Friday, October 23, 2009

EGM PAS : Agenda Tersurat Tersirat Nik Aziz



Ketika semua mata tertumpu kepada krisis di dalam MCA, masalah dalaman MIC dan pindaan perlembagaan UMNO rupa-rupanya PAS juga menghadapi masalah yang serupa. Walaupun krisis di dalam parti itu 'disembunyikan' daripada pandangan umum umpama 'api dalam sekam' tetapi akhirnya terbongkar apabila Nik Aziz mencadangkan agar parti itu mengadakan muktamar agung khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah".

Walaupun rata-rata kepimpinan tertinggi PAS adalah terdiri daripada golongan ulamak dan profesional yang berlatar belakangkan pendidikan Islam tetapi selagi ianya digolongkan di dalam golongan ahli politik ianya tidak lari daripada berlaku pertelingkahan, permusuhan, perseteruan, krisis dan ketidakpuasan hati. Ahli-ahli politik selalunya mengejar kepada kuasa dan pengaruh. Oleh itu adakah cadangan Nik Aziz ini benar-benar untuk menegur pucuk kepimpinan parti atau mendisiplinkan ahli parti? atau untuk mengejar kuasa dan melebarkan pengaruh dirinya dan kumpulannya?

Seperti yang ditulis di dalam blognya Tok Guru.com, Nik Aziz berkata, “Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.” Katanya lagi “Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

Kenyataan ini dengan jelas wujudnya krisis yang berat antara Mursyidul Am dan Presiden Parti. Meletakkan Hadi seperti Abdullah menunjukkan Nik Aziz mahukan perwakilan PAS melakukan seperti mana pemimpin dan perwakilan UMNO lakukan terhadap Pak Lah. Nik Aziz juga mengharapkan sesuatu daripada ahli, perwakilan dan pemimpin PAS agar mendesak Hadi meletakkan jawatan atau mahukan perwakilan membuat undi tidak percaya kepada Presiden itu. Dahulu mereka mentertawakan UMNO kononnya pemimpin-pemimpin 'bergocoh' sesama sendiri namun perkembangan mutakhir yang berlaku di dalam PAS umpama menepuk air di dulang ,merecik ke muka sendiri.

Krisis yang tidak boleh disorok lagi antara Mursyidur Am dan Presiden itu terserlah dengan komen Nik Aziz berkenaan perbandingan antara Azizan Razak di Kedah dan kepimpinan Hadi di Terengganu. Nik Aziz berkata, “Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

Maka tidak hairan jika ada yang berpendapat cadangan mengadakan Muktamar Khas ini adalah satu usaha untuk memecat atau menggulingkan Hadi daripada jawatan Presiden. Kemarahan Nik Aziz ini mungkin ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan. Nik Aziz dengan nada marah menulis," Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?"

Nik Aziz mungkin juga merasakan Muktamar Khas ini boleh digunakan untuk menyingkirkan beberapa pemimpin yang difikirkannya bermasalah supaya PAS akan bertenaga kembali menjelang PRU ke 13. Kekalahan di Bagan Pinang baru-baru ini 'menakutkan' Nik Aziz kerana kelemahan kepimpinan PAS yang ketara dan kemerosotan pengundi di Bagan Pinang dan Manek Urai perlu di'post mortem' supaya tidak mendatangkan 'kecelakaan' kepada PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya dalam PRU ke 13 nanti. Kebimbangan ini terpancar daripada kata-katanya,"Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat.Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah"

Ada juga pemerhati politik melihat cadangan ini sebagai satu platform untuk melunas 'dendam'nya di atas kekalahan kumpulan Erdogan yang diketuai oleh Husam Musa dalam pemilihan parti itu Jun lalu. Husam Musa, antara yang tewas kepada Nasaruddin dikaitkan dengan kumpulan itu yang pro kepada Anwar Ibrahim. Semua pemimpin PAS tahu, Husam adalah bintang kesayangan Nik Aziz dan Menteri Besar Kelantan itu tidak dapat menerima kekalahan Exco kerajaan negeri itu.

Kali ini kita dapat membandingkan antara pemimpin-pemimpin UMNO yang benar-benar mahukan UMNO berubah sehingga terpaksa membuat beberapa pindaaan di dalam perlembagaannya semata-mata mahu melihat kepada kekuatan parti dan kepentingan rakyat keseluruhannya. Manakala cadangan Nik Aziz ini benar-benarkah mahu mengembalikan perjuangan PAS kelandasannya yang asal atau kerana hendak menjatuhkan seorang Presiden atau kerana dendamnya yang tidak berkesudahan apabila orang-orangnya ramai yang kecundang dalam pemilihan partinya pada Jun lalu.

Baca di sini. Satu ulasan yang menarik.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

11 comments:

Media Cyber said...

Nik Aziz buat apa sekali pun ... tidak akan ada yang dapat berubah .. tetap sama .. tidak akan mampu kembali ke landasan asal... melainkan nik aziz tu pergi dari PAS sendiri.. baru semuanya berubah.

Arif Omar said...

TERBAKAR RUMAH NAMPAK ASAP , TERBAKAR HATI SIAPA TAHU

buah kelapa turkey said...

Tu lah dulu ngata orang, ngata org UMNO,gila kuasa leh...dan banyak lagi lah. apa, dia fikir pas tu betul semua ke...? Podah lah pas. pakai aja serban, tapi hati pun lebih teruk dari org umno.

Jeffry said...

SLM BRO...WELKAM BECK..NAMPAKNYA PAK AJIS TERANG2 MENYOKONG AZIZAN DGN ISU PENJUALAN ARAK SECARA TERBUKA DI KEDAH. SEKALI AZIZAN BERDEHEM KAT PEMUDA PAS TERUS TEKUCIL MCM TIKUS. HEBAT BTUL AZIZAN NI KEHKEHKEH

adf55650 said...

Salam,
Pelik jugak PAS ni, isu arak antara PAS melawan DAP serta PKR. Yg beriya nak jual arak secara terbuka ni, DAP dan PKR. Bila Hassan Ali dan Hadi menentang, kenape dikatakan PRO UMNO pulak. Adakah bermaksud PAS sendiri menyokong arak?
UMNO mmg sebelum ini xpernah sokong penjualan arak secara bebas?

he he seronok jugak kacau orang2 biul ni.

anas afrohead said...

kalau nik aziz sendiri yang berundur dari PAS, saya rasa PAS akan lebih teratur.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Media Cyber,
Nik Aziz tak akan pergi jika dia tidak dapat pastikan anak emasnya mendapat tempat semula di dalam PAS. Husam dan kumpulan erdogen tetap akan menggunakan pengaruh Nik Aziz untuk dia kembali bertapak.

Salam bro Arif Omar,
Memang Nik Aziz terbakar hati kerana Husam kalah dan kebanyakan tempat untuk wakil Kelantan telah bungkus dalam pemilihan muktamar PAS yang lalu

Salam buah kelapa turkey,
Paku dulang paku serpih....setelah berkawan dengan Anwar, kumpulan erdogen saling tak tumpah seperti pemimpin-pemimpin parti sekular yang lain. Pernah ke tengok Husam pakai serban? huhuhuhu......

salam Jeffry,
Siapa yang tak melawan katanya, dia lah sahabat. Kalau melawan arus......siaplah. Macam diktator juga Nik Aziz ni ye.....

Salam adf55650,
Mereka anti kepada Hassan dan Hadi. Apa saja tindakan Hassan dan Hadi akan ditentang supaya mereka berdua nampak buruk. Ini taktik mereka untuk mengurangkan pengaruh Hadi dan Hassan. Prinsip perjuangan tolak tepi dulu yang penting Hadi dan Hassan tak popular dan akan tersingkir. Sekarang bukan masa untuk membicarakan soal prinsip perjuangan PAS. Mereka sebenarnya sudah tidak ada berprinsip tetapi sibuk 'bermain' politik.

Salam anas afrohead,
Nik Aziz sebenarnya dikudakan oleh Husam untuk mencapai cita-cita politiknya terutama sekali jawatan presiden. Husam akan melaga-lagakan Nik Aziz dengan Hadi sehingga pengaruh Hadi merosot. Husam mempunyai 'kuasa beli' yang tinggi untuk beliau mempengaruhi para perwakilan. Tindakan Husam banyak dipengaruhi oleh Anwar dan perkara yang sama telah diggunakan olehnya ketika beliau TPM dahulu sewaktu mahu menjatuhkan Tun M. Mereka juga menggunakan Blogger menghentam Hadi disamping lidah rasmi mereka Harakah. Adakah Hadi dan PAS Terengganu akan berdiam diri?

Selempang Merah said...

Salam bro..
Saya rasa Nik Aziz nk bagi wasiat terakhir.. siapa bakal penggantinya..
Sepanjang kajian saya sejak 11 tahun, UMNO bakal kembali diterima oleh rakyat Kelantan apabila Nik Aziz sudah tiada. Rakyat Kelantan masih mengundi PAS, sebenarnya hanya kerana segan dan amat menghormatinya sebagai Tok Guru. Kelantan tiada calon yang setanding Nik Aziz..sebab itu Nik Aziz terlalu risau..begitu juga apa yang bakal terjadi kepada PAS setelah ketiadaannya nnti.. Jika Nik Aziz tidak mencatas awal2 duri dalam daging PAS, ianya akan memberi kejayaan besar dalam PRU13 kepada UMNO-BN. Maklumlah.., selepas PRU12 adalah musim YB meninggal dunia dan musim Pilihanraya Kecil.. Mari kita tunggu dan lihat. Wallahu A'lam..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam selempang merah,

Saya sebaliknya mendoakan agar Nik Aziz panjang umur supaya dia melihat sendiri apa yang akan berlaku kepada PAS. Saya pun tidak mengharapkan pun Kelantan kembali kepada BN. Suka hati mereka lah......
Saya seronok dengan krisis yang berlaku mutakhir ini. Krisis ini bukan krisis dalam cawan PAS sahaja tetapi ada kaitan dengan Pakatan Rakyat. Ada kaitan antara Anwar-Husam-Nik Aziz. Lawannya adalah pro presiden -Nasha-Hassan yang ingin disingkirkan oleh kumpulan erdogan.
Teruskan Pok Nik.......huhuhu

zedmagel said...

Salam Bro Amir,

Dengar masalah mereka agak serius, sebab tu Pok Nik keluar kenyataan yang bukan-bukan. Lagi pun saya nasihatkan Pok Nik dah boleh bersaralah, sebab dah tua dan dah lama sangat berjasa.

Jadi MB ni penat dan mencabar. Tak penat ke dia?????

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam bro zedmagel,
Kalau rasa penat dan mencabar memang tak leh nak nafikan.....Tapi kemasyhuran, kuasa, keistimewaan, populariti dll sukar nak dilepaskan...