Thursday, February 18, 2010

Ke manakan ku bawa diri- Zulkifli


Ramai orang tidak menyedari bahawa Ahli Parlimen Kulim - Bandar Bharu Zulkifli Noordin adalah bekas ahli PAS. Zulkifli pernah menjadi ahli PAS dan bertanding atas tiket parti itu di Parlimen Kuala Langat dalam pilihan raya umum 2004 tetapi tewas di tangan calon BN, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh. Dalam Pilihanraya ke 13, 2008 Zulkiffli menang di Parlimen Kulim=Bandar Bahru atas tiket PKR.

Zulkifli yang terkenal dengan kelantangannya dalam isu-isu Melayu-Islam kini dihadapkan ke lembaga disiplin PKR kerana membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah. Dalam rancangan soaljawab Tv.3 baru-baru ini Zulkifli dengan keras mengecam tindak tanduk DAP dan menganggap DAP sebagai 'duri dalam daging' kepada pakatan pembangkang.

Keceluparan dan kelantangan Zulkifli bukan sahaja tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin daripada rakan pakatan pembangkang malah turut menggusarkan pemimpin-pemimpin PKR sendiri. Zulkifli pernah ditegur oleh pemimpin-pemimpin kanan PKR termasuk Anwar Ibrahim, timbalan presiden Syed Husin Ali dan naib presiden Azmin Ali. Namun Zulkifli yang sentiasa mencanangkan bahawa pendirian beliau adalah berdasarkan prinsip dirinya walaupun menongkah arus kehendak parti. Akibatnya semua orang tahu dan Zulkifli sendiri pun sudah boleh mengagak dan mendakwa parti itu memang sudah set untuk tendang beliau keluar dari parti. klik di sini.

Jikalau Zulkifli kemungkinan ditendang keluar daripada PKR, parti lamanya, PAS siang-siang sudah menolaknya.Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali membayangkan gelapnya masa depan wakil rakyat kontroversi itu, termasuk tidak berpeluang bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang atas tiket parti Islam itu. klik di sini

Setelah PKR dan PAS menolak Zulkifli ke manakah hala tuju politik Zulkifli selepas ini khususnya dalam pilihanraya ke 13 akan datang. Jalan mudah tentunya beliau akan bertanding sebagai calon bebas di kawasan Parlimennya sekarang. Berkemungkinan besar pilihanraya ke 13 akan menyaksikan lebih ramai calon-calon bebas bertanding terutama mereka yang telah keluar dan diperlekehkan dalam PKR.

Kemungkinan untuk Zulkifli bersama UMNO boleh dikatakan 'jauh panggang daripada api' kerana prinsip perjuangan Zulkifli kelihatan tidak sekufu dengan UMNO. UMNO juga dijangka tidak berhasrat untuk menjemput ahli parlimen kontroversi ini bersama UMNO kerana di mana-mana beliau berada pasti akan menimbulkan suasana kelam kabut di dalam parti. Tindakan mengkritik, memberi pandangan dan membuat kenyataan yang biasa menjadi amalan Zulkifli sebenarnya tidak sesuai bagi mereka yang menyertai parti politik. Seperti kata Mustafa Ali, 'imej pemimpin seperti Zulkifli mungkin tidak terjejas jika mereka mengambil jalan menyuarakan perbezaan pandangannya mengunakan saluran dalaman parti'.

Kalau mengikut trend Zulkifli dalam mengkritik dan membidas serta mempertahankan Melayu-Islam mungkin PERKASA adalah flatform terbaik untuknya. Namun PERKASA bukan parti politik tetapi hanya sekadar NGO. Walaupun bakal menjadi ahli parlimen bebas, sehaluan kah Zulkifli dengan Ibrahim Ali dan pemimpin-pemimpin PERKASA yang lain?. Jikalau perjuangan atas nama Melayu dan Islam rasanya bukan menjadi sesuatu yang pelik untuk Zulkifli bersama PERKASA memperjuangkan sesuatu perkara yang ada kaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam.

Di manakah Zulkifli akan membawa diri selepas ini, hanya dirinya yang lebih mengetahui. Namun orang seperti Zulkifli ini bukannya tidak berguna lagi setelah PKR dan PAS menolaknya tetapi siapakah yang boleh mengambil peluang ke atas kelebihan yang ada pada Zulkifli. Yang capek menghalau ayam, yang buta meniup tepung, yang kurap menyiang buluh dan yang pekak membakar meriam.

Mungkin Zulkifli sesuai untuk membakar meriam kerana dia jenis pemimpin spesis 'pekak badak'

Peluang kedua untuk Zulkifli

Amir Hamzah
Batu Pahat.

6 comments:

zedmagel said...

Salam Saudaraku Amir Hamzah,

Pemimpin seperti YB Zulkifli Noordin ini yang kita nak cari.

"Berkata untuk kebenaran - Bertindak bukan beremosi. Berkokok ekor tidak bergelumang taik. Bertanjak Lang Menyonsong Angin.Ibarat mendaki gunong, semakin di daki semakin tinggi. Patah dayung belayar kain, patah kemudi, tali dicari. Bukan seperti burung terkukur, di agah tuan tunduk berkali".

Tahniah YB Zulkifli. Nak ke mana lagi?, UMNO tongkang dah tak muat nak selit.

matrengganu said...

Kalau memang baka yang baik, jatuh ke laut akan jadi pulau , YB Zul boleh join YB Ibrahim Ali.

Lagi bermaruah

airman_1 said...

salam,
saudara zulkifli sudah bjaya brpolitik, jenama zulkifli telah
laris terjual dimerata media,tv akhbar,media maya dsb, dgn suaranya
yg menyuarakan melayu dan islam dan juga menentang arus suara pmbangkang telah brjaya menambat hati banyak orang2 melayu tak kira dari pkr, pas, umno dari parti pmbangkang atau pun penyokong kerajaan, so apa yg dirisaukan, beliau bolih terus mnjadi pemimpin dikawasanya, tak perlu mnjadi umno,pas,pkr atau apa pun parti, sekadar mnjadi zulkifli dan kekal brjuang saperti apa yg dilakukan sekarang dan seterusnya meluaskan lagi prjuanganya kpd semua rakyat tanpa mengira bangsa cina, india, melayu dan lain lain.

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam
Tn.Hj.Zedmagel, matrengganu dan airman 1.

Saya rasa biarlah Zulkifli yang menentukan hala tuju politiknya. Mungkin dia sedang berkira-kira.....

Selempang Merah said...

Salam bro Amir..

YB Zulkifli Noordin boleh menjadi contoh kepada YB-YB sama ada di pihak kerajaan BN ataupun pembangkang.

Jadilah YB yang berani menegakkan kebenaran. Jangan "suka menegakkan benang yang basah" dan lebih malang sekali jika rami YB yang bagaikan "lalang di tiup angin" yang tiada pendirian.

wALLAHu a'lam..

amirhamzah64/ 64أمير حمزه said...

Salam Selempang merah,
Peluang kedua untuk Zulklifi
Ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin diberikan peluang kedua oleh lembaga disiplin partinya itu.

Dia sepatutnya 'menghadap' lembaga disipin PKR malam semalam tetapi menurut timbalan presiden parti itu, Syed Husin Ali dalam satu kenyataan akhbar semalam, telah 'melarikan diri' ke Korea Selatan.

Selepas itu kita tunggu ke mana hala tuju Zulkifli dalam politik.....