


Sebelum menyertai UMNO, Anwar Ibrahim mempunyai 2 pilihan untuk dipilih sama ada menyertai PAS atau UMNO. Bekas Presiden ABIM itu telah membuat keputusan memilih menyertai UMNO. Antara alasan Anwar yang memukau ialah,'UMNO itu macam tong najis, biarlah dia membersihkan UMNO dari dalam'. Tujuan Anwar memasuki UMNO itu diberitahu kepada rakan-rakan ABIMnya, Fadhil Noor, Harun Din dan lain-lain. Nyata tujuan Anwar itu tidak kesampaian kerana dia sendiri terkena percikan najis itu jika benar UMNO itu bergelumang dengan najis. Adakah Anwar sendiri yang 'bernajis' dan membawa 'najis' itu ke dalam UMNO?
Kalau Hadi Awang sudah tahu UMNO itu jijik dan najis mengapa Hadi dan kunco-kunconya beriya-iya mahukan 'kerajaan perpaduan' di era pemerintahan Pak Lah? Jika mereka berjaya mewujudkan 'kerajaan perpaduan' di waktu Pak Lah menjadi PM, mereka merasakan Pak Lah mudah dipengaruhi dan melalui 'kerajaan perpaduan' itu Hadi berpeluang menjadi menteri. Berbanding dengan jawatan perdana menteri yang ditawarkan oleh Anwar, Hadi lebih yakin dan optimis dengan jawatan menteri jika 'kerajaan perpaduan' yang dicadangkan.
Anwar tidak boleh marahkan Hadi jika Hadi ingin berbaik-baik dengan UMNO.Hadi baru hendak berjinak tetapi Anwar telah bergelumang dengan UMNO berbelas tahun sebelum dipecat. Maka kedua-duanya memang 'teringin' bersama UMNO. Anwar tiada pilihan lain kerana 'pintu' UMNO kepadanya sudah tertutup sementara Hadi masih mengintai-intai peluang. Peliknya, jika UMNO itu jijik dan najis, mengapa UMNO itu masih mencuri perhatian Anwar dan Hadi?
Sementara itu, semasa Seminar PAS yang julung-julung kali diadakan di Markas Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar , sewaktu menggulung hujahnya, Dr Abdul Aziz Bari profesor kontroversi berkata beliau tidak mempunyai bukti atau "ubat" untuk memantapkan PAS."Soal label pro-Umno, masuk Umno (yang dikaitkan dengan isu kerajaan perpaduan), ada atau tidak, tuan kena cari sendiri. Kalau tahu Umno cukup jijik pada PAS, yang pergi dekat, buat apa?" katanya. Beliau juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa perlu ada "korban" dengan menggugurkan beberapa pemimpin kanan dalam PAS - jika mampu, termasuk Abdul Hadi - bagi menyelesaikan konflik dalaman parti Islam itu.
Paling menarik ialah kajian oleh pengkaji politik, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang merumuskan bahawa parti PAS dikatakan sudah ‘hilang bisa’.Antara kajian pensyarah Universiti Malaya itu mendapati sokongan generasi muda dan media baru terhadap PAS merosot selepas pilihanraya umum lalu.
Berdasarkan kertas kerjanya,kajian ke atas 2,100 responden yang dipecahkan kepada tiga peringkat umur mendapati golongan muda yang berumur 21-30 tahun telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan PAS iaitu seramai 633 orang.Sebaliknya hanya seramai 67 responden yang menyatakan pandangan bahawa mereka menyokong kepimpinan PAS.
Bagi golongan kelompok umur 31-40 tahun, seramai 519 orang menyatakan pandangan negatif manakala seramai 181 orang adalah positif."Ini bermakna hanya seramai 181 orang daripada kelompok umur berkenaan menyatakan PAS mampu terus bergerak ke hadapan dengan kepimpinan yang sedia ada," kata Dr Abu Hassan.
Sementara itu, sejumlah 751 orang daripada kumpulan umur 41-50 menyatakan telah hilang sokongan terhadap pemimpin PAS manakala sejumlah 396 responden masih menyokong.
Dalam pada itu, Abu Hassan berkata satu lagi penemuan yang mengejutkan ialah kebanyakan daripada mereka yang menyatakan pandangan negatif terhadap PAS dari kelompok umur 41-50 tahun adalah daripada kawasan pantai timur dan utara. Penemuan itu ternyata bertentangan dengan tanggapan umum selama ini bahawa kawasan pantai timur merupakan kubu kuat PAS.
Kajian Abu Hassan juga turut memfokuskan kepada kempimpinan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, dalam kumpulan umur 21-30 tahun, seramai 493 responden memberikan jawapan negatif manakala seramai 207 responden menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Abdul Hadi.
Manakala bagi kelompok umur 31-40 tahun, seramai 539 orang menyatakan jawapan yang negatif dan seramai 161 orang adalah positif.
Selain itu, dikalangan responden yang berumur 41-50 tahun, seramai 383 orang menyatakan pendirian tidak menyokong dan 317 respon adalah sebaliknya.
Jelas Abu Hassan, pendirian yang agak seimbang bagi kelompok umur 41-50 tahun menunjukkan golongan tersebut lebih berpengalaman dalam politik."Namun dua generasi yang lebih muda (21-30 tahun dan 31-40) kelihatan sangat agresif dan bergantung kepada tanggapan semata-mata," katanya. Daripada kajian ini juga menunjukkan prestasi buruk Presiden parti.
Sementara kedengaran suara-suara perwakilan yang mempertikaikan 'tahaluf' (kerjasama politik) antara parti itu, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ada perwakilan yang mahu pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu dan tidak kurang pula ada yang berkata sanggup menggugurkan pemimpin mereka asalkan tidak wujud sistem dua parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
Ucaptama Presiden PAS Hadi Awang hanya menyatakan parti itu mahu mengukuhkan kerjasama dan pada masa yang sama membayangkan PAS sebagai sebuah parti yang mampu berdiri sendiri. PAS menurut Abdul Hadi paling berpengalaman dan bukan saja mampu menjadi pembangkang secara bersendirian tapi juga mentadbir negeri bersendirian.Pandangan sedemikian boleh ditafsir sebagai mesej tersirat kepada rakan dalam pakatan bahawa PAS sebenarnya tidak memerlukan DAP dan PKR untuk menang pilihan raya.
Pendek kata, seminar yang bertujuan untuk mengembeling dan menjana kembali semangat ahli-ahli PAS yang luntur supaya kembali mekar dan berkobar seperti yang diharapkan oleh Nik Aziz berakhir dengan Pi Mai Pi mai tang tu juga. Seminar itu hanya dilihat sebagai tiada satu kata putus kecuali pendedahan yang dibuat oleh Dr Abu Hassan bahawa golongan muda dah mula menyampah dengan PAS.
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com