Saturday, March 6, 2010

Masing-Masing Ada 'Sampah'....



Apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang keluar dari PKR dan masuk UMNO, maka berbunyi lah orang mengatakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang itu sebagai 'sampah' tetapi 'mutiara' bagi UMNO. Secara kasarnya memang benarlah kenyataan itu, sebab sesuatu yang sudah tidak berguna lagi atau pun sudah mahu dibuang dianggap sebagai sampah.

Mana-mana parti politik pun tidak akan menolak mana-mana individu yang ingin menyertai parti selagi ianya mengikut syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh parti. Seingat saya, UMNO bukanlah sebuah parti 'pendendam' dan tertutup, malah di dalam sejarahnya UMNO akan menerima semula ahli-ahlinya sama ada ahli yang pernah dipecat, ahli yang keluar dengan sendiri atau ahli-ahli yang pernah dihukum.

Tun Mahathir pernah dipecat di zaman Tunku Abdul Rahman kerana mengkritik pentadbiran Tunku tetapi diambil semula di zaman Tun Abdul Razak. Tun Mahathir sendiri pernah berkata yang penting bukannya individu atau pemimpin tetapi parti yang lebih utama kerana pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Tun Mahathir sekali lagi keluar daripada UMNO kerana tidak puashati dengan pentadbiran dan rasuah politik di zaman Tun Abdullah tetapi masuk semula UMNO setelah Najib menjadi PM.

Tengku Razaleigh dan kawan-kawannya pernah bersama parti Semangat 46 tetapi akhirnya rujuk semula kepada UMNO dan Semangat 46 pun telah lama berkubur. Namun jasa Parti Semangat 46 kekal hingga ke hari ini kerana PAS masih kekal memerintah Kelantan sejak pilihanraya 1990 apabila PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah berjaya mengalahkan BN dalam pilihanraya tahun tersebut.

Ezam Mohd Noor, 'Singa' Parti Keadilan rakyat yang mengutuk UMNO siang dan malam juga diterima menjadi ahli UMNO semula setelah hilang kepercayaan dengan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat. Sejak 1998 hingga 2010 menyaksikan berpuluh-puluh pemimpin utama PKR yang telah berhijrah parti atau pun menjadi Bebas. Pendek kata kebanyakan pemimpin-pemimpin PKR silih berganti dan rata-rata pemimpin PKR sekarang adalah muka baru kecuali Azmin Ali dan Wan Azizah.

Kemasukan Mohamad Fairus yang pernah menjadi 'penjilat' Anwar ke dalam UMNO bukan sesuatu yang pelik dan anih. Memang begitulah kehidupan ahli-ahli politik bagi meneruskan survival politik mereka supaya terus berada dalam arus perdana politik tanah air. Apabila kemasukan seseorang itu ke dalam sesuatu parti atau keluar daripada parti sudah barang tentu banyak 'cerita-cerita' yang dulunya rahsia, kini terbongkar satu demi satu.

Jikalau beliau masuk ke dalam UMNO ada sebabnya dan keluar daripada PKR juga ada sebabnya. Paling seronok ialah sebab-sebab yang diberikan oleh bekas kawan-kawannya dalam parti PKR. Antara dakwaan terhadap Fairus ialah beliau ada membuat tuntutan melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar RM15,000 sebulan buat selama-lamanya. Pada pandangan mata umum, UMNO lah yang menyelesaikan masalah Fairus sehingga beliau sanggup menjilat kahaknya semula kerana kesempitan dan tersepit dan sudah tentu Fairus akan melakukan sesuatu untuk UMNO sebagai membalas jasa UMNO itu. Itulah andaian yang berlegar-legar di kalangan masyarakat awam.

Kemarahan penyokong PKR terserlah apabila mengatakan bahawa projek melompat parti ini adalah hasil kerja pimpinan Umno yang didalangi oleh bekas pemimpin PKR sendiri, yang sentiasa berhubung dengan pemimpin Umno. Penulis ini yakin bahawa sekarang ini adalah masanya bagi pemimpin Umno atau bekas pemimpin PKR menuai hasil ternakan mereka.
Maksudnya, bekas-bekas MP PKR (yang melompat keluar parti) ini telah diternak lama oleh tauke mereka dan selama ini diberi makan percuma sehingga sampai ke tahap 'matang'.
Adalah menjadi satu syarat wajib 'contract farming' bahawa hasil ternakan yang dibiayai sepenuhnya oleh tauke apabila sudah matang, akan 'dibeli balik' atau hasil ternakan itu 'mesti dijual' kepada pembiaya! Oleh itu, tidak hairanlah apabila diberitakan yang mereka kembali kepada Umno atau melompat parti sebagai MP bebas! Adalah diharapkan agar MP Pakatan Rakyat supaya elakkan diri daripada diternak, dibiayai dan dibeli balik (dijual) dengan harga yang murah! Harga diri MP Pakatan Rakyat bukanlah sebegitu rendah bagaikan harga binatang ternakan. (http://www.malaysiakini.com/letters/125631)

Saya boleh terima bahawa Mohamad Fairus itu dianggap sebagai 'sampah' dan beliau memang 'sampah politik' pun. Nasib baik ada UMNO yang 'kutip', kalau tidak jadilah 'pengemis politik'. Namun apa kurangnya dengan pihak sebelah sana yang menerima 'sampah-sampah' daripada UMNO dan MCA misalnya. Apa kurangnya dengan Zaid Ibrahim dan Chua Jui Meng, bukankah mereka ini juga sampah bagi parti masing-masing dan mutiara bagi Pakatan Pembangkang?

'Sampah' yang paling kotor sudah tentu daripada ketua pembangkang mereka sendiri. Bukankah Anwar 'bapak segala sampah' jika hendak diikut istilah yang diguna pakai sebagai ahli politik yang tersisih. Anwar dipecat atas salah laku dan telah pun dihukum atas kesalahan tahun 1998. Kesalahan terbaru masih dalam perbicaraan. Bagi berlaku adil, maka kita boleh simpulkan bahawa 'sampah politik' ini memang ada di mana-mana. Tidak adil lah jika dipihak kerajaan diperlekeh kerana mengutip ahli politik yang melompat sedangkan di pihak mereka apa kurangnya.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

7 comments:

Selempang Merah said...

salam bro amir..

Sememangnya sudah menjadi lumrah iklim berpolitik. Adakalanya ribut petir, atau hujan panas, atau mendung, atau cerah dan seumpama dengannya.

Bangsa bukan Melayu tetap sama perjuangan mereka dari dulu, kini dan selamanya untuk membela bangsa pendatang mereka walaupun berlainan parti sama ada di dalam MCA, MIC, DAP, PKR dsbnya.

Orang kita bagaimana ? UMNO dari dulu, kini dan selamanya akan memperjuangkan bangsanya Melayu dan Islam.

PAS pula, perjuangannya hanya untuk Islam dan bukan kepada bangsa Melayu. Namun kini PAS telah tersasar jauh dari landasannya. Maka, boleh dikatakan sebagai Parti Ajaran Sesat dalam istilah berpolitik.

Manakala PKR lebih memperjuangkan pemimpinnya Bang NoWar yang tk habis2 dgn kes "Liwat"nya. Namun tiada kesudahan. Semakin hari PKR bakal karam bagaikan kapal Titanic yang nampak hebat pada awalnya dan akhirnya bakal karam dalam masa terdekat.

So, mengenai sampah-sampah politik ni..ialah; kita atau pimpinan tertinggi UMNO khususnya mestilah menanamkan semangat jati diri kepada semua ahli UMNO. Walau bagaimana keadaan sunami yang datang melanda, semangat mempertahankan UMNO/BN mesti teguh. Jika pemimpin tertinggi tidak betul, ada caranya untuk kita memperbetulkannya. Kalau tidak boleh diperbetulkannya, kita gantikan orang lain yang lebih baik darinya. Janganlah sampai kita keluar parti.

Apa yang saya perhatikan, jika berlaku sesuatu isu dalaman.. maka akan wujud mahu keluar parti dan masuk parti baru seolah-olah giler kuasa dengan harapan masuk parti baru boleh dapat jawatan yang lebih baik dari parti sebelumnya.

Ingatlah, perjuangan UMNO/BN bukanlah mengejar pangkat dan harta, tetapi kita mestilah ikhlas memperjuangkan nasib bangsa kita di buminya sendiri dan Islam sebagai agama yang kita anuti. Jika bukan kita yang memperjuangkannya, siapa lagi yang boleh kita harapkan ? Takkan kita nak harapkan Karpal Singh, atau Lim Guan Eng, Lim Kit Siang atau tali barut penjajah Bang NoWar ?

Ingatlah, "Fikir Sesaat Adalah Lebih Baik Daripada Hidup Seribu Tahun" yang membawa kehancuran kepada agama, bangsa dan negara jika hanya mengikut hati, rasa dan nafsu.

wALLAHu a'lam.

hilbert said...

Salam sejatera brader Amir,

bagus sekali posting ni..cukup rempah-ratusnya...

diharap mereka yang pernah terpedaya oleh penipuan Anwar akan kembali semula kepangkal jalan, ikut Fairus, Zahrain, Mohsin, Zulkifli, Chandra Muzaffar, Ezam Mohd Nor dan ramai lagi..dan orang UMNO dan BN harus terima mereka ini dengan minda yang terbuka..

ustazSAID said...

Salam, Sampah paling kotor tentulah sampah yg Karpal suruh btaubat...klu x takkan org kafir pun nak suruh btaubat!

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Selempang Merah,
Benar kata saudara, 'Fikir sesaat lebih baik daripada hidup 1000 tahun'.Dalam keadaan sekarang orang Melayu terlalu mengikut emosi sehingga hilang pertimbangan. Masih membutakan mata dan hati dengan kepincangan yang berlaku di pihak pembangkang. Mereka ini kebanyakkannya sudah menjadi penyokong tegar yang susah untuk diajak berunding.

Harapan kita cuma kepada mereka yang tidak berparti, bebas dan terbuka tetapi keluar mengundi ketika pilihanraya. Insyaallah mereka ini agak lebih rasional.

Kalau marahkan nyamuk kenapa perlu bakar kelambu. Marahkan seorang dua mengapa mahu sampai menghancurkan bangsa dan agama. Adakah penganti yang dipilih itu lebih baik atau sekurang-kurangnya sama baik dengan keadaan sekarang. Apakah jaminan untuk kita sandarkan jika Perak, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor tidak mencerminkan keadaan politik yang stabil dan selamat?

Memang benar, jika seseorang yang keluar daripada parti setelah tidak sehaluan dengan kepimpinan parti akan dikritik tetapi mereka juga berhak untuk menjadi lebih baik setelah tidak mahu bersekongkol dengan parti yang mengecewakan mereka. Tidak salah untuk keluar parti kerana Ibrahim Ali pernah berkata, tidak mengapa keluar parti, bukannya keluar agama......hehehe

Salam sejahtera hilbert,
mmm....UMNO boleh terima Ezam tetapi untuk memberi jawatan kepadanya agak terlalu awal. Ezam pun tentunya bukan tujuannya memasuki UMNO kerana jawatan...kalau dia gilakan jawatan tentu lebih baik duduk dalam PKR. Namun ada diantaranya seperti Lokman Nor Adam sudah dapat menyesuaikan diri dalam UMNO dan sudah ada jawatan pun. Tengku Razaliegh bekas Presiden S46 tak ada apa yang dapat kecuali cuba menawarkan diri bertanding Presiden parti. Ianya berbeza dengan Rais Yatim dan Sabbery Chik yang sudah dapat jawatan menteri. Saya rasa Fairus pun belum tentu mendapat tempat....sekadar menjadi ahli pun sudah memadai....kerana masih ramai lagi ahli parti yang setia belum diberi peluang menjadi pemimpin.

Salam ustazSAID,
Mamat tu masih tak mengaku bersalah dan penyokongnya masih melihat dia seperti kain putih. Hanya musuh-musuhnya sahaja yang memandang sinis kepadanya. Dahulu Karpal suruh dia bertaubat tetapi kerana wang hari ini Karpal membela orang yang dituduh melakukan salahlaku moral pada tahun-tahun 90an dahulu. Dunia dah nak terbalik......

zedmagel said...

Salam Bro,

Semua parti politik tanah air bersampah, balik-balik fikir insan lebih tertarik kepada sesuatu yang indah,muluk, mulus dan membahagiakan. Tepuk dada tanya selera. Berpaling bukan berti kita tidak menjeling lagi. Tapi jika setia kita diperkudakan buat apa?

mukhtar said...

Kan yang suka melompat tu - katak.

Ada macam-macam katak - katak puru,katak unjun, katak pisang dll. Ini katak............

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Zedmagel dan Mukhtar...
Inilah yang mewarnai politik Malaysia..