorban dan 7 cedera parah

Serangan komunis ke atas sistem pengangkutan

- Sebanyak 197 kejadian komunis menggelincirkan kereta api, 172 kali kereta api ditembak dan 19 buah stesen
kereta api dirosakkan oleh komunis. 45 orang penumpang terbunuh dan 176 orang cedera. 18 orang kakitangan
kereta api terbunuh dan 42 orang cedera.

- komunis membakar dan memusnahkan 208 kenderaan pada tahun 1951 dan 97 kes pada tahun 1952.

- 18 Ogos 1948, komunis menahan sebuah bas di Kampung Luas, Kroh, Perak. Seorang penumpang dibunuh.

- 9 Ogos 1951, komunis merompak penumpang teksi dan membakar lori di Mersing, Johor.

- 21 September 1952, komunis merompak sebuah kereta di Jalan Bentong

- 26 Disember1953, sebuah bas dirompak di Ipoh, Perak.

- 10 Jun 1954, komunis merompak sebuah bas, tiga buah kereta dan sebuah lori di Yong Peng, Johor