Thursday, September 10, 2009

Samy Berhenti Dan Terus Pencen.




Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 25.581 juta orang tahun ini berbanding 25.048 juta tahun lepas dan 22.082 juta semasa banci 2000. Jumlah penduduk kaum India di Malaysia meningkat daripada 1.696 juta orang semasa banci 2000 kepada 1.807 juta orang tahun ini. Jumlah penduduk India itu kebanyakannya bergantung kepada MIC sebagai parti tunggal yang sekian lama mewakili orang India. Namun selepas PRU ke 12, orang India seolah-olah telah menolak MIC dan beralih arah kepada PKR.

Parti MIC sekarang mempunyai 5 ahli Dewan Negara iaitu seorang lantikan daripada DUN Selangor dan 4 orang lagi lantikan DYMM Yang Dipertuan Agong. Selepas pilihanraya ke 12, Ahli Dewan Rakyat daripada MIC cuma ada 3 orang wakil iaitu P072 Tapah ,P078 Cameron Highlands dan ,P140 Segamat.

Dalam PRU itu satu keputusan yang menarik tetapi tidak memeranjatkan ialah tewasnya Presiden MIC, Mr.Samy di P062 Sungai Siput Perak kepada Micheal Jeyakumar Devaraj daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).Pada masa yang sama Presiden UMNO dan MCA menang di Parlimen masing-masing. Kekalahan Samy itu telah menguatkan hujah bahawa Samy adalah beban kepada MIC dan MIC adalah beban kepada BN.

Terbaru Tun Mahathir membuat satu kenyataan yang membinggungkan Presiden MIC menjelang pemilihan sengit parti itu Sabtu ini. Kenyataan itu dipetik daripada Agendadaily.com yang bertajuk 'MIC hilang sokongan masyarakat India jika Samy Vellu terus terajui parti - Tun Mahathir' Dalam kenyataan balasnya, Mr.Samy dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, berkata Dr Mahathir merupakan pakar dalam seni "memusnahkan timbalannya". Samy Vellu berkata, beliau hanya mempunyai seorang timbalan selama 25 tahun, tetapi Dr Mahathir mempunyai empat timbalan selama 22 tahun memegang jawatan.

Tun Mahathir dalam wawancara dengan Utusan telah membuat kenyataan, MIC akan kehilangan sokongan daripada masyarakat India jika S. Samy Vellu terus menerajui parti itu.Tegasnya, MIC kini dilihat semakin lemah dan kekuatan parti itu tidak boleh dipulihkan semula jika Samy Vellu terus kekal sebagai Presiden."Kelemahan MIC disebabkan oleh Samy Vellu, saya dengar ramai orang India cakap, dia orang tak suka nak sokong MIC pasal Samy Vellu."Sebenarnya sebelum pilihan raya 2008 ada stesen televisyen tanya saya apa akan jadi pada MIC, saya kata selagi ada Samy Vellu di situ, MIC akan tewas, memang benarlah dia tewas,"

Mungkin Tun bukan berniat untuk mencampuri urusan parti MIC. Semasa beliau masih memegang jawatan PM, saya rasa tidak ada kritikan terbuka kepada Samy. Malah hubungan antara ke tiga parti amat akrab terutama ketika Tun kehilangan banyak sokongan daripada orang Melayu dalam pilihanraya umum negara ke-10 pada 29 Nov.1999 . Pada masa itu sentimen-sentimen anti- Mahathir amat kuat khususnya di kalangan orang-orang Melayu. Tetapi penggundi-penggundi Cina dan India berdiri teguh dibelakang UMNO/BN dan sehinggakan kedua-dua ahli parlimen yang sangat hebat dari DAP Lim Kit Siang dan Karpal Singh kecundang di kawasan majoriti Cina di Pulau Pinang. Walau pun Parti Pas berjaya mengumpulkan undi Melayu pada masa itu dengan UMNO cuma memenangi 72 kerusi dan kalah 17 kerusi tetapi UMNO/BN masih dapat kekalkan majoriti 2/3 di parlimen dengan kemenangan besar parti-parti bukan Melayu seperti MCA menang 28 kerusi dan cuma kalah 2 kerusi. MIC menang 7 kerusi tanpa kalah sebarang kerusi. Gerakan menang 10 kerusi dengan tanpa kalah sebarang kerusi.

Walaupun begitu selepas pilihanraya ke 12, 2008 sokongan daripada orang bukan Melayu telah beralih arah. MIC hanya menang di Tapah ,Cameron Highlands dan ,Segamat. Maka salah satu faktor yang menyebabkan kekalahan MIC ini ialah 'Faktor Samy'. Samy memasuki gelanggang politik bermula dalam Pilihanraya 1974 apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput. Beliau memegang kerusi ini sehingga kekalahannya pada PRU 2008. Beliau merupakan Presiden MIC dan telah memegang jawatan berkenaan sejak 1979 daripada V. Manikavasagam. Samy akan terus memegang jawatan Presiden itu bagi sessi 2009-2012. Ini bermakna kemungkinan besar PRU ke 13, Samy masih mengetuai MIC.

Samy telah membidas Mahathir yang mempunyai 4 timbalan perdana menteri tetapi beliau lupa bahawa beliau menjadi presiden MIC sejak daripada Perdana Menteri Malaysia ke 3 sedangkan Mahathir sendiri belum menjadi PM dan Presiden UMNO. Ini bermakna Samy telah menjadi Presiden MIC di bawah 4 orang perdana menteri dan 4 orang Presiden UMNO. Bukankah ini satu tempoh yang lama dan menjemukan?. Isu Tun Mahathir bukannya isu timbalan tetapi isu sayang hendak lepaskan jawatan. Isu Samy nak jadi Presiden MIC seumur hidup. Sebab itu orang tidak suka.

Bagi saya, Mr.Samy sudah terlalu lama memimpin MIC. Banyak jasanya pada MIC tidak kurang juga taik yang ditinggalkan. MIC menjadi beku dan tepu kerana Samy terlalu mengongkong ahli-ahli parti. Ramai pemimpin-pemimpin parti tidak berpeluang untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin. Sebab itu MIC tidak putus-putus bergolak perihal masalah dalaman parti.

Walaupun MIC tidak mempunyai satu pun kerusi majoriti dalam mana-mana kerusi parlimen tetapi BN sentiasa memberi peluang kepada MIC walaupun kawasan itu adalah kerusi kawasan majoriti Melayu. Ini bermakna calon-calon MIC yang menang di Parlimen dan DUN beberapa negeri lazimnya mendapat sokongan daripada pengundi Melayu. Misalnya kerusi Tenggaroh, Kahang dan Gambir di Johor adalah kawasan majoriti Melayu. Tidak cukup dengan itu MIC diberi satu jawatan exco bagi mewakili masyarakat India. Melihat kepada kecelaruan yang berlaku di dalam MIC, salahkah bekas pemimpin UMNO seperti Mahathir memberikan pendapat. Tujuannya bukan untuk memburukkan MIC dan Samy tetapi untuk menguatkan BN dalam pilihanraya ke 13 nanti. Mahathir mempunyai niat murni agar undi-undi India sebelum ini akan berpatah balik kepada BN dan orang India sedia maklum bahawa janji-janji Pakatan Rakyat hanya palsu belaka. Buktinya isu Kampung Buah Pala, di Pulau Pinang adalah antara bukti Pakatan Rakyat hanya mahu undi mereka dan bukan untuk membela kaum India.

Dalam keadaan momentum sokongan orang India untuk beralih arah, mereka mengharapkan satu perubahan dalam pucuk pimpinan MIC. Tetapi Samy masih terus kekal sebagai Presiden sehingga 2012. Mungkin orang India kecewa seolah-olah jawatan itu hendak di bawa hingga ke mati. Najib mungkin 'segan' untuk menegur kerana mungkin teguran seorang PM dan Presiden UMNO dikatakan mencampuri urusan parti komponen yang lain. Jadi teguran bekas pemimpin UMNO sepatutnya diterima oleh Samy.

Saya masih ingat, apabila rakyat Terengganu sudah muak dengan Wan Mokhtar dalam Pilihanraya Umum ke 10 tahun 1999, mereka telah menukar kerajaan kepada kerajaan PAS. Tetapi apabila Gelombang Biru melanda tanpa Wan Mokhtar, Terengganu kembali menyokong kepada BN. Sama juga dengan kes MIC ini, kemungkinan jika Samy melepaskan jawatan Presiden MIC sebelum PRU ke 13, kemungkinan sokongan masyarakat India kembali kepada BN bukan sesuatu yang mustahil.

Oleh itu, cadangan ini perlu datang daripada orang luar MIC kerana ahli-ahli MIC yang pro-Samy takut untuk bersuara pada hal itulah hasrat mereka terutama ahli-ahli MIC akar umbi yang tidak mempunyai kepentingan. Sebagai rakyat Malaysia, suka juga saya mencadangkan kepada Samy supaya berhenti dan terus pencen demi kepentingan MIC dan BN yang semakin goyah menjelang PRU ke 13 nanti.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Terbaru : Palanivel kekal No. 2, orang Samy menang besar. klik di sini

Tuesday, September 8, 2009

Isa Samad Bukan Yang Terbaik.



Ini lah pertama kali dalam mana-mana PRK saya meletakkan 50-50 kepada BN untuk menang kerusi di Bagan Pinang ,itu pun dengan beberapa syarat. Sebelum ini di mana-mana PRK sejak PRK Permatang Pauh hinggalah yang terkini Permatang Pasir, saya siang-siang telah mengumumkan Pakatan Rakyat akan menang walaupun pilihanraya belum berlangsung.

Di Bagan Pinang dalam pilihan raya umum lepas, BN menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi. Berikut adalah keputusan penuh PRU ke 12 bagi N31 BAGAN PINANG

Jumlah Pengundi: 14,192
Peratusan Kaum: M: 66% C: 10.5% I: 19.9% L: 3.5%
1. Azman Mohd. Nor (BN) (6,430)
2. Ramli Ismail (Pas) (4,097)
Majoriti: 2,333
Jumlah undi: 10,911
Peratus mengundi: 76.88%
Undi rosak: 384
Penyandang: Mohd. Faizal Ramli (BN)
(Majoriti: 4,411 undi)

Saya sangat menyanjung sikap Isa Samad yang berkata beliau perlu mendapatkan pandangan semua pihak berhubung cadangan memilihnya sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang. "Saya tidak dapat menjawab. Kena bincang dulu, tengok keadaan dan pandangan sayap-sayap, akar umbi dan mungkin ada calon-calon lain."Kemudian rumus untuk dapatkan keputusan,"

Berdasarkan kenyataan beliau ini, nampaknya pemimpin veteran penuh pengalaman ini tidak mudah terpesona dengan sokongan yang diberikan oleh Ketua Pemuda Umno bahagian Teluk Kemang, Mohd Faizal Ramli dan Ahli Jawatankuasa Bahagian tersebut Kamil Abdul Aziz yang dilaporkan berkata pemimpin Umno di Teluk Kemang menyokong penuh supaya bekas Naib Presiden Umno itu menjadi calon di Bagan Pinang.

Walaupun Bagan Pinang itu adalah kampung halaman Isa tetapi pengundi yang berjumlah 14 192 orang itu bukan lagi pengundi yang pernah dikenali sebelum ini. Kemerosotan majoriti undi dalam PRU ke 12 berbanding dengan keputusan PRU ke 11 sudah cukup untuk menunjukkan penurunan yang ketara. Undi pos sekarang ini pun bukan sesuatu yang pasti berpihak kepada BN lagi. Momentum pilihanraya kecil sejak PRK Permatang Pauh sehingga PRK Permatang Pasir perlu juga diambil kira.

Saya sangat meminati Isa bukan sahaja kerana kejayaannya mentadbir Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar tetapi cukup sedap halwa telinga apabila bekas guru ini memberi ucapan. Malah semasa bertanding Naib Presiden tahun lepas saya menyokong Isa supaya satu kerusi diberikan kepadanya. Namun dalam PRK Bagan Pinang yang agak getir ini, masa dan keadaan bukan lagi berpihak kepada Isa. Walaupun beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, saya berpendapat calon BN kali ini biarlah dari kalangan muka baru yang berpotensi diterima rakyat, berpendidikan, bersih dan belum ada rekod buruk di kalangan masyarakat setempat. Ianya tidak semestinya orang-orang yang memegang jawatan di dalam Bahagian tetapi cukup berbakat untuk di ketengahkan sebagai pemimpin baru dan pelapis.

Keadaan ini bagi mengelakkan agar ianya tidak memberi peluru berpandu kepada Pakatan rakyat. Dakwaan sebegini pasti akan berkumandang 'Tengok UMNO dah tak ada orang lain dah, terpaksa ambil orang lama dan orang kalah sebagai calonnya, bukankah ini bukti UMNO semakin nazak? Orang muda dah tak ada ke lagi dalam UMNO ni?. Itu belum lagi diungkit kisah-kisah silam Isa dalam UMNO khususnya politik wang. Silap-silap hari bulan, isteri muda Isa pun akan menjadi isu.



Bukan saya berkata melantik orang lain sebagai tak ada isu. Isu tetap ada dan pasti akan digunakan oleh Pakatan Rakyat. Saya cuma hendak dan berhajat untuk mengurangkan isu-isu itu supaya kita boleh menumpukan masa berkempen kepada penerangan misi dan visi bukannya mempertahankan isu yang sengaja kita berikan peluru kepada Pakatan Rakyat.

Seorang pemimpin UMNO Bahagian dari Sabah secara terbuka berkata pada rakannya apa salahnya Isa jadi calon walaupun beliau orang lama.“Bukankah Saleh Man,calon PAS yang menang di Permatang Pasir itu pernah enam kali kalah pilihanraya.Kalau PAS nanti main isu UMNO ketandusan pemimpin,kita boleh kata PAS sendiri pernah letak calon yang berulangkali recycle,”katanya. Jangan bandingkan Salleh dengan Isa dalam hal ini. Salleh menang kerana momentun rakyat sudah berubah menyokong Pakatan Rakyat. Permatang Pasir kubu PAS ditambah lagi dalam Parlimen Anwar Ibrahim. Dalam keadaan 50-50 pemimpin UMNO Sabah ini tidak boleh memandang enteng isu rasuah Isa yang telah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO walaupun Isa dikatakan dikambing hitam ,itu bukan jawapan kepada isu ini.

Walaupun Isa adalah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Ketua UMNO Cawangan Bagan Pinang dan anak jati di situ, apakah itu sahaja jaminan yang boleh kita pertaruhkan selain jasa beliau sebagai MB kepada 14 000 pengundi di Bagan Pinang? Tindakan untuk membawa Isa 'come back' di PRK ini agak sudah terlambat. Cari lah calon lain dan beri peluang kepada pemimpin muda dan pelapis untuk di ketengahkan. Negeri Sembilan tidak ketandusan pemimpin dan jangan takut untuk membuat perubahan.

Saya terpaksa berkata yang benar kerana kita sudah tersilap pilih keatas Rohaizat Othman di Permatang Pasir dan Wan Farid di Kuala Terengganu. Setelah gagal pertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil baru-baru ini,kalangan ahli UMNO berpendapat tidak boleh tidak Barisan Nasional mesti mempertahankan kerusi Bagan Pinang. 14000 pengundi bukan semua ahli UMNO, mungkin UMNO Bahagian Teluk Kemang menyokong pemilihan Isa tetapi bagaimana pula dengan kehendak sebahagian besar rakyat?. Pengundi tidak berparti dan pengundi atas pagar perlu juga diambil kira. Peti undi saluran 4 dan 5 lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian.

Kesimpulannya jika Isa Samad terpilih juga ianya bukan yang terbaik. Keputusan itu bukan keputusan yang melambangkan kehendak rakyat dan tuntutan perubahan oleh ahli-ahli UMNO akar umbi.

Amir Hamzah
Kuala Lumpur
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Terbaru : Isa Pemimpin Yang Ada Otak.

Sunday, September 6, 2009

Perpaduan Kaum Hanya Retorik......


Hubungan antara kaum di Malaysia hanya retorik - hanya nampak baik di luar tetapi di dalam tidak baik, kata Felow Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Teo Kok Seong. “Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalah,” katanya dalam wawancara dalam Mingguan Malaysia hari ini. Bacaan lanjut baca di sini.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Prof Teo yang begitu ikhlas memperkatakan perpaduan antara kaum di Malaysia. Jikalau kita melihat sekeliling kita, dasar pecah dan perintah British sewaktu menjajah negara ini masih tidak dapat di rungkaikan walaupun negara sudah merdeka 52 tahun yang lalu. Saya selalu memperkatakan jika kita mahu melakukan sesuatu perkara sewajarnya kita meneliti latar belakang perkara yang hendak kita ubah. Apakah kekangan-kekangan dan halangan, cara dan kaedah perlaksanaan serta melaksanakannya dengan cara yang tersusun dan tertip . Barulah pelan tindakan kita akan dilaksanakan dengan jayanya.

Jika kita melihat kepada masalah perpaduan rakyat negara ini yang begitu rencam sifatnya kita perlu mencari puncanya. Apakah yang menghalang perpaduan itu. Perkara yang utama adalah bagaimana kita hendak menyusun semula kesan daripada dasar 'pecah dan perintah' itu baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Dari segi ekonomi contohnya, kerajaan telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 yang dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. DEB telah diberikan tempoh selama 20 tahun untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia. Jurang ekonomi yang ketara di antara orang Melayu dan bukan Melayu begitu tinggi pada masa itu. Orang Melayu sangat ketinggalan dalam segenap bidang ekonomi. Orang Melayu hanya bermula diberi peluang yang lebih luas hanya pada tahun 1970 setelah 13 tahun negara merdeka. Antara sumbangan Tun Abdul Razak yang tidak ternilai ialah pembukaan tanah-tanah rancangan FELDA yang dibuka untuk orang-orang Melayu memiliki tanah yang pada asalnya mereka dari golongan miskin di kampung-kampung tradisional. Matlamat akhir kepada DEB adalah PERPADUAN NASIONAL iaitu apabila sudah dapat dikurangkan jurang ekonomi antara kaum maka tidak lagi timbul rasa syak wasangka, dengki mendengki, ketidakpuasan hati dan sebagainya.

Setelah 20 tahun, DEB diteruskan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN)setelah didapati jurang ekonomi dan pemilikan harta di Malaysia di kalangan orang-orang Melayu secara individu belum mencapai tahap yang diharapkan iaitu pemilikan 30% daripada kekayaan negara. Tetapi dalam tempoh tersebut bilangan orang Melayu golongan pertengahan telah bertambah dengan mendadak sehingga timbul pula jurang perbezaan di kalangan golongan orang Melayu itu sendiri. Sehingga kini dan mungkin sampai bila-bila keadaan ini akan berlangsung kerana orang Melayu yang kaya tidak dapat membantu orang Melayu yang susah. Lebih-lebih lagi di atas tidak wujudnya perpaduan yang asli untuk melihat negara ini aman dan harmoni golongan kaya dari kalangan orang Cina yang telah kaya raya sejak zaman British masih kurang membantu golongan miskin dari kalangan orang Melayu dan India.

Ini bermakna walaupun orang Melayu menguasai politik dan orang Cina menguasai ekonomi , ianya tidak memberi untung yang banyak kepada orang Melayu tetapi melalui penguasaan ekonomi ,orang-orang Cina tetap jauh kehadapan. Orang Cina lebih mudah untuk berpersatuan melalui persatuan-persatuan kaum mereka dan juga persatuan keluarga mereka. Budaya kerja dan sikap menjadi penghalang untuk mereka bekerjasama.

Bagi saya, konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Najib Tun Razak dan juga Harapan baru Rakyat Malaysia oleh Anwar Ibrahim juga satu retorik belaka selagi ianya tidak mencari punca kepada masalah perpaduan itu sendiri. Konsep ini hanya mengambil dari tengah bukannya daripada pangkal yang menjadi akar umbi kepada perpaduan itu.

Suka saya mengambil contoh berkenaan dengan sistem pendidikan negara. Melalui pendidikan kita boleh mendasarinya hingga ke akar umbi melalui pendidikan satu aliran sekolah yang mempunyai sukatan pelajaran yang sama serta satu bahasa pengantar yang sama di semua peringkat sekolah. Bermula dari sekolah tadika hinggalah ke peringkatan Institut Pengajian Tinggi.

Bagaimana rakyat hendak bersatu sedangkan mereka masih lagi di bawah dasar 'pecah dan perintah' walaupun British sudah keluar daripada negara ini sejak 52 tahun yang lalu. Mereka masih terasing-asing dari sejak kecil oleh sekolah-sekolah pelbagai aliran. Mereka mempunyai peluang yang terhad untuk bercampur gaul dan berkomunikasi antara satu sama lain. Sistem yang ada tidak memberi jaminan kepada generasi akan datang untuk hidup dengan baik yang boleh berkongsi rasa, berkongsi harta dan berkongsi negara.

Sudahlah kita mempunyai sistem politik mengikut kaum, ditambahkan lagi dengan sistem pendidikan yang berbeza mengikut aliran, ditokok lagi dengan penguasaan ekonomi oleh satu kaum tertentu. Belum ditambah dengan penghuni-penghuni bagi kawasan pertempatan juga mengikut monopoli kaum-kaum tertentu adalah tidak nampak kemungkinan perpaduan yang asli itu muncul menjelang 2020 sekurang-kurangnya. Antara matlamat wawasan 2020 juga adalah perpaduan nasional. Atas sebab itulah Tun Mahathir mencadangkan sekolah wawasan tetapi ditolak oleh persatuan-persatuan Cina yang perkauman. Kita mungkin akan mencapai negara maju menjelang 2020 tetapi matlamat perpaduan nasional yang asli jauh panggang dari api jika kita tidak memulakan sesuatu yang drastik bagi mencapai matlamat itu.

Perpaduan antara kaum di Malaysia buat masa ini sangat rapuh dan mudah dipermainkan sentimen itu oleh golongan-golongan yang berkepentingan khususnya ahli-ahli politik yang ingin mencari pengaruh. Isu mutakhir ini yang melibatkan tempat-tempat ibadat juga telah digunakan sebagai isu perkauman dan isu agama, pada hal isu-isu ini sangat sensitif bagi sebuah negara seperti Malaysia. Undang-undang berkenaan rumah ibadat sememangnya telah wujud sekian lama di mana-mana Majlis Perbandaran atau Dewan Bandaraya maupun di Pejabat-Pejabat Daerah, tetapi kerana membelakangkan undang-undang dan peraturan serta janji-janji pilihanraya untuk menarik undi akhirnya ia menjadi isu panas yang boleh mencetuskan huru-hara pada bila-bila masa.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Friday, September 4, 2009

Rujuklah Kepada Sultan Terengganu.




Keadaan politik negeri pengeluar minyak dan negeri penyu menangis semakin kusut apabila kedua-dua belah pihak nampaknya tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berdamai. Campur tangan Muhyiddin juga nampaknya tidak disambut baik oleh kumpulan Pak Yeh apabila beliau sendiri memulaukan perjumpaan dengan Timbalan Presiden UMNO itu. Program bersahur bersama rakyat yang dianjurkan oleh Hishmuddin juga tidak banyak membantu menyelesaikan krisis kedua-dua kumpulan UMNO tersebut.

Ini bukan masalah rakyat Terengganu tetapi masalah pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu. Mengapa buat program yang melibatkan rakyat Terengganu kerana tindakan ini tidak menjurus kepada masalah sebenar. Semua orang tahu dan faham bahawa krisis politik Terengganu bermula sejak selepas pilihanraya ke 12 lalu di mana Terengganu dan Perlis agak lambat melantik Menteri Besar setelah negeri-negeri lain sudah berbuat demikian. Perlantikan Ahmad Said adalah atas kehendak dan perkenan Sultan setelah baginda kurang senang dengan Pok Yeh. Perlantikan Ahmad Said mendapat restu Sultan dan rakyat tetapi tidak direstui pula oleh beberapa rakan-rakannya dalam UMNO.

Tiga pihak yang perlu selesaikan kemelut ini iaitu pihak Istana, Kumpulan Ahmad Said dan Kumpulan Derih Jusoh. Perlu diingat bahawa Sultan Terengganu mempunyai kuasa untuk memilih Menteri Besar seperti mana Sultan Perak dan Sultan Perlis. Jika sudah tahu Sultan Terengganu yang memegang 'suis' perdamaian ini mengapa tidak ada rombongan daripada UMNO untuk mengadap Sultan Terengganu?

Sultan sememangnya tidak boleh mencampuri urusan politik kecuali agama Islam dan adat istiadat Melayu tetapi adalah lebih molek jika Sultan di ajak berunding bersama. Pilihan yang ada adalah melantik orang lain selain Deris Jusoh dan Ahmad Said tetapi boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak. Adakah dikalangan mereka itu yang boleh menjadi penenang kepada politik Terengganu?

Tindakan memboikot dan ugutan untuk keluar parti bukan jalan penyelesaiannya tetapi boleh memporak perandakan lagi politik Terengganu. Walaupun Anwar Ibrahim sudah masuk jarum ketika UMNO Terengganu bergolak tetapi Harun Taib sudah menutup pintu untuk mereka yang akan melompat parti. Suara Harun Taib mungkin mewakili suara Hadi Awang juga kerana hanya Harun Taib saja yang berani menyanggah Anwar Ibrahim. Jika begitu 'lompat parti' bukan cara terbaik untuk membentuk kerajaan baru negeri Terengganu. Masalah lebih besar bakal menanti kerana kerajaan campuran PAS-Bekas UMNO tidak menjanjikan kestabilan politik di Terengganu.

Jika Muhyiddin yang sudah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah maka beliau boleh menjadi pendamai antara Sultan Terengganu dan Kumpulan Idris Jusoh. Jika masalah antara Sultan dan Kumpulan Idris Jusoh dapat mencari titik pertemuan, saya yakin Ahmad Said akan akur titah perintah Tuanku Sultan kerana kedudukannya sekarang pun atas budi bicara Sultan.

Ketika krisis politik Perak sedang memuncak kita telah beramai-ramai menyokong dan mempertahankan Sultan Perak daripada diserang dari pelbagai sudut. Hari ini kita menggelarkan Nizar dan kunco-kunconya sebagai penderhaka, adakah tuduhan itu akan berbalik ke atas batang hidung UMNO di Terengganu?

Muhyiddin yang mempunyai pengalaman mendamaikan dan menyatukan Melayu Johor dalam krisis politik di Johor pada tahun 1988 ketika beliau menjadi MB Johor, tentu berkeupayaan untuk melakukan sekali lagi di Terengganu, apatah lagi beliau sekarang adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Negeri Terengganu yang kaya dengan minyak tentunya menjadi rebutan untuk berkuasa. Sanggupkah UMNO kehilangan kuasa setelah rakyat memulangkannya semula selepas tewas dalam pilihanraya umum 1999. Oleh itu krisis kepimpinan di Terengganu perlu ditangani segera sebelum ianya menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi.

Sekali lagi saya menyeru pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu dan memohon perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu supaya mengutamakan kepentingan rakyat jelata dan negeri. Ketepikan dahulu perebutan kuasa, kekayaan, kesenangan dan kemewahan kerana rakyat Terengganu masih memerlukan pemimpin-pemimpin yang terbilang untuk terus memacu pembangunan negeri Terengganu untuk rakyat Terengganu.

Tidak ada jalan mudah untuk menyelesaikan masalah kapal dua nakhoda selain hanya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit daripada Tuanku Sultan dan pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu, Negeri Cantik Budaya Menarik.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, September 3, 2009

Kalau..........

1. Kalau anda menunggu arah, SEMUA KERJA PERLU DIKERAH.

2. Kalau anda kurang bersedia, DI TEMPAT KERJA BANYAK CERITA

3. Kalau anda kenal tetamu, LAYANLAH IA JANGAN JEMU

4. Kalau anda kurang kerja, DAPAT LAPORAN BERJELA-JELA.

5. Kalau anda kurang merancang, DI DALAM PEJABAT BANYAK TEMBERANG

6, Kalau anda suka berdamping, SEMUA PELANGGAN DAPAT DIBIMBING

7. Kalau anda asyik naik marah, AKHIRNYA SEMUA RAKAN BUAT TAK ENDAH.

8. Kalau anda rajin mendidik, AKAN LAHIRLAH PEKERJA YANG CERDIK

9. Kalau anda senyum selalu, PELANGGAN SENTIASA INGAT PADA MU

10.Kalau anda pilih kasih, PELANGGAN TERLUKA HATINYA SEDIH.

11.Kalau anda seorang penyayang, KE AKHIR HAYAT TETAP DIKENANG

12.Kalau anda umpama Ibu, PEKERJA AKAN SAYANG SETIAP WAKTU

13.Kalau anda buat tak kisah, PELANGGAN AKAN BERMASALAH

14.Kalau anda rajin menasihat, SETIAP TEGURAN AKAN DIINGGAT

15.Kalau Khairy jadi ketua, RAMAI MAKHLUK YANG RASA KECEWA.

16.Kalau kalah lagi di Bagan Pinang,..................................


Ada sesiapa yang nak sambung cerita seloka di atas, silakan....

Terima kasih.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Pejuang Yang Menang Dan Yang Kalah (Siri 2)



Imperialisme British terhadap Malaya, bukan sahaja telah merantai kebebasan dan memunggah kekayaan kita keluar demi melampias kuasa empayar yang berpusat di England, malah ia juga telah meragut banyak nyawa pejuang-pejuang kemerdekaan. Propaganda British bahawa pejuang-pejuang yang tidak sehaluan dengannya dikatakan penganas dan pengkhianat telah berjaya meracuni pemikiran rakyat. Nasib buruk ini diterima oleh Datuk Maharaja lela, Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau sebagai penganas dan pemberontak.

Sebelum perjuangan mendapat kemerdekaan ini dipelopori oleh UMNO dan rakan-rakan parti Perikatan kita juga tidak boleh menafikan sumbangan Kesatuan Melayu Muda(KMM)seawal tahun 1930an. Pengikut-pengikut KMM banyak terpengaruh dengan buku-buku daripada Indonesia serta pemimpin-pemimpin revolusioner Indonesia antaranya Pak Jenain (Sutan Jenain), Alimin, Musso dan Suparto.KMM juga yang mempelopori semboyan “Merdeka”. Tokoh-tokoh pemimpin KMM adalah seperti antaranya Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ibrahim Yaacob, Mustapha , Ishak Hj Mohamad(Pak Sako) , Ahmad Boestamam dan lain-lain.

Menurut Abdullah C.D bekas Pengerusi PKM, Keadaan masa itu sangat kemelut. Pokoknya ada dua perkembangan penting dari segi perjuangan rakyat. Pertama, PKM, yang ditubuhkan pada tahun 1930, telah menyusun sebahagian rakyat melancarkan perjuangan. PKM mempunyai pengaruh yang luas di kalangan orang Cina. Di kalangan orang Melayu dan India, tak ada kader, hanya pada penghujung perang, pengaruhnya mula meluas. Untuk melawan Jepun, PKM tubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM /MPAJA) dan melancarkan perang gerila. PKM juga bekerjasama dengan British dan mendapatkan sedikit senjata.

Kedua, semasa awal pendudukan Jepun, KMM dibenarkan bergerak secara terbuka. KMM mengambil sikap bekerjasama dengan Jepun untuk melawan British demi kemerdekaan Malaya. Ini sama seperti yang dilakukan Sukarno di Indonesia. Setelah KMM diharamkan pada tahun 1942, Ibrahim Yaacob dan beberapa tokoh lagi menubuhkan Malai Gyu Gun, atau PETA, iaitu sebuah pasukan tentera Melayu yang mengambil kesempatan daripada kemudahan yang diberikan Jepun dengan tujuan mencapai kemerdekaan. Sebelum Ibrahim berundur ke Indonesia, beliau cuba mengatur beberapa orang membawa PETA bergabung dengan pasukan TAJRM untuk sama-sama melawan British. Sayangnya, kerana keadaan berubah, rancangan itu gagal.

Bagaimana pun KMM diharamkan pada tahun 1942 kerana pada tahun 1942, Mustapha Hussein bagi pihak KMM mengajukan tuntutan untuk merdeka kepada pihak Jepun. Selepas diharamkan ramai pemimpin KMM menyertai gerilya MPAJA dengan melakukan kerja propaganda untuk melawan Jepun.

Gerakan kebangsaan di kalangan orang Melayu selepas perang lebih bergelora. Cita-cita kemerdekaan KMM diteruskan oleh PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya). Kebanyakan penaja PKMM ialah bekas pemimpin dan anggota KMM dulu. Dalam PKMM, terdapat anggota daripada pelbagai aliran – nasionalis, agama, sosialis, komunis. Tapi, tak kira apa alirannya, mereka telah mengenepikan perbezaan dan dapat bersatu dan bekerjasama. Ini kerana satu tujuan dan matlamat yang anti-imperialis, anti-kolonialis dan cintakan kemerdekaan serta kebebasan. PKMM ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 dalam kongres di Ipoh. Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako, Abdullah C.D ramai lagi bertanggungjawab mendirikan parti politik orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan. PKMM berkembang pesat dengan anggota kira-kira 100,000 orang.

Selepas itu, UMNO ditubuhkan bulan Mei 1946 oleh Dato'Onn Jaafar di Istana Besar Johor Bahru. Semboyannya waktu itu bukan “Merdeka”, tapi “Hidup Melayu”. Dalam kongres perpaduan bangsa Melayu pada awal 1946, PKMM turut serta bersama UMNO. Tetapi pada masa itu, sudah timbul perdebatan besar atas isu “Non” dan “Ko”. PKMM ambil sikap “Non”, yakni tidak bekerjasama dengan penjajah British, mesti terus berjuang untuk kemerdekaan.

Sebaliknya pemimpin UMNO mengambil sikap “Ko”, iaitu bekerjasama dengan British. PKMM mengambil keputusan keluar daripada UMNO, dan terus membentuk gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu, lebih 60 buah semuanya, dalam Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA. PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA. Gabungan PUTERA-AMCJA ini merupakan barisan bersatu anti-British berbilang kaum yang paling luas memperjuangkan kemerdekaan. Gabungan ini telah mengemukakan Perlembagaan Rakyat untuk menggantikan perlembagaan Melayu Union, tetapi di tolak mentah-mentah oleh British.

Peristiwa penting kepada penyatuan Melayu adalah gagasan menentang Malayan Union oleh keseluruhan orang Melayu. Di dalam catatan sejarah Malaysia, Satu kongres Melayu yang menyatukan semua pertubuhan Melayu di Tanah Melayu diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 atas cadangan Dato' Onn bin Jaafar. Dalam mesyuarat ketiga Kongres Melayu Se-Malaya itu, keputusan dicapai untuk menubuhkan sebuah parti politik iaitu UMNO. UMNO secara rasminya ditubuh pada 11 Mei 1946 dan melantik Dato' Onn bin Jaafar sebagai presiden pertama. Penentangan Malayan Union telah mencapai kejayaan dan Malayan Union ditukar kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Semboyan kata UMNO "Hidup Melayu" ditukar menjadi "Merdeka" selepas berjaya menentang Malayan Union.

Perlu juga ditulis bahawa "Malayan Union" ciptaan British, bertujuan merampas kuasa raja-raja dan langsung tidak menyentuh soal kemerdekaan Malaya. Oleh itu, PKMM menentangnya bersama-sama dengan UMNO dan lain-lain pertubuhan waktu itu. Disebabkan tentangan menyeluruh daripada seluruh umat Melayu inilah, rancangan Malayan Union British gagal.

Di Gunung Semanggol, terdapat tokoh-tokoh agama yang penting dan berpengaruh, seperti Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Mudir Maahad El-Ehya Assyarif. Tokoh-tokoh agama ini menubuhkan Parti Hizbul Muslimin yang bekerjasama dengan PKMM dan bergabung dalam PUTERA.
Gerakan PUTERA (pertubuhan orang Melayu)-AMCJA(persatuan bukan Melayu) mendapat sambutan begitu luas daripada sebahagian rakyat. Mogok dan hartal yang dilancarkan cukup berkesan. Semangat “Merdeka” berkobar-kobar. Keadaan ini menyebabkan British berasa gentar dengan gerakan golongan kiri ini.

Akibat tekanan pihak British sebahagian pemimpin dan pendokong PKMM telah menyertai gerakan gerila komunis. Parti Kuomintang dari China memainkan peranan yang penting untuk menyebarkan perfahaman komunis ke Tanah Melayu. Cawangan Kuomintang di Tanah Melayu diharamkan oleh British. Walau bagaimanapun, golongan komunis di Tanah Melayu menubuhkan Parti Komunis Nanyang tetapi diharamkan pada tahun 1930 kemudian menubuhkan pula Parti Komunis Malaya(PKM). Tujuan penubuhan PKM adalah untuk menghalau British keluar dari Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis.

Lawan kepada komunis adalah kapitalis yang memang menjadi anutan semua penjajah termasuk British. Sebab itu British sangat memusuh PKM dan mengistiharkan darurat daripada 1948-1960 bagi membenteras komunis sepenuhnya. Salah satu Rejimen PKM yang dianggotai oleh bekas-bekas pemimpin PKMM ialah Rejimen ke-10 yang ditubuhkan pada 21 Mei 1949. Antara pemimpinnya yang terkenal ada Abdullah CD, Rashid Maidin, Abu Samah Kassim, Syamsiah Fakeh, Musa Ahmad dan lain-lain. Mereka memilih kaedah untuk membebaskan negara ini melalui pertumpahan darah dan peperangan.

Di pihak UMNO pula, pemimpin-pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan yang berpendidikan barat atau dikenali sebagai golongan sekular berpendidikan Inggeris atau golongan kanan yang pro British. Pendekatan yang digunakan adalah perundingan dengan pihak British. Kaedah ini disenangi oleh pihak British tambahan lagi Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman sendiri sememangnya masak dan faham dengan perangai, budaya dan pemikiran British. Golongan ini boleh dikatakan sebagai golongan yang menang kerana melalui perundingan juga UMNO telah merealisasikan kemerdekaan kepada negara ini.

Bagi pihak golongan kiri yang mengambil pendekatan antiBritish dan menolak sebarang bentuk perundingan kecuali dengan mengangkat senjata seperti yang dilakukan oleh PKM tidak mendapat sokongan majoriti rakyat pada masa itu. Tambahan lagi,mereka berpendapat falsafah Marxis itu adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanah air dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Mereka juga berpendirian bahawa Marxisme itu bukan sebagai “dogma”, atau pegangan ketat dan kaku dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan keadaan di Malaya.

Mereka berpendapat dengan kurang sambutan dari kalangan orang Melayu kepada PKM adalah disebabkan anggapan bahawa Marxisme, tidak beragama atau menentang agama. Dan mereka juga mengatakan bahawa pandangan seumpama ini adalah racun dan hasutan penjajah supaya membenci kepada perjuangan PKM. Golongan kiri ini boleh dikategorikan sebagai golongan yang kalah. Kalah kerana tidak mendapat sokongan majoriti rakyat atas pendekatan dan ideologi yang mereka bawa. Mereka juga tidak boleh menafikan bahawa mereka walaupun 'berjuang' ke arah pembebasan negara ini pada hakikatnya mereka wajar akur bahawa akhirnya pendekatan yang dibawa oleh UMNO itu telah berjaya membawa satu angan-angan, cita-cita dan harapan itu menjadi kenyataan.

Soal tulen atau tidak perjuangan UMNO itu bukan sesuatu yang perlu dibahaskan. Namun UMNO tetap menerima hakikat bahawa perjuangan semua rakyat daripada pelbagai aliran dan fahaman sama ada nasionalis atau agama ke arah menyumbang kepada sentimen pembebasan dan kemerdekaan negara yang memuncak-muncak sehingga negara akhirnya merdeka pada tahun 1957. Suka atau tidak pihak yang menang itu mendapat kuasa yang turut diidam-idamkan oleh pihak yang kalah. Lebih zalim lagi jika mengatakan kerajaan yang telah terbentuk selama 52 tahun ini adalah warisan daripada penjajah kerana negara ini telah dibangunkan atas acuan kita sendiri.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Tuesday, September 1, 2009

Pejuang Yang Menang Dan Yang Kalah (Siri 1)



Setelah negara mencapai kemerdekaan selama 52 tahun masih ada lagi pertikaian, siapakah pejuang sebenar yang membawa negara ini mencapai kemerdekaan. Bagi generasi muda yang lahir selepas merdeka tentunya akan timbul kekeliruan tentang sejarah kemerdekaan negara apabila masih ada yang mengatakan bahawa Umno Bukan Pejuang Kemerdekaan Sebenarnya . Setahu saya UMNO tidak pernah pun mengaku yang parti UMNO sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Malah Tunku Abdul Rahman pernah mengucapkan terima kasih kepada PKM semasa Rundingan Baling 1955 yang menyatakan penentangan bersenjata PKM boleh membantu mempercepatkan kemerdekaan di mana kesungguhan rakyat daripada pelbagai haluan dan ideologi telah memberi tekanan kepada pihak British.

Malah sehingga kini buku teks matapelajaran sejarah daripada tingkatan 2 hingga 6 bagi tajuk sejarah Malaysia sememangnya tidak menggenepikan, meminggirkan atau memadam fakta sejarah yang melibatkan perjuangan dan pencetus semangat nasionalisme di Tanah Melayu. Cuma sejarah itu ditulis oleh pihak yang menang dan tidak dapat dinafikan memang terdapat peristiwa-peristiwa penting yang dicerita lebih memihak kepada kerajaan yang merealisasikan kemerdekaan itu. Tentulah sukar untuk mencari penulisan yang ideal dan adil untuk semua pejuang tetapi ianya jauh lebih baik jika ia ditulis oleh bekas penjajah yang langsung tidak mengiktiraf mereka sebagai pejuang malah dilabelkan sebagai penderhaka, pengkhianat dan pengganas.

Pihak kerajaan yang ada masih lagi membuka ruang dan peluang untuk rakyat mencungkil dan menyelongkar peristiwa-peristiwa atau tokoh-tokoh yang terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Buku-buku masih banyak ditulis tentang sejarah negara malah bekas-bekas ahli PKM masih boleh membina blog masing-masing yang masih jelas penulisnya teguh dengan prinsip perjuangan mereka. Baca di sini dan di sini. Walaupun PKM sudah meletakkan senjata dalam Perjanjian Damai di Hadyaai pada tahun 1989 tetapi ideologi komunisme dan sosialisme masih hidup subur di kalangan pendokong-pendokongnya. Masih banyak ruang bacaan untuk rakyat membuat penilaian dan hipotisis sendiri tentang latar belakang sejarah perjuangan kemerdekaan dan kebangkitan semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Sejak saya di alam persekolahan lagi, semangat saya tidak pernah padam untuk mengiktiraf pejuang-pejuang dan pencetus semangat nasionalisme khususnya kebangkitan penentangan berdarah oleh Datuk Maharaja Lela dan Tok Sagor di Perak, Tok Janggut di Pasir Puteh, Mat Kilau dan Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Naning, Abd.Rahman Limbong di Telemong, Rosli Dhobi di Sarawak dan lain-lain. Kesemua mereka adalah pencetus kepada kebangkitan semangat kebangsaan untuk membebaskan negara ini daripada penjajah. Hampir kesemuanya berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Kesemua tokoh-tokoh ini dicap sebagai pengganas dan penderhaka oleh British tetapi apabila sejarah negara di tulis semula kesemua mereka adalah pejuang-pejuang.

Walaupun penentangan yang dilakukan tidak memperoleh apa-apa kemenangan tetapi perjuangan inilah yang telah menyubur dan memercikkan api nasionalisme. Gerakan nasionalisme seperti ini bertunjangkan misi pembentukan negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan mentadbir sistem pemerintahan negara sendiri dengan acuan kepimpinan sendiri.

Langkah paling berkesan dalam menyemarakkan idea nasionalisme kemerdekaan diperhebatkan melalui sebaran media massa. Pada masa itu, mata pena amat tajam daripada muncung senapang. Justeru itu, kita tidak boleh mengkesampingkan peranan Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Abdul Kadir Adabi, dan Abdul Rahim Kajai serta ramai tokoh lagi. Terdapat tiga golongan yang menjadikan mata pena sebagai senjata menyemarakkan nasionalisme.

Pertama, golongan agama lepasa Al Azhar, Mesir dan Timur Tengah yang lebih dikenali sebagai Gerakan Islah.

Kedua, golongan sekular berpendidikan Inggeris.

Ketiga, golongan sekular berpendidikan Melayu.

Mereka mengeksploitasi keilmuan melalui penerbitan akhbar menentang British secara kreatif tanpa dihidu oleh British pada peringkat awalnya. Akhbar seperti al-Imam, Utusan Melayu (satu-satunya akhbar yang masih kekal sehingga kini), Seruan al-Azhar, Lembaga Melayu, Neracha, al-Ikhwan dan Lidah Benar (sekadar menyebut beberapa nama) adalah tempat para penulis berkarya menanamkan idea nasionalisme.Baca di sini untuk bacaan selanjutnya.

Saya tidak berasa tertipu dengan sejarah negara ini kerana saya mengenali semua nama-nama pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh yang memberi sumbangan kepada kemerdekaan negara. Tidak ada yang tersorok dan tersembunyi kecuali jika saya ingat mendapat maklumat tambahan maka saya akan mencari buku-buku yang berkaitan dan melayari internet untuk menambah pengetahuan peribadi. Sebagai seorang pembaca, maka sewajarnya kita meletakkan diri kita di zaman tersebut sekurang-kurangnya kita berlaku adil untuk kita memahamkan sesuatu peristiwa serta kesan-kesannya.

bersambung...........

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.segalanyamungkin.blogspot.com